Jumaat, 12 Jun 2015

Pas Pilih Pemimpin (Bah: 2)

POLA PEMILIHAN KEPIMPINAN PAS

Pemilihan jawatankuasa kerja pusat bukanlah satu kejutan, berasaskan kepada kehendak, pola pengundian dan harapan perwakilan semasa mesyuarat agung peringkat kawasan, dibuktikan dalam pemilihan peringkat sayap parti peringkat pusat. Lebih jelas, pola pemilihan jawatankuasa pusat bermula dari jawatan Presiden hingga ke pemilihan 18 orang ahli jawatankuasa pusat (AJK Pusat), yang ditandingi 64 calon tergolong dalam kumpulan konservatif dan progresif. 80 peratus perwakilan memilih kumpulan konservarif bagi 2 jawatan utama: Presiden dan Timbalan Presiden, yang menyaksikan Mohammad Sabu yang pertahan jawatan Timbalan Presiden sekadar memungut 25 peratus undi sahaja. 

Perwakilan diagihkan senarai calon untuk pilihan, oleh kumpulan yang melambangkan calon-calon kroni. Contohnya tersebar luar dalam viral dalam media sosial senarai calon kroni panduan perwakilan mengundi. Semua calon dalam lampiran calon puak konservatif menang kecuali seorang. Itu pun, beliau secara automatik akan menduduki jawatankuasa agung kerana sudah memenangi jawatan ketua muslimat pusat.

Tersebar luas snap foto, perwakilan mengundi merujuk kepada kertas edaran, senarai calon dalam kumpulan  dari jawatan Presiden hingga ke AJK Pusat. Amat memalukan, perwakilan yang dipilih dalam muktamar Pas Kawasan terpaksa mengundi berpandukan senarai yang ditetapkan, agar semua calon kroni boleh menang. Edaran senarai calon sebagai mendesak perwakilan membuat pilihan yang seragam untuk mempastikan calon kroni menang, lantaran bilangan calon yang bertanding adalah besar, seramai 54 calon untuk merebut 18 tempat ahli jawatankuasa pusat. Edaran senarai calon ini bertujuan, calon kroni dapat undi secukupnya, justeru dibimbangi berlaku perpecahan undi, yang boleh menghalang kemenangan seratus peratus calon dalam pasukan. 

Hasilnya semua calon kroni menang, kecuali satu yang disebut di atas. Ketiga-tiga calon konservatif berjaya menyingkirkan 3 calon progresif untuk jawatan Naib Presiden. Pungutan undi calon dari kelompok progresif dan saingannya adalah lebih kurang sama bagi yang bertanding jawatan Naib Presiden berbanding AJK Pusat, yang membentuk pola perwakilan memilih atau mengundi calon berasaskan puak bukan atas batang tubuh calon. 

Bagi pemilihan 18 AJK Pusat, 17 dalam senarai konservatif terpilih dan satu dimenangi oleh Mazlan Aliman dari kelompok progresif. Jika kumpulan menggugurkan nama ketua muslimat, Nuridah Salleh dan digantikan dengan nama lain secara rasmi, kemungkinan puak ini menyapu bersih. Walaupun secara tidak rasmi, nama Kamaruzaman Muhammad dihighlights, undian beliau menduduki tangga ke 19, dengan 522 undi, berbanding semua calon progresif mendapat undi di bawah 500. 

Selain Mazlan Aliman, cuma 2 orang AJK Pusat sesi lepas berjaya kekal; Nasruddin Hassan Al Tantawi dan Dr Riduan Mohd Noor. Di samping itu beberapa nama tidak bertanding; Kamaruddin Jaafar, Dr Syed Azman Syed Ahmad, Abu Bakar Chik (meninggal). 

Penolakan tokoh-tokoh besar, aktivis parti tahan lasak, Ahli Parlimen "outspoken", dalam muktamar minggu lepas, bukanlah satu tindakan drastik dan di luar jangka, jika kita meninjau kembali deretan peristiwa yang berlaku dalam parti. Ada pihak mempertikai dan rasa pesimis keupayaan jawatankuasa baru atau kepimpinan baru ini membawa hala tuju parti selepas ini, khususnya menghadapi PRU14. Hasil keputusan pemilihan berbagai jawatan dalam mesyuarat agung peringkat kawasan dan muktamar sayap-sayap parti peringkat negeri, sudah jelas membayangkan kehendak dan aspirasi pendokong parti peringkat bawahan. 

Di samping itu, peringkat intra-parti dalam Pakatan Rakyat khususnya, peranan DAP menjelang muktamar banyak membantu memperkukuhkan peranan grassroots dalam menentukan hala tuju parti. Semakin kuat serangan dan cabaran DAP, membantu ahli parti bersatu perkemaskan parti serta mengekalkan identiti dan jatiditi parti. Mungkin faktor ini mendorong ahli parti dan perwakilan khususnya terpaksa ketepikan mereka yang nampak mesra rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan