Khamis, 14 Mac 2013

Perwakilan Proportional

PERWAKILAN PROPORTIONAL MEREALISASIKAN ROH DEMOKRASI KEPILIHANRAYAAN

Pandangan Setiausaha Agung Pas, Dato' Mustafa Ali dalam International Conference on the 13th Malaysian General Elections pada 5/3/13 lalu, mengenai sistem pilihanraya berasaskan sistem proportional representatives, satu pernyataan yang amat menarik. Sistem ini adalah antara cadangan reformasi demokrasi seandainya pentadbiran Putrajaya berubah dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) nanti.

Pandangan beliau ini bukan perkara baru, beliau pernah bangkitkan semasa membahas rang undang-undang persempadanan kawasan pilihan raya , di Dewan Rakyat dalam tahun 2002. Masa itu, beliau adalah Ahli Parlimen Dungun.

Sistem perwakilan berasaskan peratus undi yang diperolehi oleh sesuatu parti yang akan menentukan berapakah jumlah kerusi yang akan diperuntukan kepada parti berkenaan. Amalan ini diterima pakai dalam pengurusan pilihan raya nasional di beberapa negara. Negara yang menjadi model sistem ini ialah Jerman Barat. Selain asas peruntukan kerusi berpandukan peratusan jumlah undi, amalan Jerman Barat, meletakkan syarat, sesuatu parti perlu perolehi tidak kurang dari 5 peratus undi keseluruhan. Bermula 1998, dalam pembaharuan demokrasi di Indonesia, amalan perwakilan berasaskan nisbah ini digunakan. 

Sistem ini memberi hak sepenuhnya kuasa kepada pengundi dan suara rakyat dihormati. Contohnya, jika parti A memperolehi 20 peratus undi bermakna parti berkenaan diperuntukkan 20 peratus kerusi. Parti menentukan siapakah anggota parti yang akan mengisi kuota demikian. Suara 20 peratus pengundi diberi hak menduduki badan lagislatif. 

Sistem amalan negara kita adalah berpandukan kepada model sistem pilihan raya Great Britain, iaitu berasaskan perwakilan mengikut kawasan atau constituency representatives. Calon yang dapat undi tertinggi akan diistiharkan menang walaupun beza undinya satu undi mengatasi calon kedua undi tertinggi, apa yang disebut sebagai the first past the post.

Sistem yang diamalkan di kebanyakan negara Commonwelath ini yang lebih dikenali sebagai Westminster Abbey menafikan suara majoriti. Contohnya dalam Pilihan Raya Umum ke 3 (PRU3) atau PRU 1969, di mana kerusi-kerusi bagi negeri-negeri Sabah dan Sarawak diadakan dalam bulan Jun 1970, kerana ditangguhkan lantaran peristiharan darurat selepas 13 Mei 1969, di negeri Sarawak yang menawarkan 24 kerusi Parlimen, di 20 kerusi tersebut, undi bagi calon yang menang di bawah 50 peratus. Kawasan tersebut menyaksikan perlawanan lebih 3 penjuru. Sementara bagi kerusi Council Negeri (DUN Sarawak), 28 dari 48 kerusi, menghasilkan keputusan yang sama; calon yang menang dapat undi bawah 50 peratus.

Di kerusi Parlimen Batang Lupar, calon yang menang, Edwin anak Tangkun (SNAP) memperolehi 4,751 undi atau 38.0 peratus dari jumlah undi sah, mengatasi 3 calon laon: Hollis anak Tini (SUPP) 3,247 undi, Yaman Mohamad Tahir (Parti Pesaka) 3,142 undi dan Abang Haji Hamid Salam (Parti Bumiputera) 1,800 undi. Ketiga-tiga calon yang kalah tidak hilang wang pertaruhan, kerana perolehi undi di atas 12.5 peratus atau satu perlapan undi sah. Kebiasaannya, jika dalam persaingan 3, 4 atau 5 penjuru, calon yang menduduki tempat ketiga dan selebihnya hilang wang pertaruhan. Keadaan yang sama berlaku di hampir semua 19 kerusi Parlimen yang lain.

Sistem amalan perwakilan berasaskan kawasan ini, menafikan suara majoriti, 62 peratus pengundi Batang Lupar tidak mengundi calon SNAP. Bermakna, wakil rakyat yang dipilih bukan mewakili majoriti pengundi.

Kes kerusi DUN Terengganu, Langkap (1959), di mana calon Parti Negara yang menang cuma dapat 32.5 peratus undi sahaja, sementara baki 67.5 peratus mengundi Pas dan Perikatan. Begitu juga kes Kuala Besut (1959), Ulu Kelantan Barat (1959) dan Tumpat Barat (1959), suara lebih 60 peratus pengundi telah dinafikan hak mereka dalam menentukan pembentukan sebuah kerajaan.

Dalam Pilihan Raya Umum ke 11 (PRU 2004) yang memberikan pencapaian paling cemerlang untuk BN. Di peringkat Parlimen, BN telah memenangi 199 dari 219 kerusi. Bermakna BN telah membolot 90.8 peratus kerusi Parlimen. BN bertanding di semua 219 kerusi. Dari segi undi popular, BN memungut 4,472,648 undi atau 63.81 peratus.

Kalau ikut sistem perwakilan proportional, BN sepatutnya dapat 64 peratus dari jumlah 219 kerusi iaitu 140 kerusi sahaja. Sementara bakinya 79 kerusi akan dikongsi oleh Pas, DAP dan Keadilan, berbanding 20 kerusi sebagaimana mereka perolehi dalam PRU tersebut.

Pas yang bertanding di 86 kerusi cuma menang 6 kerusi sahaja (termasuk Pasir Puteh, yang kemudiannya diserahkan oleh mahkamah kepada BN) dengan 1,103,289 undi atau 15.74 peratus undi popular. Angka 15.74 peratus ini memberikan sebanyak 34 kerusi Parlimen kepada Pas, ikut sistem proportional.

DAP yang bertanding di 44 kerusi Parlimen perolehi 708,173 undi atau 10.10 peratus sepatutnya diperuntukkan 22 kerusi Parlimen, bukan 12 kerusi sebagaimana dicapainya dalam PRU tersebut. Parti Keadilan Nasional (Keadilan) yang bertanding di 59 kerusi Parlimen, cuma menang 1 kerusi sahaja, dan memungut 578,481 undi atau 8.25 peratus undi popular. Sepatutnya dapat 18 kerusi Parlimen kalau ikut sistem perwakilan proportional.

Kalau amalan proportional representation, Pas sepatutnya menjadi pembangkang utama di Parlimen dan BN gagal perolehi suara majoriti dua pertiga, walaupun PRU11 adalah pencapaian BN paling cemerlang dalam 11 siri PRU selepas Merdeka.

Dalam PRU12 (PRU 2008) yang merupakan pencapaian BN paling rendah, di mana BN yang bertanding di semua 222 kerusi Parlimen, memperolehi 140 kerusi dengan 4,081,115 undi atau 51.4 peratus undi popular.

Sementara pakatan pembangkang: PKR dapat 1,529,250 undi menerusi 97 orang calon Parlimen (menang 31) atau 19.2 peratus undi popular, Pas yang menang 23 kerusi dari 66 calon perolehi 1,140,598 undi atau 14.4 peratus, DAP yang bertanding di 47 kerusi Parlimen (menang 28 kerusi), dapat 1,097,752 undi  atau 13.8 peratus jumlah undi sah kawasan Parlimen seluruh negara.

Ikut sistem perwakilan proportional, BN sepatutnya dapat 115 kerusi Parlimen. Sementara baki 107 kerusi untuk pakatan pembangkang: PKR (44) Pas (32) dan DAP (31). Bermakna BN cuma mampu bentuk kerajaan dengan majoriti tipis, yang mungkin akan tumbang bila 4 atau 5 orang wakil rakyatnya belot, letak jawatan atau meninggal dunia.

BN menguasai Parlimen dengan mandat majoriti dua pertiga sejak Merdeka setiap kali PRU, kecuali PRU3 (PRU 1969) dan PRU12, bila menguasai lebih 66 peratus jumlah kerusi Parlimen. Dalam PRU3, Perikatan perolehi 67 kerusi dari jumlah 104 kerusi Parlimen di Semenanjung atau 64.4 peratus. Pengundian di Sabah dan Sarawak ditangguhkan. Sementara dalam PRU12, BN yang kuasai 140 kerusi adalah 63.0 peratus atau kurang 8 kerusi untuk dapat majoriti dua pertiga.

Sungguhpun begitu, jika diimplementasikan sistem undi popular atau perwakilan secara proportional, BN perolehi kerusi Parlimen kurang dari dua pertiga: PRU5 (PRU 1978) undi BN adalah 57.2 peratus, PRU6, 1982 adalah 60.54 peratus, PRU7 (PRU 1986) undi BN adalah 57.28 peratus, PRU8, 1990 (53.38 peratus), PRU9, 1995 (65.15 peratus), PRU10, 1999 (56.53 peratus), PRU11, 2004 (63.81 peratus), PRU12, 2008 (51.40 peratus).

Perbandingan fakta berdata di atas memaparkan bahawa andainya sistem pilihan raya kita ditransformasikan kepada perwakilan proportional atau atas asas undi popular, BN walaupun mempertahankan rekod cemerlang, kerajaan paling demokratik paling lama berkuasa tetapi ianya tak sekuat mana. Mandat rakyat pun hanya di peringkat majoriti kecil. Ini bermakna BN tidak mendapat sokongan kelompok besar masyarakat.

Amalan demokrasi kepilihanrayaan menerusi sistem constituency  representatives menyerlahkan ruang untuk parti pemerintah mengambil kesempatan merancang untuk mengekalkan kuasa. Sungguhpun pembentukan sesebuah constituency atau kawasan pilihan raya digariskan dengan asas yang berkaitan dengan perundangan dan peraturan pilihan raya, tetapi ruang parti pemerintah memanipulasi tetap wujud.

Amalan tidak tersurat dan kelaziman, apabila rang undang-undang diluluskan di Parlimen memperuntukkan kerja-kerja persempadanan kawasan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), perlu diendosekan oleh UMNO Bahagian. Lakaran persempadana dibuat oleh SPR, akan dipinda oleh UMNO Bahagian bagi mempastikan persempadanan atau pengwujudan kawasan pilihan raya baru, memberi advantage kepada UMNO dan BN. Amalan ini amat ketara bila dilihat kepada persempadanan kawasan pilihan raya 1973, 1983, 1993 dan 2003.

Persempadanan kawasan pilihan raya yang dilaksanakan di Malaysia, bukan fokus kepada nisbah penduduk sahaja, tetapi juga mengambil faktor ruang. Nisbah jumlah pemilih bagi satu kawasan pilihan raya di bandar berbeda dengan nisbah bilangan pemilih di kawasan luar bandar dan pedalaman. Faktor akses kepada kemudahan asas juga diambilkira. Tetapi realitinya, kuasa pemerintah membelakangi aspek peraturan ini, demi kepentingan politik dalam jangka pendek.

Dalam persempadanan tahun 2003, ambil contoh kerusi Parlimen Baling. Jumlah pemilih Baling dalam PRU12 ialah 79,102 orang merangkumi 3 kerusi DUN: Bayu, Kupang dan Kuala Ketil. Sebelum persempadanan, Kuala Ketil, berada dalam Parlimen Padang Serai. Oleh kerana kerusi Baling dimenangi pembangkang dalam PRU10, kedua-dua kerusi DUN Bayu dan Kupang mempunyai lebih 90 peratus pengundi Melayu, maka kerusi DUN Kuala Ketil yang mempunyai 80 peratus Melayu dimasukkan ke dalam Parlimen Baling, untuk mengurangkan pengundi Melayu dalam Parlimen Padang Serai. Umum mengetahui PRU10, BN hilang banyak undi Melayu dan kemenangan BN banyak dibantu undi bukan Melayu.

Komposisi pengundi di Parlimen Baling dan Padang Serai berubah. Sebelum persempadanan, Baling memiliki lebih 90 peratus pengundi Melayu dan Padang Serai mempunyai lebih 60 peratus Melayu. Selepas persempadanan, pengundi Melayu di Parlimen Padang Serai cuma 54 peratus. Fokus persempadanan 2003, berfokus pembentukan lebih banyak kawasan pengundi campuran, kerana kemerosotan sokongan UMNO/BN di kawasan Melayu dalam PRU10.

Baling dengan pengundi yang paling besar di Kedah, 79,000 orang, menampakkan keganjilan yang amat nyata kerana Baling adalah kawasan pedalaman. Sebagai kawasan pedalaman, dengan pengundi sebesar itu, menggambarkan sebuah kawasan pilihan raya yang luas. Sementara kawasan Parlimen Gerik, juga pedalaman cuma mempunyai 26,229 pengundi sahaja dan Parlimen Lenggong cuma 23,223 pemilih.

Berbanding dengan Baling, kawasan Parlimen Kuala Kangsar, satu kawasan bandar, Bandar Di Raja Perak, cuma mempunyai 28,325 pemilih sahaja. Begitu juga, kawasan Parlimen Padang Rengas dengan 24,397 pengundi, satu kawasan pekan kecil dikelilingi kampung tradisional, amatlah dangkal hendak dibandingkan dengan Baling. Perbezaannya demi kepentingan politik di pihak yang sedang berkuasa, asas bandar dan luar bandar serta akses prasarana dipinggir dalam membuat keputusan menggariskan persempadanan kawasan pilihan raya. Wajaran bilangan pemilih dan keluasan kawasan telah diketepikan.

Bagi kawasan luar bandar, jumlah pemilih Parlimen Baling tidak setara bila dibanding dengan kawasan bandar seperti Parlimen Alor Star, pemilihnya 58,597 dalam PRU12. Kerusi DUN Kota Darul Aman, satu kawasan kecil di tengah bandaraya Alor Star, cuma mengandungi 15,087 pemilih berbanding jumlah pemilih di kerusi Bayu (juga kerusi DUN) 29,197 pemilih. Kawasan Bayu jauh lebih luas, kawasan yang bersempadan dengan Thailand.

Berbalik kepada asas demokrasi, "all members have an equal right to have a say and to make their opinion count".
Amatlah wajar, demi menghormati hak dan kebebasan individu membuat keputusan dan bersuara, sistem pilihan raya berasakan perwakilan proportional sebagai prinsip merealitikan demokrasi. Ambil kes Langkap (1959), dan lain-lain keputusan pilihan raya seumpamanya, adalah tidak menepati semangat dan definisi demokrasi itu sendiri, kerana suara 60 peratus pengundi, tidak ambil kira atau diwakili dalam badan legislatif.

Setelah lebih separuh abad, demokrasi kepilihanrayaan sistem constituency reprentatives yang memiliki beberapa kelemahan dari paparan di atas, ditransformasikan demi keadilan sosial.

Gagasan unity government yang disarankan untuk membawa Pas bekerjasama dengan UMNO, yang menjadi berita besar dalam pilihan raya kecil Manik Urai 2009, 4 tahun lalu, memungkinkan pembentukannya yang lebih  wajar setelah sistem perwakilan proportional dilaksanakan. Model Dewan Pemesyuaratan Rakyat Indonesia (Parlimen), yang membentuk kerajaan perpaduan atau unity government diselaraskan dengan sistem perwakilan proportional amalan negara itu. Parti Demokrat pimpinan Presiden Susilo Bambang Yudhoyomo (SBY) bukanlah parti yang dapat kerusi terbanyak dari Pemilihan Umum (Pemilu) terakhir. Mungkin inilah anggapan setengah pihak calon dari DAP akan jadi PM Malaysia. Kalau berdasarkan undi popular dalam PRU12, DAP menduduki tempat keempat selepas BN, PKR dan Pas. Parti Demokrat pimpinan SBY juga berada di tempat keempat dalam Pemilu Indonesia. Di Malaysia pun bukan aneh, Pas yang menduduki tempat keempat dalam bilangan kerusi dalam DUN Perak, diberi kerusi MB.

Selepas PRU12, pihak kerajaan popular dengan program transformasi, pihak pembangkang dengan idealisme reformasi, ada pula pihak berminat kepada unity government, maka wajarlah sistem pilihan raya kita juga diubah kepada undi popular atau proportional represantatives, untuk melengkapkan pembaharuan-pembaharuan tersebut.























 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan