Jumaat, 9 Mac 2012

UNDI MELAYU PECAH

TERSEMBAMKAH MELAYU?

Satu isu diperkatakan sekarang ialah kesan negatif andainya undi Melayu berpecah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 13 nanti. Justeru politik adalah the art of the possible, berbagai andaian dibuat atas kepentingan pihak yang membuat andaian. Ada pihak yang buat andaian orang Melayu akan kehilangan kuasa pemerintah jika undi Melayu lari dari Barisan Nasional. Ada pihak membuat andaian yang sebaliknya, jika undi Melayu meningalkan BN.

Justeru undi Melayu belum meninggalkan secara total dari BN, dalam sejarah, membolehkan BN atau Perikatan terus menguasai kerajaan Persekutuan sejak 54 tahun lalu. UMNO yang mewakili suara dan sokongan Melayu kepada BN, amat bimbang dengan peminggiran orang Melayu ke atas UMNO/BN, yang boleh menjatuhkan kerajaan BN dalam PRU13.

Perubahan ketara, peningkatan undi Melayu meninggalkan BN,  sebagaimana dipamerkan dalam PRU12, dijadikan asas propaganda kesan negatif andainya berlaku peningkatan undi Melayu memilih parti-parti non-BN. Perpecahan undi Melayu, adalah sesuatu yang tak dapat dielakkan. Ianya pasti berlaku, walaupun secara evolusi.

Mana ada, perubahan budaya, perubahan tamadun, perubahan keupayaan ilmu, perubahan kehendak sosial semasa, akan terus kekal serta perlu dipertahankan demi kestabilan dan keutuhan sesuatu kelompok manusia atau masyarakat. Naluri inginkan perubahan serta pembaharuan, sama ada berbentuk transformasi atau reformasi, pasti berlaku dalam mana-mana golongan manusia yang terdedah kepada proses globalisasi. Setiap anggota masyarakat akan memilih perubahan untuk penambahbaikan dalam kehidupan.

Orang Melayu akan bersatu bila terancam. Contohnya, masa negara kita diancam gelombang konfrantasi dalam tahun 1964, sokongan orang Melayu terhadap parti pemerintah amat ketara. Begitu juga, selepas Peristiwa 13 Mei serta kesan PRU3 (1969), membolehkan orang Melayu membantu BN menang besar dalam PRU4 (1974).

Realiti politik orde baru banyak dipengaruhi oleh idea sejagat yang menuntut penambahbaikan kehidupan serta hubungan sosial antara penduduk. Unsur ini telah memberi kesan: pengurangan ideologi politik dan pengurangan komitmen perkauman. Penganut politik orde baru atau generasi baru cenderung kepada penyelesaian masalah sosial semasa, yang membabitkan mereka khasnya.

Dalam PRU12, BN kehilangan 82 kerusi Parlimen kepada parti-parti pembangkang, yang mengagalkan perolehan majoriti 2/3, serta kehilangan 5 buah kerajaan negeri. Satu prestasi pilihan raya, yang tak pernah berlaku dalam tempoh 50 selepas merdeka. Ancaman terbesar kini bukan ancaman keselamatan negara, ancaman kemelesetan ekonomi, ancaman perpaduan kaum, tetapi ancaman sebenar ialah BN semakin terhakis sokongan undi orang Melayu, yang menjadi talian hayat BN selama ini.

Dalam PRU12, di 27 kawasan Parlimen di mana pengundi Melayu di antara 50 hingga 59 peratus dari jumlah pengundi, calon-calon pembangkang Pas dan PKR telah menang 11 kerusi. 7 dimenangi menerusi calon Melayu: Sungai Petani, Hulu Selangor, Ampang, Hulu Langat, Kuala Langat, Lembah Pantai dan Bandar Tun Razak, 4 menerusi calon bukan Melayu: Padang Serai, Subang, Kapar dan Wangsa Maju. Sementara 18 dimenang BN menerusi 13 calon UMNO dan 5 melalui calon MCA dan Gerakan: Pandan, Alor Gajah, Ayer Hitam, Simpang Renggam dan Tanjong Piai. Menggambarkan, menafikan penguasaan parti politik tertentu di kawasan bercorak berkenaan serta kelihatan fahaman politik merentasi kaum.

Calon Melayu mewakili PKR dan Pas, juga mampu menang di kawasan pengundi Melayu kurang dari 50 peratus, seperti di kawasan Parlimen: Bayan Baru dan Kota Raja. Andainya, keadaan ini berterusan dalam PRU13, satu hakikat realiti politik baru yang mengetepikan ideologi dan perkauman, satu iklim penampilan pemikiran dan pegangan politik baru yang menjurus kepada penolakan politik perkauman dan ideologikal.

Jumlah kerusi Parlimen yang dikuasai oleh orang Melayu dan Bumiputera Islam (melebihi 50 peratus jumlah pengundi) ialah 138 dari 222 kerusi : 116 dari 165 di Semenanjung (70.3 peratus), 14 dari jumlah 25 kerusi di Sabah dan 8 dari 31 di Sarawak.

Pengundi Cina menguasai 58 kawasan pilihan raya Parlimen: 49 di Semenanjung, 2 di Sabah dan 7 di Sarawak.

Tinjauan umum menyimpulkan berdasarkan 16 siri pilihanraya kecil (PRK) di seluruh negara selepas PRU12 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, April 2011, 80% pengundi Cina tidak mengundi calon BN. 2 kerusi di Sabah: Kinabalu (telah dimenangi DAP dalam PRU12) dan Sandakan (pernah jadi kubu DAP, pernah menang 3 kali PRU), jumlah undi DAP/PKR dalam PRN Sarawak mengtasi undi BN di semua 7 kawasan Parlimen di Sarawak yang bermajoriti pengundi Cina. Ambil angka 80 peratus pengundi Cina sudah swing ke DAP/PKR/Pas, maka 40 kerusi majoriti Cina akan dimenangi pakatan pembangkang. Jumlah 49 kerusi majoriti Cina menjadi milik pakatan pembangkang menerusi Pakatan Rakyat.

Di manakah munasabah dan rasionalnya, undi Melayu pecah, DAP akan menguasai kerajaan dan calon DAP bakal menduduki kerusi PM. Kalau jumlah 138 kerusi Melayu/Bumiputera Islam pecah dua, katakan 70 BN, 68 PKR/Pas. Andainya DAP menang semua 49 kerusi majoriti Cina campur 68 kerusi Melayu dari PKR/Pas menjadikan Pakatan Rakyat: 117 kerusi, dan BN: 105, andaikan baki 70 kerusi Melayu/Islam serta 35 kawasan campuran dimenangi BN sepenuhnya. Kenyataan Ketua Pemuda Gerakan Pusat, Lim Si Peng (rujuk catatan saya terdahulu: Politik Adalah Survival): Ahli-ahli Parlimen yang menang atas tiket BN dari Sabah dan Sarawak akan keluar BN, kiranya BN gagal tubuh kerajaan Persekutuan. Ini akan membantu menambahkan kerusi Melayu/Islam dan Bumiputera dalam kerajaan yang baru dibentuk, yang bukan kerajaan BN. Justeru itu, jumlah kerusi DAP itu akan jadi minoriti dalam kerajaan baru tersebut.

Berdasarkan prestasi PRU12 dan PRN Sarawak 2011, pencapaian calon DAP di kawasan campuran kurang memuaskan dan memustahilkan DAP boleh menang di kawasan luar bandar dan pinggiran bandar. Kawasan campuran, Parlimen Tawau, calon DAP cuma mampu pungut 9,076 undi sahaja berbanding calon BN: 13,943 undi, walaupun DAP pernah menang di situ dalam PRU7 (1986), sebelum persempadanan kawasan pilihanraya 1993, yang melenyapkan Tawau sebagai kawasan majoriti Cina. Di Parlimen Sepanggar, kawasan pinggir bandar, calon DAP cuma dapat 3,209 undi berbanding calon BN: 16,884 dan PKR: 5,432 undi.

Dalam PRN Sarawak tahun lepas, DAP bertanding di dua kawasan luar bandar dan komposisi pengundinya campuran, di Simanggang, calon DAP cuma pungut 2,311 undi berbanding BN: 4,758. Di Bukit Kota, DAP: 1,774 sementara BN: 6,835 undi. Sebaliknya di semua 12 kawasan majoriti Cina dan bandar, undi DAP cukup memberangsangkan.

Justeru itu, paling maksimun, calon DAP cuma mampu menang di 49 kerusi sahaja, atau boleh tambah 8 kerusi lagi andainya semua pengundi Cina menolak BN, di seluruh negara.
 
Apa akan jadi andainya kecenderungan atau pengundian masyarakat Cina ini berkekalan dalam PRU13, sementara pengundi Melayu percaya bulat-bulat andaian ancaman dan sindrom ketakutan hilang kuasa UMNO/BN, majoriti kerusi kawasan Melayu dibolot oleh BN. Akan wujudlah sebuah kerajaan yang majoritinya terdiri dari ahli-ahli Parlimen berbangsa Melayu, sementara pihak pembangkang dimonopoli oleh wakil rakyat bukan Melayu. '
 
Sudah barang tentu akan terbinalah sebuah kerajaan rasis yang menggerunkan kemasukan pelaburan asing, memperlahankan tarikan pelancongan, gambaran polarisasi kaum dan ketidakstabilan sosial dan ekonomi. Ini disokong pula oleh ketidakseimbangan ekonomi yang digariskan oleh identiti kaum, yang gagal diselesaikan oleh Dasar Ekonomi Baru. Ekorannya, memperluaskan jurang sosial antara kaum, antara wilayah dan antara sektor kehidupan. Semua unsur dan faktor ini, meletakkan negara kita satu tapak ke belakang, dalam memenuhi realiti politik sejagat yang mendokong keadilan sosial dan menjamin kesamarataan. Secara tidak langsung melambatkan usaha ke arah peningkatan ketamadunan bertaraf dunia. Sangguhkah kita terus kekal dalam dominasi Dunia Ketiga yang mewarisi politik rasis, penindasan hak asasi manusia dan pengekalan kekuasaan politik dan ekonomi berkisar dalam kelompok yang sama.
 
Pengalaman kerajaan Pakaran Rakyat di Perak, apabila kerajaan dibentuk melalui pakatan DAP/PKR/Pas, dengan kerusi 18:7:6 = 31 kerusi (22 bukan Melayu, 9 Melayu) sementara BN selaku pembangang dengan 28 kerusi (UMNO: 27, MCA:1). Sungguhpun, kerajaan diketuai oleh ADUN Pas selaku Menteri Besar, tetapi DAP (semuanya bukan Melayu) kuasai 6 dari 11 kerusi Exco. Menggambarkan kerajaan dikuasai oleh bukan Melayu, sementara 27 dari 28 (atau 96 peratus) pembangkang adalah Melayu. Satu hakikat ketidakseimbangan kerajaan serta tidak mewakili komposisi penduduk negeri Perak. 56 peratus penduduk Perak adalah Melayu, sepatutnya di samping Menteri Besar seorang ADUN Melayu (mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak), tidak kurang dari 6 ahli Exco adalah Melayu.
 
Apa penyelesaiannya: orang Melayu sepatutnya kena tengok arah kecenderungan orang Cina mengundi. Kalau orang Cina, majoritinya menyokong BN, maka orang Melayu sepatutnya kena undi BN. Begitulah sebaliknya, kalau orang Cina undi Pakatan Rakyat, orang Melayu perlu mengundi Pakatan Rakyat. Oleh itu, terbinalah sebuah kerajaan yang kukuh serta berpadu yang diwakili oleh semuja kaum, atau dengan lain perkataan kerajaan pilihan rakyat dari berbagai kaum. Idealnya, barisan komposisi anggota kerajaan dalam DUN atau Dewan Rakyat, hendaklah seimbang antara kaum dan begitu juga anggota pembangkang, perlu diwakili oleh semua kaum.
 
Kes di Perak di atas, sepatutnya orang Melayu kena undi Pas, supaya kerusi Pas bukan 6 tetapi melebihi 18. Pengundi Melayu perlu berkorban untuk mengimbangi penguasai orang bukan Melayu dalam politik. Dari 27 kerusi dimenangi UMNO melalui BN, pengundi Melayu perlu korbankan 10 hingga 12 kerusi , untuk dimenangi oleh Pas, sebab pengundi Cina ikut trend semasa liat nak undi BN.
 
Untuk masa depan negara kita, supaya dapat keluar dari kepompong pemikiran Dunia Ketiga perlu ada political will, agar pengalaman Perak itu dapat dielakkan. Amatlah malang jika satu kaum menguasai kerajaan dan satu kaum lain membarisi kerusi pembangkang. Sebenarnya selepas 54 tahun bebas dari penjajah: isu rasis, pecah dan perintah, momokan syak wasangka antara warganegara, sogokan rasa terancam, sepatutnya sudah lama ditalkinkan. Biarlah ianya bersemadi dalam lipatan sejarah.
 
Menariknya minggu lepas,  PM DS Najib Razak memohon maaf atas kesilapan UMNO/BN sehingga menyebabkan kehilangan dua pertiga majoriti di Parlimen selain kehilangan 5 buah negeri dalam PRU12. BN berjanji akan melakukan transformasi sebagaimana tuntutan rakyat. Ironinya, setelah lebih 50 tahun diberi peluang, baru kerajaan yang ada hari mengaku kesilapan dan berjanji akan buat perubahan.
 
Terpulang kepada pengundi dari berbagai asal keturunan, berbilang agma dan kepercayaan, sama ada hendak beri peluang pemerintah hari buat transformasi selepas PRU13 atau tak mahu beri peluang lagi kepada pemerintah hari ini dan tukar terus kepada sebuah kerajaan baru yang komited melaksanakan  reformasi selepas PRU13.
 
Catatan ini sekadar lontaran idea untuk perkongsian pandangan.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan