Sabtu, 4 Julai 2015

Pas di Selangor

SENARIO PAS DI SELANGOR SELEPAS MUKTAMAR

PRU13 telah menyaksikan satu kegagalan Barisan Nasional (BN) dalam usaha bersungguh untuk merampas balik sebuah kerajaan yang paling strategik dari sudut ekonomi dan politik. Di Selangor, BN bukan sekadar kecundang malah prestasi yang semakin merosot yang memberi gambaran kemerosotan sokongan kepada sebuah parti yang begitu utuh sekian lama menguasai politik Malaysia. Dalam PRU13, di Selangor, bagi peringkat undi kerusi Dun, undi BN hanya 39.39% dari jumlah undi sah, berbanding 43.50% dalam PRU12. 

Walaupun pungutan undi BN naik dari 508,851 undi dalam PRU12 kepada 680,369 undi dalam PRU13 bagi 55 kerusi Dun (tidak termasuk kerusi Sementa yang dimenangi percuma BN dalam PRU12), iaitu kenaikan sebanyak 33.70%. Namun ianya lebih tinggi dengan pertambahan pengundi di Selangor dari 1,561,494 orang (PRU12) ke 2,051,651 (PRU13) iaitu 23.89%. Peningkatan undi sebanyak 33.70% tersebut, BN hanya dapat merampas 2 kerusi dan hilang 10 kerusi, dengan keseluruhan memenangi 12 kerusi, semuanya menerusi calon UMNO.

Sementara undi Pakatan Rakyat, bagi 55 kawasan berkenaan bertambah lebih besar iaitu dari 650,005 undi ke 1,029,040 atau 58.31% (undi Pakatan Rakyat termasuk undi Pas di Kota Damansara yang bertanding bersama calon PKR selaku calon rasmi Pakatan Rakyat). Dari segi undi sah, undi Pakatan Rakyat telah meningkat dari 55.96% dalam PRU12 ke 59.20% dalam PRU13. 

Dengan gerak kerja besaran-besaran selama 5 tahun menjelang PRU13 dalam usaha mengambilalih kerajaan negeri Selangor khususnya dari sudut pendaftaran pemilih termasuk pemindahan pengundi dari negeri lain serta pemberian taraf kewarganegaraan kepada kumpulan tertentu, BN masih gagal menambat hati pengundi Selangor. Tambahan pula peranan proaktif jentera Pakatan Rakyat  memain peranan dalam kerja-kerja pendaftaran pemilih dan semakan serta bantahan pendaftaran besar-besaran seluruh negeri. Counter attacks Pakatan Rakyat seiring dengan gerakerja BN. 

Apakah nilai perpaduan dalam Pakatan Rakyat menggerakkan jentera dalam tempoh 5 tahun menjelang PRU13 akan terus beraksi menjelang PRU14. Pengukuhan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor nampaknya ada bayangan rintisan keretakan, terutama isu jawatan Menteri Besar  tahun lepas, dan rumusan dari Muktamar Agung Pas tempoh hari menambahkan kerancakan episod tersebut. 

Kejayaan Pakatan Rakyat mempertahankan kerajaan dengan peningkatan sokongan dalam PRU13 di Selangor, memberikan tambahan kerusi Dun berganda kepada Pas berbanding DAP dan PKR. Dari 8 kerusi Dun ke 15 kerusi. Secara langsung memberikan satu tapak baru kepasa Pas, Selangor sebagai medan baru. 

Kejayaan Pas adalah kekalahan UMNO, sebagaimana projek "Pas ganti UMNO" di seluruh Semenanjung. BN kehilangan 10 kerusi iaitu 7 kepada Pas, 1 ke PKR dan 2 kepada DAP. 10 tersebut adalah; 2 kawasan majoriti Melayu, 7 Campuran dan 1 kawasan majoriti bukan Melayu. Kekalahan BN di Selangor dalam PRU13, secara langsung kekalahan UMNO, yang gagal mempertahankan kerusi tradisi Melayu yang diwakili UMNO. 

Bagi kawasan pilihan raya negeri yang majoriti Melayu iaitu lebih 60% pengundi adalah Melayu, sebanyak 19 kerusi, lebih separuh di sebelah pinggiran pantai, BN menerusi calon-calon UMNO hanya memungut 47.82% undi sah atau 278,569 undi, sementara Pakatan Rakyat menerusi calon-calon Pas (13) danPKR (6) memungut 301,480 undi atau 51.74% undi sah. BN menang 8 kerusi, Pas 8 kerusi dan PKR 3 kerusi. 

Di 19 kawasan majoriti Melayu, BN menang selesa di kawasan sebelah utara:  Sungai Burong (85.47% pengundi Melayu) dengan majoriti 15.02%, Sungai Air Tawar (85.15% Melayu) majoriti 10.92%, Jeram (78.69% Melayu) majoriti 11.43%, Hulu Bernam (68.35% Melayu) majoriti 16.82% dan Batang Kali (62.64% Melayu) dengan majoriti 13.94%. Undi popular BN di  5 kawasan ini ialah: Sungai Burong (57.62%), Sungai Air Tawar (55.54%), Jeram (55.80%), Hulu Bernam (56.54%) dan Batang Kali (55.48%). Kawasan lain yang dimenangi BN, semuanya di bawah 55% undi. 

Sebaliknya Pas memenangi beberapa kerusi dengan undi yang besar di kawasan majoriti Melayu, di Bangi, yang mempunyai 66.65% Melayu, Pas menang dengan majoriti 25.18% dengan memungut 62.71% undi popular. Pas kuasai 62.33% undi popular di kerusi Meru, yang mempunyai 60.19% pengundinya Melayu, sementara di Sijangkang, Pas dapat 55.50% undi sah, di kawasan 66.06% pengundi Melayu. 

Sungguhpun BN menang sebanyak 12 kerusi DUN, tetapi 2 kerusi campuran : Kota Damansara (56.10% pengundi Melayu) dan Semenyih (56.07% Melayu), dimenangi kerana perpecahan undi Pakatan Rakyat bila berlaku pertandingan 3 penjuru. Di Kota Damansara, kejayaan calon UMNO/BN kerana calon Pas memperolehi 7,312 undi mengatasi majoriti kemenangan calon BN sebanyak 1,527 undi untuk mengalahkan calon Parti Sosialis Malaysia yang bertanding atas tiket PKR. Di Semenyih, undi calon Parti Sosialis Malaysia sebanyak 5,568 lebih besar dari majoriti kemenangan calon BN, 4,145 undi mengatasi calon PKR.

Kesimpulan dari pencapaian calon-calon BN  dan calon Pas, sebagai parti mewakili orang Melayu ialah BN bergantung kepada undian pengundi Melayu dan kawasan luar bandar, sementara Pas, mendapat sokongan bersama pengundi Melayu dan bukan Melayu. Kedua-dua BN dan Pas bertanding di kawasan Melayu dan campuran, di samping calon Melayu dari PKR. BN gagal di kawasan di mana pengundi Melayu adalah kurang dari 50%, kecuali Kota Damansara dan Semenyih, menjelaskan tanpa sokongan majoriti Melayu, BN tidak mendapat tempat. 

Sementara Pas, semakin besar peratusan pengundi bukan Melayu, semakin tinggi undi dipungut.  Di Sri Serdang (36.12% pengundi Melayu) Pas menang besar mengalahkan calon BN dari UMNO, dengan majoriti 25.39% atau 16,251 undi, di mana calon Pas perolehi 62.85% undi sah. Di Taman Templer (51.51% pengundi  Melayu), calon Pas menang dengan majoriti besar, 7,467 undi atau 17.35% untuk mengalahkan calon UMNO. Begitu juga, di Lembah Jaya (54.26% Melayu), Cempaka (53.40% Melayu) dan Paya Jaras (56.99% Melayu), calon mengalahkan calon UMNO/BN dengan majoriti besar antara 14 hingga 25 peratus majoriti dengan menguasai antara 57 hingga 63 peratus undi sah. 

Apakah nasib yang akan dimiliki oleh Pas andainya Pas bersendirian tanpa kerjasama sebagaimana dalam PRU12 dan PRU13. Apakah Pas mengalami nasib sebagaimana pencapaian calon Pas di Kota Damansara, bukan sahaja menyaksikan kegagalannya tetapi juga akan sama meruntukan kerajaan Pakatan Rakyat yang dibina pada 01/04/2008. 

Kawasan majoriti pengundi Melayu paling tinggi dimenangi Pas ialah Hulu Kelang (80.40% Melayu), Sabak (80.27% Melayu) dan Gombak Setia (76.72% Melayu), tidak menjamin kemenangan Pas tanpa sokongan pengundi bukan Melayu. Dalam PRU13, undi Pas di Hulu Kelang ialah 21,310 undi, sementara BN 18,429 undi, peratusan keluar mengundi ialah 86.74. Jika diambil 86.74 sebagai purata peratusan keluar mengundi semua kaum, seramai 32,230 pengundi Melayu keluar mengundi, diandaikan pecahan antara sokongan orang Melayu di Hulu Kelang ialah 50:50 antara Pas dengan BN, bererti dari dari kelompok pengundi Melayu Pas cuma dapat 16,100 undi dan untuk menang perlukan sokongan 5,000 pengundi bukan Melayu. mampukan Pas mengaut undi sebanyak itu tanpa kerjasama dengan parti berbagai kaum. 

Di Sabak, Pas cuma menang dengan majoriti 399 undi dalam PRU13, setelah kalah 117 undi dalam PRU12. Dalam PRU13, Pas dapat 9,421 undi dan BN 9,022 undi, dengan peratusan keluar mengundi dalam PRU13 ialah 86.55 peratus, atau seramai 18,742 pengundi. Dengan peratusan keluar mengundi berkenaan seramai 15,044 pengundi Melayu dan baki 3,698 pengundi bukan Melayu, mampukan Pas mengharapkan 60% pengundi Melayu untuk menang. 

Begitu jugalah Gombak Setia, di mana Pas dapat 20,757 undi, sementara BN 19,076 undi, di mana peratusan keluar mengundi 86.78%, menganggarkan seramai 30,850 pengundi Melayu, 4,700 pengundi Cina dan 3,740 India dan lain-lain keluar mengundi. Untuk menang Pas perlu sokongan lebih 65 peratus pengundi Melayu, jika Pas bersendirian.  

Keseluruhannya dari 15 kerusi DUN yang dimenangi Pas, semuanya berfokus kepada undi pengundi bukan Melayu sebagai penentu, walaupun di kawasan majoriti Melayu. Justeru Pas yang bertanding atas kerjasama dengan PKR dan DAP, undi Pas adalah undi Pakatan Rakyat, bukan semata-mata gambaran kekuatan Pas. 

Dengan sokongan 51.75% pemilih di kawasan majoriti Melayu (19 kerusi), 57.52% bagi kawasan campuran di mana pengundi Melayu antara 40 hingga 59%, yang melibatkan 21 kerusi (termasuk undi calon Pas dan PSM di Kota Damansara dan Semenyih), ditambah 72.55% bagi kawasan majoriti bukan Melayu (lebih 60% pengundi bukan Melayu) di 16 kerusi, menggambarkan semakin tinggi peratusan pengundi bukan Melayu, semakin tinggi undi menolak BN. 

BN hanya mendapat 47.81% undi sah di kawasan majoriti Melayu, 41.95% undi di kawasan campuran dan 26.28% di kawasan majoriti bukan Melayu. Senario ini menyukarkan parti seperti Pas yang terasnya sokongan Melayu jika bertanding bersendirian. Kegagalan parti-parti mewakili bukan Melayu dalam BN; MCA, MIC, Gerakan dan PPP menarik sokongan bukan Melayu, bergantung kepada UMNO yang bertanding di kawasan luar bandar dan majoriti Melayu untuk memenangi kerusi, kecuali ada pihak lain menjurus kepada persaingan tiga atau empat penjuru. 

Pihak mana yang berkecenderungan untuk menafikan sistem dua parti yang mula dirintis dalam PRU12, bolehlah mengambil musibah dari Kota Damansara dan Semenyih. Justeru  warga pengundi Malaysia sedang membina agenda mematangkan kerangka politik menerusi sistem dua parti, janganlah pula ada kelompok cuba memecahkan dan memisahkan matlamat demokrasi, di mana kelompok majoriti menguasai pemerintahan. Kes Kota Damansara, calon yang menang hanya disokong 42% pemilih sahaja, bukan dapat sokongan simple majority, di Semenyih, cuma sokongan 48% saja, inilah kesan persaingan 3 penjuru.

Rayuan perwakilan Selangor, YB Safie Ngah, semasa Muktamar Agung Pas, muktamar mengambil keputusan mengambil kira situasi di Selangor, sudah menggambarkan dilema yang akan ditanggung oleh Pas Selangor, menghadapi cabaran mendatang.

















 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan