Rabu, 13 November 2013

Tiada menang dalam kalah

PRK SUNGAI LIMAU: TIADA MENANG DALAM KALAH

Keputusan pilihan raya kecil (PRK) N20 Sungai Limau, pada 04/11/2013 lepas memberi ruang bentuk cabaran dan ancaman. Kemerosotan undi dan majoriti undi oleh calon Pas membuka ruang awam membuat beberapa penilaian.

Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir, Menteri Besar Perak, DS Zambry Abdul Kadir, Ketua Wanita UMNO, Datuk Shahrizat Abdul Jalil, adalah antara tokoh yang paling awal memberikan ulasan hasil PRK berkenaan memberi harapan baru dan masa depan UMNO-BN di kerusi berkenaan. 

Namun begitu, prestasi dan pengalaman serta pemerhatian dari beberapa PRK semenjak merdeka memberikan berbagai hasil. Ada keputusan PRK tidak mempengaruhi pencapaian sesebuah parti atau seseorang calon dalam pilihan raya umum (PRU) berikutnya. Di samping itu, memang ada prestasi dalam PRK mencerminkan kemungkinan positif dan pesimis dalam PRU. Ada juga, prestasi PRK tidak memberi sebarang kesan kepada PRU berikutnya.

Antara pilihan raya kecil yang amat menarik untuk tatapan sejarah ialah PRK kerusi Bachok Utara (sekarang Tawang) dalam bulan April 1968. Masa itu, berlaku krisis keyakinan dalam kerajaan Pas Kelantan beriringan usaha mengulingkan kerajaan negeri yang dirancang oleh Perikatan. Dalam situasi berkenaan, ADUN Shafie Ahmad meninggal dunia. 

Calon Pas, Haji Mohd Noor Ismail menang dengan majoriti kecil, 473 undi, berbanding majoriti 1,724 undi dalam PRU2 (PRU 1964). Beliau perolehi 4,470 undi, kurang 65 undi, berbanding undi dalam PRU2: 4,535 undi. Sementara calon Perikatan (UMNO), Ismail Haji Mamat, memungut 3,997 undi, tambahan 1,186 undi berbanding perolehan undi Perikatan, 2,811 undi dalam PRU2.

Dalam PRU3 (PRU 1969), setahun kemudian, Pas menukar calon, meletakkan Ustaz Mohd Noor Yusoff, berjaya tingkat undi kepada 4,660 undi, untuk mengalahkan calon Perikatan yang bertanding semula, Ismail Haji Mamat yang perolehi 3,959 undi, iaitu kurang 38 undi dari undi beliau dalam PRK. Calon Pas menang dengan peningkatan majoriti, 701 undi. Undi Pas telah meningkat dari 52.79 peratus dalam PRK, kepada 54.07 peratus dalam PRU3.

Kerusi Bachok Utara adalah antara kawasan panas dalam PRU3. Ketegangan kempen di sini melibatkan kecederaan pada hari mengundi. 

PRK Manek Urai yang diadakan pada 25/05/2009, mempunyai rekod pencapaian sama dengan kes Bachok Utara. PRK Manek Urai diadakan berikutan kematiannya ADUN, Ismail Yaacob. Dalam PRK berkenaan, calon Pas, Mohd Fauzi Abdullah, cuma menang dengan majoriti 65 undi sahaja. Beliau memperolehi 5,348 undi atau 50.31 peratus dari jumlah undi sah, untuk mengatasi calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat, yang dapat 5,238 undi atau 49.69 peratus. 

Perbandingan dengan PRU12 (PRU 2008), calon Pas memungut 5,746 undi atau 56.84 peratus undi, iaitu kekurangan sebanyak 398 undi. Sementara BN berjaya meningkatkan undinya sebanyak 876 undi daripada 4,362 undi iaitu peningkatan sebanyak 20.0 peratus, satu angka yang mencabar.

