Rabu, 12 September 2012

Pilihan Raya Kerajaan Tempatan

KEWAJARAN PILIHAN RAYA KERAJAAN TEMPATAN

Dalam kesibukan semua parti membuat persiapan untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13, kerajaan negeri Pulau Pinang, menimbulkan idea pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan di negeri tersebut. Pada 30/8/12 lepas, kerajaan negeri telah menghantar surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan perlunya diadakan satu pilihan raya berkenaan, kerana satu enakmen telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pada sidang DUN Pulau Pinang, dalam bulan Mei lalu, telah diluluskan Enakmen Pilihan Raya Kerajaan Tempatan Pulau Pinang (Pulau Pinang dan Seberang Prai) 2012. Ianya telah diwartakan pada 5/7/12, untuk membolehkan keanggotaan 2 buah majlis tempatan iaitu Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Prai dipilih secara langsung menerusi kaedah pilihan raya, di bawah kendalian SPR.

Secara tidak langsung pihak yang bertanggungjawab dan berkaitan memberikan komentar mengelakkan satu pemilihan secara langsung menerusi pilihan raya. Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Chor Chee Heung berpegang kepada prinsip membuang masa, wang dan tenaga.

Jabatan Peguam Negara mengulas enakmen ini batal dan tidak sah kerana Seksyen 15, Akta Kerajaan Tempatan 1976, yang menghalang sebarang pilihan raya kerajaan tempatan, mengatasi Akta Pilihan Raja Kerajaan Tempatan 1960.

SPR belum beri alasan setakat ini tetapi telah mengambil sikap mengelak untuk mengurus satu pilihan raya kerajaan tempatan.

Sebagai sebuah badan legislatif yang mengurus sebuah kerajaan, walaupun sebuah unit yang kecil berbanding sebuah kerajaan negeri, kewajaran memberikan hak kepada penduduk dalam kawasan tadbiran memilih sendiri badan legislatif adalah munasabah. Munasabah bila kita memikirkan dari sudut semangat demokrasi yang memperuntukan kebebasan bersuara, menentu hak dan kuasa memilih.

Penduduk dalam kawasan tadbiran pihak berkuasa tempatan diberi peluang memilih sendiri jentera pembuat dasar (majlis tempatan), di mana sudah barang tentu segala keputusan serta dasar atau peraturan, demi rakyat di kawasan berkenaan.

Sebelum pilihan raya tempatan untuk Majlis Bandaraya, Majlis Bandaran dan Majlis Tempatan, digantung dalam tahun 1965, ekoran konfrantasi Indonesia, menyaksikan tanggungjawab majlis tempatan lebih kepada rakyat yang membayar cukai. Ini jauh berbeza, dengan majlis tempatan hari ini yang hilang kontaks dengan rakyat, tetapi lebih memberi komitmen kepada kerajaan yang menguasai negeri, kerana kuasa melantik adalah kuasa kerajaan negeri.

Dalam tahun 1960an, Socialist Front telah berjaya menguasai Majlis Bandaraya Geogetown, Majlis Bandaraya Melaka dan Majlis Perbandaran Seremban. Parti PPP menguasai Majlis Perbandaran Ipoh. C.Y.Chooi adalah Datuk Bandar Georgetown, sementara Hasnul Abdul Hadi adalah Datuk Bandar Melaka. Kedua-duanya pemimpin Socialist Ffont. Majlis-majlis Bandar di bandar-bandar utama lain seperti Alor Star, Kangar, Johor Bahru, Kuantan dan Kuala Terengganu, dikuasai Parti Perikatan. Majlis Bandaran Kota Bharu juga dikuasai Perikatan, walaupun kerajaan negeri dikuasai Pas.

Menerusi pilihan raya kerajaan tempatan, ianya menyuburkan demokrasi, kerana tempoh majlis tempatan cuma 2 tahun. Setiap 2 tahun, rakyat diberi peluang memberi mandat baru. Rakyat sentiasa terdedah kepada amalan kebebesan bersuara dan kebebasan memilih, secara tidak langsung mendidik rakyat, mengenenali dan mengamalkan hak-haknya sebagai seorang pembayar cukai dan seorang warganegara.

Semasa menggantung pilihan tempatan zaman konfrantasi dulu, Tunku selaku PM masa itu, berjanji akan menyemak semula keputusan pergantungan itu. Sehinggalah Tunku berhenti, tiada sbarang tindakan baru.

Dalam awal 1970an, ditubuh satu suruhanjaya mengenainya iatu Suruhanjaya Athi Nahapan. Hasil perakuan suruhanjaya ini, dibentangkan Akta Kerajaan Tempatan 1976. Antara lain dalam akta ini, menghalang sebarang pilihan raya peringkatan kerajaan tempatan, sebagaimana ditafsirkan oleh Seksyen 15.

Setelah negara kita melebih separuh abad usia kemerdekaan, amatlah wajar, memberi hak kepada rakyat selaku pembayar cukai diberi kuasa menentukan badan legislatif yang mengurus serta menyediakan perkhidmatan untuk kemudahan mereka. Andainya kuasa memilih diberi kepada pembayar cukai, pihak berkuasa tempatan akan menyediakan perkhidmatan yang lebih baik, agar mereka selaku pihak legislatif akan terus berkuasa dan menjadi pilihan rakyat menerusi kuasa undi.

Sepatutnya kuasa undi bukan sekadar menentukan pembentukan kerajaan peringkat Persekutuan dan peringkat Negeri, tetapi juga wajar merangkumi pembentukan Kerajaan Tempatan.

Kuasa rakyat menerusi demokrasi demi pembentukan keadilan sosial dan kesamaan, perlu diperluaskan dan dieksploitasikan sepenuhnya. Berilah keadilan dan hak kepada semua pihak mengecapi nilai demokrasi yang sebenar, kerana kuasa mentadbir dan memerintah bukan hak mutlak yang dipusakai. Kuasa ini harus dikongsi bersama, atas prinsip persamaan hak yang dituntut oleh amalan demokrasi tulen.

Kelulusan satu enakmen ke arah pilihan raya tempatan oleh DUN Pulau Pinang harus disanjung oleh semua pencinta demokrasi demi penambahbaikan mutu perkhidmatan pihak berkuasa tempatan kepada rakyat setempat. Harapannya, selepas PRU13 nanti, semua kerajaan negeri membentang satu enakmen sedikian rupa, agar penyuburan amalan demokrasi itu dapat diperluaskan dan dihayati sepenuhnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan