Selasa, 9 Jun 2015

Pas Pilih Pemimpin (Bah 1)

MUKTAMAR PAS MEMILIH PEMIMPIN

Muktamar Pas Pusat yang berakhir semalam telah memilih kepimpinan baru bagi sesi 2015-2017 merangkumi Jawatankuasa Agung Pusat dan semua sayap parti peringkat pusat. Muktamar bermula 03/06/15, bagi semua sayap parti dan 04/06/15 hingga 06/06/15 untuk mesyuarat agung tahunan kali ke 61. 

Muktamar tahunan kali ini berjaya membentuk tanggapan awam; satu perubahan akan tercipta. Memanglah keputusan yang dibuat oleh perwakilan yang mewakili kawasan-kawasan Pas seluruh negara, memperlihatkan satu anjakan dalam mewarnai agenda parti. Sebagaimana pandangan awal berasaskan corak pemilihan peringkat kawasan dan pencalonan Jawatankuasa Kerja Pusat oleh kawasan, menggambarkan dengan jelas kecenderungan memihak kelompok pro-ulamak mengatasi pro-profesional. 

Signal penolakan calon-calon profesional dan mesra Pakatan Rakyat, sudahpun dirasai dengan penolakan atau kekalahan calon-calon profesional atau progresif kepada calon-calon berlatarbelakang agama dan pro-ulamak, dalam mesyuarat agung kawasan.  Kegagalan beberapa tokoh profesional mempertahankan jawatan ketua Pas kawasan di tangan calon aliran agama; mantan Menteri Besar Perak, Mohd Nizar Jamaluddin (Kampar), mantan Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Rani Othman (Kapar), Pesuruhjaya Pas Melaka, Adly Zahari (Alor Gajah), membayangkan satu perubahan besar dijangka berlaku dalam pemilihan semua jawatan dalam muktamar tahun ini.

Kecuali pemilihan untuk Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak, pemilihan Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan Jawatankuasa Kerja Pusat, memperlihatkan pola pemilihan perwakilan adalah terancang, tersusun dan terstrategik. Ini dapat disaksikan kepada keselarasan pengutan undi antara calon yang bertanding, tanpa berselindung membentuk dua pasukan utama.  

Bagi pemilihan Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda, tumpuan kepada pemilihan tiga jawatan utama dan jawatankuasa kerja yang menyaksikan dengan jelas saingan antara kelompok: konservatif atau pro-ulamak dan progresif. Diperhati kepada pungutan undi yang diperolehi oleh pasukan yang menang adalah keseluruhannya seragam, memperlihatkan perwakilan mengundi secara blok. Nik Muhammad Abduh yang memenangi kerusi ketua pemuda perolehi 429 undi, Muhammad Khalil Abdul Hadi (timbalan ketua) mendapat 435 undi dan Khairul Nizam Khiruddin (naib ketua) dapat 458 undi, adalah mewakili 60 peratus perwakilan. Lebih separuh pemenang jawatan ahli jawatankuasa, mendapat undian dari 60 peratus perwakilan. 

Kesimpulannya, 15 kerusi dari ketua hingga ahli jawatankuasa kerja, dibolot oleh mereka yang disenaraikan dalam satu kelompok, untuk memudahkan perwakilan memilih calon-calon yang telah diagendakan untuk menguasai pemilihan.  Di samping, Muhammad Khalil dan Khairil Nizam, 6 orang dari ahli jawatankuasa lama dipilih semula; Ahmad Fadli Shaari, Afnam Hamimi Taib Azamudden, Syahir Che Sulaiman, Mohd Zawawi Hassan, Syed Abdul Kadir Al Joofree dan Nurul Islam Mohd Yusoff. Sementara penyandang jawatan ketua, Suhaizan Kaiat bersama beberapa ahli jawatankuasa lama, yang disenaraikan dalam kelompok saingan, gagal pertahan jawatan serta rata-rata memperolehi undian 35 hingga 40 peratus undian perwakilan.

Perolehan undi calon yang menang sama ada jawatan tertinggi atau ahli jawatankuasa hampir sama, dengan purata 410 undi. Berbanding calon yang kalah dengan undi paling tinggi 326, menggambarkan perwakilan yang sama mengundi calon berkenaan. Menepatilah, perwakilan memilih ahli jawatankuasa kerja Dewan Pemuda Pusat berasaskan puak atau pasukan.

Dalam pemilihan Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat, sungguhpun menampakkan perwakilan mengundi berasaskan puak, tetapi lebih sengit bila disaksikan kepada peratusan undi yang dibolot oleh kedua-dua pihak dengan margin yang kecil. Kumpulan yang menang perolehi antara 52 hingga 55 peratus, untuk menyingkirkan tiga jawatan tertinggi dan bahagian besar ahli jawatankuasa kerja. Nuridah Salleh memperolehi 359 undi atau 52% untuk mengatasi penyandang ketua, Siti Zailah Mohd Yusoff (329 undi). Hampir menyamai undi Salamiah Mohd Nor, iaitu 358 untuk mengalahkan penyandang naib ketua Muntaz Md Nawi (330 undi). Cuma undi perolehan calon timbalan ketua, Dr Rosni Adam lebih besar, dalam cabarannya menghadapti Dr Siti Mariah Mahmud; 414 lawan 247. Cuma 4 orang sahaja ahli jawatankuasa kerja sesi lepas berjaya pertahan kedudukan; Siti Aishah Ghazali, Dr Halimah Ali, Wan Hasrina Wan Hassan dan Kartini Ahmad. 

Mentafsir perolehan undi calon yang menang bagi kerusi ketua dan naib ketua Dewan Muslimat iaitu 359 dan 358, untuk menggambarkan undi orang yang sama atau penyokong satu pasukan, berbanding calon timbalan ketua dengan 414, juga disokong oleh pasukan yang kedua. Lebih separuh iaitu 8 dari 12 pemenang jawatankuasa kerja perolehi undi lebih tinggi, yang memperlihatkan mendapat sokongan padu dari satu pasukan di samping undi tambahan dari pasukan kedua.      .

Sekiranya kita ikuti pola pengundian dan tingkahlaku membuat keputusan yang dipersembahkan perwakilan muktamar pemuda dan muslimat, adalah tidak memeranjatkan atau mengejutkan keputusan pemilihan jawatankuasa pusat. Pasukan yang dibentuk untuk mengatur perwakilan membuat keputusan dalam kedua-dua muktamar sayap parti, meneruskan agenda dalam pemilihan jawatankuasa kerja pusat. 

 bersambung









Tiada ulasan:

Catat Ulasan