Jumaat, 28 Jun 2013

Selamat Bersidang

HARAPAN KEPADA DEWAN RAKYAT PENGGAL 13

Persidangan  Dewan Rakyat Ke 13 bermula awal minggu ini selepas selesai acara angkat sumpah Ahli Dewan Rakyat dipilih dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) lepas. Menariknya, Dewan Rakyat kali ini dijangka lebih meriah dengan kehadiran anggota yang lebih semakin sempit perbezaan antara anggota penyokong kerajaan dan pembangkang. Tambahan lagi, anggota pembangkang yang lebih kemas dan mantap dalam kerjasama menghadapi BN berbanding dengan 3 PRU yang memberikan cabatan sengit kepada BN selepas pemulihan demokrasi 1970: PRU8 (1990), PRU10 (1999) dan PRU12 (2008). Bilangan anggota pembangkang yang semakin bertambah serta semakin terhakis suara majoriti dua pertiga.

Harapan khalayak warga pemilih kepada Parlimen ke 13 ialah: i. Peningkatan mutu perbahasan, ii. Lebih ramai anggota dewan yang ambil kesempatan penggunaan platform rasmi mewakili suara rakyat, iii. Lebih ramai pembuat dasar dan undang-undang yang membuat homework secukupnya sebelum berhujjah dan mengemukakan cadangan, iv. Tiada ahli yang berhormat yang hadir untuk memanaskan kerusi, v. Ahli yang mencelah dan menyampuk, berhujah secara ilmiah bukan "keras keng", vi. Memelihara dan menyuburkan prinsip demokrasi sebagai asas pengwujudan Parlimen institusi legislatif, vii. Tiada tingkahlaku immoral, sama ada lisan atau aksi, yang menjadikan institusi Parlimen kurang dihormati oleh rakyat.

Di samping itu, adalah diharapkan kemunculan tokoh dan kehebatan ahli Parlimen baru, yang dapat menyaingi atau sebagaimana kehebatan beberapa ahli Parlimen lampau. Mutu perbahasan, cetusan idea, ketangkasan membidas hujah, kerja-kerja penyelidikan dan pembacaan luas, menjadikan Parlimen kita melahirkan ahli lagislatif yang disanjungi dan dihormati.

Dalam tahun 1960an dan awal 1970an, Parlimen kita melahirkan ramai tokoh hebat. Antaranya, Zulkifli Mohamad (Pas-Bachok), Mohd Asri Haji Muda (Pas-Pasir Puteh), D.R.Seenivasagam (PPP-Ipoh), S.P.Seenivasagam (PPP-Menglembu),  Ahmad Arshad (Perikatan-Muar Utara), Dr Tan Chee Khoon (Socialist Front-Batu), Dr Mahathir Mohamad (Perikatan-Kota Star Selatan), Fan Yew Teng (DAP-Kampar), Abu Bakar Hamzah (Pas-Bachok), Lim Kean Siew (Socialist Front-Datuk Keramat), Stephent Yong (SUPP-Padawan).

Di era berkenaan, media massa amat terbuka dan menjadi penyebar maklumat untuk masyarakat tanpa pembatasan ideologi, kaum dan peringkat umur. Ucapan dan perbahasan ahli Parlimen sama ada penyokong kerajaan mahupun pembangkang diberi liputan seadilnya, menjadikan ahli politik dikenali masyarakat secara meluas. Akhbar  harian perdana masa itu, Utusan Melayu (jawi), Warta Negara (jawi), Berita Harian, Utusan Malaysia (bermula 1966), The Straits Times memain peranan sebagai media massa untuk masyarakat bukan media massa pro-UMNO. Amat jauh sekali penyebaran maklumat 15 tahun pertama pasca Merdeka. 

Laporan yang adil tanpa bias dalam Laporan Dewan Rakyat, dalam media cetak dan rancangan ke udara Laporan Dewan Rakyat menerusi Radio Malaysia adalah antara rancangan popular. Amat berbeza mutakhir ini, ucapan dan perbahasan Ahli Parlimen dari blok pembangkang diperkecil, dipotong siaran dan tidak diberi ruang sepatutnya. 

Handsard Parlimen boleh didapati dengan mudah di perpustakaan awam, dalam era berkenaan. Kandungan ucapan dan perbahasan yang dirakam dalam handsard menggambarkan kehebatan Ahli Parlimen berhujah yang disertai dengan fakta yang bernas hasil ketekunan homework. Zulkifli Mohamad, Fan Yew Teng, D.R.Seenivasagam, Mohd Asri Haji Muda, Lim Kit Siang, Dr Mahathir Mohamad, tergolong dalam kelompok demikian berdasarkan handsard Parlimen. Awal 1970an, saya sering mengunjungi Perpustakaan Awam Sultan Ismail, Johor Bahru., kesempatan ini digunakan untuk menatap handsard Parlimen. Amat berbeza, persembahan Ahli Parlimen, era seterusnya, bila membelik handsard tahun 1980an dan tahun-tahun berikutnya.

Dalam era penapisan maklumat dan penghakisan hak bersuara menerusi amalan media massa menafikan penyebarluasan maklumat bermula awal 1980an, ucapan dan perbahasan di Parlimen, diperolehi menerusi pita rakaman kaset dan disc. Keunggulan perbahasan Fadzil Mohd Nor (Pas-Pendang) yang berada di Parlimen ke 10, dalam tempoh yang singkat, mampu menzahirkan seorang pembahas di dewan lagislatif berkesan, di era pasca Dasar Ejonomi Baru. Saya kagum dengan penampilan beliau setelah mendengar perbahasan beliau hampir 3 jam, semasa menjadi Ketua Pembangkang Parlimen (1999-2001) menerusi rakaman vcd.

Perbahasan dan ucapan ahli yang berhormat di pentas rasmi ini yang banyak membuat rujukan dan sedutan sumber, amatlah disanjungi dan diharapkan. Janganlah medan itu dipergunakan untuk retorik politik sekadar memeriahkan ruang. Pernah dalam Parlimen ke 7, seorang ahli penyokong kerajaan melompat meja menerkam ahli di barisan pembangkang. Kerapkali ahli diarah menarik balik penggunaan istilah. Suasana dalam dewan perundangan di Taiwan dan Brazil seharusnya tidak berlaku di Parlimen kita demi memurnikan kemuliaan dewan.

Harapan yang tinggi untuk melahirkan ahli perundangan yang dihormati dan disanjungi serta mengembalikan nostalgia tahun 1960an. Jadikanlah dewan legislatif ini sebagai forum demi meningkatkan kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara. Tambahan pula, Parlimen ke 13 ini dianggotai penyokong kerajaan yang semakin kurang dan anggota pembangkang yang bertambah, paling ramai dalam sejarah  dewan perundangan negara kita.



 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan