Sabtu, 30 Mac 2013

PRU13 Tanpa Serpihan

TIADANYA PARTI SERPIHAN DAN ILHAM TARIKH PRU13


Pengalaman dalam beberapa siri PRU selepas Merdeka, dalam tahun terakhir atau menjelang PRU, ada dua kelaziman: kemunculan parti-parti baru dan penyokong parti pembangkang sertai  Perikatan atau BN.


Kemunculan parti baru yang menjadi tarikan ialah pertama: pembentukan satu parti baru ditaja secara tidak langsung oleh Perikatan atau BN, dianggotai anggota yang keluar parti, yang memberontak atau dipecat, dari parti pembangkang atau parti komponen Perkatan atau BN.
Kedua: parti-parti baru dibentuk hasil ciri-ciri sama tetapi tidak ditaja oleh parti pemerintah dan diwujudkan untuk menyaingi Perikatan atau BN.
Ketiga: sebuah parti baru sebagai alternatif kepada parti yang sedia, parti pemerintah dan parti pembangkang. Ciri ketiga ini diasaskan oleh mereka yang belum pernah menyertai mana-mana parti dan juga yang pernah sertai parti lain; sama ada keluar parti asal atau parti asal dibubarkan.


Menjelang PRU2 (1964), United Democratic Party (UDP) ditubuhkan dalam tahun 1963. Diketuai oleh Dr Lim Chong Eu, Pengerusi MCA Pusat (sekarang Presiden) yang letak jawatan dan keluar parti, hasil tidak puasa hati agihan kerusi dalam Perikatan dalam PRU1. Bersama bekas kepimpinan MCA dan Parti Negara, menggerakkan parti bermula Pilihan Raya Majlis Tempatan 1963.
Penyertaan UDP dalam PRU2, sungguhpun bersifat sebuah parti berbilang kaum, dengan meletakkan calon di bandar dan luar bandar, tetapi lebih menampakkan UDP lebih merupakan sebuah parti serpihan MCA. Di samping itu, lebih bersifat kedaerahan, bila UDP menguasai kerusi-kerusi di bandaraya Pulau Pinang.
Justeru penyertaan UDP lebih menjurus kepada perlawanan tiga atau penjuru; di bandar menentang Perikatan (MCA), Socialist Front dan PPP, serta PAP (dari Singapura), di luar bandar menentang calon Perikatan (UMNO), Pas dan Socialist Front. Penyertaan UDP, memudahkan serta lebih banyak beri advantage kepada Perikatan, undi pembangkang berpecah dua, tiga dan empat di setengah kawasan.

Di luar bandar, Naib YDP UMNO dan Menteri Pertanian, Abdul Aziz Ishak, yang dipecat menubuhkan Parti Perhimpunan Kebangsaan bersama seorang ADUN dari UMNO, Datuk Kampo Radjo Baginda Kayo. Parti ini sebagai serpihan UMNO, bertanding atas nama Socialist Front, bertumpu di Selangor sahaja. Abdul Aziz di samping pertahan kerusi Parlimennya: Kuala Langat, menentang bakal MB Selangor, Harun Idris di kerusi negeri Morib. Semua calon parti ini kalah.

Dalam tahun 1968, sebuah parti baru; Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) ditubuhkan hasil pembubaran UDP, pengharaman Partai Buruh Malaya (diharamkan selepas Peristiwa Hartal, 1967) dan tenaga akademik.

Di Seremban, kumpulan kepimpinan Persatuan Guru Sekolah Cina yang kecewa dengan MCA, menubuhkan United Malaysia Chinese Organisation (UMCO) sebagai sebuah serpihan MCA.

PRU3 (1969) menyaksikan penyertaan 3 parti baru di Semenanjung: Gerakan, DAP (ditubuhkan 1966, selepas Pemisahan Singapura, 1965, mengambilalih PAP), dan UMCO. Gerakan dan DAP capai kejayaan cemerlang dalam percubaan sulong, sementara semua calon UMCO kalah teruk, semua hilang wang pertaruhan. Orang Cina yang menyokong MCA dalam dua PRU lepas, mengalaihkan sokongan kepada sama ada Gerakan atau DAP, yang mengadakan persefahaman pilihan raya.

Selepas demokrasi dipulihkan, setelah satu tahun digantung berikutan Peristiwa 13 Mei 1969, dalam tahun 1974, dibentuk BN yang turut disertai Gerakan, Pas, PPP besama UMNO, MCA, MIC. Kesannya berlaku penentangan dalam parti terutamanya Gerakan, Pas dan PPP.

Kesan penyertaan Gerakan ke dalam BN menyebabkan berlakunya pembentukan beberapa kelompok: 1. bekas anggota Partai Buruh Malaya/Socialist Front menubuhkan Parti Keadilan Masyarakat (Pekemas) pimpinan Dr Tan Chee Khoon, V.David, Yeoh Teck Chye, 2. kelompok akademik tidak menyertai mana-mana politik seperti Dr Syed Husin Alattas, Dr Syed Naguib Alattas, Wong Gung-wu, 3. Gerakan lebih dimonopoli oleh bekas penyokong MCA, 4. Satu kumpulan lagi dipimpin Mustapha Hussin menubuhkan Kesatuan Insaf Tanah Air (KITA) bersama Ahli Parlimen Parit, Hashim Gera, anggota Pas yang dipecat.

Kumpulan pemberontak dalam PPP, menubuhkan Independent PPP, disokong segelintir ahli khususnya di Negeri Sembilan.

Penyokong Pas yang menentang penyertaan Pas ke dalam BN, tidak sempat menubuhkan parti, bertanding dalam PRU4 (1974) sebagai calon bebas yang bergabung dalam Barisan Bebas Bersatu, pimpinan Ahli Parlimen Pasir Mas Hilir, Ahmad Fakhruddin Abdullah.

Prestasi buruk MCA dalam PRU3, menyebabkan semua Ahli Parlimen MCA menolak perlantikan  Kabinet Persekutuan. Kumpulan Young Turks dibarisi Dr Lim Keng Yeik, Alex Lee, Dr Tan Tiong Hong, dipecat atas kritikan dan tentangan kuat kepada kepimpinan MCA; Tan Siew Sen, Lee San Choo, Khoo Khaw Boh. Kumpulan ini menyertai Gerakan.

Partai Rakyat Malaya yang dulunya bertanding atas gabungan Socialist Front, bertanding bersendirian setelah Parti Buruh diharamkan dan parti Perhimpunan Kebangsaan dibubarkan, berlaku krisis kepimpinan parti menjelang  PRU3. Bekas Ketua Umum, Ahmad Boestamam, keluar parti menubuhkan Partai Marhaen.

Partai Rakyat Malaya di bawah kepimpinan Kassim Ahmad memperkenalkan ideologi sosialisme saintifik. Parti ditukar kepada Partai Sosialis Rakyat Malaya, menjelang PRU4. Partai Marhean bertanding atas nama Pekemas.

BN mendapat laluan mudah dalam PRU4 kerana BN ditentang  parti pembangkang: DAP, PSRM  dan Sarawak National Party (SNAP) serta parti-parti baru yang merupakan serpihan dari komponen BN, yang menghasilkan pembangkang. Parti-parti yang berbagai bertanding dalam tiga penjuru. Ada setengahnya empat dan lima penjuru. Memberikan kelebihan kepada BN menang besar.

Kesan hubungan kurang mesra kerajaan United Sabah National Organisation (USNO) pimpinan Tun Datu Mustapha Datu Harun dalam tahun awal 1970an, mendorong beberapa pemimpin keluar parti dan membentuk sebuah parti serpihan USNO; Bersatu Rakyat Jelata Sabah (Berjaya) dalam tahun 1975. Berjaya dipimpin Tun Donald Stephents @ Mohd Fuad Stephents dan Harris Mohd Salleh, bekas anggota kabinet negeri Sabah. Peranan kepimpinan Kuala Lumpur tidak dapat dinafikan dalam membantu penubuhan dan pendaftaran Berjaya.

Kekalahan calon-calon Berjaya termasuk Harris Mohd Salleh kepada USNO dalam 2 pilihan raya kecil, Disember 1975, menyakinkan USNO membubarkan Dewan Undangan Negeri, untuk pilihan raya negeri, April 1976.

Dalam pilihan raya negeri tersebut, Berjaya, sebagai serpihan USNO melakukan satu upset, mengalahkan USNO, yang mewakili BN. Berjaya memenangi 28 kerusi, sementara USNO, 20 kerusi. Calon-calon USNO cuma menang di kawasan-kawasan Bumiputera Islam.

Selepas pemecatan Joseph Pairin Kitingan, seorang pemimpin kanan Berjaya dalam tahun 1985, menghasilkan sebuah serpihan parti Berjaya; Parti Bersatu Sabah (PBS). Pilihan raya negeri, 1985, Sabah mencipta satu lagi episod bersejarah, sebuah parti serpihan berjaya mengalahkan parti asal. PBS berjaya menguasai kerajaan selepas memenangi 25 kerusi berbanding 6 kerusi Berjaya yang bertanding atas nama BN. USNO, pembangkang di peringkat negeri dan anggota komponen BN di peringkat pusat, memenangi 16 kerusi. Usaha USNO membentuk kerajaan bersama BN (Berjaya) gagal.

Di Sarawak, dalam tahun 1983 tertubuhnya Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) pimpinan Leo Moggie dan Dunstan Endawie selepas berlaku krisis dalam parti SNAP. PBDS, serpihan SNAP bergabung pakatan pilihan raya bersama, Persatuan Rakyat Malaysia Sarawak (Permas) serpihan Parti Bumiputera Bersatu, dalam pilihan raya negeri Sarawak, 1987. Kerjasama dua serpihan parti komponen BN ini memberikan cabaran yang cukup sengit menghasilkan pakatan PBDS-Permas: 20 kerusi dan BN (PBB-SUPP-SNAP) 28 kerusi. Pilihan raya negeri Sarawak yang paling sengit, selepas Peristiwa Ming Court.


Dalam PRU5 (1978), pembentukan serpihan Pas, Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa) yang menyumbangkan kejatuhan kerajaan Pas Kelantan, memberi kesan besar, kemerosotan prestasi Pas yang bertanding sebagai parti pembangkang setelah dipecat dari BN. 

Sebahagian besar kepimpinan Berjasa, adalah mereka yang terlibat dalam gerakan Barisan Bebas Bersatu, dalam PRU4. Di samping itu, sekumpulan pendokong Barisan Bebas Bersatu, terlibat dengan penubuhan sebuah serpihan Pas; Ikatan Muslimin Insaf Malaysia (IMAM) di bawah kepimpinan Hassan Mat Leh. IMAM gagal dalam pendaftaran dan ahlinya bertanding sebagai calon-calon bebas. Penglibatan kumpulan ini tidak menampakkan satu political force yang berkesan, yang boleh mengkucar-kacirkan parti asal mereka; Pas.  

Yeap Ghim Guan, antara pengasas DAP, bekas ADUN Pulau Pinang, pendebat terkemuka,   keluar DAP dalam tahun 1978 setelah berkrisis dengan keimpinan DAP yang dikepalai Lim Kit Siang. Beliau menubuhkan Social Democratic Party (SDP).

SDP sebagai serpihan DAP gagal menunjukkan prestasi baik dalam PRU5, sekadar meletakkan DAP di tempat yang sama seperti PRU4 dan membantu BN menang besar. Undi calon-calon SDP yang bertanding di 3 kerusi Parlimen dan 10 kerusi negeri, di mana 8 orang calonnya hilang wang pertaruhan.

Kegagalan Pas menyerlahkan prestasi dalam PRU5 dan PRU6, kepimpinan menghadapi cebaran getir dari kelompok muda dalam parti, mengakibatkan Dato' Mohd Asri Haji Muda bersama pengikutnya keluar parti dalam tahun 1983. Beliau menubuhkan Hizbul Muslimin (Hamim), sebuah lagi sepihan Pas.

Menjelang PRU7 (1986), Hamim diterima sebagai anggota komponen BN. Hamim diberikan 2 kerusi Parlimen dan 4 kerusi DUN. Berjasa menarik diri menyertai PRU, membantah kemasukan Hamim ke dalam BN. 

Dalam tahun 1988, selepas UMNO diharamkan dan UMNO (Baru)ditubuhkan, Hamim memanggil muktamar khas untuk membubar parti dan menyerapkan semua ahlu ke dalam UMNO (Baru). Muktamar gagal beri mandat kepada pembubaran, menyebabkan kumpulan Dato' Asri keluar parti dan kemudiannya sertai embloc UMNO (Baru). Hamim dipimpin Dato' Sudin Wahab dan Dato' Nik Man Nik Mohamad. 

Dalam PRU8 (1990), parti-parti serpihan Pas bertaut kembali bersama Parti Semangat 46, serpihan UMNO, dalam Angkatan Perpaduan Ummah, yang memberikan semua calon BN kalah di semua kerusi di Kelantan (13 Parlimen dan 39 kerusi DUN).

Menjelang PRU10 (1999) sebuah parti baru: Parti Keadilan Nasional (Keadilan) ditubuhkan, yang merupakan hasil gabungan tenaga penyokong gerakan Reformasi 1998, pemecatan DS Anwar Ibrahim dari UMNO. Keadilan adalah gabungan tenaga serpihan UMNO pro Anwar, serta bekas aktivis NGO Islam: ABIM dan JIM dan NGO-NGO lain; Suaram, Adil, Gerak dll. Kegagalan serta kelewatan untuk mendaftar diri untuk membolehkannya bertanding dalam PRU, Keadilan mengambilalih parti yang sudah wujud dan kurang aktif, Ikatan Masyarakat Islam Malaysia (Ikatan), menukarkan nama Ikatan kepada Keadilan.

Ikatan adalah parti serpihan Pas di Terengganu, yang ditubuhkan dalam tahun 1991, oleh Abdul Wahab Yunus, bekas Ahli Parlimen Dungun. Ikatan tidak pernah menyertai sebarang PRU.

Selepas penubuhan Ikatan, sebuah lagi parti serpihan Pas, Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) ditubuhkan dalam tahun 1964, oleh Musa Salleh, pemimpin Pas Pasir Puteh. AKIM yang menyertai PRU10 dan PRU11, tidak ada pengaruh dan pungutan undinya amat rendah serta gagal untuk mengurangkan atau mengganggu Pas dalam menghadapi UMNO/BN.

Kumpulan yang tersingkir dari DAP, menubuhkan Malaysian Democratic Party (MDP) yang dikepalai Wee Choo Keong, bekas Ahli Parlimen Bukit Bintang, dalam tahun 1999. Dalam PRU10, MDP yang meletakkan 11 calon Parlimen gagal menggugat DAP yang menentang BN dan prestasi undi yang tersangat rendah. Kehadiran MDP tidak memberi apa-apa impaks, sama ada kepada DAP atau BN. Semua calon MDP hilang wang pertaruhan.

Dalam siri-siri pilihan raya sama ada PRU atau pilihan raya negeri Sabah dan Sarawak, sebelum 2000, kemeriahan pilihan raya diterjemahkan lantaran banyak parti menyertai sesuatu pilihan raya. Kepelbagaian parti politik yang mewakili kepelbagaian ideologi mencerminkan ruang disediakan oleh sistem demokrasi kepilihanrayaan, senagai menghormatikan hak rakyat bersuara tanpa sekatan. Pilihan raya sebagai satu peristiwa atau bolehkan disifatkan satu perayaan tanpa batasan ras, agama dan sempadan gegrafis, yang menggambarkan homogenitinya rakyat Malaysia.

Kepelbagaian tersebut telah memberikan satu keuntungan dan advantage kepada parti pemerintah, Perikatan, kemudiannya BN, meneruskan kelangsungan pemerintahannya, tanpa digugat. Politik berbilang parti memudahkan pihak pemerintah meneruskan serta memudahkan memenangi setiap PRU, hasil "pecah dan perintah". Undi dan sokongan kepada parti-parti pembangkang yang berbagai dan undi anti-establishment yang berpecah, memudahkan parti pemerintah (Perikatan/BN) terus menguasai pemerintahan.

Bermula PRU10, yang diadakan 32 hari sebelum bermulanya fajar 2000, pakatan pembangkang atas nama persefahaman pilihan raya, merintis jalan kepada sistem dua parti, memberikan khalayak pengundi dua pilihan sahaja: sokong BN atau sokong pakatan pembangkang.

Rintisan 1999 ini, lebih menjadi dalam PRU12, menghasilkan 5 buah negeri jatuh ke tangan pakatan pembangkang dan BN gagal kuasai majoriti dua pertiga di Parlimen. PRU12 bersih dari gangguan parti-parti serpihan kepada prestasi parti asal.

Peranan parti serpihan menjatuhkan kerajaan pimpinan parti asal serta peranan parti serpihan mengacau parti asal demi mempastikan parti pemerintahn terus kukuh di puncak kuasa, menjadi satu faktor dominan keputusan pilihan raya di negara kita.

Parti-parti serpihan: Berjaya, PBS, Berjasa, dan Semangat 46 telah membuktikan peranan mereka menentukan nasib sesebuah kerajaan. Sejarah kejatuhan kerajaan USNO di Sabah (1976), kerajaan Berjaya di Sabah (1985), kerajaan Pas Kelantan (1978) dan kerajaan UMNO/BN Kelantan (1990).

Kejatuhan kerajaan BN di Terengganu (1999), Pulau Pinang (2008), Perak (2008), Kedah (2008), Selangor (2008), bukan lagi atas asas peranan parti serpihan. Fenomena kejatuhan atau perubahan pemerintahan di negara kita sudah bertukar kepada realiti sistem dua parti. Dengan lain perkataan, realiti persefakatan pilihan raya di kalangan kepelbagaian parti. Satu kelompok parti-parti bergabung atas nama BN, sementara satu lagi kelompok atas nama pakatan pembangkang atas prinsip tujuan yang sama atau tahaluf siyasi. Realiti ini menjurus ke arah sistem dua parti. Khalayak pengundi cuma dihidangkan dua alternatif: A atau B.

Pas yang sudah berusia 61 tahun, paling banyak menghasilkan serpihan: Berjasa, Hamim, Akim, Ikatan, Imam (tak sempat didaftar). Hayat parti-parti serpihan ini tidak panjang, yang berakhir kepada dua pilihan: kembali ke parti asal atau masuk parti lawan (UMNO). SDP dan MDP, gagal menandingi parti asal, DAP.

PBDS tidak panjang hayat diganti dengan Parti Rakyat Sarawak (PRS). Tahun lepas, wujud pula serpihan dari PRS; Sarawak Worker's Party. SNAP sebagai parti asal, yang ditubuh dalam tahun 1961, masih beroperasi. Dalam tahun 2006, muncul serpihan SNAP: Sarawak Progressive Democratic Party (SPDP) yang menjadi komponen BN Sarawak, selepas SNAP keluar BN.

SNAP sebuah parti disegani sejak zaman pimpinan Stephent Kalong Ningkan, yang pernah mengetuai kerajaan negeri Sarawak, kesan rentetan penubuhan berbagai parti serpihan sejak 1983, meletakannya di serambi politik Sarawak, semakin diketepikan oleh pengundi. Inilah antara kejayaan "pecah dan perintah" mainan komponen utama BN.

Begitu juga di Sabah, kekalahan PBS, 1994 menghasilkan beberapa serpihan Berjaya: PBS, Parti Rakyat Sabah (Ongkili), Parti Rakyat Bersatu Sabah (Joseph Kurup), Parti Bersatu Rakyat Sabah (Jeffrey Kitingan), Sabah Progressive Party(Yong Teck Lee) dan Parti Demokratik Sabah (Dompok).

PBS, suatu masa dulu berjaya menghantar 14 orang Ahli Parlimen, kini hanya diwakili oleh 3 orang MP sahaja, kesan "pecah dan perintah" menerusi akses penubuhan parti-parti serpihan. Secara langsung, meranapkan pengaruh PBS, yang pernah menguasai kerajaan negeri.

PRU13 dijangka tidak diwarnai oleh parti-parti serpihan, sama ada untuk mengacau mana-mana parti komponen BN atau 3 parti utama dalam Pakatan Rakyat: PKR, Pas dan DAP. Yang ada cuma di Sarawak, kesan krisis dalam Parti Rakyat Sarawak, memunculkan Sarawak Worker's Party (SWP) pimpinan Larry Sng. Di kawasan BN meletakkan calon PRS, akan berlaku pertandingan 3 penjuru antara PRS/BN, SWP dan salah satu anggota Pakatan Rakyat. Dalam PRU12, 6 kerusi Parlimen diperuntukan oleh BN untuk PRS pimpinan Dr James Jemut Masing.

Kemunculan parti-parti baru seperti Parti Cinta Malaysia (PCM) tidak menggambar sebuah serpihan kerana disokong dan dianggota parti-parti asal yang berlainan. Kemunculan PCM dalam percubaan awal dalam pilihan raya negeri Sarawak, 2010, tidak menghasilkan yang boleh dibanggakan.

Dijangka PRU13, amat mendebarkan, kerana realiti sistem dua parti yang akan membuka ruang kepada satu lawan satu, pilihan hanya satu dari dua tawaran, cuma hitam atau putih sahaja, tiada alternatif dan citarasa lain.

Kegagalan perancang BN mencetuskan penubuhan serpihan dari parti-parti dalam Pakatan Rakyat, mungkin inilah yang menjadikan tarikh PRU13 belum diumumkan, sungguhpun sebuah DUN sudah terbubar secara otomatik.

 Ketiadaan parti serpihan yang bertujuan untuk memecahkan undi parti pembangkang demi memudahkan kerja-kerja BN, adalah faktor kukuh mengapa tarikh PRU13 melepas tempoh 5 tahun selepas hari mengundi PRU12. Faktor ini jugalah yang menenggelamkan ilham kepada sang penguasa untuk mengisytiharkan bilakah PRU13.



  

  



Tiada ulasan:

Catat Ulasan