Isnin, 25 November 2013

Mencemari demokrasi

INSTITUSI KETUA PEMBANGKANG YANG TERPINGGIR DALAM SISTEM DEMOKRASI BERPARLIMEN ALA MALAYSIA

Kenyataan menerusi sidang media di Parlimen, pada 24/10/2013 oleh seorang ahli Parlimen, Nga Kor Ming (DAP-Taiping) mengenai status jawatan Ketua pembangkang, mencetuskan dimensi demokrasi ala Malayia yang ditinggalkan jauh oleh negara-negara yang yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen Westminster. 

Sistem ini yang popular di negara-negara Komanwel, negara bekas jajahan takluk Great Britain. Asasnya, sistem ini terbentuk dari dua dewan perundangan: satu dianggotai oleh ahli yang dipilih secara langsung oleh rakyat menerui perwakilan mengikut kawasan pilihan raya (constituency representations). Sementara dewan perundangan kedua adalah dilantik oleh kerajaan yang menguasai majoriti dewan perundangan pertama itu. Negara-negara berkenaan mengambil amalan sistem parlimen yang terdiri dari House of Commons) dan House of Lords. Australia, New Zealand, Canada, India dan Malaysia, antara sistem demokrasi popular hari ini, yang mengamalkan sistem dua dewan legislatif. Singapura, yang mengamalkan constituency representations tetapi mewujudkan satu dewan perundangan sahaja.

Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia tidak diberi sebarang peruntukan kewangan. Pejabat Ketua Pembangkang hanya mempunyai tiga orang pembantu. Ini menyukarkan kerja untuk menjalankan tugaan semakan perjalanan jentera kerajaan berbanding dengan Jabatan Perdana Menteri yang mempunyai lebih 90,000 pekerja dengan peruntukan bajet melebihi RM4.2 billion setahun. Ini jauh berbeza dengan status Ketua Pembangkang di negara-negara lain.

Jawatan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, mula diwujudkan apabila pergantungan Parlimen ditarik balik dan Parlimen Ketiga berfungsi, dalam bulan Jun 1970. Dato' Mohd Asri Haji Muda (Pas-Kota Bharu Hulu) adalah Ketua Pembangkang pertama, dibantu oleh S.P. Seenivasagam (PPP-Menglembu) sebagai Timbalan Ketua Pembangkang. Dato' Mohd Asri hanya sempat menjadi Ketua Pembangkang untuk tempoh 2 tahun sahaja, kerana Pas menyertai kerajaan campuran Pas-Perikatan peringkat Persekutuan dan negeri. Ini dikuti penubuhan Barisan Nasional, yang turut diikuti parti-parti pembangkang: Pas, Gerakan, PPP dan SUPP.

Era selepas Peristiwa 13 Mei, menyaksikan kemerosotan kekuatan pembangkang di Parlimen. Gerakan dan DAP berjaya buat kejutan dalam percubaan sulong sertai pilihan raya. Gerakan yang menang 8 kerusi parlimen, kekal dengan 2 kerusi sahaja bila 6 ahli parlimennya keluar parti bila Gerakan sertai BN; 4 orang tubuh Parti Keadilan Masyarakat (Pekemas) di bawah kepimpinan Dr Tan Chee Khoon dan 2 orang menubuhkan Kesatuan Insaf Tanah Air (KITA) diketuai oleh Mustapha Hussien. DAP, parti pembangkang menang kerusi terbesar dalam PRU 1969, dengan 13 kerusi parlimen, hilang 3 kerusi bila anggota parlimennya keluar parti. Kekosongan kerusi Ketua Pembangkang diambil aleh oleh Dr Tan Chee Khoon (Pekemas-Batu).

Dalam Parlimen ke 4, hasil PRU 1974, pembangkang cuma menang 19 kerusi: 9 DAP, 9 SNAP dan satu Pekemas. Dr Tan Chee Khoon, anggota tunggal Pekemas, diberi tanggungjawab meneruskan jawatan Ketua Pembangkang, mengambil kira Ahli Parlimen paling kanan. Pemimpin SNAP, James Wong sebagai Timbalan Ketua Pembangkang.

Dalam Parlimen ke 5, DAP yang memenagi kerusi terbanyak di kalangan parti pembangkang dalam PRU 1978, pemimpinnya Lim Kit Siang dilantik sebagai Ketua Pembangkang. Dr Tan Chee Khoon tidak bertanding dalam PRU 1978. Lim Kit Siang mengambil tanggungjawab selama 5 penggal , dari 1978 hingga 1999. 

Kejayaan Pas menghantar ahli parlimen paling ramai iaitu 27 orang hasil dari PRU 1999, pemimpinnya Ustaz Fadzil Mohd Nor dipilih sebagai Ketua Pembangkang untuk Parlimen ke 10. Kematian Ustaz Fadzil dalam tahun 2002, jawatan Ketua Pembangkang  ke 5, dipertanggungjawabkan kepada Haji Abdul Hadi Awang. 

Kemerosotan kerusi Pas dalam PRU 2004, Ketua Pembangkang bagi Parlimen ke 11, dikembalikan kepada Lim Kit Siang, mewakili parti pembangkang kerusi terbanyak dan Ahli Parlimen paling senior.

PRU 2008 yang menghasilkan PKR memperolehi kerusi terbanyak diberi tanggungjawab Ketua Pembangkang untuk Parlimen ke 12. Ketuanya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail memegang jawatan ini untuk 4 bulan, sebelum dierahkan kepada DS Anwar Ibrahim. 

Mengikut seksyen 3(1) Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 (Akta 237), seseorang Ahli Parlimen yang dilantik sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen Malaysia berhak mendapat elaun bulanan, di samping elaun bulanan yang diperuntukan untuk setiap Ahli Dewan Rakyat. Jumlah saraan semasa ialah RM10,355, (memetik kajian oleh Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) 2013). 

Saraan elaun bulanan seorang anggota Kabinet (Menteri Penuh) di Malayia hari ini ialah RM21,416.00 dan Yang Dipertua Dewan Rakyat (Dewan Perwakilan) menerima jumlah yang sama. 

Kajian oleh badan KPRU untuk perbandingan dengan elaun bulanan di negara-negara Komanwel yang mengamalkan demokrasi berpalimen, menunjukkan satu perbandingan yang amat ketara, status Ketua Pembangkang. Di negara-negara berkenaan, kedudukan Ketua Pembangkang Parlimen adalah sama taraf dengan Menteri Kabinet dan Yang Dipertua Dewan Perwakilan.

Secara perbandingan dalam nilaian ringgit Malaysia (RM), elaun Ketua Pembangkang di Great Britain ialah RM56,459.00, sementara elaun seorang menteri penuh dan Yang Dipertua House of Common (dewan perwakilan) ialah RM56,943.00. 

Di Australia, elaun Ketua Pembangkang Parlimen ialah RM62,860.00, Menteri: RM58,692.00, Speaker Dewan Perwakilan: RM59,516.00. Di Canada, elaun bagi semua penjawat berkenaan adalah sama: RM61,385.00. Begitu juga di New Zealand, elaun yang seragam bagi penjawat-penjawat berkenaan: RM54,494.00.

Asas amalan demokrasi berparlimen model Westminster meletakkan Ketua Negara di puncak hiraki susunan Parlimen, di bawahnya Speaker, kemudian Ketua Kerajaan, kemudiannya Ketua Pembangkang. Speaker, Ketua Kerajaan (Perdana Menteri) dan Ketua Pembangkang (Prime Minister in-waiting) adalah 3 komponen utama dalam struktur Parlimen. Justeru itu, amat wajar Ketua Pembangkang itu diletakkan di asasnya yang betul, statusnya setaraf dengan anggota kabinet. 

Langkah berkesan mengamalkan demokrasi berparlimen untuk mengurus tadbir sebuah negara bangsa, sukar memenuhi realiti andainya peranan pembangkang sebagai check and balance tidak harmoni. Sudah sampai masanya, dengan kedewaaan pembentukan negara kita yang sudah melangkaui 56 tahun, peranan semua pelaku politik perlulah diraikan.

Langkah yang diambil oleh kerajaan negeri Selangor dalam usaha mengiktiraf Ketua Pembangkang DUN dengan memberi elaun pemandu, elaun setiausaha kerja dan sebagainya, adalah tindakan positif mengembalikan pelengkap asas amalan demokrasi. Kerajaan negeri Pulau Pinang memperuntukkan tahunan RM40,000.00 untuk pembiayaan projek infrastruktur kepada semua ADUN Pembangkang, adalah satu tindakan memperkasa pengiktirafan asas amalan demokrasi, tanpa membezakan antara penyokong kerajaan dan pembangkang yang dipilih rakyat.

Demi memacu ke arah budaya politik baru untuk memenuhi tuntutan pengundi di alaf baru demi keadilan sosial dan persamaan hak, sudah sampai masanya peranan setiap aktor dalam proses demokrasi diberi haknya dan diiktiraf. Ketua Pembangkang sebagai PM in-waiting perlu diberi layanan dan meletakkan tarafnya sebagaimana amalan negara yang lebih maju dan lebih mendahului ketamadunan.

Peruntukan RM1 juta bagi setiap Ahli Parlimen untuk pembiayaan infrastruktur dan kebajikan rakyat diserahkan kepada semua Ahli Parlimen yang dipilih rakyat untuk mengurus duit rakyat. Berilah kepada Ahli Parlimen yang sebenar, bukan calon yang kalah dan ditolak rakyat dalam PRU. Peruntukan untuk Ahli Parlimen Kawasan Temerloh, berikan kepada Ahli Parlimen yang dipilih oleh majoriti pengundi Temerloh, bukan diurus oleh Ketua UMNO Bahagian Temerloh, yang ditolak oleh pengundi Temerloh. Jangan sampai orang ketawakan: inilah demokrasi berparlimen ala Malaysia.








Tiada ulasan:

Catat Ulasan