Ahad, 14 Oktober 2012

Kewajaran Pilihan Raya Tempatan

MEMANG WAJAR PILIHAN RAYA MAJLIS TEMPATAN

Saranan YB Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Pengajian Tinggi dalam satu forum di Pulau Pinang semalam amatlah perlu diadakan semula pilihan raya memilih anggota majlis berkuasa tempatan, yang telah dimansuhkan dalam tahun 1960an dulu. Sejak awal lagi, bila menjejak kerusi Parlimen, beliau segar dengan pendirian dan prinsipnya mempertahankan kesuburan demokrasi demi memenuhi tuntutan dan realiti khalayak semasa.

Pada 12/9/2012, di ruangan ini, penulis telah menulis sebuah catatan kewajaran dijelmakan semula pilihan raya majlis berkuasa tempatan, sebagai mengulas satu enakmen yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, membolehkan satu pilihan raya tempatan untuk memilih anggota mesyuarat majlis berkuasa tempatan.

Amatlah wajar dan bertepatan sekali, pandangan Datuk Saifuddin, demi mengadaptasikan proses demokrasi dalam semua pihak berkuasa yang terlibat dengan pembuatan dasar awam, sampai ke peringkat paling rendah. Bila pelajar di institusi pengajian tinggi dilibatkan dengan proses pilihan raya, dalam memilih kepimpinan di peringkat kampus, apa alasan masyarakat sivil di luar kampus dinafikan hak memilih kepimpinan sendiri di peringkat kerajaan tempat.

Di manakah asas demokrasi yang menegaskan sebagai; a procedure for taking decisions in any group, association or society, whereby all members have an equal right to have a say and to make their opinions count. Satu kelompok atau khalayak yang membentuk masyarakat dalam lingkungan kawasan berkuasa tempatan harus diberi peluang mengelola atau mentadbir sendiri kawasan mereka.

Proses serta suasana yang diperjuangkan oleh demokrasi, memberi ruang setiap orang hak untuk bersuara, peluang untuk menyuarakan serta ruang mengambil bahagian menentukan dasar awam untuk kawasan mereka sendiri. Penyediaan prasarana awam ini akan dapat menepati prinsip "one person, one vote, one value", yang memberi gambaran yang lebih luas perlakuan persepsi "all person are of equal worth", setiap orang dibekalkan dengan satu undi dan setiap undi amat berharga.

Secara tidak langsung amalan demokrasi mengangkat darjat dan harga diri seseorang. Tiada pihak yang dikesampingkan, semua memilik hak yang sama dan seimbang. Justeru itu, amatlah wajar, hak ini disebarluaskan, sampai ke pembentukan sebuah majlis berkuasa kerajaan tempatan. Hari ini, kuasa ini cuma sekadar di peringkat pihak berkuasa kerajaan negeri dan kerajaan pusat. Ini telah memisahkan, persepsi penglibatan aktif setiap penduduk dalam proses penentuan pembuat dasar awam di peringkat paling kecil. Situasi ini juga, menghadkan penglibatan dan penyertaan masyarakat sivil secara aktif dalam penyelesaian masalah bersama di penempatan masing-masing.

Langkah kerajaan negeri Perak semasa DS Mohd Nizar Jamaluddin, yang memulakan penyertaan membuat keputusan awam di peringkat akar umbi, dengan memperkenalkan pemilihan ketua kampung melalui proses demokrasi kepilihanrayaan. Sungguhpun, amalan itu, tidak menyeluruh, cuma untuk mengisi beberapa kekosongan sahaja, pada asasnya adalah satu usaha merintis ke arah pelaksanaan pemilihan anggota majlis berkuasa tempatan melalui elemen demokrasi. Sayang hayat kerajaan DS Nizar tidak panjang.

Sudah sampai masanya, setelah pemansuhan pilihan raya kerajaan tempatan, hampir setengah abad, direalisasikan semula demi penyuburan demokrasi dan membentuk sebuah masyarakat yang sensitif kepada haknya sebagai pembayar cukai. Hari ini, isu-isu pembangunan serta penyediaan prasarana untuk kebajikan sosial, tidak lagi menjadi isu yang boleh menarik dan menolak sokongan kepada parti politik. Isu semasa kini adalah persoalan ketelusan dan kebertanggungjawapan urustadbir sesebuah kerajaan.

Rakyat selaku pembayar cukai seharusnya diberi peluang mengenali serta ambil bahagian dalam pelaksanaan dasar awam, untuk kepentingan bersama. Sebagai pembayar cukai, mendekatkan mereka kepada realiti perencanaan perbelanjaan di peringkat unit pembuat dasar yang kecil dan terbatas.

Satu urustadbir atau good governance mampu diperhati lebih dekat oleh pembayar cukai, andai pembayar cukai terlibat sama dalam menentukan siapa yang akan mengelola atau menentukan dasar sesebuah kerajaan tempatan. Apa status kerajaan tempatan: Majlis Bandaraya, Dewan Bandaraya, Majlis Municipal atau Majlis Perbandaran, Majlis Daerah, Majlis Tempatan, lebih competence serta telus, andainya  khalayak masyarakat yang jadi penghuni dalam lingkungi sempadan kerajaan tempatan tersebut, dilibatkan secara langsung.

David Beetham (2005) dalam pemerhatiannya ke seluruh dunia, memberi contoh bagaimana kejayaan urustadbir yang memantapkan sebuah pihak berkuasa tempatan. Setelah Parti Pekerja menguasai majlis perbandaran Porto Alegre, di selatan Brazil, dalam tahun 1989, menampakkan keberkesanan apabila masyarakat dilibatkan dengan perancanaan perbelanjaan dapat meningkatkan mutu urustadbir sumber kewangan dengan cekap. Pembaziran dan ketirisan dapat dielakkan, kerana masyarakat  senang melihat dan memerhati setiap dollar yang dipungut dari pembayar cukai dan dibelanjakan untuk faedah awam dengan cekap. Ekses rakyat dengan majlis tempatan lebih dekat dan cepat, berbanding hubungan pengundi dengan Parlimen pusat.

Sudah sampai masanya, dengan ledakan ketidakcekapan urustadbir hari ini yang menyumbang kepada ketirisan, pembaziran, pemborosan dan kerakusan menggunakan perbelanjaan awam, wajarlah pengurusan di peringkat kerajaan tempatan, sebagai unit legislatif paling bawah, dilibatkan dengan amalan demokrasi kepilihanrayaan. Rakyat selaku pembayar cukai dan penghuni dalam kawasan pihak berkuasa tempatan, mempunyai kuasa menukar penguasa kerajaan tempatan, bila mutu perkhidmatan tidak menyenangkan penduduk setempat.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan