Selasa, 27 Mac 2012

KERAJAAN PEMBANGKANG

BILA WUJUD KERAJAAN PEMBANGKANG?

Tajuk berita Berita Harian, Isnin 26 Mac 2012, di halaman 2, tulisan Faiza Zainudin dan Serah Sulaiman, "PM mahu rakyat tolak kerajaan pembangkang", amat menarik perhatian saya. Istilah "kerajaan pembangkang" amat popular dimainkan oleh media arus perdana, lebih-lebih lagi setelah tumpasnya keegoan UMNO/Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke 12 (PRU12), di 5 negeri dan Wilayah Persekutuan.

Setelah  usia kemerdekaan kita menghampiri 55 tahun, di bawah pemerintahan UMNO/BN, rakyat Malaysia masih lagi gagal memisahkan antara BN dengan kerajaan. BN adalah kerajaan dan kerajaan adalah BN. Jentera kerajaan dan jentera BN tidak dapat diasingkan dalam kerangka pemikiran rakyat terbanyak. Terjahan idea dari media arus perdana sama ada media cetak atau media letronik, meletakkan minda rakyat gagal memisahkan antara parti dengan kerajaan. Hinggakan kakikatangan awam disebut kakitangan kerajaan, di mana kerajaan yang tidak boleh dipisahkan dengan BN.

Mindset diprogramkan agar dapat menerima hakikat: the Malaysians are unable to distinguished between the BN party ang the government. Penularan idealisme ini mencelarukan anak-anak muda di bangku persekolahan, kerajaan sukatan pelajaran menegaskan perbezaan terminologi kerajaan dan pembangkang. Masyarakat awam tidak didedahkan terdapat mana-mana kurikulum persekolahan sama ada di peringkat pendidikan dasar atau di menara gading, yang menemui hipotesis baru "kerajaan pembangkang". Atau mungkin, dunia akademik ada menerima pakai terminologi demikian dalam kurikulum pengajian, yang tidak tersebar luas.

Parti-parti pembangkang berjaya menguasai kerajaan negeri Kelantan, Pulau Pinang, Kedah dan Selangor. Parti-parti berkenaan adalah menguasai pemerintahan di negeri berkenaan. Faktanya, secara ilmiahnya, adalah satu kenyataan yang salah, sesat dan terpesong, bila kita rujukkan kerajaan yang dibentuk di negeri berkenaan adalah kerajaan pembangkang. Bila sesebuah parti adalah parti pembangkang sebelum pilihan raya, bila ianya berjaya menguasai kerajaan, ia bukan lagi parti pembangkang, bukan lagi kerajaan pembangkang. Ia adalah kerajaan yang memerintah atau a ruling coalition.

Sudahlah orang Melayu dipopularkan dengan filem-filem seram dan tahyul, janganlah pula ditahyulkan dan dipesongkan pemikiran serta mindset politik, di luar pernyataan. Berpijaklah kepada fakta dan realiti sejagat. Sepatutnya dimurnikan pengetahuan dan pendidikan politik, supaya dapat dibina warganegara yang berilmu, berfaktual dan berfokus pada realiti, untuk bersaingan di arus global, dalam rangka membina sebuah bangsa yang disegani dan digeruni. 


Janganlah kerana survival politik dan demi kuasa, kita sengaja memagari anak bangsa kita dengan keterbatasan ilmu dan kelemahan percambahan minda, yang menjadi idaman setiap ketamadunan. Atau kita menyorokkan ilmu dan mendindingi generasi muda dari menerima maklumat yang tepat, berasas dan menyakinkan. Jangan kelirukan anak-anak di bangku persekolahan dan anak-anak di menara gading, dengan kenyataan yang membingunkan, secara  langsung menyemai bibit-bibit pembohongan, penipuan dan di luar realiti, yang menjarakkan dari teras tuntutan  ketamadunan setiap manusia atau kelompok.


Terimalah hakikat setiap yang hidup akan mati. Tiada yang kekal. Kerajaan boleh bertukar tangan dengan izin Allah. Jangan buat penafian hak orang lain, yang Allah kurniakan nikmatNya. Berilah keadilan kepada kepada yang hak, walaupun pahit. Hakikinya, pihak yang Allah beri kuasa yang berhak bentuk kerajaan, tiada kerajaan pembangkang!. Jangan pinggirkan tuntutan nilai sejagat; keadilan, kesamarataan dan kebebesan. Kerajaan sudah ditentukan dan dijelaskan oleh amalan demokrasi dan undang-undang, pembangkang sudah dijelaskan oleh undang-undang dan sistem demokrasi. Politik rimba dan zaman gua sudah berlalu. Politik hingusan dan kolot, yang menafikan hak dalam kemurnian demokrasi, harus diketepikan demi menyuburkan nilai-nilai keadilan sosial sejagat sejajar dengan tuntutan pencipta alam ini.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan