Sabtu, 17 Mac 2012

ISU DEBAT

SANG KETUA KENA DEBAT, JANGAN TAK DEBAT

Keberanian dan keikhlasan orang Cina berpolitik mendahului bangsa lain. Catatan penglibatan dan pengorbanan mereka dalam medan percaturan politik tanah air amat dikagumi. Dr Lim Chong Eu meletakan jawatan sebagai Presiden MCA, setelah tak puas hati dengan kepimpinan Perikatan, menjelang Pilihan Raya Umum Pertama 1959. Beliau menubuhkan United Democratic Party (UDP) 1963, dan berjaya memasuki Parlimen, 1964. Bersama bekas kepimpinan Partai Buruh dan ahli akademik, mengasaskan Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) 1968, dan berjaya menumpaskan kerajaan Perikatan yang dikepalai MCA menerusi Tan Sri Wong Pau Nee dalam Pilihan Raya Umum Ketiga, 1969.

Kehebatan dan karisma Lim Chong Eu menguasai politik Pulau Pinang, akhirnya tersungkur di tangan Lim Kit Siang, Setiausaha Agung DAP, dalam PRU 8 (1990) dalam saingan hidup mati kepimpinan Cina. Sebelum itu, dalam PRU 6 (1982) telah berlaku saingan hidup mati kepimpinan Cina, bila Presiden MCA, Dato' Lee San Choon mencabar Pengerusi DAP, Dr Chen Man Hin, di Seremban. Episod seumpama ini tak berlaku di kalangan ahli atau kepimpinan politik Melayu. (Sila lihat catatan saya 31.01.12: Keberanian Kepimpinan Politik Cina)

Pada 18 Februari 2012, satu perdebatan mengenai realiti politik masyarakat Cina berlangsung di antara Presiden MCA, DS Chua Soi Lek dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. Kemudian disusuli perdebatan antara Khairy Jamaluddin, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dengan Rafizi Ramli, Pengarah Strategik PKR, di kota London. Tahniah buat 4 pemimpin politik ini yang mewakili kelompok besar parti politik semasa: Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.

Sehingga kini, belum nampak bayang, bilakah pula debat antara dua tokoh utama: Perdana Menteri dengan PM-in-waiting. Antara DS Najib Tun Razak dengan DS Anwar Ibrahim. Kajian Merdeka Center di bawah seliaan Ibrahim Suffian, bulan lepas, mencatatkan 54 peratus responden, amat mengharapkan debat antara dua tokoh ini menjadi kenyataan. Harus disedari bahawa angka 54 itu sudah mewakili majoriti, walaupun simple majoriti. Pokoknya, lebih separuh rakyat yang ditemui Merdeka Center, meminta debat dua tokoh utama ini direalisasikan.

Kajian tersebut juga mendapati 75 peratus responden dari kelompok belia Melayu, setuju debat antara 2 tokoh itu diadakan, dalam masa terdekat. Cabaran DS Anwar, agar mereka berdua berdebat berbagai isu berkaitan urus tadbir negara, mendapat jawapan pesimis dari DS Najib. PM kononya sedia berdebat dengan syarat lawannya memiliki 'pemikiran munasabah' tanpa beliau membuktikan mempunyai pemikiran sedemikian. Ulasan PM ini relatifnya cuba mengelak dari bertembung di pentas perdebatan, yang memerlukan keikhlasan, ketelusan, dan keupayaan menggalas idea, untuk dihidangkan kepada rakyat.

Amatlah malang, bagi sebuah negara yang menuju ke tahap negara maju, rakyat tidak mendapat pencerahan sebarang dasar dan isu yang menyentuh perancangan dan kemajuan negara secara terbuka dan berfakta. Jika ada pun, saluran dan penyampaian maklumat sebelah pihak, yang perlu ditelan mentah-mentah tanpa banyak soal. Pandangan kritis mewakili kepentingan rakyat berbagai kelompok wajar diketengahkan untuk membuahkan satu keputusan yang bijak dan konsisten.

Amat tak munasabah, alasan tidak perlu debat antara watak utama politik tanah air; tiada apa yang hendak didebatkan. Tak kanlah pemimpin politik kering idea. Apakah idealisme transformasi politik yang mendokong pembentukan bangsa Malaysia baru. Apakah idealisme memenuhi tuntutan realiti politik baru anutan pengundi pemuda semasa. Apakah kerangka transformasi ekonomi ke arah pertumbuhan ekonomi dan kemajuan negara yang lebih pesat, untuk menjamin pembentukan bangsa Malaysia yang lebih memiliki ciri keadilan sosial dan masa depan yang lebih cemerlang.

Negarawan ulong dan hebat, bukan sekadar jaguh di pentas perdebatan, tetapi mampu mempertahankan idea bila dibidas pihak lawan. Kehebatan seorang tokoh politik bukan diukur dari kemampuan berpidato berdegar-degar dengan retorik yang mempesonakan khalayak pendengar. Kadang-kadang pidato atau ucapan pun, sudah terhidang teks ucapan serta nota ringkas. Hakikatnya ucapan yang disediakan itu, tidak dapat diuji. Tiada ruang, pihak lain nak terjah dan mohon penjelasan.

Dalam sidang Dewan Rakyat pada 13 Mac lalu, kecoh bila PM tidak menjawab soalan yang dikemukakan oleh ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat berhubung Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang dimansuhkan baru-baru ini. PM gagal memberi hujah mengapa SBPA yang diluluskan dalam Bajet 2012 dan telah ditandatangi oleh Yang Dipertuan Agung, serta 1.3 juta kakitangan awam sudahpun diberi tempoh masa menandatangan menerima, dibatalkan. PM mengelak menjawab sebarang soalan. PM gagal menghujah balik serta membidas hujah ahli-ahli Parlimen, yang diberi peluang mencelah.

Apakah khuatir bila berdebat, akan terdedah manipulasi pihak lawan. Pihak lawan akan mengambil kesempatan menyerang idealisme yang dirancangkan. Sebenarnya, debat adalah medan untuk menceritakan serta menghujah kebaikan dan resionalisme apa-apa yang dirancang atau disusunaturkan. Di sinilah, pemimpin mengambil kesempatan serta mempertontonkan rasionalnya, sesuatu idea itu perlu dipertahankan, demi kepentingan negara serta dasar kerajaan.

Debat antara kepimpinan politik atau sesuatu isu atau  situasi tertentu adalah amalan demokrasi di negara maju. Menjelang pilihan raya Presiden Amerika Syarikat, menjadi amalan routine calon utama berdebat di media letronik secara langsung. Di Britain, pemimpin parti utama, berdebat melalui siaran langsung menerusi media mainstream, menjelang pilihan raya umum.

Apakah debat antara kepimpinan politik utama agak luar biasa dalam iklim politik Malaysia atau rakyat belum bersedia menerima budaya politik negara maju. Sewajarnya, dalam rangka menuju negara maju, munasabahlah nilai-nilai atau unsur-unsur murni dalam amalan demokrasi perlu dihidupsuburkan dalam masyarakat kita. Sebenarnya, rakyat sudah lama bersedia. Sebab itu, sudah sekian lama, sambutan orang ramai terhadap majlis seumpama itu amat menggalakkan. Rakyat inginkan keterbukaan dan ketelusan, kerana pemimpin yang berilmu, memiliki pendirian dan pandangan. Ada juga pemimpin yang cuma pandai mengampu, demi dapatkan undi semata-mata. Realiti politik baru dapat memisahkan antara pemimpin tulen dengan pemimpin plagiat.

Harapannya, tercetuslah satu budaya baru dalam memenuhi tuntutan idealisme politik baru: debat antara kepimpinan politik yang berlainan ideologi amatlah wajar. Tuntutan realiti politik baru yang didokongi generasi pasca 13 Mei inginkan pemimpin yang berilmu, berpandangan jauh, terbuka, ikhlas dan telus, bukan pemimpin yang menceburi bidang politik untuk memperkukuhkan ekonomi serta punca cari rezeki.

Hendaknya jangan ada lagi, alasan debat bukan budaya kita. Ingatan untuk mereka yang berpendapat demikian, soalnya mengapa perlu demokrasi. Kalau takut kepada debat, jangan amalkan demokrasi. Debat satu medan percambahan minda dan idea, adalah tuntutan menyuburkan demokrasi. Berdebatlah sang ketua, untuk mencari kejernihan. Memohon maaf di corong media, di atas kesilapan UMNO, beberapa negeri jatuh ke tangan Pakatan Rakyat, tak cukup, tak jelas. Berlapang dadalah, bersedialah untuk berdebat. Contohilah pengajur demokrasi di negara-negara Dunia Pertama.

















Tiada ulasan:

Catat Ulasan