Kemenangan dengan majoriti kecil dan berkurangan dalam PRK 2009, berjaya ditebus balik dalam PRU13, 4 tahun kemudiannya oleh calon yang sama. Mohd Fauzi Abdullah menang dengan majoriti bergaya 1,633 undi, bila beliau berjaya perolehi 7,802 undi atau 55.84 peratus. Pungutan undi beliau bertambah sebanyak 2,454 undi atau peningkatan undi sebanyak 44.15 peratus dari pencapaian beliau dalam PRK 2009. Calon UMNO-BN, cuma berjaya menambah undi sebanyak 931 undi sahaja kepada 6,169 undi, peningkatan cuma 17.77 peratus sahaja.

PRK Pengkalan Pasir pada 08/12/2006, kerana kematian ADUN, Wan Abdul Aziz Wan Jaafar, menyaksikan kegagalan Pas mempertahankan kerusi. Calon Pas, Hanifa Ahmad tewas dengan majoriti 134 undi kepada calon BN, Hanafi Mamat. Calon BN dapat 7,422 undi atau 49.07 peratus, calon Pas 7,288 undi atau 48.18 peratus, baki 2.74 peratus atau 415 undi dipungut oleh calon Bebas, Datuk Ibrahim Ali.

Dalam PRU11 (PRU 2004), Pas menang tipis dengan majoriti  56 undi. Undi Pas dalam PRK 2006 yang meningkat sebanyak 120 undi, tidak dapat menyaingi kenaikan undi BN sebanyak 310 undi. Sebaliknya, dalam PRU12, 2 tahun kemudian, calon Pas yang sama berjaya meningkatkan undi sebanyak 2,348 undi kepada 10,377 undi,peningkatan undi sebanyak 32.21 peratus, berbanding undi calon BN yang juga calon yang sama dalam PRK 2006, 8,029 undi, peningkatan 8.17 peratus sahaja.

Berdasarkan kepada 3 kes tersebut, dapatlah disimpulkan kemerosotan undi calon mewakili parti yang mempertahankan kerusi, tidak menjamin advantage kepada parti lawan. Kemerosotan undi serta penurunan majoriti dipungut oleh Ustaz Mohd Azam dalam PRK Sungai Limau, berbanding pencapaian arwah TS Azizan Abdul Razak dalam 5 PRU lepas, tidaklah mengesahkan satu ancaman kepada Pas dalam PRU14. Kata-kata Ketua Wanita UMNO Pusat bahawa Pas "menang dalam kalah" sekadar gambaran emosi pihak yang susah untuk terima kekalahan. Yang menang tetap menang, yang kalah tetap kalah, itulah hakikatnya.

Menanglah dalam mana-mana PRK, pencapaian undi calon pembangkang adalah menurun, sebaliknya undi calon BN akan meningkat berbanding PRU sebelumnya. Berbeza dengan PRU, bantuan dari jentera kerajaan, media arus perdana serta penglibatan secara langsung agensi berkenaan lebih berfokus dan bertumpu di kawasan berkenaan. Malah agensi kerajaan yang tiada kaitan dengan keperluan dengan perkhidmatan di kawasan berkenaan pun terlibat. Apa van milik Majlis Daerah Alor Gajah mundar-mandir dalam PRK Sungai Pinang (1991).  Van JKR sibuk masuk kampung pada waktu malam dalam PRK Manek Urai (2009). Ada van RISDA berkeliaran dalam satu PRK yang tiada satu batang getah pun. Kerja-kerja mengetar jalan, perkara routine dalam mana-mana PRK.

Kes PRK Arau (1998) dan PRK Telok Pasu (1989), adalah satu kelainan walaupun Pas berjaya merampas kerusi berkenaan. PRK Telok Pasu, pada 24/06/1989, diadakan kerana kematian ADUN. Cikgu Ismail Yusoff menang dengan majoriti 776 undi dalam PRU 1986. PRK berkenaan diadakan semasa krisis UMNO memuncak selepas pengharaman UMNO, 1988. Calon Pas, Ustaz Harun Taib menang dengan majoriti 141 undi untuk mengatasi Kadhi Besar Terengganu, Dato' Abdul Rahman Mohamad, yang mewakili BN. Undi Pas telah meningkat sebanyak 860 undi, dari pungutan undi dalam PRU 1986, sementara undi BN, merosot sedikit, 57 undi sahaja. Kemuncak prestasi Pas adalah menterjemahkan persepakatan baru Pas bersama bekas ahli UMNO, menerusi Semangat 46. Di samping itu, PRK Telok Pasu, menyaksikan pertarungan tokoh, kedua-dua parti diwakili tokoh agama yang tidak asing di Terengganu.

Dalam PRU 1990, BN rampas balik kerusi Telok Pasu. BN yang mempertaruhkan semula, Dato' Abdul Rahman menang dengan majoriti 631 undi. Undi BN dalam PRU 1990 meningkat sebanyak 1,112 undi berbanding PRK 1989. Sementara Pas, kemukakan calon baru, Ustraz Mahmood Sulaiman, yang mempertingkatkan undi sebanyak 340 undi sahaja. Ustaz Harun bertanding di kerusi Manir, yang pernah dimenanginya dalam PRU 1982.

Telok Pasu bukan kawasan Pas, kawasan silih berganti. Kawasan ini dulunya adalah kawasan kerusi Jeram, di mana Pas  menang dalam PRU 1959, PRU 1969 dan PRU 1982. sahaja.  PRU 1964 dan  PRU 1978 dimenangi calon UMNO. Dalam PRU 1974, semasa Pas dalam BN, kerusi ini diperuntukkan kepada Pas.

PRK Arau pada  04/07/1998 yang menyaksikan calon Pas berjaya merampas kerusi tradisi UMNO, lantaran kematian Ahli Parlimen dari UMNO, arwah Kamaruddin Ahmad. Ustaz Hashim Jasin menang dengan majoriti 1,323 undi, di mana undian beliau sebanyak 12,864 undi, meningkat sebanyak 3,577 undi berbanding undi calon Semangat 46 dalam PRU 1995. Undi BN, telah merosot dari 16,258 undi dalam PRU 1995 kepada 11,541 undi. 

Dalam PRU 1999, di kala gelombang reformasi melanda kawasan-kawasan undi majoriti Melayu dan luar bandar, ianya tidak merebak ke kawasan ini. Calon BN, Mustika Junaidah Hussien menang dengan majoriti 1,586 undi, bila beliau perolehi 15,297 undi, merosot berbanding undi PRU 1995. Sungguhpun Pas gagal pertahan kerusi ini, menerusi Dr Abd Aziz Hanafi, telah berjaya meningkatkan undi kepada 13,711 undi. Ustaz Hashim bertanding di kerusi negeri dan menang. 

Kes Telok Pasu dan Arau tidaklah boleh dijadikan sebagai lonjakkan semangat untuk UMNO, bahawa kawasan yang dirampas oleh parti lawan berpotensi untuk ditebus semula dalam PRU berikutnya. UMNO hanya tewas sekali sahaja di Arau, sedangkan dalam sejarah pilihan raya umum sejak merdeka, kawasan berkenaan adalah milik UMNO menerusi Perikatan atau BN.

Mengambil kira kes Bachok Utara, Manek Urai dan Pengkalan Pasir, amatlah dangkal untuk membina sebuah hipotesis dengan kemerosotan undi dan majoriti diperolehi oleh Ustaz Azam, terbina laluan mudah UMNO-BN, untuk menawan kerusi ini dalam PRU14. Kes Telok Pasu dan kes Arau lebih menonjolkan isu peribadi calon serta isu semasa nasional, yang lebih bersifat sementara. Kehebatan ketokohan kedua-dua calon di Sungai Limau tidak boleh dinafikan, kemenangan yang memihak kepada calon Pas adalah mengesahkan menang tetap menang, tiada menang dalam kalah.






 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan