Ahad, 19 Julai 2015

Harapan DAP pada Pas

PERSEMPADANAN SEMULA KAWASAN PILIHAN RAYA: SATU HARAPAN DAP KEPADA PAS

Sabtu lepas (11/07/2015), Pas secara rasminya mengumumkan membatalkan tahaluf siasi dengan DAP dan mengekalkan kerjasama politik dengan PKR, menerusi Setiausaha Dewan Ulamak Pas Pusat, Dato' Dr Nik Zawawi Salleh. Keputusan ini akan dimaklumkan kepada Jawatankuasa Kerja Pas Pusat untuk dilaksanakan. Pernyataan ini secara sah bahawa antara Pas dan DAP sudah tiada apa-apa lagi setelah beberapa kenyataan dan tindakan drastik DAP, hasil keteteapan Muktamar Pas Pusat, bulan lepas.

Respons awal dari kepimpinan DAP ialah kenyataan seorang pemimpin kanannya, Ronnie Liu (mantan Exco Selangor) yang mengharapkan Pas tidak menyokong persempadanan semula kawasan pilihan raya, yang sepatutnya sudah dilaksanakan empat tahun lepas. Kegagalan BN perolehi majoriti suara dua pertiga dalam Dewan Rakyat hasil PRU12 dan PRU13, membantut amalam proses persempadanan semula kawasan pilihan raya setelah genap 8 tahun selepas persempadanan terakhir. 

Parlimen ke 12, hasil PRU12, BN cuma memiliki 140 kerusi Dewan Rakyat, kurang 8 kerusi untuk majoriti dua pertiga, sementara Parlimen ke 13, BN cuma memiliki 133 kerusi saja (sebelum PRK Teluk Intan, yang menambahkan kerusi BN). Dengan 134 kerusi Dewan Rakyat sekarang, BN memerlukan 14 suara sokongan, untuk menetapkan 148 kerusi, iaitu majoriti dua pertiga. Dengan sokongan 21 Ahli Parlimen Pas, dengan mudah Dewan Rakyat meluluskan peruntukan undang-undang persempadanan semula kawasan pilihan raya. Kemungkinan ini atas andaian, setelah terputus tahaluf siasi dengan DAP, memberi ruang Pas memilih jalan sendiri menyokong usul UMNO sebagai balasan BN secara blok menyokong usul persendirian Pas mengenai pindaan bidang kuasa mahkamah syariah (hukum hudud di Kelantan). 

Lazimnya amalan persempadanan kawasan pilihan raya yang lepas beragendakan pulangan politik kepada UMNO. Berasaskan mesej dari PRU12 dan PRU13, memberi laluan perancangan persempadanan kawasan pilihan raya kali ini adalah beragendakan memperbanyakkan perwakilan Melayu dan bersifat merit luar bandar, yang secara langsung menambahkan bilangan perwakilan untuk UMNO, dengan sedikit tempias nikmat kepada Pas. Ini berbeza dengan persempadanan terkahir, 2003, yang menghukum pengundi Melayu dan luar bandar, lantaran BN menerusi UMNO hilang banyak kerusi dalam PRU 1999. 

Tepatlah kegelisahan dan kebimbangan DAP, andainya rang undang-undang persempadanan semula kawasan pilihan raya diluluskan berkemungkinan bukan lagi agenda memperbanyakkan kawasan campuran tetapi memecahkan kawasan pilihan raya luar bandar yang sinonimnya kerusi Melayu berasaskan taburan penduduk dan keluasan kawasan, bukan kepada saiz penduduk semata. Dengan lain perkataan, penekanan persempadanan kepada "rural waitage".

Apakah mengambil pendekatan "win-win solutions", kerana saling kebergantungan antara Pas dengan BN yang dikepalai UMNO, rang-rang persempadanan kawasan pilihan raya akan dibentangkan dengan keyakinan mencapai suara dua pertiga, memenuhi keperluan pindaan Perlembagaan. Apakah Terengganu yang disisihkan dalam persempadanan kawasan pilihanraya sejak 20 tahun kerana dikhuatiri persempadanan akan merugikan UMNO, akan berlaku tambahan kerusi Parlimen khususnya. Contohnya, kawasan parlimen Kuala Terengganu (dengan 94,561 pemilih mengikut Daftar Pemilih Induk 2012), Marang (90,926 pemilih) dan Dungun (78,298 pemilih). Jika 3 kawasan pilihan raya parlimen ini dipecahkan menjadi empat tanpa memecahkan kawasan pilihan raya negeri, dengan setiap kawasan parlimen memiliki 3 kerusi negeri, berbanding 4 kerusi semasa;
i. Kerusi parlimen pertama mencantumkan 3 kerusi negeri, Wakaf Mempelam (25,274 pemilih mengikut DPI 2012), Bandar (20,433) dan Ladang (20,125) dari kerusi parlimen Kuala Terengganu semasa, menjumlahkan 65,832 pemilih;

ii. Kerusi parlimen kedua: Batu Burok (28,729) dari parlimen Kuala Terengganu dicantumkan bersama Alor Limbat (24,017) dan Bukit Payong (20,080) dari parlimen Marang, menjumlahkan seramai 72,826 pemilih;

iii. Kerusi parlimen ketiga: Ru Rendang (22,701) dan Pengkalan Berangan (24,128) dari parlimen Marang dicantumkan dengan Rantau Abang (20,655) dari parlimen Dungun, berjumlah 67,848 pemilih;

iv. Kerusi parlimen keempat: baki tiga kerusi dalam parlimen Dungun semasa iaitu Bukit Besi (13,409), Sura (17,740) dan Paka (26,494) dengan jumlah 57,643 pemilih.

Kerusi parlimen pertama adalah keseluruhannya kawasan bandar meliputi bahagian besar kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, dengan 65,832 pemilih, menyamai kawasan parlimen Alor Star yang menguasai kawasan Majlis Bandaraya Alor Star dengan seramai 69,009 pemilih mengikut DPI 2012.

Kerusi parlimen kedua yang merupakan campuran kawasan bandar (Batu Burok) dengan pinggiran bandar dan luar bandar, jumlah 72,826 pemilih tersebut jauh lebih tinggi saiz pemilih berbanding kawasan parlimen seumpamanya seperti Bagan (68,626 pemilih), Batu Kawan (57,593), Nibong Tebal (59,470) dan Kuantan (56,418). 

Kerusi parlimen ketiga, campuran pinggiran bandar (Rhu Rendang) dengan kawasan luar bandar yang mengandungi jumlah 67,848 pemilih, dan kerusi parlimen keempat yang menggabungkan kawasan luar bandar (Bukit Besi) dengan separa bandar dan pinggiran bandar berjumlah 57,643 pemilih, jauh lebih besar saiz pengundi berbanding kawasan parlimen di negeri atau kerusi pergantungan BN. Kerusi parlimen Ayer Hitam, Johor, (cuma 42,991 pemilih) Tanjong Piau, Johor (52,000), Kepala Batas (51,743) dan Tasik Gelugor (54,147), yang tidak jauh beza sosio-geografi dengan kawasan Marang atau Dungun.

Dalam PRU13, dari jumlah 12 kerusi negeri dalam parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Dungun, BN cuma menang dua kerusi saja, dengan Pas menguasai 9 kerusi dan PKR satu kerusi. Sementara ketiga-tiga kerusi parlimen dimenangi Pas. Jika ditambah satu kerusi parlimen di kawasan tersebut, ianya memberi kelebihan kepada Pas. Biasanya BN menerusi SPR tidak semudah itu hendak beri laluan. 

Logiknya, kawasan tersebut yang mengandungi seramai 263,784 pemilih mengikut DPI 2012 yang digunakan dalam PRU13, perlu dipecahkan kepada lima kerusi parlimen, purata 52,700 pemilih setiap kawasan pilihan raya persekutuan. Purata pemilih bagi satu kerusi parlimen, 52,700 sesuai dengan negeri Terengganu sebagai antara negeri miskin di Malaysia, berbanding dengan negeri yang lebih maju di mana saiz pengundi setengah kawasan pilihan raya parlimen lebih rendah. Kerusi parlimen Kuala Kangsar, cuma 33,607 pemilih, Balik Pulau (49,751), Bagan Datoh (40,031), Paya Besar (48,159), Kuala Pilah (47,780), Masjid Tanah (46,062), Segamat (47,115), dan Muar (48,334) sekadar beberapa contoh kawasan setara dengan Dungun atau Marang, yang bukan kawasan pedalaman dan mundur.

Jika dipecahkan kepada lima kawasan iaitu tambahan dua kerusi baru untuk parlimen, kebarangkalian adalah besar, atas kaedah "win-win", memberi peluang kepada BN memenangi satu kerusi parlimen di kawasan pembangkang tersebut. 

Di negeri-negeri lain yang dinafikan persempadanan kawasan pilihan raya dalam tahun 2003 kerana bilangan pengundi bukan Melayu yang kecil menyukarkan SPR membentuk kawasan pilihan raya pemilih campuran, kawasan yang mengimbangkan taburan pengundi ikut kaum. Kaedah persempadanan yang banyak dipengaruhi political mileage parti yang menguasai kerajaan Persekutuan ala gerrymandering, bermula pasca 13 Mei 1969, sentiasa berubah mengikut keperluan politik semasa. 

Tsunami Melayu dalam PRU10 (PRU 1999) mendorong kepada SPR mempersempadanan  semula kawasan pilihan dengan memperbanyakkan kawasan pilihan campuran serta menafikan kawasan majoriti Melayu atau luar bandar di Semenanjung. Sebaliknya tsunami Cina dalam PRU12 dan dilonjakkan lagi dalam PRU13, sudah barang tentu kerja SPR ialah memperbanyakkan kawasan pilihan majoriti Melayu, dengan kurang ditekankan ke kawasan majoriti bukan Melayu atau campuran, kerana kedua-dua PRU terakhir memberikan pukulan perit kepada parti pemerintah kerajaan pusat. 

Kawasan parlimen Baling (93,168 pemilih dalam DPI 2012) yang dimenangi BN, sebuah kawasan 88.7% pemilih Melayu dan sebuah kawasan luar bandar yang mempunyai saiz pengundi yang lebih besar dan saiz kawasan lebih luas, selepas disempadankan semula selepas dimenangi Pas dalam PRU10, antara kawasan jangkaan sasaran SPR untuk dipecahkan saiz. Pengurangan saiz pemilih serta keluasan akan menambahkan bilangan kawasan parlimen majoriti Melayu. 

Harapan DAP menerusi kenyataan seorang pemimpin kanannya kerana kelazimannya kerja SPR dalam kerja-kerja persempadanan adalah impaks dari keputusan PRU yang terakhir. Dinamika kerja-kerja beragenda SPR, membuka ruang krisis keyakinan kredibiliti dan intergriti agensi perkhidmatan awam di kaca mata khalayak rakyat. 






Tiada ulasan:

Catat Ulasan