Khamis, 23 Februari 2012

POLITIK ADALAH SURVIVAL

Pendapat Ketua Pemuda Gerakan Pusat, Lim Si Peng dalam forum anjuran Institut Kajian Dasar, awal bulan ini; kerusi-kerusi Parlimen di negeri-negeri Johor, Sabah dan Sarawak, bukan lagi fixed deposit kepada Barisan Nasional, dalam PRU13. Ancaman dari tsunami 2008, melukiskan keserbamungkinan dalam  pilihan raya umum, yang mungkin dipanggil bila-bila masa.

Justeru itu, mengikut beliau, andainya BN kalah, wakil-wakil rakyat Parlimen yang memenangi kerusi atas nama BN, akan meninggalkan BN, menyeberang ke pihak yang membentuk kerajaan. Mereka terpaksa melakukanknya, demi survival diri masing-masing. Politik adalah alat bagi mereka yang menyertai mana-mana parti demi kepentingan diri dan puak didahulukan dan survival politik diutamakan. Kelompok jenis ini meletakkan apa yang boleh diperolehi apabila wadah yang didokongi mencapai kejayaan.

Golongan yang berpegang kepada pragmatisme, amat pantas merebut peluang dari ruang yang tersedia terdedah untuk mereka memetik hasilnya. Golongan opportunist seumpama ini, meminggirkan kelebihan nilai moral dan etika dalam persaingan merebut peluang.

Tanpa sikap opportunistik, Parti Perikatan tidak mungkin membentuk kerajaan di negeri Perak selepas PRU3 (PRU 1969). Dengan adanya opportunis dapat menyelamatkan demokrasi dan dapat merungkaikan masalah pembentukan kerajaan. Sejarah demokrasi di Perak 1969, diulang semula walaupun dengan sedikit perubahan episod, menjatuhkan sebuah kerajaan yang dipilih rakyat dan membentuk sebuah kerajaan baru menerusi tindakan opportunis, dalam tahun 2009. Oleh kerana politik adalah survival, mandat dan amanah yang diberikan rakyat dipersiakan dengan tindakan immoral.

Tindakan  Datuk Joseph Pairin Kitingan membubarkan DUN Sabah dalam tahun 1986, dalam usia kerajaannya cuma satu tahun, satu episod survival politik yang tepat dan matang. Masa itu, usaha mengancam kestabilan politik oleh seteru Parti Bersatu Sabah (PBS); USNO (Pimpinan Tun Datu Mustapha Datu Harun) dan Berjaya (pimpinan Datuk Harris Mohd Salleh) memuncak. Demi survival, beberapa pemimpin dan wakil rakyat USNO dan Berjaya menyertai PBS dan kerajaan. PBS menang besar dan menguasai 36 kerusi dari jumlah 48 kerusi DUN, memperolehi majoriti dua pertiga.

PBS dibentuk Pairin selepas krisis dalam parti Berjaya dalam tahun 1985. Pairin, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri dalam kerajaan Berjaya pimpinan Harris dipecat dari parti. Pemecatan Pairin memberi impak besar kepada sokongan serta keyakinan rakyat terhadap kerajaan Berjaya. Justeru itu, Harris membubarkan DUN untuk pilihanraya negeri. PBS yang didaftarkan 47 hari sebelum pilihanraya DUN Sabah pada 20 dan 21 April 1985, PBS berjaya menguasai 25 kerusi, USNO 16, Berjaya 6 dan Pasok 1 kerusi.

Tun Datu Mustapha mengumpulkan 16 ADUNnya bersama 6 ADUN Berjaya untuk membolehkannya mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri kerajaan minoriti. Atas campur tangan kerajaan Persekutuan melalui Dato' Musa Hitam, Timbalan Perdana Menteri masa itu, membolehkan Pairin membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Selepas kejayaan PBS mempertahankan kerajaan negeri dalam pilihan raya negeri 1986, semakin ramai anggota serta ADUN USNO dan Berjaya keluar parti dan menyokong kerajaan negeri. Dalam tahun 1990, untuk survival,  USNO dan Berjaya, memberi laluan kepada  UMNO masuk ke Sabah untuk berdepan dengan PBS, setelah kerajaan PBS terus mengungguli pilihanraya DUN Sabah 1990. Berjaya (Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah), lahir dari krisis politik Sabah 1975, menggabungkan bekas ahli United Pasok Momogun Kadazan Organisation (UPKO) di bawah Tun Muhamad Fuad Stephents dan bekas ahli USNO dikepalai Dato' Harris Salleh dan berjaya menggulingkan kerajaan Perikatan (USNO-SCA) dalam pilihan raya negeri 1976, ikut rentak USNO. Secara tidak langsung membiarkan parti masing-masing berkubur.

Kemasukan UMNO telah mengubah senario politik Sabah. Kesan paling besar ialah peningkatan pendaftaran pemilih luar biasa, terutamanya di kawasan pantai timur. Awal tahun 1994, berlaku perpecahan dalam kepimpinan PBS. Kelompok Bumiputera Islam dikepalai Mohd Salleh Tun Said Keruak dan Cina diketuai Yong Teck Lee, meninggalkan PBS. Kesannya, dalam pilihanraya DUN Sabah 1994, PBS menang simple majoriti 25 kerusi berbanding BN 23. Pairin gagal mengadap Yang  Dipertuan Negeri untuk angkat sumpah. 26 ADUN PBS termasuk ADUN Dilantik menyokong BN, membolehkan Tan Sri Sakaran Dandai membentuk kerajaan baru, kerajaan BN.

Pemimpin kanan PBS dari blok Bumiputea Bukan Islam yang membantu BN bentuk kerajaan, membentuk parti baru dan menyertai komponen BN. Bernard Dompok membentuk Parti Demokratik Sabah (atau UPKO Baru) yang mendominasi masyarakat Kadazan-Dusun dan Joseph Kurup menubuhkan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) mewakili kelompok Murut.

Di Sarawak, perubahan drastik sikap pengundi amat ketara dalam tempoh 5 tahun terakhir ini. Ini dapat dikesan dari pilihanraya negeri 2006 dan 2011, serta PRU 2008. Pilihanraya negeri 2006, membuka ruang perubahan sikap pengundi, yang telah lama memberi majoriti mutlak dalam DUN, beberapa kali pilihanraya, selepas dikejutkan dalam pilihanraya negeri 1987, bila BN mendapat tentangan sengit dari Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) dan Persatuan Melayu Sarawak (Permas): BN 28, Gabungan PBDS-Permas 20.

Keupayaan gabungan Pakatan Rakyat menerusi DAP dan PKR menambahkan kerusi dari 7 kepada 15 dalam pilihan raya negeri 2011, memperlihatkan realiti politik baru yang tidak tertakluk status kuo penguasaan politik adalah satu kenyataan.

Hasil dari pilihanraya tersebut, jika corak pendirian pengundi kekal dalam pilihanraya umum akan datang, Sarawak sebagai fixed deposit BN, akan terungkai. Dalam PRU12, pembangkang cuma menang satu kerusi parlimen sahaja; P195 Bandar Kuching. Dalam pilihanraya kecil P212 Sibu, BN hilang kerusi kepada DAP. Ada 6 kerusi parlimen, dari penjumlahan undi BN dan DAP, undi terkumpul DAP mengatasi BN : P196 Stampin, P211 Lanang, P219 Miri, P217 Bintulu, P208 Sarikei, sementara di P208, undi DAP hanya ketinggalan 45 undi dengan BN. Di Stampin, gabungan undi DAP-PKR meninggalkan BN dengan 13, 748 undi, Bandar Kuching (15,479), Lanang (9,144), Miri (5,381), Bintulu (453), Sarikei (5,366). Di Sibu, DAP ketinggalan 719 undi.

Peristiwa tindakan kasar penyokong UMNO/BN semasa ceramah DS Anwar Ibrahim di Sembrong dan kehadiran luar jangka kaum Tionghua, di majlis Sambutan Tahun Baru Cina di Endau yang dihadiri Anwar, hujung minggu lepas, perlu diberi perhatian dalam semasa menjelang PRU13. Seolah-olah mengesahkan pendapat awam semasa, 90 peratus pengundi Cina memihak kepada Pakatan Rakyat. Ini disokong pula dengan beberapa sabotaj majlis ceramah PR di Johor, sebelum ini. Tindakan-tindakan di luar norma politik ala Pemuda Tahan Lasak tahun 1960an, akhir-akhir ini seolah-olah menyerupai tindakan penyokong beberapa pemerintah berdepan Arab Springs yang telah dan sedang memuncak di Timur Tengah.

Pendapat Ketua Pemuda Parti Gerakan Pusat bahawa Sabah, Sarawak dan Johor  tidak boleh dianggap sebagai simpanan tetap BN bagi PRU13 sepatutnya tidak boleh dipandang enteng. Sejarah tukar parti demi survival politik popular di Sabah dan Sarawak, perlu diletakkan antara nota kaki yang tidak boleh dipadamkan dalam catatan sejarah. Tambahan pula, sebagai anggota parti komponen BN, pendapat dan pandangan seumpama itu amat wajar dianalisis secara adil, terbuka dan tidak memihak.

Justeru politik satu sains serba kemungkinan, tanpa melihat kepada pengalaman negara asing, pengalaman tempatan telah melahirkan sejumlah besar ahli-ahli politik opportunis, dan pragmatis yang mengetepikan dan menafikan hasrat pengikut. Ini diikuti dengan senario semasa, cetusan swinging pengundi Cina, PRU13 akan membina satu lanskap politik baru, yang mungkin mengubah status quo yang sudah lama terbina dalam benak kepala rakyat Malaysia.
.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan