Khamis, 25 Oktober 2012

Salam Idiladha

SALAM IDIL ADHA UNTUK PERUBAHAN

Kedatangan Idil adha mempunyai pengertian yang amat besar dan berkesan dalam perjalanan hidup, bagi setiap insan muslim. Keistimewaannya amat luar biasa berbanding dengan peristiwa atau episod kehidupan yang lain.
Idil Adha mengajar, memandu dan mendidik kita, menilai masa depan bukan dibataskan rahsia kejadian kita serta hubungan kita dengan alam, bukan sekadar hubungan interpesonal dan intrapersonal, diperluaskan kepada hubungan manusia dengan Penciptanya. 

Segala kesilapan, kealpaan dan kelemahan di masa lampau, dapat ditebus kembali dengan menjadikan kedatangan idil adha sebagai ruang untuk menyemak serta muhasabah, demi pembinaan kehidupan yang lebih baik dari hari ini. Hari ini lebih baik dari semalam, dan besok sepatutnya lebih baik dari hari ini.

Justeru itu, sewajarnya tuntutan kelebihan 10 hari pertama Zulhijah dijadikan keutamaan dalam amalan hidup kita serta dihayati dengan penuh kepatuhan dan keyakinan. Rasulullah s.a.w,, bersabda maksudnya: tidak ada hari yang paling baik dilakukan amal padanya di sisi Allah daripada 10 hari pertama (Zulhijah). Para sahabat bertanya: tidakkah berjihad pada jalan Allah lebih baik. Tegas baginda: walaupun berjihad pada jalan Allah melainkan seseorang itu keluar dengan penuh ikhlas jiwa raganya dan hartanya yang tidak mengharapkan sesuatu melainkan (keredaan Allah), -   hadis riwayat Imam Ahmad, Bukhari, Abu Daud, at-Tarmizi dan Ibnu Majah daripada Ibnu Abas r.a.

Bagi mereka yang tidak menunai fardhu haji dan berada di halaman kampung masing-masing, rebutlah kelebihan ibadat dan amalan sebagaimana peringatan Rasulullah itu. Sesungguhnya, apa saja yang kita amalkan atau lakukan hari ini seharusnya mencerminkan impian, harapan dan realiti masa depan. Masa depan bukan sekadar dalam konteks masa akan datang di alam dunia ini, tetapi lebih luas lagi, kehidupan di alam akhirat. Justeru itu, amatlah tepat pentadbiran kerajaan Pas Kelantan sejak 22 tahun lalu, menjadikan konsep ubudiyah, salah satu unsur pentadbiran dan pengurusan jentera kerajaan.

Sambutan hari raya qurban pada hakikinya mengambil pengajaran dari dua peristiwa besar dalam sirah Islam: peristiwa pengorbanan dua anak Nabi Adam, Habil dan Qabil, dan pengorbanan Nabi Ibrahim dengan anaknya yang tercinta, Nabi Ismail.

Dua peristiwa ini terakam dalam al Quran sebagai teladan dan pengajaran untuk umat terkemudian. Bagaimana dendam dan kecewanya Qabil terhadap Habil, bila korbannya tidak diterima Allah. Allah melihat nilai pengorbanan. Justeru itu, Allah menurunkan firmannya: " hanya Allah menerima (qorban) daripada orang yang bertakwa" - Al Maidah : 27.

Peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim memaparkan akhlak Nabi Ibrahim yang melakukan segala perintah Allah tanpa banyak soal bermula perkara sekecil-kecilnya hinggalah perkara yang besar iaitu peristiwa penyembelihan anaknya sendiri, Nabi Ismail.

Bagi mereka yang sedang menunaikan ibadat haji, hari ini sedang berwukuf di Arafah, didoakan akan diberkati serta dikurniakan haji mabrur, di mana ganjarannya dijamin Allah dengan pembalasan syurga di hari kebangkitan nanti. Besok mereka akan melontar di Jamratul Qubra, dan akan diikuti Jamratul Sughra dan Jamratul Wusta, hinggalah selesai hari Tasriq.

Harapannya melontar di ketiga-ketiga jamrah itu, dengan komitmen dan iltizam yang tinggi, simbolik merejam syaitan laknatullah. Terbina nilai yang tinggi benci kepada syaitan. Semoga bila pulang ke tanah air kelak, menolak ke tepi " better the devil you know than the angel you don't know".

 Harapannya, kita haruslah melompat keluar dari kelompok mereka yang masih kukuh dengan lebih baik berbaik dengan syaitan yang dikenali berbanding dengan malaikat yang tidak dikenali, mengambil falsafah pengorbanan Habil serta Nabi Ibrahim serta amalan ibadat haji.

Apakah sempena sambutan Idil Adha serta falsafah korban dan ibadat haji, kita mempunyai satu cita-cita dan impian untuk melakukan perubahan. Sangguhkan kita mengasingkan diri dari "syaitan yang dikenali", demi melangkah setapak ke arah satu perubahan dengan masa depan ummah dan negara kita. Ini semua, berada dalam fikiran masing-masing.

Persoalannya, apakah Idul Adha tahun Hijrah 1433 ini, merupakah hari raya qurban untuk pengorbanan. Apakah akan berlaku perubahan penguasaan kerajaan Persekutuan dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13). Apakah hari raya qurban tahun ini, sebagai tapak bermulanya zaman perubahan.

Selamat menyambul Idul Adha. Allahu Akhbar. Allahu Akhbar. Allahu Akhbar.  Salam perjuangan.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan