Sabtu, 23 Mac 2013

Sistem Dua Parti

DEMOKRASI KITA MENUJU SISTEM DUA PARTI

"Sistem dua parti tak boleh pakai" demikian tajuk sebuah berita Berita Harian 15/03/13 di halaman 16, sebagai merumus sidang media bekas PM, Tun Dr Mahathir Mohamad, selepas satu syarahannya di Universiti Malaya. 

Beliau berkata; sistem dua parti boleh merumuskan ketidakstabilan politik dengan kemungkinan berlakunya wakil rakyat yang akan melompat parti. Sistem dua parti di negara ini bermula sejak Pilihan Raya Umum ke 12 (PRU12) dan majoriti yang kecil menyumbang kepada kejatuhan parti yang dipilih rakyat.

Bagaimanapun beliau yakin sistem berkenaan diterima di negara ini dengan syarat parti yang menang mendapat majoriti yang kukuh.

Keaktifan negarawan selaku bekas PM sejak tiga bulan terakhir ini menampakkan kebimbangan mata petaka yang akan menimpa BN dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13). Ini dapat dirasai selepas PRU12, dituruti 16 siri pilihan raya kecil seluruh negara, yang mempertontonkan walaupun berkedudukan 8:8, BN dan Pakatan Rakyat, bukanlah satu keseimbangan.

Sebagai parti pemerintah, sepatutnya BN mengatasi Pakatan Rakyat. Sebagai parti pemerintah, BN menguasai jentera kerajaan, menyalahgunakan kepentingan awam. Yang paling teruk ialah parti menguasai perkhidmatan awan khususnya UMNO. Hinggakan Pengarah Hospital Besar Kuala Lumpur mengeluarkan arahan tidak membenarkan sebarang kenderaan yang melekatkan logo parti pembangkang memasuki perkarangan hospital. Sepatutnya, sebarang pelekat mana-mana parti politik.

Bila mantan Presiden parti yang pernah dipecat sebagai ahli dan pernah keluar parti, aktif semula mengatasi sang Presiden, memaparkan betapa gelabah dan tingginya tahap kebimbangan menjelang PRU.

Tun Dr Mahathir cuba memperkukuhkan idea "pecah dan perintah" bila beliau melahirkan kebimbangan khalayak pengundi berkecenderungan impikan "sistem dua parti". Setelah 55 tahun Merdeka, pembaharuan ke arah realiti keadilan sosial serta memertabatkan suara majoriti, adalah sesuatu yang tidak dapat dielekkan, sesuatu yang inevitable.

Di awal pengenalan demokrasi menerusi pilihan raya, menyediakan ruang sesiapa saja berhak atas kapasiti hak yang dijamin oleh prinsip asas demokrasi: hak untuk bersuara, hak untuk berpesatuan, hak untuk memilih, hak menentukan pemerintahan. PRU pertama (PRU 1959) menyaksikan perpecahan undi kerana bilangan calon yang bertanding tiga atau empat orang dan lebih di satu-satu kerusi atau kawasan pilihan raya.

Di atas asas "the first past the post", menyaksikan calon yang menang perolehi undi yang bukan mewakili suara majoriti. Di kawasan luar bandar, persaingan adalah antara Perikatan (diwakili UMNO), Socialist Front (Partai Rakyat), Pas dan Parti Negara. Sementara di bandar, agak lebih menepati "the wining majority" kerana Perikatan (sama ada MCA atau MIC) ditentang Socialist Front (Partai Buruh Malaya) dan People's Progressive Party (yang menguasai Lembah Kinta).

Keadaan ini berlanjutan dalam PRU2 (1964), dengan penyertaan Parti Perhimpunan Kebangsaan (pimpinan bekas Naib YDP UMNO, Abdul Aziz Ishak) yang bertanding atas nama Socialist Front dan United Democratic Party (pimpinan bekas YDP MCA, Dr Lim Chong Eu).

Pertandingan multi-party, memberi keuntungan dan kelebihan kepada Perikatan yang menguasai kerajaan. Ini memudahkan merealisasikan "pecah dan perintah" demi mempertahankan kelangsungan pemerintahan Perikatan (UMNO-MCA-MIC).

Berbeda dengan PRU3 (1969) yang secara tidak langsung merintis kepada "sistem dua parti" bila mana di kebanyak kawasan pilihan khususnya di Semenanjung, menyaksikan perlawanan dua penjuru.

 Di kawasan luar bandar, Perikatan berdepan satu lawan satu dengan Pas, di kebanyakan kawasan. Di samping itu, Partai Rakyat bertanding bersendirian bukan lagi atas nama SF, setelah Partai Buruh diharamkan dalam tahun 1967. Tanpa penyertaan Parti Negara, membolehkan khalayak pengundi hanya ada dua pilihan: kekal Perikatan atau ubah.

Di samping mengekalkan Kelantan, Pas hampir menguasai kerajaan negeri Terengganu, dengan Pas 11, Perikatan 13, sungguhpun begitu undi popular Pas melebihi angka 50 peratus, mengatasi Perikatan. Pas mula meluaskan pengaruh ke negeri utara: Kedah, Perlis dan Perak.

Parti Rakyat yang menang di kerusi Melayu: Ulu Kuantan dan Balik Pulau, adalah satu lawan satu dengan calon UMNO.

Di kawasan bandar, persefahaman pilihan raya, membolehkan Gerakan, DAP dan PPP bertanding satu lawan satu dengan calon-calon MCA dan MIC mewakili Perikatan. Bukan sahaja Perikatan kehilangan kerajaan negeri Pulau Pinang kepada Gerakan, dan hampir hilang kerajaan negeri Selangor dan Perak, bila kedudukan di Selangor, Perikatan dan Pembangkang 14:14, sementara di Perak 19:21. Kesan paling besarnya, Perikatan gagal kuasai majoriti dua pertiga di Parlimen.

Berbeza dengan PRU4 (1974), di mana persaingan multi-party sebagaimana PRU1 dan PRU2, berulang kembali. Pas, Gerakan dan PPP menyertai BN bersama UMNO, MCA dan MIC di Semenanjung, membolehkan BN bersaingan parti-parti pembangkang: DAP, Pekemas, KITA, PSRM, dalam tiga atau empat penjuru dan lebih. Hasilnya, BN menang besar.


Dengan persefahaman pilihan raya yang lebih mantap di kalangan pakatan pembangkang berbanding PRU12, dijangkakan PRU13 akan memperkukuhkan "sistem dua parti". Adalah tidak menepati naluri kemanusiaan andainya kemenangan berasaskan kepada "the first past the post", kerana ianya berkecendungan mewujudkan "the minority rules the majority".

Kes-kes demikian kita dapat kutip ramai calon yang menang, perolehi sekitar 30 hingga 40 peratus sahaja, menafikan suara 60 hingga 70 peratus pengundi lain, yang berpecah kepada dua atau tiga calon lain. Kes begini, amat ketara dalam PRU1 (PRU 1959), dan Pilihan Raya Negeri Sarawak 1970. Kes seumpama ini juga boleh disaksikan kepada keputusan PRU2 (PRU 1964) dan PRU4 (PRU 1974), terutamanya kerusi DUN.

Adalah lebih adil dan rasional, amalan multi-party ini, mengamalkan sistem pilihan raya dua pusingan, yang popular akhir-akhir ini. Sistem ini mensyaratkan, calon yang menang mewakili suara majoriti secara hakiki dan secara mutlak. Jika calon menang perolehi undi kurang 50 peratus, maka dua calon undian tertinggi akan berentap dalam pusingan kedua; satu lawan satu.

Akhir-akhir ini, negara-negara yang melakukan reformasi demokrasi mengambil sistem ini, di samping setengah negara memilih sistem demokrasi berasaskan undi popular. Dia sistem ini yang cukup popular hari ini dalam merealisasikan asas demokrasi yang menghormati suara majoriti. Meletakkan keburukan "sistem dua parti", sekadar mengeluh kebimbangan rakyat Malaysia akan ada dua pilihan: pertahan kerajaan yang ada atau lakukan perubahan.

Kemungkinan ke arah sistem dua parti adalah sesuatu yang pasti dan bukanlah sesuatu yang menakutkan. Sistem ini adalah satu pembaharuan dalam rangka multi-party mencari ketepatan prinsip demokrasi, pihak majoriti berhak memperolehi kuasa. The minority rules the majority" sudah tak relevan, bertentangan dengan asas demokrasi yang memberi hak kepada pihak yang ramai.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan