Khamis, 4 April 2013

Peningkatan Pengundi PRU13

PENINGKATAN MENDADAK JUMLAH PEMILIH DALAM PRU13



Alhamdullilah, jam 11.30 pagi, Rabu 03/04/13, PM DS Najib Tun Razak umumkan pembubaran parlimen ke 12, untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13). Jam 10.15 pagi tadi, (Jumaat 05/04/13), DS Azizan Abdul Razak, umumkan pembubaran DUN Kedah, merupakan dewan legislatif terakhir dibubar.


Salah satu aspeks menarik bagi PRU13 ialah daftar pemilih dan operasi pendaftaran pemilih. Aspeks ini menjadi satu strategi bagi parti yang memegang kuasa untuk mempertahankan kuasa. Sebaliknya, menjadi satu karenah bagi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berdepan pihak yang tidak berkuasa di peringkat Persekutuan mempersoalkan mekanisme daftar pemilih yang melahirkan daftar pemilih yang dipersoalkan.


Dari rekod SPR, mencatatkan jumlah pemilih dalam pilihan raya pertama, Pilihan Raya Dewan Perundangan Persekutuan Tanah Melayu, 1955: 1,280,000 orang.(rujuk SPR; Laporan Pilihan Raya Umum ke 12, 2008, halaman 13).  Perbandingan dengan jumlah pemilih dalam PRU1 (PRU 1959), peningkatan seramai 891,097 kepada 2,171,097 orang atau peningkatan 69.62 peratus.

Dari jumlah 1.28 juta pemilih dalam pilihan raya 1955, 85 peratus adalah pengundi Melayu, sementara dengan peningkatan 69.62 peratus pemilih menjadikan peratusan pengundi Melayu di bawah 55 peratus dalam PRU1. Sebelum Merdeka, pengundi Melayu menguasai majoriti mutlak senarai pemilih, sebaliknya lepas Merdeka, menjadikan pengundi Melayu cuma mengatasi kaum lain, dengan simple majority. Kejatuhan peratus pengundi Melayu adalah secara langsung kesan dari pengeluaran kad pengenalan kepada bukan warganegara dan British Nationals, sebaik saja Merdeka diisytiharkan pada 31 Ogos 1957.

Sehingga kini, peratusan pengundi Melayu di Semenanjung, tidak pernah melepasi 60 peratus. Dalam PRU12, jumlah pemilih di Semenanjung ialah 9,181,040 di mana 58.93 adalah Melayu.

Selepas PRU1, pilihan raya pertama selepas Merdeka, berlaku pertambahan pengundi dengan kadar yang lebih rendah. Dalam PRU2 (PRU 1964), jumlah pemilih bertambah seramai 591,980 orang atau 27.27 peratus. PRU2, tidak melibatkan kawasan-kawasan pilihan raya dari Sabah, Sarawak dan Singapura, sungguhpun negeri-negeri tersebut menyertai Persekutuan Malaysia, 1963. Keanggotaan Parlimen Malaysia, ialah 169: 104 dari Semenanjung yang dipilih menerusi PRU2, bakinya dilantik, 15 dari Singapura, 16 Sabah dan 24 Sarawak.

Dalam PRU3 (PRU 1969), melibatkan 3,843,782 pemilih iaitu peningkatan seramai 1,080,705 orang atau 39.11 peratus, berbanding dengan pemilih dalam PRU2,  kerana PRU3 melibatkan pilihan raya secara langsung seluruh negara kecuali DUN Sabah, yang sudah adakan pilihan negeri dalam tahun 1967. Justeru itu, dalam PRU4 (PRU 1974), pertambahan pemilih dengan PRU sebelumnya; PRU3, cuma peningkatan sebanyak 7.50 peratus atau 288,250 orang pemilih sahaja.

Selepas itu, dalam enam siri PRU terakhir, kadar pertambahan pengundi di Malaysia, dalam tempoh berakhir setiap penggal Parlimen, tidaklah setinggi atau mengatasi angka pertambahan bagi kes PRU1 dan PRU3, yang agak luar biasa. PRU1 kerana perolehan kad pengenalan warga bukan Melayu dan PRU3 kerana pendaftaran masuk warga Sabah dan Sarawak dalam daftar pemilih induk SPR.

Contohnya: kadar pertambahan pemilih antara PRU6 (1982) dengan PRU7 (1986) adalah 14.52 peratus, dan seterusnya beza PRU semasa dengan PRU terakhir sebelumnya: PRU8 (1990) 14.41 peratus, PRU9 (1995) 13.10 peratus, PRU10 (1999) 6.12 peratus, PRU11 (2004) 7.53 peratus, dan PRU12 (2008) 6.20 peratus.

Angka daftar pemilih yang digunakan dalam PRU12 ialah 10,922,139. Rekod terkini daftar pemilih yang diwartakan pada 22/02/2013 ialah 13,291,385 orang iaitu peningkatan seramai 2,369,246 pemilih atau 21.69 peratus. Paling tinggi dalam tempoh 30 tahun.

Peningkatan peratusan pemilih yang paling tinggi dalam tempoh 30 tahun ini, menggambarkan PRU13 satu PRU yang amat menarik yang boleh dianggap luar biasa, dilihat dari sudut kecenderungan khalayak rakyat mempastikan mereka terlibat dalam politik kepilihanrayaan. Justeru itu, munasabahlah dan ada rationaliti kukuh menyebut: PRU ibu segala PRU, PRU paling getir, PRU paling mencabar, PRU yang menjanjikan serba kemungkinan. Yang paling mencabar ialah PRU  penentu hidup mati UMNO.

SPR yang disifatkan oleh setengah pihak ada peranan pengadil berat sebelah yang memihak untuk parti pemerintah melangsungkan kuasanya, main peranan tambahan berbanding PRU-PRU lepas, untuk meningkatkan angka pendaftaran pemilih.

Hasil PRU12 yang menyaksikan bermulanya kemerosotan undi BN, bermulanya kejatuhan beberapa negeri yang dikuasai BN, memberi petunjuk kepada SPR sebagai pihak yang bertanggugjawab, parti pemerintahan, parti pembangkang dan pihak lain yang berminat, peri pentingnya operasi dan kerja-kerja pendaftaran pemilih dan tingkatkan jumlah pengundi di sesuatu kawasan.

Peningkatan bilangan pemilih 3 kali ganda berbanding 3 PRU terakhir memperlihatkan perhatian, tumpuan dan kenderungan khalayak rakyat kepada PRU13. Seandainya peningkatan 3 kali ganda iaitu 21.69 peratus itu, satu kejayaan kesedaran serta tahap pendidikan kepilihanrayaan di kalangan rakyat.

Impaks dari PRU12, mendorong kepada peningkatan begitu besar angka pertambahan pemilih. Wakil-wakil rasmi SPR membantu SPR mendaftar pemilih iaitu Penolong Pendaftar Pemilih (PPP) mewakili parti-parti politik, paling aktif meningkatkan pendaftaran pemilih. SPR mengeluarkan bilangan pendaftaran pemilih berdasarkan kerja-kerja wakil parti politik selaku PPP. Paling aktif ialah oleh anggota DAP. Ini diikuti oleh UMNO dan Pas. Dalam kerja-kerja pendaftaran, UMNO bernasib baik kerana banyak dibantu oleh agensi kerajaan.

Secara langsung, penglibatan parti-parti politik memperlihatkan pendaftaran terancang demi memperkukuh sasaran undi dan sasaran kemenangan dalam pilihan raya.

Imbas kembali kes pendaftaran memuncak di Sabah, khususnya di awal tahun 1990an. Dalam PRU8 (1990) jumlah pemilih di Sabah ialah 503,612 orang, meningkat seramai 103,107 orang atau 18.96 peratus dalam PRU9 (1995). Peningkatan kadar pengundi di Sabah mengatasi kadar peningkatan di seluruh negara, di mana ianya cuma meningkat sebanyak  13.10 sahaja dalam tempoh berkenaan.

Selepas tahun 1995, peningkatan kadar pemilih di Sabah tidaklah sebesar angka itu. Dalam tempoh 1995-1999, meningkat seramai 72,412 orang atau 11.98 peratus; 1999-2004, 49,812 orang pemilih atau 6.92 peratus dan antara 2004-2008, 38,919 orang iaitu 5.06 peratus peningkatan.

Paparan ini hendaklah menjelaskan peranan peningkatan kadar pemilih yang beragenda. Usaha di Sabah antara tempoh 1990-1994, menyaksikan kejatuhan kerajaan negeri pimpinan PBS, dalam Pilihan Raya DUN Sabah 1994.

Jika di Sabah diriuhkan dengan pendaftaran  serta penganugerahan kad pengenalan kepada pendatang asing, khususnya Filipina, menyaksikan peningkatan kadar pertambahan tinggi, mengatasi purata peratusan pendaftaran nasional dan memberi kesan besar keputusan pengundian dalam pilihan raya.

Apakah peningkatan daftar pemilih yang akan digunakan dalam PRU13 nanti iaitu 3 kali ganda berbanding kadar pertambahan pengundi dalam tiga PRU terakhir, lanjutan dari agenda Sabah 1990-1994?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan