Isnin, 29 Oktober 2012

Jangan bodohkan rakyat

PEMIMPIN PERLU AKUR PADA FAKTA, JANGAN BODOHKAN RAKYAT

Sebuah tajuk berita dalam akhbar Sinar Harian, Edisi Nasional keluaran hari ini (29.10.12), di halaman 10, bertajuk "Mat Sabu tidak tahu fakta", amat menarik untuk dipanjangkan untuk khalayak pembaca dan penjenguk ruangan ini.

Tulisan itu memetik kenyataan dari Datuk Idris Haron, Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan mantan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, yang menyifatkan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu sebagai tidak tahu fakta dalam isu suara orang Melayu di Parlimen. Kenyataan Idris sebagai mengulas dakwaan Mohamad Sabu bahawa Pakatan Rakyat berjaya menambah bilangan Ahli Parlimen Melayu di Dewan Rakyat menerusi Pilihan Raya Umum ke 12 (PRU12) lalu, berbanding Barisan Nasional.

Mohamad mengeluarkan kenyataan demikian, dalam media massa kelmarin kerana beberapa kawasan yang dalam PRU11 diwakili bukan Melayu, tetapi kini diwakili oleh wakil rakyat Melayu menerusi PKR dan Pas seperti Kota Raja (Dr Siti Mariah Mahmud), Kuantan (Fuziah Salleh), Teluk Kemang (Datuk Kamarul Bahrin Abas), Hulu Selangor (Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, sebelum meninggal dunia), Bandar Tun Razak (Tan Sri Khalid Ibrahim), Bayan Baru (Datuk Zaharin, kini Anggota Bebas).

Idris menambah, dalam PR, DAP mendominasi sama ada bilangan kerusi peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (Dun).

"Pas tak pernah dapat menandingi jumlah kerusi DAP di Parlimen dalam pembangkang sejak merdeka. Tetapi Barisan Nasional, terutama UMNO, tetap mendominasi Ahli Parlimen Melayu dari 1959 hingga sekarang di Parlimen dan Dun."

Menurut Idris, perbandingan angka di Dun dan Parlimen, UMNO mendahului (senarai), DAP di tangga kedua, manakala Pas dan PKR ketinggalan, walaupun dibandingkan dengan parti komponen BN, seperti PBB dan PBS.

Fakta yang diberikan Idris amatlah salah dan terpesong jauh, mencemari dunia akademik, tak sepadan dengan taraf seorang pemimpin tertinggi parti (Ahli Majlis Tertinggi), bekas Timbalan Menteri, dan pernah ketuai sebuah kerajaan tempatan di Melaka.

Dalam Parlimen ke 4, selepas PRU4 (PRU 1974), Ahli Parlimen Pas ialah 14 orang, berbanding DAP cuma 9 orang sahaja. Boleh semak penyata keputusan pilihan raya 1974.

Bermula PRU9 (PRU 1995) hingga PRU terakhir iaitu PRU12 (PRU 2008), jumlah wakil rakyat DAP tak pernah mengatasi jumlah wakil rakyat mewakili Pas.

Dalam PRU9, Pas menang 7 kerusi Parlimen dan 33 Dun, berbanding DAP yang menang 9 kerusi Parlimen dan 11 kerusi Dun. 40 (7 + 33 ) sudah barang tentu lebih banyak berbanding  20 (9 campur 11). Boleh rujuk buku Penyata Pilihan Raya Umum 1999 keluaran SPR.

Dalam PRU10 (PRU 1999), Pas menang 27 kerusi Parlimen dan 98 kerusi Dun. Sementara DAP, cuma dapat 10 kerusi Parlimen dan 11 kerusi Dun. 125 berbanding 21, sangat jauh perbezaannya. Malah Pas berjaya menguasai 2 buah kerajaan negeri dan diberi tanggungjawab Ketua Pembangkang Parlimen.

Dalam PRU11 (PRU 2004) yang menyaksikan prestasi parti-parti pembangkang paling rendah selepas merdeka, Pas masih berjaya mengumpul kerusi terbanyak berbanding parti pembangkang lain. Sungguhpun cuma dapat 6 kerusi Parlimen, Pas masih berjaya kuasai sebuah kerajaan negeri serta memeangi sejumlah 36 kerusi. DAP menang 12 kerusi Parlimen dan 15 kerusi Dun. Perbandingannya, jumlah kerusi Pas ialah 42 ( 6+36) dan 27 untuk DAP (12+15).

Dalam PRU12 (PRU 2008), untuk kerusi Parlimen, Pas dapat 23 dan DAP 28, sebaliknya bagi kerusi Dun, Pas memenangi sejumlah 83 kerusi berbanding 73 kerusi oleh DAP. Pas mengetuai 3 buah kerajaan negeri, sementara DAP, kuasai sebuah kerajaan negeri. Jumlah kerusi Parlimen campur Dun dimenangi oleh kedua-dua parti: Pas 106 dan DAP 101.
 
Mengenai PBB (Parti Bumiputera Bersatu), komponen terbesar BN di Sarawak dan bahagian besar ahlinya orang Islam. PBB menang 14 kerusi Parlimen sahaja, jauh lebih rendah berbanding Pas, dalam PRU12. Itu pun tambahan 2 kerusi, kerana tambahan 3 kerusi Parlimen baru di Sarawak.
 
Perbandingan yang diberikan Idris ke atas PBS (Parti Bersatu Sabah). PBS cuma ada 3 orang sahaja Ahli Parlimen menerusi PRU12. Amat jauh berbanding Pas. Satu perbandingan dan contoh yang amat dangkal dan cetek.

Sebenarnya, pemimpin ada ego masing-masing. Ego yang paling buruk ialah melihat orang bawahan, rakyat bawahan dan pengikut sebagai bodoh, jahil maklumat dan senang ditipu. Pemimpin dengan ego sedemikian memperkukuhkan hubungan penindas dengan tertindas, elit dengan kelas marhaen, yang digambarkan mudah dieksploitasi dan dimanipulasikan.

Justeru itu, rakyat di era separuh abad lepas merdeka, mencerdaskan minda, celik maklumat dan jadilah pengkritik sosial yang hebat. Leburkanlah lagenda Dunia Ketiga, yang padat dengan kemunduran dan ketandusan ilmu, yang menghalang pembentukan masyarakat yang terbuka dan mengiiktiraf perbezaan pendapat.

Dalam menghadapi PRU13, khalayak masyarakat pemilih khususnya, harus akses kepada maklumat terkini dan faktual, dalam membuat pilihan untuk masa depan negara dan ummah kita. Zaman propaganda demi mematahkan hujah lawan dan cengkaman ke atas keterbukaan minda, sepatutnya sudah berlalu. Masyarakat yang berilmu dan celik maklumat akan membuat keputusan yang bijak menentukan pemimpin, antara yang fasik dan jujur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan