Rabu, 20 November 2013

Isu hudud

UMNO PATUT KEKAL MENYOKONG HUDUD

Isu hudud yang senyap selepas pilihan raya umum (PRU13) tempoh hari, menjadi panas semula setelah kerajaan kesultanan Brunei mengambil keputusan menerima pakai kaedah hudud dalam amalan perundangan negara itu. Antara Pas yang mempelopori isu hudud menerusi kelulusan Dewan Undangan Negeri Kelantan, enakmen berkaitan pelaksanaan hudud dalam perundangan syariah, 1993, menerima kecaman, ancaman dan gertakan menerusi mainan politik Barisan Nasional sejak 20 tahun lalu..

Tempoh 20 tahun, isu hudud dipolitikkan, keputusan diambil oleh kerajaan Brunei membuka medan baru. Episod baru ini memberi cabaran kepada kedua-dua pihak; Pas yang menguasai kerajaan negeri yang bertanggungjawab menggubal undang-undang berkenaan dan BN yang menguasai kerajaan Persekutuan, yang bertanggungjawab dari sudut perundangan hubungan kerajaan negeri yang bernaung di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Pas menerusi kerajaan negeri Kelantan, tercabar kerana penangguhan 20 tahun, dalam perbandingan dengan kerajaan negara Brunei yang berjaya meluluskan tanpa banyak cabaran dan halangan. Walaupun kerajaan Kelantan tertakluk kepada amalan demokrasi berpelembagaan dalam sistem federalisme, sementara Brunei mengamalkan pemerintahan obsolute monarchy (monarki mutlak), asasnya perundangan hudud adalah satu kewajipan dalam hubungan antara manusia dengan penciptaNya. Menjadi tanggungjawab manusia melaksanakan peraturan yang ditentukan oleh pemilik mutlak alam ini.

Kelulusan untuk melaksanakan perundangan hudud oleh negara Brunei, tidak kurang penting adalah satu cabaran buat UMNO yang mengetuai kerajaan Malaysia. Sebagai parti Islam nombor tiga di dunia (meminjam kata-kata mantan Setiausaha Agong UMNO (Baru)), setelah Pas mendahulu kemukakan perundangan hudud, kemudian diikuti negara jiran, Brunei, 20 tahun kemudiannya, agak telewat UMNO untuk merangka perundangan syariat sedemikian.

Kelemahan Enakmen Jenayah Syariah II 1993 tidak menampakkan kelemahan hukum hudud kerana belum dilaksanakan. Ianya sekadar satu dokumen perundangan yang tertangguh. Bagaimana dikatakan satu peraturan yang lemah tanpa diuji di medan sebenar. Berlainan dengan perundangan hudud yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri di Utara Nigeria, dalam sebuah kerajaan federalisme. Juga perundangan sama diamalkan di Jamhuriyyah Libya dan Sudah. Di negara-negara berkenaan, diterjemahkan dalam perlaksanaan undang-undang jenayah. Beberapa kelemahan dikenalpasti dari sudut prosedur dan pendakwaan. 

20 tahun lalu UMNO terlibat dalam meluluskan Rang Undang-undang  Jenayah Syariah II yang dibentangkan oleh kerajaan Pas di Dewan Undangan Negeri Kelantan. Semua ADUN: 24 Pas, 12 Semangat 46, seorang Berjasa dan 2 UMNO-BN, menyokong. Dua ADUN UMNO-BN: Wan Mohd Najib Wan Mohamad (Limbongan) dan Nordin Salleh (Sungai Pinang) adalah ADUN BN yang menang dalam PRU 1990 atas tiket Semangat 46. 

Sepatutnya, UMNO yang mengetuai BN tidak layak untuk mempersoalkan undang-undang hudud. Tambahan pula, tiada tindakan disiplin parti diambil oleh UMNO terhadap ahlinya yang menyokong undang-undang hudud dan menyokong usul yang dibawa oleh kerajaan Pas Kelantan, di mana UMNO adalah pembangkang. 

Dalam tempoh 20 tahun setelah UMNO bersengkokol meluluskan undang-undang hudud, ada 2 sikap yang diambil oleh UMNO menerusi pemimpin dan penyokongnya. Pertama; mempersoalkan kegagalan dan mencabar kerajaan Kelantan melaksanakan undang-undang itu. Kedua; tindakan akan diambil ke atas kerajaan Kelantan atas semangat federalisme di mana Perlembagaan Persekutuan mengatasi Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri.

Tindakan kerajaan Pas Kelantan tidak melaksanakan dan ambil pendirian menangguh dalam tempoh 20 tahun itu, adalah satu langkap bijak berasaskan kepada pengalaman terdahulu. Dalam tahun 1991, kerajaan Angkatan Perpaduan Ummah Kelantan (Pas-Semangat 46-Berjasa-Hamim) meluluskan rang undang-undang melompat parti, bertujuan untuk menghalang ADUN khianati mandat rakyat. Mana-mana ADUN yang melompat parti, akan hilang kedudukan sebagai ADUN. Dengan lain perkataan, satu pilihan raya baru hendaklah diadakan bagi kerusi ADUN berkenaan untuk mendapat mandat baru dari pengundi. Undang-undang ini diamalkan di Sabah, yang dirintis oleh kerajaan Berjaya (1976-1985). 

Setelah undang-undang ini diluluskan, 2 ADUN yang menang atas tiket Semangat 46, melompat untuk jadi pembangkang dengan menyertai UMNO, kerana Dewan Undangan Negeri Kelantan tiada pembangkang bila Angkatan Perpaduan Ummah menang semua 39 kerusi DUN dalam PRU 1990. Dua ADUN tersebut, Wan Mohd Najib dan Nordin Salleh diistiharkan hilang kelayakan. Oleh itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya kecil bagi kerusi Limbongan dan Sungai Pinang pada 24.08.1991. Dalam PRK tersebut, Wan Mohd Najib yang bertanding atas tiket BN ditewaskan oleh Haji Samat Mamat (calon Semangat 46) dengan majoriti besar 1,560 undi di Limbongan. Di Sungai Pinang, Nordin Salleh ditumpaskan dengan bergaya majoriti 1,994 undi oleh Cikgu Mahmud Yaakub dari Semangat 46. 

Beberapa hari sebelum hari pembuangan undi, Mahkamah Tinggi Kota Bharu buat keputusan pemecatan kedua-dua ADUN tidak sah kerana bertentangan dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan. Walaupun kedua-dua calon itu kalah dalam PRK, mereka kekal sebagai ADUN.

Pengalaman dari keputusan mahkamah tersebut, memaksa kerajaan Pas Kelantan menunggu tindakan perundangan kerajaan Persekutuan. Ertinya, peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda untuk membolehkan rang undang-undang yang diluluskan oleh DUN dapat dilaksanakan. Pindaan ini memerlukan kelulusan satu usul di Dewan Rakyat yang dikuasai oleh BN sebagai pihak majoriti. 

Justeru itu, adalah satu perkara aneh dan penuh dengan kepentingan politik, mengapa UMNO yang menyokong awalnya dan berhelah kemudiannya. Amatlah wajar, UMNO yang menyokong pada asalnya terus mengekalkan sokongan, supaya undang-undang hudud dapat direalisasikan di Malaysia mengiringi negara Brunei Darusalam. Komitmen dan kesungguhan mempertahankan kalimah Allah harus diterjemahkan serentak dengan usaha mempertahankan hukum ciptaan Ilahi.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan