Ahad, 30 Jun 2013

Persempadanan Semula 1

PERSEMPADANAN SEMULA KAWASAN PILIHAN RAYA: PANDANGAN SEORANG PROFESOR NEGARA

Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Zainal Kling menyatakan: persempadanan semula kawasan pilihan raya bergantung kepada jumlah penduduk sesebuah tempat tanpa mengambil kira kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (Dun) perlu ditambah angka genap atau tidak. (Sinar Harian, Ahad 30/06/2013, halaman 4).

"SPR akan buat persempadanan semula berdasarkan kepadatan penduduk mengikut konstituensi persempadanan bukan melihat perlunya dipilih untuk genap atau tidak sesebuah kerusi itu."

Beliau mengulas pandangan Pengerusi DAP, Karpal Singh, keperluan persempadanan semula kawasan pilihan raya mengelakkan jumlah kerusi genap. Ini berikutan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut yang akan dilangsungkan sedikit masa lagi, seandainya BN tewas. Ketewasan BN akan menjadikan kedudukan di DUN Terengganu, 16:16 bagi BN dan pakatan pembangkang, yang akan memberikan beberapa implikasi dari segi perundangan, politik dan kestabilan kuasa.

Asas persempadanan semula kawasan pilihan raya menanglah bergantung kepada kepadatan penduduk di sesuatu  kawasan pilihan raya. Tapi, amalannya tidaklah menepati apa yang disuarakan oleh Profesor Negara tersebut, berdasarkan kepada 4 persempadanan semula (re-delineation exercise) yang dijalankan dalam tahun 1973, 1983, 1993 dan 2003. Pandangan kasarnya, faktor politik yang memihak kepada parti pemerintah menjadi asas utama pertimbangan garisan sempadan kawasan pilihan raya.

Tajuk "Persempadanan ikut keperluan penduduk", sebagai intisari pandangan Prof Zainal Kling, sebenarnya mengundang banyak tafsiran. Pandangan beliau harus dilihat dari berbagai sudut dan kepentingan.

Peruntukan Perlembagaan Persekutuan, perenggan (i) dalam Fasal (2) Perkara 113 yang menyebut; kajian semula hendaklah dibuat setelah tamat tempoh lapan tahun, dipergunakan untuk memberi merit parti berkuasa.

Persempadanan semula terakhir dilaksanakan dalam tahun 2003 dan digunapakai dalam Pilihan Raya Umum ke 11 (PRU 2004). Pemerhatian ke atas pembentukan kawasan baru tidak seimbang mengikut negeri. Justeru hasil PRU10 (PRU 1999) pengundi Melayu yang menguasai kawasan luar bandar beralih sokongan ke pakatan pembangkang, Barisan Alternatif, khususnya Pas dan Parti Keadilan Nasional (Keadilan). Buat pertama kalinya, pembangkang Melayu menguasai kerusi pembangkang di Parlimen. Kemenangan BN lebih bergantung kepada pengundi bukan Melayu, khususnya kawasan bandar. DAP yang menguasai kelompok pembangkang sejak 30 tahun, menghantar jumlah Ahli Parlimen paling kecil.

Pesempadanan semula 2003 lebih cenderung mewujudkan kawasan campuran, mengimbangi bilangan pengundi mengikut kaum dan menafikan pertambahan kerusi di kawasan majoriti Melayu: Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. 

Dalam PRU10, bilangan pengundi Parlimen Pokok Sena; 68,125, Parlimen Alor Star; 63,678, Parlimen Kuala Kedah; 61,114, Parlimen Baling; 64,234 dan Parlimen Padang Serai; 64,294. Pokok Sena, Kuala Kedah dan Baling dimenangi Pas, Alor Star dan Padang Serai dimenangi oleh MCA. Tiada pertambahan kerusi sama ada Parlimen atau DUN di negeri Kedah, cuma perubahan sempadan sahaja, di mana sebahagian daerah mengundi majoriti Cina di Alor Star dipindahkan ke Kuala Kedah dan Pokok Sena. Beberapa daerah mengundi majoriti Melayu di Pokok Sena dipindah ke Parlimen Kubang Pasu. Menjadikan jumlah pemilih dalam PRU11, pengundi Parlimen Alor Star turun ke 57,313, pengundi Kuala Kedah naik ke 78,791 dan Pokok Sena; 68,072 pemilih.

Beberapa daerah mengundi yang diluasai orang Melayu di Padang Serai dipindahkan ke Baling, menjadikan jumlah pengundi di Padang Serai dalam PRU11; turun ke 53,925 sementara pengundi di Baling, naik kepada angka 74,808. Secara perbandingan, kawasan parlimen Baling, Kuala Kedah dan Pokok Sena adalah kawasan luar bandar, amat jauh berbeza Padang Serai, semi-urban dan Alor Star, sebuah bandaraya, yang mempunyai pengundi lebih kecil berbanding kawasan luar bandar. Parlimen Baling satu kawasan yang sangat luas berbanding Alor Star. 

Dalam PRU13 tempoh hari, jumlah pemilih Parlimen Baling; 93,168, Kuala Kedah; 95,328 pemilih, sementara pengundi Parlimen Alor Star; 69,009 dan Padang Serai; 74,095 pemilih. 

Di Kelantan, negeri BN menjadi pembangkang, tiada pertambahan kawasan pilihan raya Parlimen dan tambah 2 kawasan baru untuk kerusi DUN. Kedua-dua kerusi adalah hasil persempadanan semula kawasan yang dimenangi UMNO; Bukit Bunga (dalam Parlimen Jeli) dan Nenggiri (dalam Parlimen Gua Musang).

Di Terengganu, tidak ditambah sebarang kerusi dan tidak dilakukan persempadanan kawasan pilihan raya secara besaran, cuma sedikit perubahan daerah mengundi. Kerusi Parlimen Kuala Terengganu memiliki 64,435 pemilih dalam PRU10, dan Parlimen Marang; 58,559 pemilih. Dalam PRU11, Kuala Terengganu mengandungi 72,259 pengundi dan Marang; 64,387 pegundi. Dalam PRU13, jumlah pemilih di Kuala Terengganu; 94,561 dan Marang; 90,926. Kuala Terengganu kawasan bandaraya dan Marang semi-urban, kawasan cenderung kepada Pas.

Kawasan Parlimen tradisi UMNO, Hulu Terengganu mempunyai 39,199 pengundi dalam PRU10. Dalam PRU11; 45,258 dam dalam PRU13; 63,667. Kalau ikut nisbah keluasan kawasan, kawasan bandar-desa dan kepadatan pendduduk yang diamalkan di negeri-negeri lain, kawasan Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Hulu Terengganu, boleh dipecahkan kepada 2 kawasan Parlimen baru. 

Angka pemilih sesuatu kawasan pilihan raya dari PRU10 diambil sebagai asas perbandingan kerana PRU10 adalah wajah sebelum persempadanan semula 2003, sementara angka PRU11, selepas persempadanan dan angka PRU13, angka terakhir digunakan oleh SPR.

Jauh berbeza dengan amalan di negeri lain. Di Perak, pengundi Parlimen Gerik dalam PRU10; 38,637, Parlimen Chenderoh; 36,121,  Selepas persempadanan, diwujudkan Parlimen Lenggong dan Chenderoh ditukar kepada Padang Rengas, dan pemilih diagihkan dalam PRU11; Gerik; 24,646 pemilih, Lenggong; 23,159 dan Padang Rengas; 24,963. Dalam PRU13: Gerik; 32,814, Lenggong; 28,018, Padang Rengas; 28,572. Semua kawasan ini adalah kubu kuat UMNO. 

Di Kelantan, kawasan paling pedalaman ialah Parlimen Jeli dan Gua Musang. Dalam PRU13, pengundi Jeli ialah 43,340 dan Gua Musang; 40,271 pemilih. Perbandingan Jeli-Gua Musang yang dipisahkan oleh Banjaran Titiwangsa dengan Gerik-Lenggong-Padang Rengas, amat mengkatarakan kepentingan untuk jaminan kepentingan parti berkuasa mengatasi amalan eksekutif.

Parlimen Kuala Kangsar, kawasan elit, kawasan Bandar Diraja memiliki seramai 32,831 pengundi dalam PRU10, dalam PRU13 cuma ada 33,607 pengundi sahaja, tidak menggambarkan menepati asas merit bandar-desa, berbanding kawasan Parlimen luar bandar di negeri-negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Di Pahang, dalam PRU10, Parlimen Paya Besar mengandungi 53,281 pengundi dan Parlimen Pekan 35,832 pengundi. Parlimen Paya Besar adalah sebahagian pinggir bandar dan selepas persempadanan 2003, jumlah pemilih dalam PRU11 di Paya Besar; 37,440 dan Pekan; 52,687. Kesan kemenangan tipis pemimpin kanan di kawasan Parlimen tradisi UMNO yang pernah diwakili Perdana Menteri Kedua dan Bandar Diraja Pahang, 241 undi dalam PRU11, mendorong persempadanan semula kawasan Parlimen Pekan dengan meluaskan kawasan dan memindahkan sebahagian kawasan Paya Besar, menghasilkan kemenangan penuh bergaya bagi seorang Timbalan Perdana Menteri. Pengundi di Pekan bertambah dengan kadar yang tinggi dalam PRU12; 58,217 dan PRU13; 80,389 orang, yang memberikan kemenangan besar buat TPM kemudiannya PM ke 6. 

Contoh di Selangor, dalam PRU10, pemilih di Parlimen Sabak Bernam; 34,635 dan Tanjong Karang; 42,109. Selepas persempadanan semula, dalam PRU11, dua kawasan ini dijadikan tiga kawasan Parlimen: Sabak Bernam (30,862 pengundi), Sungai Besar (31,001 pengundi) dan Tanjong Karang (35,816 pengundi). Dalam PRU13: Sabak Bernam; 37,390, Sungai Besar; 42,923 dan Tanjong Karang; 40,271 pemilih.

Di Johor, pengundi Parlimen Segamat dalam PRU10; 60,782 dan Labis; 48,674. Kedua-dua kawasan ini adalah kawasan campuran: bandar, kampung tradisional, penempatan Felda. Dalam PRU11, selepas persempadanan semula diwujudkan satu kawasan Parlimen baru; Sekijang, dengan pengundi: Segamat; 40,982, Sekijang; 32,594 dan Labis; 32,518. Dalam PRU13: Segamat; 47,115 pengundi, Sekijang; 43,129 pengundi dan Labis; 37,787 pengundi.

 Dengan sedikit kutipan contoh di atas, jumlah pemilih di kawasan-kawasan Parlimen yang dimenangi oleh calon BN atau kerusi selamat, di negeri-negeri Perak, Selangor dan Johor, jauh lebih rendah pengundinya berbanding kawasan-kawasan yang tidak selamat untuk BN di Kedah, Terengganu dan Kelantan. Justeru itu, asas yang ditonjolkan oleh Profesor Negara tersebut, persempadanan ikut kepadapatan penduduk terdedah kepada banyak yang boleh dipersoalkan.






 

 

 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan