Sabtu, 30 November 2013

Lompat parti

KES LOMPAT PARTI: TAYANG SEMULA EPISOD LAMA

Cerita lompat parti dalam politik Malaysia bukanlah satu hal yang menarik, ianya satu episod biasa sejak sekian lama. Cerita terbaru, 3 Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah dari Pakatan Rakyat bertindak keluar parti, kurang 6 bulan selepas bergelar Yang Berhormat. Latar belakang politik Sabah, lompat parti dan tukar parti adalah suatu elemen biasa sejak 40 tahun lalu. 

ADUN Kadamaian, Jeremy Ukoh Malajad (PKR) merintis upacara lompat parti, ADUN pertama keluar parti. Dikuti ADUN Luyang, Hiew King Cheau (DAP), keluar parti. Paling akhir, seorang lagi ADUN PKR, Jelin Dasanap @ Jelani Hamzah (Matunggong). Ketiga-tiga mereka, menumpaskan penyandang dari BN. Mereka adalah antara 11 calon Pakatan Rakyat yang berjaya dalam PRU13, kejayaan paling cemerlang oleh PKR dan DAP. Hasil PRU12, dalam DUN Sabah hanya dianggotai oleh ADUN tunggal DAP, sebagai pembangkang.

Parti-parti utama yang pernah menerajui kerajaan negeri Sabah: United Sabah National Organisation (USNO) dan Bersatu Rakyat Jelata Sabah (Berjaya), lumpuh, akhirnya berkubur. Parti Bersatu Sabah (PBS) masih berada dalam pentas politik, tetapi dengan dominasi yang terhad dan semakin kurang cengkaman. Sarawak National Party (SNAP), yang pernah mengetuai kerajaan campuran Sarawak, semakin terpinggir dan semakis sokongan. Semuanya impaks dari gejala lompat parti, gara-gara ledakan dan cabaran situasi semasa.

Situasi semasa dalam tahun 1975, khususnya hubungan yang kurang enteng Kuala Lumpur-Kota Kinabalu, mendorong terbentuknya Berjaya. Krisis keyakinan dalam USNO, mendorong sebahagian kepimpinan USNO bergabung dengan kepimpinan UPKO yang dibubarkan, menubuhkan Berjaya.

Datuk Harris Mohd Salleh, Setiauaha Agung USNO, anggota kabinet negeri, meninggalkan USNO, meletak jawatan sebagai ADUN.  Perletakan jawatan ini bertujuan untuk membuktikan kekuatan Berjaya, protes dan kebangkitan rakyat menentang kerajaan pimpinan USNO, di bawah kepimpinan Tun Datu Mustapha Datu Harun. Perletakan jawatan 2 ADUN membolehkan berlaku pilihan raya kecil di kerusi Labuan dan Kuala Kinabatangan pada 8 hingga 10/12/1975. 

Di Labuan, Harris Mohd Salleh yang bertanding sebagai calon sulong Berjaya kalah dengan majoriti besar, 1,088 undi di tangan calon USNO, Mohd Omar Beldram, yang perolehi 3,299 undi, berbanding 2,211 undi untuk Harris. Sementara, Dato' Pengiran Gelpam (USNO) mengalahkan Abdullah Hussien (Berjaya) di Kuala Kinabatangan, dengan majoriti 1,295 undi. 

Kejayaan USNO mempertahankan kerusinya yang dimenanginya tanpa bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) 1971 dengan majoriti besar, walaupun ditentang bekas tokoh USNO yang melompat parti, menyakinkan USNO membubarkan DUN dan PRN diadakan dalam bulan Mei 1976. PRN Sabah 1976, memberikan Berjaya menumbangkan USNO dan gabungannya Sabah Chinese Association (SCA): Berjaya 28 kerusi, USNO  20 kerusi dan SCA kalah semua kerusi ditandingi.

Tempoh selepas PRN 1976, menyaksikan banyak kes lompat parti terutama di kalangan anggota USNO dan SCA, termasuk beberapa ADUN USNO.  PRN Sabah 1981, memberikan pukulan lebih teruk kepada USNO. USNO hanya menang 3 kerusi sahaja, berbanding 44 kerusi dimenangi Berjaya yang bertanding atas tiket BN, sementara sebuah parti baru Cina, SCCP menang 1 kerusi.  

Masuk penggal kedua pentadbiran kerajaan Berjaya, sudah mula mengulang cerita lama, zaman pentadbiran USNO, krisis dalaman yang lebih berbentuk krisis kepimpinan. Pemecatan Joseph Pairin Kitingan dari jawatan menteri kerajaan negeri, merintis jalan pembentukan sebuah parti baru, Parti Bersatu Sabah (PBS), parti serpihan untuk mencabar Berjaya. Sebelum ancaman lebih membara, kerajaan BN membubarkan DUN, walaupun tempoh masih ada satu tahun lagi. 

PRN 1985, mengubah senario sebagaimana kejatuhan kerajaan USNO, 1976. Dalam PRN 1985: PBS dapat 25 kerusi, USNO 16 kerusi, BN 6 kerusi dan PASOK 1 kerusi. 

Penggal pertama kerajaan PBS, penuh dengan cabaran tempatan dan kerajaan Persekutuan. Perubahan kerajaan Sabah, membuka ruang "budaya lompat parti" yang popular di negeri itu. Kerajaan PBS membubar DUN, untuk mendapat mandat baru. PRN 1986 memberikan mandat yang lebih besar untuk PBS, bila PBS perolehi pertambahan kerusi. PBS dapat 34 kerusi, USNO 12 kerusi, sementara BN hanya menang satu kerusi sahaja. SCCP menang satu kerusi.

Implikasi dari kejayaan PBS menerima mandat yang besar dalam PRN 1986, dengan amalan "budaya lompat parti", menjadikan PBS sebuah parti mewakili seluruh rakyat Sabah yang berbilang kaum dan agama. Dalam PRN 1990, PBS berjaya mempertahankan kuasa dengan 34 kerusi, sementara USNO sebagai pembangkang perolehi 14 kerusi.

Kegagalan USNO kembali menguasai politik Sabah, berada di bangku pembangkang sejak 1976, membuka ruang baru untuk menyaingi kekuasaan PBS. UMNO dibawa masuk  yang berakhir dengan pembubaran USNO serta kemasukan keahlian secara em bloc. PRN 1994, menyaksikan persaingan secara langsung antara PBS dengan BN yang diketuai oleh UMNO. Hasil PRN 1994: PBS 25 kerusi, BN 23 kerusi. Kebuntuan membentuk kerajaan dileraikan apabila beberapa ADUN PBS melompat parti untuk membantu BN membentuk kerajaan.

Tindakan 3 ADUN Sabah keluar parti setelah beberapa bulan mengangkat sumpah, saling tidak tumpah dengan tindakan ADUN PBS melompat parti, dalam tempoh 3 hari selesai PRN 1994, termasuk mereka yang pernah menganggotai kabinet negeri. Bagaimana perasaan pengundi yang mengundi mereka dalam tempoh yang sangat dekat. Bagaimana kalau pengundi mengambil sikap mengundi "asal bukan BN", 3 hari selepas dipilih, wakil rakyat "asal bukan BN" istihar masuk BN. Betapa remuk rendamnya hati. Pengundi akan amat kecewa. Golongan inilah yang tidak keluar mengundi dalam pilihan raya berikutnya. Sudah perit. Tertipu. Sia-sia penat lelah kerja kuat memastikan kemenangan. 

Pengundi tahu, parti yang diwakili oleh calon tertentu, tidak akan berupaya menguasai kerajaan. Pengundi sengaja memilih calon berkenaan di atas keyakinan mampu menjadi pembahas terbaik di dewan legislatif. Mampu jadi wakil rakyat yang out spoken. Selepas menang, lompat ke bangku penyokong kerajaan dan menikus. Janganlah hancurkan harapan pengundi.  

Sebelum PRU13 lalu,  sejak PRU 1982, slogan popular DAP ialah "deny two third majority". Pengundi yang memilih tokoh-tokoh tertentu, kerana keperluan amat tinggi dan mendesak untuk berada di sesi perbahasan di dewan perundangan. Justeru itu, tuntutan merealisasikan peranan "check and balance", akan tercapai. Langkah lompat parti, amatlah terkutuk, kerana ianya menghancurkan ruang memenuhi desakan keadilan sosial menerusi gagasan demokrasi. Pengundi sebagai orang awam dan masyakarat sivil, menghantar wakil ke dewan legislatif bukan semata-mata untuk membentuk kerajaan tetapi juga mengawas, memantau dan menegur kerajaan. 

Dalam kes Sabah, contohnya Datu Amir Kahar Tun Datu Mustapha, menang atas tiket USNO di kerusi Banggi dalam PRN 1986 dan PRN 1990, kemudian melompat ke PBS, dan menang di kerusi sama dalam PRN 1994, kekecohan selepas PRN 1994, melompat ke UMNO. Beliau pertahan kawasan berkenaan atas tiket BN mewakili UMNO, dalam PRN 1999. 

Apakah 3 ADUN (2 dari PKR dan 1 dari DAP) yang keluar parti baru-baru ini mampu mengulangi pencapaian yang pernah dicapai oleh Datu Amir Kahar? Ataupun tokoh-tokoh lain yang bertukar parti dan berjaya mengekalkan kerusi asal di atas tiket parti baru. Antaranya: Datuk Lajim Haji Ukin (Klias), Yong Teck Lee (Likas), Wanches Angang (Kuala Penyu), Jawawi Haji Isa (Sipitang), Bernard Dompok (Moyog), Joseph Kurup (Sook), sekadar beberapa nama yang memain peranan menjatuhkan sebuah kerajaan menerusi acara lompat parti.

Keunikan politik Sabah amat kelainan dengan pengalaman di Semenanjung. Di kalangan ahli politik Cina, peminpin DAP yang melompat ke MCA lebih ketara keberkesanannya berbanding dengan parti-parti Cina yang lain. Richard Ho, yang memenangi kerusi Parlimen Lumut dalam PRU 1969 atas tiket DAP, berjaya pertahan kerusi berkenaan buat beberapa PRU seterusnya dan berjaya menduduki kerusi Naib Presiden MCA dan menduduki kabinet Persekutuan. Yap Pian Hon, yang menang kerusi negeri Serdang dalam PRU 1969, berjaya pertahankan kerusi berkenaan atas tiket MCA-BN dan kemudiannya kerusi parlimen beberapa penggal, pernah menduduki jawatan Naib Presiden MCA. Walter Loh menang kerusi parlimen Setapak dalam PRU 1969, berjaya memenagi kerusi berkenaan yang ditukar kepada Selayang dalam PRU 1974, setelah melompat ke MCA. Cuma Goh Hock Guam, Setiausaha Agung DAP yang memenangi kerusi parlimen Bangsar dalam PRU 1969, gagal di parlimen Petaling Jaya, dalam PRU 1974, bila sertai Gerakan.

Soalnya apakah edisi lompatan parti kali ini, memulakan episod tahun 1980an dan 1990an, menjadikan melompat parti sebagai satu kaedah politik kepentingan peribadi untuk menipu pengundi serta mengkhianati amanah pengundi. Ataupun mereka yang tidak amanah ini, akan luput dalam khazanah sebagaimana pengalamanan pelompat parti selepas tsunami politik 2008. Tindakan yang paling jantan ialah menyerahkan kembali kerusi berkenaan kepada parti yang menjadi pilihan pengundi dalam PRU13 lalu. Lebih mulia, mereka meletakkan jawatan dan melupakan gelaran Yang Berhormat, walaupun dari sudut perundangan mereka berhak dihormati sebagai diangkat oleh rakyat menerusi proses demokrasi yang sah.







Tiada ulasan:

Catat Ulasan