Khamis, 20 Jun 2013

Kuasa Ketiga

PRU13 MERINTIS KUASA KETIGA

Antara implikasi menarik hasil dari Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) ialah kemungkinan wujudnya satu episod baru dalam politik demokrasi amalan Malaysia; kuasa ketiga atau third force. Amalan demokrasi kepilihanrayaan menerusi model perwakilan berasaskan kawasan undi atau constituency repesentations, akhir-akhir ini merealisasikan kuasa ketiga. Kuasa ketiga lahir dari amalan atau sistem demokrasi pilihanraya yang mengamalkan berbilang parti, tetapi lebih didominasi oleh dua parti atau dua kelompok. 

Jika PRU12, lima tahun lalu, menyaksikan kerjasama politik di kalangan parti pembangkang berjaya merungkaikan cengkaman Barisan Nasional menguasai majoriti besar setiap kali PRU selama 30 tahun (1974-2004). PRU13 memperkukuhkan kecenderungan ke arah sistem dua parti, di mana undi popular serta pungutan kerusi BN semakin mengecut. 

Perolehan kerusi BN menghasilkan UMNO mengungguli dengan 88 kerusi dari jumlah 133 kerusi Parlimen BN, menjadikan UMNO parti yang paling berkuasa. Baki 45 kerusi dikongsi oleh 10 parti komponen: PBB (14), MCA (7) PRS (6), MIC (4), SPDP (4), PBS (4), UPKO (3), Gerakan (1), SUPP (1) dan PBRS (1). Komposisi kerusi Parlimen parti-parti BN selain UMNO, lebih kecil berbanding kerusi milikan parti-parti pakatan pembangkang: DAP (38), PKR (30) dan Pas (21).

Dalam Parlimen mengkelompokkan 88 kerusi UMNO/BN, 45 kerusi parti komponen BN lain, 89 kerusi DAP/PKR/Pas.  Dengan penguasaan UMNO dalam BN, tambahan pula UMNO berjaya menguatkan kedudukan hasil kejayaan menambah kerusinya dari 79 dalam PRU12, sebelum dan selepas PRU13, beberapa pihak menyebut "kerajaan UMNO" bukan "kerajaan BN". Penjenamaan demikian memberikan kegagalan pembentukan sebuah kerajaan yang merentasi rasisme dan regionalisme sungguhpun UMNO menguasai perwakilan dari Sabah. 

Selain PBB yang mempunyai 14 kerusi Parlimen, 9 buah parti lain dikepalai MCA memiliki bilangan kerusi yang kecil. Peranan MCA, Gerakan, MIC, PBS dan SUPP, semakin mengecil berbanding sebelum tahun 2008 atau PRU12. PBS dulunya pernah memiliki 14 kerusi Parlimen, begitu juga MCA, parti nombor dua dalam BN, semakin tercorot. Gerakan dan SUPP, antara pengasas BN, memiliki kesusutan pengaruh dan peranan.

Dengan pengaruh yang kecil berasaskan bilangan kerusi yang sedikit dan bertaburan, bilangan 31 kerusi milikan parti-parti berkenaan, berkemungkinan membentuk sebuah kelompok kuasa ketiga atau third force dalam Parlimen atau dalam arena politik tanah air. Kecenderungan kepada kemungkinan ini adalah amalan yang berlaku dalam politik di beberapa negara  dalam tempoh 10 tahun terakhir ini.

Dalam pilihan raya umum Great Britain, 06/05/2010, Parti Conservative yang memenangi kerusi terbanyak di Parlimen, gagal membentuk kerajaan setelah perolehi 306 kerusi dari jumlah 650 kerusi. Undi popular Conservative; 10,703,654 atau 36.1 peratus dari keseluruhan undi sah. Parti Buruh pimpinan Perdana Menteri Gordon Brown, gagal pertahan kuasa setelah memenangi sebanyak 258 kerusi, kehilangan 97 kerusi berbanding PRU 2005, di mana parti ini perolehi 355 kerusi.

Dalam PRU 2010, parti ketiga terbesar di Britain, Liberal Democrat memenangi 57 kerusi Parlimen. Ketiga-tiga parti parti utama tersebut bertanding di semua kerusi di England, Wales dan Scotland iaitu di 631 kawasan. Hanya parti-parti wilayah saja bertanding di 18 kerusi parlimen di Ireland Utara. Taburan kerusi mengikut negeri:

Parti
England
Wales
Scotland
Ireland U
Jumlah
Conservative
 297
8
1

 306
Buruh
 191
 26
 41

 258
Liberal Democrat
 43
 3
 11

 57
Green
 1



 1
Speaker
 1



 1
Plaid Cymru

 3


 3
SNP


 6

 6
DUP



8
 8
Sinn Fern



 5
 5
SDLP



 3
 3
Alliance



 1
 1
Calon Bebas



 1
 1
Jumlah Kerusi
 533
40
59
 18
 650

Kegagalan pembentukan kerajaan, mengundang peranan kuasa ketiga, Liberal Democrat membentuk kerajaan campuran Conservative-Liberal Democrat, menjadikan jumlah 363 kerusi. Pada 11/05/2013, David Cameron, Pengerusi Conservative Party mengetuai pembentukan kabinet dan mengetuai kerajaan, sementara Pengerusi Liberal Democrat, Nick Clegg, sebagai Timbalan Perdana Menteri. 

Liberal Democrat, sungguhpun parti ketiga terbesar, tetapi pungutan undi popularnya, 6,836,248 atau 23.0 peratus jumlah undi, sedangkan perolehan kerusinya cuma 57 atau 8.8 peratus kerusi Parlimen, berbanding undi Parti Buruh, 8,606,517 atau 29.6 peratus, dengan 258 kerusi iaitu 39.7 peratus kerusi Parlimen. Justeru itu, peranan dan pengaruh Liberal Democrat sebagai third force, memain peranan penting dalam sistem demokrasi Britain yang berasaskan constituency representations dalam amalan demokrasi kepilihanrayaan "the first past the post".

Dari taburan kerusi yang menggambarkan pengaruh parti, Liberal Democrat lebih menyerlah berbanding Conservative. Kerajaan campuran yang dibentuk menepati sebuah kerajaan perpaduan yang merentasi kewilayahan atau regionalisme. 

Pengalaman Australia dalam PRU 2010, menyaksikan sebuah kegagalan membentuk kerajaan, sistem yang mengamalkan demokrasi berparlimen model Britain, yang diamalkan di kebanyakkan negara Commonwealth, termasuk Malaysia. Model "the first past the post" menerusi perwakilan berkawasan ini, akhir-akhir ini memperlihatkan kepentingan kuasa ketiga.

Di Australia, Parti Buruh (Australian Labour Party) hadapi kegagalan mempertahankan kerajaan bila cuma memenangi 72 kerusi dari jumlah 150 kerusi Parlimen, baki 78 kerusi dimenangi parti-parti lain, parti pembangkang dalam Parlimen sebelum dibubarkan.  

Parti Liberal (yang silih berganti dengan Buruh menguasai kerajaan) dapat 44 kerusi, LNP atau Liberal National Party (pernah bantu Liberal bentuk kerajaan campuran) perolehi 21 kerusi, Nationals (National Party of Australia) 6 kerusi, CLP (Country Liberal Party) 1 kerusi, membentuk pakatan pembangkang (opposition coalition) menjumlahkan 72 kerusi.

Sementara 6 kerusi lagi dimiliki oleh Parti Green (1), Nationals of West Australia (1) dan calon Bebas (4), membentuk kelompok "crossbenchers". 

Parti Buruh dengan 72 kerusi memperolehi 6,216,445 undi, atau 50.26 peratus, sementara pakatan pembangkang dengan 72 kerusi juga dapat sejumlah 6,185, 918 undi atau 49.85 peratus undi popular. Dengan sokongan 4 ahli Parlimen dari "crossbenchers", membolehkan Parti Buruh membentuk kerajaan minoriti.

Dalam PRU 2007, Buruh dapat majoriti mudah setelah menang 83 kerusi. Liberal dapat 55 kerusi, LNP 10 kerusi dan 2 orang calon bebas memenangi kerusi Parlimen. Buruh dapat 6,545,814 undi atau 52.7 peratus, Liberal-LNP dapat 5,874,178 atau 47.7 peratus.

Minggu lepas dilaporkan, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, tokoh veteran UMNO, telah mengadakan pertemuan dengan beberapa Ahli Parlimen dari Sabah. Sungguhpun tiada kenyataan dan penjelasan pertemuan berkenaan, ada pandangan yang mengaitkan dengan perkembangan dalam BN pasca PRU13. Persoalan SPDP yang memiliki 4 kerusi Parlimen tetapi tiada diberikan jawatan anggota Kabinet Persekutuan, PRS dengan 6 kerusi Parlimen diberikan satu kerusi Kabinet, berbanding MIC dengan 4 kerusi Parlimen dianugerahkan 2 menteri penuh dan 2 timbalan menteri. Kemerosotan kerusi Parlimen menjadikan MCA, PBS, UPKO, SUPP, Gerakan, PBRS, LDP dan PPP,  parti kecil yang bernaung kepada UMNO yang memperkukuhkan kuasa dan mendominasikan BN.  Cuma PBB, PRS dan SPDP, anggota komponen dari Sarawak yang masih bertahan.

Senario pasca PRU13 menjadikan UMNO berada dalam satu kelompok, pakatan pembangkang sebagai satu kuasa dan parti-parti kecil dengan bilangan kerusi bertaburan, 8 buah parti berkongsi 21 kerusi berpotensi merintis kepada kuasa ketiga. 

Kuasa ketiga ini diperkukuhkan dengan amaran seorang Naib Presiden UMNO yang mencabar mereka yang tidak mengundi BN supaya meninggalkan negara ini, beberapa hari selepas selesai PRU13. Secara tidak langsung, amaran itu ditujukan kepada kelompok tertentu. Terbaru, seorang anggota kabinet Pesekutuan dari UMNO, melaungkan beliau tidak mahu menerima seorang PM berbangsa Cina. Andainya, terbentuk kuasa ketiga akan menjadi kuasa penentu, pihak mana yang akan disebelahinya, menjadikan kelompok yang membentuk kuasa ketiga akan menjadi satu elemen penting penentuan kuasa.

Mengambil pengalaman mutakhir di negara yang mengamalkan sistem yang sama dengan Malaysia; Great Britain dan Australia, hasil dua PRU terakhir mereka, mempunyai beberapa ciri persamaan yang membentuk kecenderungan dan pola pengundian dalam dua PRU kita yang terakhir. Kemungkinan kuasa ketiga sebagai satu kuasa tawar menawar bukanlah satu perkara yang mustahil.

Akhi-akhir ini, amalan demokrasi model British ini, menampakkan kekuatan ke arah sistem dua parti dan sistem dua parti ini membuka ruang kepada kuasa ketiga menjadi sebahagian penawaran kuasa. Apakah kemungkinan UMNO yang berkuasa dengan 88 kerusi yang mengetuai kerajaan hari ini berkemungkinan berakhir separuh jalan kerana karenah dimainkan parti-parti yang membentuk kuasa ketiga?





















































































Tiada ulasan:

Catat Ulasan