Khamis, 11 Julai 2013

PRK Kuala Besut 1

PRK KUALA BESUT MENJANJIKAN SEBUAH KEMUNGKINAN BARU DALAM DEMOKRASI PILIHAN RAYA 

Besok, 12 Julai, penamaan calon untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) N01 Kuala Besut akan dilangsungkan. Kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Besut, yang menjadi printis kepada episod pasca PRU13, amat menarik bila dilihat kepada keunikan sejarah dan latar sosio-politiknya. 

Kerusi N01 ini mengandungi seramai 17,679 pemilih berdasarkan daftar pemilih yang digunakan dalam PRU13 dan akan ditambah dengan daftar pemilih suku pertama 2013. Mengandungi 8 daerah mengundi yang berlainan latar sosio-ekonomi, boleh dikategorikan kepada 4 ciri berbeza; Pulau Perhentian (734 pemilih), dulunya penempatan nelayan dan kini keseluruhan penduduknya terlibat dengan industri pelancongan. 

Daerah mengundi Seberang Barat (1,655 pengundi), Kampung Nail (1,769 pengundi) dan Seberang Barat Luar (3,065), kawasan nelayan dan kegiatan industri kecil berasaskan industri perikanan serta perniagaan. Sementara daerah mengundi Tok Saboh (3,207 pemilih), penduduknya menjalankan aktiviti industri kecil serta pertanian. Daerah mengundi Kampung Nangka (1,236), Kampung Baru (3,,,,591) dan Bukit Puteri (2,422 pengundi), perkampungan tradisional menjalankan aktiviti pertanian, di samping penempatan  baru: perumahan dan kem tentera.

Berlatar belakangkan PRU13, 4 kategori daerah mengundi tersebut dengan ciri-ciri sosio-ekonomi berbeza melahirkan ciri-ciri sosio-politik yang berbeza: 

1. Pulau Perhentian, BN perolehi peratusan undi yang tinggi, melebihi 75 peratus. 

2. Seberang Barat, Kampung Nail dan Seberang Barat Luar, BN menguasai antara 60 hingga 65 peratus jumlah undi.

3. Tok Saboh, kawasan pinggir bandar ini, memberkan 60 peratus undinya kepada BN.

4. Kampung Nangka, Kampung Baru dan Bukit Puteri, adalah kawasan persaingan seimbang antara BN dan Pas. Pas mengatasi BN dari segi pungutan undi di Kampung Nangka dan Bukit Puteri. Di Kampung Baru, undi BN cuma 52 peratus sahaja.

Kegiatan penduduk, sosio-ekonomi serta sosio-geografis penduduk berkait rapat dengan corak pengundian dan pola pengaruh dua parti utama: BN dan Pas. Ini adalah gambaran lingkaran pengundian dalam 3 PRU terakhir. 

Kerusi N01 Kuala Besut, mempunyai kekuatan seimbang antara BN (dulunya Perikatan) dengan Pas dalam 10 PRU awal. Dalam PRU1 (1959), kerusi ini dimenangi calon Pas, Haji Wan Said Mohd Noor dengan majoriti 245 undi. Beliau mendapat 1,300 undi, calon Parti Rakyat (Socialist Front) Haji Wan Ali Wan Jusoh perolehi 1,058 undi, sementara calon UMNO (Perikatan) cuma 942 undi. Pilihan raya pertama selepas merdeka ini melibatkan 4,835 pengundi, di mana 3,390 pemilih atau 70.1 peratus keluar mengundi. Masa itu Pas menguasai Terengganu dengan 13 kerusi dari jumlah 24 kerusi.

Dalam PRU2 (1964), kerusi ini dirampas oleh UMNO menerusi Zakaria Muda setelah memperolehi 1,982 undi, majoriti 324 undi mengalahkan calon Pas,  Ustaz Yusof Mat Sah yang mendapat 1,658 undi. Sementara Haji Wan Ali Wan Jusoh (SF) dapat 645 undi dan Idris Hassan (Parti Negara) 31 undi. 

Dalam PRU3 (1969), pengaruh Pas meningkat semula di Terengganu, memperolehi 11 kerusi DUN berbanding 13 miliki Perikatan (UMNO-MCA), membantu Pas menang di Kuala Besut menerusi, Mohamad Said dengan majoriti 257 undi. Beliau dapat 2,826 undi untuk mengalahkan Zakaria Muda (Perikatan) 2,569 undi.

Bila Pas berada dalam BN, kerusi ini diperuntukkan kepada Pas dalam PRU4 (1974). Dalam PRU tersebut, calon Pas yang mewakili BN, Ustaz Hussin Jusoh menang dengan majoriti besar, 2,378 undi. Beliau perolehi 3,907 undi untuk mengalahkan calon PSRM, Haji Wan Ali Wan Jusoh, yang dapat 1,529 undi. 

Selepas Pas dikeluarkan dari BN, dalam PRU5 (1978), bermulalah kawasan ini dikuasai oleh BN. Dalam PRU5, pertembungan dua bekas ADUN Kuala Besut, Zakaria Muda dan Ustaz Hussin Jusoh, memberi kelebihan kepada calon BN. Zakaria menang dengan majoriti 875 undi. Calon BN perolehi 3,287 undi, sementara calon Pas, 2,512 undi, 80.15 peratus dari jumlah 7,713 pengundi keluar membuang undi.

Apabila ADUN Zakaria Muda meninggal dunia dalam tahun 1979, satu pilihan raya kecil (PRK) telah diadakan pada 30/07/1979. Pilihan raya pertama selepas Pas ditendang keluar dari BN dan pertama selepas kejatuhan kerajaan Pas di Kelantan, secara langsung di zaman kejatuhan Pas. Calon BN, Wan Zakaria Abdul Rahman menang dengan majoriti 726 undi, 3,471 undi lawan 2,745 undi dipungut calon Pas, Ustaz Hussin Jusoh. 

Dalam PRU6 (1982), BN menang dengan majoriti lebih besar, 1,147 undi menerusi Wan Zakaria Abdul Rahman. Beliau memperolehi 4,388 undi untuk mengalahkan Mohamad Jusoh, calon Pas yang dapat 3,238 undi. Dalam tiga pilihan raya selepas Pas di luar BN, sungguhpun BN berjaya memenangi kerusi berkenaan, calon Pas yang kalah sentiasa meningkat undi.

Kerusi N01 terlibat dengan persempadanan kawasan pilihan raya 1983. Kawasan asal kerusi Kuala Besut adalah keseluruhan kawasan sebelah utara Sungai Besut, dari pantai Pekan Kuala Besut hingga ke Seberang Jerteh. Hasil persempadanan ini, sebahagian kawasannya dimasukkan ke dalam kawasan baru, Jerteh. 

Hasil persempadanan ini, bukan sahaja mengurangkan jumlah pemilih, juga menjejaskan sokongan Pas. Ini kerana, secara tradisinya, undi Pas di kerusi Kuala Besut, diperolehi dari kawasan perkampungan tradisional dan pertanian, dan daerah mengundi yang dipindahkan adalah dari kategori ini.

Hasilnya dalam PRU7 (1986), BN menerusi calonnya, Wan Zakaria Abdul Rahman, menang dengan lebih besar iaitu 1,528 undi. Walaupun undi popular beliau berkurangan berbanding PRU6. Beliau memungut 3,698 undi, sementara calon Pas, Ustaz Abdul Latif Mohamad dapat 2,170, dari jumlah 7,725 pemilih, di mana 78.61 peratus keluar mengundi, berbanding 82.8 peratus keluar mengundi dari jumlah pemilih 9,402 dalam PRU6. 

Sementara dalam tiga PRU berikutnya, 1990, 1995 dan 1999, di era perubahan besar kesan krisis keimpinan dalam UMNO serta implikasi pasca Dasar Ekonomi Baru (DEB), kesannya mempengaruhi pola pengundian dan sikap pemilih di N01. 

Dalam PRU8 (1990), calon BN yang pertahan kerusi, Wan Zakaria Abdul Rahman, cuma menang dengan majoriti 263 undi, bila perolehi 3,765 undi, sementara undi Pas menerusi calonnya, Ustaz Hussain Awang, meningkat dengan kadar tinggi, kepada 3,502 undi, berbanding PRU7.

Dalam PRU9 (1995), calon BN, Wan Zakaria Abdul Rahman dapat 4,636 undi untuk mengalahkan calon Pas, Dr Che Ku Hashim Che Ku Mat (3,725 undi) dengan majoriti 811 undi.

PRU10 (1999) menutupi era ini, dengan calon Pas, Ustaz Nik Muhamad Zawawi Salleh berjaya memenangi kerusi ini dengan majoriti 487 undi, setelah berlaku ayungan undi sekitar 700 undi dari BN ke Pas. Calon Pas dapat 4,426 undi dan calon BN, Wan Zakaria Abdul Rahman, 3,939 undi. 

Kejayaan Pas di N01 bersama dengan 27 kerusi lagi, membolehkan Pas membentuk kerajaan di Terengganu. Tindakan pembangkang mewujudkan beberapa program kebajikan antaranya sumbangan wang ihsan, setelah kerajaan Persekutuan bayaran royalti petroleum tahunan dibekukan, cabaran besar kepada kerajaan negeri. Di samping, tindakan strategik memulihkan sokongan rakyat kepada BN, khususnya strategi pendaftaran pemilih.

Kesannya hasil dari beberapa tindakan BN sebagai pembangkang di Terengganu, menghasilkan lonjakan ayungan undi kepada BN dalam PRU11 (2004). Pas hilang 24 kerusi termasuk Kuala Besut, membolehkan kerajaan Terengganu bertukar tangan kepada BN. 

Dalam PRU11, calon BN, Abdullah Che Muda, memperolehi 6,334 undi, peningkatan 2,395 undi atau 60.8 peratus dari PRU10. Calon Pas, Ustaz Nik Muhamad Zawawi Salleh, dapat 4,307 undi atau kekurangan 119 undi atau 2.0 peratus, dan tewas dengan 2,027 undi. 

Sungguhpun BN menang dengan majoriti besar lantaran peningkatan peratusan undi yang tinggi, tetapi sebaliknya penurunan undi calon Pas, terlalu kecil. Berbeza dengan kelaziman, contoh dalam PRU10 yang menyebabkan kekalahan calon penyandang, setara dengan ayungan undi yang sama; peningkatan undi calon menang sama dengan penurunan undi calon kalah.

Salah satu elemen dominan dalam PRU11 ialah peningkatan pendaftaran pemilih disertai peratusan keluar mengundi yang tinggi. Di Kuala Besut, peratusan keluar mengundi ialah 87.80 peratus dari jumlah 12,361 pemilih. Peratus keluar mengundi paling tinggi, dalam sejarah pilihan raya. Dalam siri PRU, peratus keluar mengundi adalah antara 78 hingga 82 peratus di Kuala Besut, kecuali dalam PRU8 (1990) mencapai ke 83.71 peratus. 

Dari segi pendaftaran pemilih dan penambahan pemilih, pemilih di Kuala Besut telah meningkat seramai 1,975 orang atau 19.0 peratus, dari PRU10.  Perubahan dari PRU9 dengan PRU10, berlaku penurunan jumlah pemilih: PRU10; 10,386, PRU9; 10,408,  sementara dalam PRU8; 8.902 pemilih. 

Peratusan keluar mengundi yang tinggi dan peratusan pertambahan pemilih berlaku di seluruh negeri Terengganu, dalam PRU10.

Menerusi PRU12 (2008) BN berjaya meningkat meningkatkan majoriti kemenangan. Menang dengan 2,631 undi. Calon BN, Dr A.Rahman Mokhtar perolehi 7,123 undi untuk menewaskan Ustaz Nik Muhamad Zawawi Salleh, yang dapat 4,492 undi. Seramai 85.6 peratus dari 14,180 pemilih keluar mengundi.

Dalam PRU13 tempoh hari, calon BN, Dr A.Rahman Mokhtar memperolehi 8,809 undi, peningkatan 1,686 undi atau 23.6 peratus, sementara calon Pas, Napisah Ismail, yang memperolehi 6,375 undi adalah peningkatan 1,883 undi atau 41.9 peratus. Peningkatan peratus undi Pas lebih tinggi berbanding pencapaian calon BN, menyebabkan undi majoriti kemenangan BN menurun kepada 2,438 undi. 87.0 peratus dari 17,676 pemilih keluar membuang undi. 

Peratusan keluar mengundi menjadi antara faktor utama pencapaian undi seseorang calon. Ini dapat dikesan berdasarkan kepada 3 PRU terakhir. 

Undi calon BN telah menurun. Dalam PRU12, undi BN adalah 61.3 peratus, menurun kepada 58.0 peratus dalam PRU13. Secara langsung, peratusan undi Pas telah meningkat kepada 42.0 peratus dari 39.7 peratus. 

Peningkatan peratusan undi lantaran kejayaan Pas menguasai 2 daerah mengundi: Bukit Puteri (51.7%) dan Kampung Nangka (53.1%) di samping berjaya mendapat 48.0 peratus undi di Kampung Baru. Berbanding dengan kegagalan menguasai sebarang daerah mengundi dalam PRU11 dan PRU12. 

Bila Pas menang kali terakhir di Kuala Besut iaitu PRU10, keseluruhan Pas memungut 52.9 peratus jumlah undi sah. Pas mengatasi BN di 4 daerah mengundi: Seberang Barat (50.9%), Kampung Nangka (56.5%), Kampung Baru (59.3%) dan Bukit Puteri (60.9%).

Seandainya momentun PRU lepas berlanjutan serta trend pengundian cenderung kepada perubahan sebagaimana yang ditunjukan dalam PRU13, pastinya pilihan raya kecil N01 akan menjanjikan persembahan pengundian yang menarik, rasional dan serba kemungkinan. Tambahan pula, kematian ADUN Kuala Besut, Dr A.Rahman Mokhtar, memungkinkan satu keputusan politik yang serba kemungkinan, andainya calon BN gagal pertahankan kerusi ini dalam PRK pada 24/07/2013 nanti. Kemungkinan DUN Terengganu akan "tergantung" bila kedudukan kerajaan:pembangkang 16:16, yang akan mencetuskan satu episod baru dalam politik tanah air.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan