Jumaat, 2 Mac 2012

MELAYU DULU, 1MALAYSIA KEMUDIAN

Natijah dari Pilihanraya Umum (PRU) 12, 2008 membuka ruang kepada berbagai pihak khususnya parti politik melakukan anjakan paradigma, untuk memenuhi tuntutan semasa. Analisis statistikal menunjukkan corak pengundian dalam PRU12 dicirikan oleh batasan kaum dan geografis. Prestasi sesebuah parti tidak bertaburan atau mewakili masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, berbilang agama, berbilang lanskap sosio-ekonomi.

Parti pemerintah di bawah kepimpinan baru, DS Najib Tun Razak, memperkenalkan konsep 1Malaysia. Menyedari, kemerosotan sokongan masyarakat bandar dan bukan Melayu di Semenajung, 1Malaysia adalah mekanisme menarik kembali pengundi di sektor berkenaan menyokong parti pemerintah. 1Malaysia dipromosikan satu program mega memberi peluang yang sama rata kepada semua rakyat tanpa batasan kaum dan ruang. 1Malaysia disensasikan sebagai wadah baru membina keadilan sosial serta peluang kelompok ummah yang terpinggir dan terlepas dari arus pembangunan sosial dan fizikal nasional.

Parti-parti politik komponen BN yang bergerak di sektor bandar dan lebih fokus kepada pengundi bukan Bumiputera: MCA, Gerakan, MIC, PPP dan SUPP, mengalami kemerosotan yang amat ketara dalam PRU12. Justeru itu, beberapa pendekatan berbentuk dasar dilaksanakan, demi mengembalikan imej serta keyakinan rakyat kepada BN. Sebelum PRU12, kuota anugerah biasiswa JPA untuk tajaan pelajar ke luar negara, 90:10 bagi 2,000 tempat. Kuota baru: 55:45 bagi Bumiputera: bukan Bumi.

Penstrukturan mekanisme pelaksaan dasar secara beransur untuk mewujudkan keadilan sosial terjamin dan dipraktikkan dalam beberapa dasar pengurusan dan pentadbiran, semata-mata hendak mencerminkan semua rakyat dari berbagai latar belakang tempat tinggal, asal keturunan dan budaya berbeza, tidak diabaikan. Pelaksanaan dasar ini direalisasikan menerusi; klinik 1Malaysia, kedai 1Malaysia, terkini BR1M, yang menganugerahkan RM500 bagi isi rumah berpendapatan bulanan di bawah RM3000.

Idealisme 1Malaysia adalah bercirikan usaha untuk mengurangkan tanggapan negatif masyarakat bukan Melayu terhadap pemerintah atau dengan lain perkataan BN. Persoalannya, apakah kemerosotan prestasi BN lantaran sikap pengundi bukan Melayu yang mula meminggirkan diri dari kem parti pendokong kerajaan. Atau kemerosotan undi BN, natijah dari kegagalan mekanisme penyatuan rakyat berbilang kaum. Atau menebalnya polarisasi kaum dalam berbagai sektor kehidupan. Atau mungkin kegagalan parti-parti komponen mengekalkan keyakinan rakyat, selepas kecemerlangan dan kegemilangan PRU11.

Satu trend bertentangan dengan agenda nasional 1Malaysia; usaha dipelopori tumpuan diberikan untuk kaum Melayu. Satu kelompok dalam kepimpinan UMNO, melalui beberapa kenyataan Timbalan Presiden UMNO, TS Mahyuddin Mohd Yassin, menekankan Melayu dahulu. Secara lateralnya, Melayu dulu, rakyat Malaysia kedua, amat bertentangan dengan falsafah tersirat pada 1Malaysia. Trend ini seolah menafikan usaha murni BN hendak menawan hati pengundi bukan Melayu, agar Putrajaya dapat dikekalkan dengan kemenangan bergaya.

Pandangan YBM Tengku Razaleigh Hamzah, Anggota Parlimen Gua Musang, saranan Melayu dahulu, rakyat Malaysia kedua, amat bertentangan dengan gagasan 1Malaysia yang dipopularkan oleh kepimpinan tertinggi BN. Hasrat melihat wujudnya keadilan sosial dan kesamarataan dalam konteks masyarakat majmuk agak lambat capai matlamat.

Penyelesaian Melayu dahulu, seolah melihat masalah asas segala masalah yang membawa kepada kemerosotan sokongan terhadap BN. Mengambil faktor rasis atau kepentingan kaum, akan menjarakkan lagi BN dengan  idealisme realiti politik baru yang melihat penyelesaian masalah harus berpaksikan memenuhi cita-cita keadilan sosial sejagat.

Umum melihat fenomena semasa yang memperlihatkan kegagalan BN selesaikan. Sekurang-kurangnya 5 faktor yang gagal dilihat oleh pemerintah sebagai faktor penentu kekecewaan rakyat:
  • lompang kekayaan atau pendapatan yang semakin melebar di kalangan rakyat antara golongan berada dengan tidak berada tanpa mengira kaum;
  • kadar pengangguran di kalangan rakyat tanpa batasan kaum;
  • kadar kemiskinan tanpa mengenal batasan geografis dan kaum;
  • dividen KWSP pada kadar 6%, dianggap rendah berbanding dalam tahun 1980an dan 1990an, di mana kadarnya 8% atau lebih;
  • tangga gaji sama ada sektor awam atau swasta yang meningkat dengan kadar yang rendah, peningkatan kadar upah 2.6% semenjak 1998.
Dasar Ekonomi Baru (1970-1990) yang mensasarkan penyusunan semula masyarakat dan membasmi kemiskinan, tanpa mengenal idenditi kaum, memperlihatkan majoriti daripada penghuni sektor kemiskinan adalah orang Melayu. DEB berjaya mengetengahkan segelintir jutawan saperti: TS Vincent Tan, TS Robert Kuok, TS T. Ananda Krishnan.

DEB berjaya memanfaatkan kapitalis berbagai kaum, orang Melayu majoritinya terus berada dalam kancah kemiskinan dan tertinggal dalam arus kepesatan pembangunan ekonomi dan dunia usahawan. Selepas tamat tempoh Dasar Ekonomi Baru, satu kajian mendapati 40% isi rumah berpendapatan di bawah RM1500 sebulan, di mana 73% adalah Melayu dan Bumputera.

Di atas agenda orang Melayu rata-ratanya ketinggalan, agenda Melayu didahulukan dihulurkan untuk tatapan strategi menghadapi PRU13. Apakah isu ini boleh mempengaruhi minda dan tanggapan serta sikap pengundi, sepatutnya perlu diberi perhatian.

Pengundi muda dan pengundi kali pertama (first time voters) yang mengungguli prinsip idealisme realiti politik baru banyak terdedah kepada pengalaman dan persekitaran sejagat. Nilai-nilai uiversal lebih menjiwai dan banyak mempengaruhi tindakan pengundi muda. Golongan ini menerima amalan segajat dan tidak lagi terikat dengan norma-norma politik berasaskan perkauman dan isu-isu tempatan.

Dengan kemudahan media baru dan seumpamanya, mereka menerima pendedahan idea-idea dan falsafah politik sejagat yang menuntut sebuah pemerintahan yang bersih, telus dan cekap, serta penampilan pemimpin-pemimpin yang berketerampilan, bersih dan terbuka.

Masih relevankah agenda Melayu didahulukan, dalam minda generasi pasca merdeka yang banyak terdedah dengan nilai-nilai dan norma-norma kehidupan sosial yang sedang menghakis daki-daki perkauman. Menu tranformasi BN ke arah pertumbuhan ekonomi serta penambahbaikan perkhidmatan serta wawasan reformasi  ke arah memenuhi impian realiti politik baru  anjuran Pakatan Rakyat, kedua-duanya menjurus kepada keadilan, kesejahteraan dan keselamatan sosial, untuk semua rakyat tanpa mengira asal keturunan dan pegangan agama.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan