Selasa, 2 Jun 2015

Ulasan buku MSO

ULASAN BUKU MSO: TOKGURU DALAM MATAKU, SEBUAH MEMOIR...

Tulisan terbaru Mohd Sayuti Omar(MSO), "Tok Guru Dalam Mataku, sebuah memoir..." (terbitan Mei 2015) menampilkan satu persembahan amat menarik dalam menambahkan perbendaharaan bahan tulisan isu politik tanah air. Sungguhpun tulisan MSO lebih bersifat bacaan awam tetapi boleh dijadikan rujukan untuk satu analisis akademik. 

Saya meminati tulisan berbentuk kupasan atau analisa politik menerusi akhbar harian atau mingguan sejak bangku sekolah. Akhbar utama tatapan saya paling awal ialah Utusan Zaman, edisi mingguan Utusan Melayu, di samping Warta Negara dan Mingguan Kota Bharu, dalam tahun 1960an. Saya lebih meminati kupasan politik kepartian. Tulisan-tulisan Subky Latif menerusi Utusan Zaman, mengupas isu-isu politik kepartian dalam tahun 1960an, dengan bahasa dan corak pengolahannya mengheret saya membaca apa saja tulisan beliau di kala itu. Akhbar Suara Rakyat kendalian Subky Latif, akhir 1970an, cukup menarik dengan kupasan politik, tetapi hayatnya tak lama.

Apabila Tun Razak meninggal, beliau sempat menulis sebuah buku "Siapa Selepas Tun Razak", bermula dari situ, setiap buku tulisan Subky saya usahakan mendapatkannya.  

Hussien Yaacob (Allahyarham) satu nama yang tidak asing dalam dunia penulisan isu politik kepartian. Sungguhpun tabloid Mingguan Bumi pimpinan beliau tidak bertahan lama, namun tulisan beliau berterusan dalam tabloid dan akhbra lain. 

Membaca tulisan Subky dan Hussien, seolah-olah mengikuti satu kelas sejarah serta latar belakang politik kepartian terutama selepas merdeka. Mereka berdua, asasnya dunia kewartawanan dan pemberitaan memiliki pengolahan dan analisis yang kelainan berbanding penulis-penulis lain. Keterbukaan dan tanpa keterbatasan kepentingan, setiap ulasan, olahan dan pandangan yang matang tanpa ikatan dan berselindung. 

Mohd Sayuti Omar (MSO) yang menyertai dunia penulisan dan pemberitaan lewat tahun 80an, memiliki gaya pengolahan dan penganalisaan mirip Subky dan Hussien. Nama MSO mula popular dengan beberapa buah buku merakamkan dan mentafsir perjalanan politik zaman Reformasi, zaman pemecatan dan pemenjaraan Anwar Ibrahim. 

Dalam tempoh hampir separuh abad, 3 nama tersebut lebih menonjol, berani dan terbuka dalam menganalisis politik tanah air, politik kepartian khususnya, menerusi media cetak berbahasa Melayu. Tulisan mereka bertiga agak istimewa walaupun ratusan penganalisis bidang ini di medan penerbitan. Ada yang terlalu akademik, ada yang nak pertahan kelompok tertentu sehingga mengabaikan etika kewartawanan. 

Bila ada saja tulisan mereka sama ada berbentuk rencana atau buku, pasti saya baca. Tulisan-tulisan Hussien Yaacob dengan nama "Ibnu Muslim" dalam sebuah organ parti, saya ikuti sehingga beliau menghembus nafas terakhir. 

Akhbar mingguan "Siasah" kelolaan MSO, adalah antara bahan bacaan berkala yang amat saya minati. Tapi sayang, usia mingguan ini tak panjang. 

Bila MSO menulis buku terbarunya, "Tokguru Dalam Mataku", saya tidak ketinggalan mendapatkan buku ini seawal mungkin, sebelum berada di pasaran, sebagaimana 2 karya beliau terakhir diterbitkan sebelum dan selepas PRU13. Buku setebal 226 halaman ini, berlainan berbanding hasil-hasil analisis politik lain. MSO secara jujur menceritakan pengalaman bergaul dalam mengenal hati budi, sikap dan pemikiran seorang tokoh politik istimewa, Tuanguru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat (TGNA)

Menariknya buku ini  dipersembahkan oleh MSO mengenai perwatakan TGNA menjadikannya berlainan dengan catatan memoir pemimpin-pemimpin lain. Rapatnya hubungan MSO dengan TGNA menjadikan buku ini secara langsung merakamkan keistimewaan, kesederhaaan dan keterbukaan TGNA sebagai pemimpin, banyak membantu parti mengembangkan sokongan dan memperlanjutkan penguasaan sebuah kerajaan negeri yang diasak dari berbagai penjuru.

TGNA seorang pemimpin yang boleh terima nasihat dan pandangan dari siapa saja. Hubungan TGNA dengan MSO hanya sekadar antara seorang pemimpin dengan wartawan pada asasnya, justeru itu MSO menggelar dirinya penasihat politik tidak bertauliah. 

Pujian harus dihulurkan kepada MSO di atas kejujurannya. Beliau melupakan kesempatan yang dihidangkan. Cerita beliau memulangbalik anugerah kawasan balak, yang membolehkan beliau menikmati kesenangan, sebagai satu catatan ujian kehidupan. 

Di samping itu, sikap terpuji MSO, beliau pernah bergaduh dengan TGNA, kerana MSO berpijak pada mempertahankan hujah dan pernyataannya dalam kes Husam Musa. Dalam tempoh yang lama, TGNA bertanya khabar memerlukan MSO sebagai sahabat untuk bertukar pandangan. 

Sungguhpun tulisan ini sebuah kisah pengalaman seorang wartawan dengan seorang tokoh politik, tetapi secara langsung sebuah catatan perjalanan hidup seorang pemimpin yang amat disegani lawan dan kawan. Pengalaman ini boleh dijadikan sumber inspirasi bakal pemimpin atau pemimpin yang sedang menuju puncak kecemerlangan, tanpa mengira agama atau bangsa.TGNA bukan tokoh atau spiritual leader, tetapi seorang pemimpin yang patut dicontohi.

Sebagai anak yang dibesarkan dalam keluarga penyokong Pas, di awal usia lagi penulis didedahkan dengan perjuangan Pas. Justeru itu, sedikit sebanyak tulisan ini boleh dijadikan satu bahan kajian sejarah perjuangan dan perkembangan Pas. Amat sesuai dijadikan bahan rujukan untuk pendokong parti, kerana ada beberapa catatan rentetan peristiwa jatuh bangun Pas, di Kelantan khususnya.

Buku ini dipersembahkan dalam bahasa yang mudah. Ianya bukanlah sebuah kajian ilmiah yang penuh dengan kutipan data dan terminologi akademik. Sebagai sebuah bahan pengetahuan dan bacaan umum, sesuai dibaca dan ditatapi oleh semua golongan, semua peringkat umur. 










 

2 ulasan:

  1. Assalamualaikum.. terima kasih banuak cikgiu atas ulsan yang menarik dan bisa mendorong saya untuk terus berkarya. Saya cadang nak link kan dalam blog saya. Pohon keizinan. Selamat hari raya, semoga bahagia. Wassalam Mso.

    BalasPadam
  2. Terima kasih Sdr MSO, menghargai pandangan saya demi kemeriahan kebebasan suara. Saya tiada masalah. Selamat hari raya

    BalasPadam