Sabtu, 6 Oktober 2012

Kabinet bayangan

KABINET BAYANGAN DALAM PEMBIKINAN

Kabinet bayangan adalah satu kemungkinan dalam amalan demokrasi perwakilan berasaskan kawasan atau represantatives democracy. Kabinet bayangan yang dikepalai oleh apa yang dinamakan "PM-in-waiting", merupakan satu penawaran alternatif kepada pengundi dalam pilihan raya umum berikutnya. 

Apa yang disuarakan atau cabaran dari pihak kepimpinan Barisan Nasional, agar pakatan parti-parti pembangkang membentangkan jemaah kabinet bayangan untuk ditawarkan kepada pengundi menjelang Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13), adalah sesuatu yang boleh dipersoalkan. Pertama, apakah sistem dua parti sudah menjadi satu kenyataan dalam amalan kepilihanrayaan Malaysia, menerusi sistem perwakilan berasaskan kawasan pilihan raya (constituency representatives). Kedua, apakah masyarakat massa, khalayak pengundi khususnya, sudah bersedia dengan sistem dua parti. Ketiga, apakah tahap pendidikan dan kesedaran politik kepilihanrayaan rakyat Malaysia bersedia dengan amalan kerajaan bertukar tangan setiap kali pilihan raya, secara tidak langsung menafikan "dulu, kini dan selamanya". 

Persoalan pertama, berkaitan dengan realiti politik pengwujudan kabinet bayangan. Amalan kabinet bayangan yang popular hari ini diamalkan oleh Great Britain dan Australia. Anggota kabinet bayangan dibayar elaun kerana menjalankan tanggunggjawab mengelola dan mengawasi portfolio yang ditetapkan. Anggota kabinet bayangan berperanan sebagai memerhati, menyelia dan merangka soalan dan cadangan kepada pihak kerajaan yang menjaga portfolio berkenaan. Pendekatan kabinet bayangan hanya wujud di negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen perwakilan berasaskan kawasan. Malaysia amalkan sistem demokrasi seumpama ini.

PRU12, yang telah memecahkan tradisi kerajaan mempertahankan kuasa serta majoriti dua pertiga, adalah satu proses permulaan ke arah merealitikan kabinet bayangan. Kehilangan kerusi Parlimen dan kehilangan penguasaan kerajaan negeri paling banyak dalam sejarah, kesan dari persepakatan parti-parti pembangkang bekerjasama untuk mewujudkan perlawanan satu lawan satu di semua kawasan pilihan raya di seluruh negara. Kegagalan mewujudkan perlawanan satu lawan satu di Sabah dan Sarawak, menggagalkan usaha mengurangkan kemenangan Barisan Nasional.

Daripada analisis berbagai pihak, memperlihatkan PRU13, adalah satu pertarungan yang sengit dan getir antara Barisan Nasional, mewakili pemegang kuasa, dengan pakatan parti-parti pembangkang, demi mempastikan satu lawan satu. Kemungkinan kerajaan bertukar tangan di peringkat Kerajaan Persekutuan, bukanlah satu propaganda dan khayalan. Andainya berlaku perubahan kerajaan selepas selesai PRU13, sistem dua parti menghiasai amalan demokrasi negara kita, maka kabinet bayangan akan menjadi realiti. Kabinet bayangan sebagaimana di Great Britain dan Australia, akan mula beroperasi, di mana Ketua Pembangkang Parlimen masa itu secara tidak langsung adalah "PM-in-waiting".

Kedua, jika itulah kehendak rakyat yang dilontarkan menerusi PRU13, secara tidak langsung rakyat sudah bersedia dan rakyat memang telah melakukan persediaan menerima sistem dua parti, di mana kabinet bayangan adalah sebahagian dari manifestasi dan impian khalayak pengundi. Rakyat yang membuat keputusan berasaskan idea asas demokrasi: all members have interest that are affected by collective decisions.

Persoalan ketiga, sejauhmana tahap kesedaran politik kepilihanrayaan yang menuntut peluang membuat perubahan setiap kali PRU. Sejauhmana ruang-ruang menakut-nakutkan pengundi dengan berbagai andaian, mitos dan serba kemungkinan semakin luntur dan mengakhiri hayat.

Apakah tuntutan asas demokrasi; freedom of expression and a pluralism of independent media, dipraktikkan secara aktif dan mutlak. Asas demokrasi yang dapat menonjolkan serta mengaktifkan perbahasan awam yang berkesan dan bertenaga  (energetic public debate). Apakah nilai-nilai pendidikan kepilihanrayaan ini  tidak dibelenggui oleh halangan pihak yang memegang kuasa (officially controlled media with censorship restrictions).

Sekiranya beberapa persoalan asas yang boleh membantu pembinaan prasarana kondusif menjurus kepada pengwujudan kabinet bayangan dapat diwujudkan, maka wajarlah idea kabinet bayangan diketengahkan. Masanya akan tiba. PRU13 adalah tapak yang munasabah, idealisme kabinet bayangan menjadi realiti, berasaskan kepada manifestasi dari PRU12 dan mood khalayak pemilih pasca-PRU12, yang membayangi ke arah pertukaran kerajaan Persekutuan, yang memperkukuhkan  kepada hasrat terbentuknya sistem dua parti.

Pendapat beberapa pihak yang mencabar kepimpinan pakatan pembangkang membentangkan anggota kabinet bayangan adalah terlalu nakal dan bersifat kampungan. Ini diekori dengan pendedahan dalam harian Utusan Malaysia dan blog pro-BN, senarai kabinet bayangan pakatan pembangkang, yang lebih berbentuk satu serangan psikologi. Akhir-akhir ini, penyokong dan media pro-BN, amat berminat dengan idea kabinet bayangan.

Hasil keputusan PRU11 (PRU 2004) yang memberikan kemenangan paling cemerlang bagi BN menguasai kerajaan Persekutuan, di mana BN menguasai 90.9 peratus kerusi Parlimen (199 dari 219 kerusi), amat mencemaskan pendokong demokrasi dan peminat kabinet bayangan. Kemenangan BN dalam tahun 2004, mengatasi kemenangan paling tinggi ialah dalam PRU 1974: kuasai 135 dari 154 kerusi Parlimen atau 87.7 peratus. Kejayaan tahun 1974, hasil dari kelumpuhan pembangkang setelah parti-parti pembangkang utama: Pas, Gerakan, SUPP dan PPP bersama UMNO, MCA, MIC, USNO, PBB membentuk BN.

Dibimbangi kesan dari PRU 2004, andainya kecenderungan itu berterusan, ianya menuju ke amalan demokrasi berparlimen sistem satu parti, sebagaimana amalan demokrasi kepilihanrayaan di beberapa negara di bahagian timur dan selatan Afrika, serta Timur Tengah. Ianya mempamirkan penguasaan mutlak atau melebihi 95 peratus kerusi dewan perundangan oleh satu parti, dalam tempoh yang lama. Pilihan raya dipanggil sekadar untuk mendapat pengabsahan mandat sahaja.

Peminat kabinet bayangan harus bersyukur dan berterima kasih kepada pemilih dalam PRU12 yang telah membuat satu keputusan yang menafikan kuasa majoriti dua pertiga di Parlimen. Kejayaan BN paling cemerlang dalam PRU11 (2004) diterbalikkan kepada prestasi BN paling buruk selepas Merdeka, bila BN cuma dapat 63.0 peratus kerusi Parlimen. Paparan PRU12, menceriakan peminat kabinet bayangan, kerana jika trend merudum bagi parti yang menguasai kerajaan ini berterusan berkemungkinan kerajaan baru akan terbentuk. Bila kerajaan baru terbentuk, anggota Parlimen dari parti mantan kerajaan Persekutuan itu, berpeluangan membentuk kabinet bayangan.

Kerajaan baru yang dibentuk hendaklah membentang satu rang undang-undang pembentukan kabinet bayangan. Tujuannya membolehkan satu peruntukan wang kerajaan untuk pembiayaan kabinet bayangan tersebut, dalam bentuk imbuhan atau elaun anggota kabinet bayangan serta kakitangan pembantu, sama ada dari kalangan anggota perkhidmatan awam (JPA) atau lantikan politik. Inilah yang diamalkan di Great Britain dan Australia. Negara berkenaan mengamalkan demokrasi berpalimen keanggotaan perwakilan mengikut kawasan, di mana Parlimen dianggota oleh dua dewan perundangan: House of Commons (dipilih)dan House of Lords(dilantik). Di Australia, parlimen dianggotai oleh House of Representatives  dan Dewan Senate. Justeru model yang kita gunapakai adalah model berkenaan, wajarlah satu rang undang-undang kabinet bayangan diluluskan Parlimen ke 13 nanti.

Pengalaman Great Britain, selepas Perang Dunia Kedua(1940-1945), 2 parti yang sering bertukar tangan menguasai kerajaan Persekutuan; Labour dan Conservative. Sementara Liberal Democrats sebagai third force, menguasai sebahagian kerusi Parlimen, di samping beberapa parti kecil yang bersifat regional menguasai bilangan kecil kerusi saperti Scottish Naional Party, Plaid Cymnu (Party of Wales), Sinn Fein dari Ireland Utara dan parti-parti kecil yang lain. Labour dan Conservative yang saling bertukar tangan membentuk kabinet bayangan bila hilang kuasa pemerintah. Cuma dalam pilihan raya 2010, Labour dan Conservative gagal membentuk kerajaan dengan majoriti mudah. Buat pertama kali selepas Perang Dunia Kedua, Great Britain diperintah oleh kerajaan campuran Conservative dengan Liberal Democrats.

Di Australia, dalam pilihan raya 2010, Labour Party memungut 72 kerusi, sementara   Liberal Party  bersama Liberal National dan National Party of Australia, juga mengumpul 72 kerusi. Kelebihannya Labour Party mengumpulkan 50.12 peratus undi, sementara Liberal bersama gabungan memperolehi 49.88 peratus undi.  


India, negara demokrasi berparlimen paling tua di Asia, juga mengamalkan sistem parlimen dwi-dewan sebagaimana Great Britain, sungguhpun mengamalkannya lebih lama berbanding Malaysia, tidak mengamalkan kabinet bayangan kerana tidak wujud sistem dua parti. Parlimen India dianggotai Lok Sabha (dewan perwakilan) dan Rajya Sabha (anggota dilantik mewakili dewan-dewan undangan negeri). Sungguhpun ada 2 parti dominan, tetapi terpaksa bergabung dengan berbagai parti kecil. Parti Kongres (Bharatiya Rastriya Kongresa) mengetuai United Progressive Alliance, sementara Bharatiya Janata Party (BJP) mengetuai parti-parti dalam gabungan National Democratic Alliance. Dalam tempoh 50 tahun selepas merdeka, Parti Kongres menguasai kerajaan Persekutuan. Dalam tempoh 20 tahun terakhir ini, bermulalah pertukaran kerajaan silih berganti antara Kongres dengan BJP dan gabungan. Tetapi amalan demokrasi India, tidak mengamalkan kabinet bayangan. 

 Amatlah wajar, andainya BN dikalahkan oleh pakatan pembangkang dalam PRU13 nanti, terjelmalah sistem dua parti, yang lebih ideal untuk kabinet bayangan. Malaysia, satu-satunya negara yang mengamalkan model Westminster Abbey di Asia Tenggara, sewajarnya mempelopori amalan sistem dua parti demi merealisasikan kabinet bayangan. Sungguhpun, Thailand telah membentuk kabinet bayangan yang diketuai Abhisit setelah hilang kuasa dalam pilihan raya tahun lepas. Tapi, amalan multi-party dalam politik kepilihanrayaan, kabinet bayangan tidak menggambarkan kekuatan sebenar pihak pembangkang.

Bagi peminat dan pejuangan kabinet bayangan seharusnya berusaha mempromosi dan mempastikan idea ini akan menjadi kenyataan. Ianya boleh direalisasikan menerusi pengukuhan sistem dua parti yang dapat diperkukuhkan melalui PRU13 nanti. Justeru itu, untuk mempastikan impian idea kabinet bayangan, PRU13 sepatutnya menghasilkan 2 kemungkinan: i. kerajaan BN berjaya mengekalkan kerajaan Persekutuan dengan simple majoriti atau pencapaian yang lebih rendah berbanding PRU12,  ii.  pemerintahan kerajaan Persekutuan berpindah kepada pakatan pembangkang, di mana ketua kerajaan hari ini, akan menjadi Ketua Pembangkang dan mengetuai barisan kabinet bayangan.

Sudah sampai masanya usahlah dikhuatiri bahawa kabinet bayangan adalah dalam pembikinan, seiringan dengan perubahan masa serta peningkatan tahap pendidikan pengundi. Idea kabinet bayangan berkait rapat dengan pertukaran kuasa pemerintahan. Sebab kabinet bayangan, amalan di beberapa negara, dibarisi oleh anggota kerajaan yang gagal pertahan kuasa. Tiada kabinet bayangan di mana-mana negara, di mana pemegang kuasa tidak pernah bertukar tangan.

Untuk perhatian, anggota kabinet bayangan tidak semestinya menjadi anggota kabinet bila parti mereka menguasai kerajaan, mengikut amalan dan pengalaman negara-negara yang mengamalkan kabinet bayangan.






   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan