Sabtu, 20 Jun 2015

Bila Pas bersendirian

BILA PAS BERSENDIRIAN

Dua kenyataan terakhir oleh kepimpinan Pakatan Rakyat menjelaskan kekeliruan masa depan permuafakatan politik yang dibentuk pada 01/04/2008, ekoran keputusan luar biasa PRU12. Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng telah mengumumkan pembubaran pakatan berkenaan setelah kerjasama dengan Pas semakin buntu, tambahan Muktamar Pas Pusat awal bulan ini membuat satu keputusan luar biasa berbanding beberapa muktamar sebelum ini. 

Presiden PKR DS Dr Wan Azizah Wan Ismail mengeluarkan kenyataan selari dengan Guan Eng. Sebaliknya, Timbalan Presden Azmin Ali bertegas bahawa Pakatan Rakyat masih boleh diselamatkan.

Walau apapun bakal terjadi, perhatian adalah kepada Pas, kerana beberapa isu mutakhir politik tanah air menjurus kepada kemelut dalam Pas; Rang Undang-undang Persendirian berkaitan pelaksaan hukum hudud Kelantan di Parlimen, dan perubahan kepimpinan Pas. 

Realitinya lantikan politik yang melibatkan aktivis Pas dalam kerajaan Pulau Pinang dan aktivis DAP dalam pentadbiran kerajaan Kelantan sudah digugurkan atau meletak jawatan. Ini ekoran, tindakan awal DAP memutuskan hubungan dengan Pas, selepas muktamar Pas meluluskan usul putus hubungan DAP-Pas. 

Sebagai renungan, dibawa di sini kesimpulan dari dua pilihanraya umum yang berlangsung dalam tempoh terdekat; pilihanraya umum Parlimen Great Britain dan Turki.

Pilihanraya umum untuk memilih 650 orang wakil rakyat House of Commons, salah satu dewan perundangan yang membentuk Parlimen Great Britain telah diadakan pada 07/05/2015. Wakil rakyat House of Commons, adalah dipilih secara langsung  mewakili kawasan, satu wakil rakyat bagi satu kawasan, iaitu constituency representatives (perwakilan berkawasan) berorientasikan konsep " the first past the post". Samalah pemilihan Ahli Dewan Rakyat, dalam tugasan demokrasi kepilihanrayaan negara kita, yang mengamalkan demokrasi berparlimen ala Westminster (Parlimen British). 

Parti Conservaties yang memenangi pilihanraya umum   2010, gagal membentuk kerajaan kerana cuma menang 306 kerusi dari jumlah 650 kerusi Parlimen, di mana sesebuah parti perlu mendapat 326 kerusi untuk capai " simple majority". Parti Labour, di bawah Perdana Menteri Gordon Brown mendapat 258 kerusi dan hilang kerajaan. Parti Liberal Democrat perolehi 56 kerusi, menjadi penentu pembentukan kerajaan. 3 parti utama ini, bersaingan antara satu sama lain di semua kawasan pilihan seluruh Great Britain, sementara parti-parti yang bersifat kewilayahan dan parti kecil, bertanding di kerusi-kerusi tertentu. 

Conservaties dan Liberal Democrat membentuk kerajaan dengan ketua Conservatives, Davis Cameron sebagai Perdana Menteri, dan ketua Liberal Democrat, Nick Clegg sebagai Timbalan Perdana Menteri. 

Dalam pilihanraya Parlimen bulan lepas, public opinions dan analisis awal menjangkakan pilihanraya ini akan menyaksikan sebuah parlimen yang tergantung (hung), kerana tiada parti akan memiliki majoriti. Sebaliknya pilihanraya berkenaan memberikan kemenangan mutlak kepada Conservatives dan pukulan kepada rakan sekutunya, Liberal Democrat. Parti Labour yang dijangka akan membuat "comebacks", meleset. 

Conservaties memperolehi 330 kerusi, cukup untuk dapat simple majoriti membentuk kerajaan. Liberal Democrat cuma menang di 8 kawasan sahaja, berbanding 56 dalam tahun 2010. Labour cuma dapat 232 kerusi, lebih merosot berbanding pilihanraya  lima tahun lepas. 

Kesan menyertai kerajaan, pengundi telah menghukum Liberal Democrat yang diharap menjadi kuasa ketiga, kuasa pengimbang dalam sebuah sistem dua parti pada hakikinya, walaupun demokrasi berparlimen British disertai berbilang parti. Undi popularnya cuma 7.9% dari jumlah undi sah keseluruhan, iaitu kejatuhan sebanyak 15.1%. Undinya banyak beralih kepada Conservatives. Parti wilayah, Scottish National Party (SNP) mengambil alih sebagai parti ketiga terbesar, dengan perolehi 56 kerusi berbanding 6 kerusi dalam tahun 2010. 

Dalam pilihanraya umum bagi memilih keanggotaan Grand National Assembly (Parlimen Turki) pada 07/06/2015, Justice and Development Party (AKP) yang menguasai kerajaan Turkey hasil pilihanraya 2011, gagal menepati ramalan dan analisis awal. AKP yang memperolehi 49.83% undi popular dalam pilihanraya 2011 akan perolehi sokongan yang lebih besar. 

Dalam pilihanraya Parlimen awal bulan ini, AKP hanya menerima 40.87% undi sahaja, walaupun masih menjadi parti utama. Justeru itu, AKP cuma layak perolehi 258 kerusi dari jumlah 550 kerusi Parlimen berbanding 327 kerusi dalam Parlimen musim lepas. 

Pembangkang utama, Republican People's Party (CHP), yang pernah menguasai kerajaan, dengan 24.95% undi popular mendapat 132 kerusi (135 kerusi pilihanraya 2011), Nationalist Movement Party (MHP) perolehi 16.3% undi dengan 80 kerusi (53 kerusi 2011) dan parti baru, People's Democratic Party (HDP), 13.1% undi popular, dapat 80 kerusi. 

AKP mensasarkan 330 kerusi Parlimen untuk memboleh Parlimen dengan suara simple majoriti boleh pungutan suara dilaksanakan untuk mengesahkan satu-satu rang undang-undang yang diluluskan Parlimen. Dalam sistem Parlimen Turkey, kelulusan dua pertiga perwakilan diperlukan, untuk mengelakkan pelaksanaan pungutan suara atau jika sesuatu rang undang-undang diluluskan tanpa pungutan suara.  Ini bermakna perlu dapat sokongan 367 ahli sesuatu rang undang-undang diluluskan tanpa pungutan suara.

Jika sistem demokrasi berpalimen British (yang diamalkan di Malaysia), perwakilan berasaskan kepada satu ahli mewakili satu kawasan pilihanraya, tetapi sistem demokrasi berparlimen Turkey (ikut model Parlimen Jerman), berasaskan perwakilan ikut kawasan berpandukan saiz pengundi dan undi popular. Satu kawasan pilihanraya diwakili lebih satu orang, mengikut saiz pengundi.


Contohnya dalam pilihanraya 2011;  ibu negara Turkey, Ankara dengan jumlah pengundi 3.41 juta pengundi , diperuntukkan sejumlah 31 kerusi Parlimen. 14 buah parti politik yang bertanding, masing-masing meletakan 31 calon, di samping disertai 15 orang calon bebas yang bertanding secara sendirian. Seramai 3,032,519 atau 88.93% keluar mengundi, memberikan AKP perolehi 1,466,466 undi atau 49.2% dan layak diberikan 17 kerusi Parlimen, CHP yang dapat 31.3% undi popular, mendapat 10 kerusi, MHP dengan 14.6% undi mendapat 4 kerusi. Sementara parti-parti lain tidak layak perolehi kerusi kerana gagal dapat undi melebihi 5%. 

Kota Istanbul diperuntukkan 85 kerusi dengan saiz penduduk yang besar. AKP dapat 3,931,210 undi atau 49.38% dari jumlah 8,112,340 pengundi yang keluar mengundi atau 86.32% dari jumlah 9.397 juta pengundi. AKP mendapat 46 kerusi Parlimen, CHP dengan pungutan 31.31% undi popular diberikan 29 kerusi, MHP yang dapat 9.39% undi popular perolehi 7 kerusi, sementara 10 orang calon bebas berjaya perolehi 5.35% undi dan layak 3 kerusi. Di Istanbul, selain 3 parti di atas, 12 lagi parti meletakkan calon mereka, tetapi gagal perolehi 5% undi popular. Semua parti meletakkan 85 calon.   Peraturan pilihan raya menetapkan setiap parti yang bertanding di sesautu kawasan perlu meletakkan calon mengikut jumlah kerusi kawasan berkenaan.

Kawasan yang kurang penduduk, seperti Ardaha, iaitu kawasan pengundi paling rendah dengan jumlah pemilih 56,000 orang hanya diperuntukkan 2 kerusi Parlimen.  

Seandainya Pas terpisah dengan rakan-rakan yang sama-sama berpakat dalam dua PRU terakhir, pastinya Pas akan bersendirian. Bila Pas bergerak bersendirian sebagai dalam beberapa siri pilihan raya sebelum 1990, pergerakannya agak terbatas dan terhad di kawasan tertentu sahaja. Kalau ikut keputusan PRU13, kedudukan asal di Parlimen; BN 133 kerusi, Pakatan Rakyat (PKR & DAP) 68, Pas 21. Pas adalah kuasa ketiga dalam PRU14 senasib dengan Liberal Democrat, akhirnya semakin tidak diterima khalayak pengundi yang mengharapkan Pas jadi kuasa penentu bila BN dan Pakatan Rakyat berdepan masalah gagal bentuk kerajaan dengan simple majoriti. Di manakah Pas pada masa itu, akan membantu BN atau rakan lama, Pakatan Rakyat. 

Melihat kepada kecenderungan pengundi dalam PRU12, diikuti PRU13, tanpa persempadanan semula kawasan pilihanraya dalam tempoh setahun dari sekarang, PRU14 berkemungkinan Parlimen tergantung. Jika peranan Pas sebagai penentu atau determinant, usia Pas tak panjang, mengikuti pengalaman Liberal Democrat.

Kegagalan AKP menguasai suara majoriti adalah kerana pengundi tidak mahu beri kuasa yang lebih luas, lantaran kejayaan-kejayaan AKP yang semakin meningkat dalam usaha orientasi yang lebih Islamik dalam pentadbiran. Bila Pas bersendirian, dibimbangi keyakinan sejauh mana sebagai sebuah kuasa ketiga mampu mengetengahkan agenda Islamik dalam pentadbiran. Pengundi akan melihat sukar bagi Pas bersendirian menentu dan membina arah tuju pendekatan yang lebih Islamik dalam berbagai aspek kehidupan khususnya urus tadbir kerajaan. Lebih mencabar lagi, bila Pas bersendirian, ada parti lain mengambil tempat Pas dalam Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP menghadapi PRU14. 

Kegagalan Liberal Democrat memain peranan dalam sistem demokrasi ala British dalam penentuan pembentukan kuasa dan kemerosotan AKP dalam meneruskan agenda Islamik bersama kepudaran cahaya Islamik sebagai kuasa baru menerusi demokrasi dialami Tunisia dan Mesir, akan terheret menentukan nasib Pas. 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan