Ahad, 1 April 2012

TARIKH PILIHAN RAYA

DI SEBALIK RAMALAN TARIKH PILIHAN RAYA

Hari buang undi atau tarikh pilihanraya adalah suatu perkara yang cukup sensitif dalam bicara harian masyarakat Malaysia. Ramalan tarikh pilihanraya merupakan salah satu agenda utama organ politik mengatur serta merancang strategi, kerana fokusnya lebih bertumpu kepada pilihanraya.

Di negara kita, teka teki atau andaian bila tarikh pilihanraya, menjadi satu strategik utama parti pemerintah yang menguasai kerajaan, malah dikatakan menguasai badan eksekutif berkairan pilihanraya: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Sepatutnya sebagai sebuah suruhanjaya, terletak secara langsung tanggungjawab kepada Yang Dipertuan Agung, tetapi lebih bersifat sebagai satu agensi perkhidmatan awam yang langsung di bawah Ketua Kerajaan atau Perdana Menteri.

Pemiilihan jawatan tertinggi dalam parti UMNO, dari jawatan di peringkat pusat hingga ke paling bawah; peringkat cawangan, boleh disesuaikan dengan tarikh pilihan raya. Perhimpunan Agung parti, Mesyuarat Agung Bahagian dan Mesyuarat Agung Cawangan, boleh ditangguhkan sehingga 18 bulan, untuk mengelak dari tarikh pilihan raya.

Perhimpunan atau mesyuarat agung UMNO semua peringkat sepatutnya melibatkan pemilihan penjawat parti dalam tahun 2010 telah ditunda kepada tempoh tidak melebihi 18 bulan, untuk beri laluan kepada PRU13. Tujuan utamanya, jentera parti difokus kepada PRU13 bagi mengelakkan risiko kesan pertandingan merebut jawatan parti kepada jentera pilihanraya parti.

Paling awal disebut, Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13), diramal dalam bulan April atau Mei 2011, setelah genap 36 bulan persidangan pertama penggal ke 12, Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat. Lepas itu, diramalkan tarikh 11.11.11, kerana PM gemar angka 11 dan pembentangan bajet 2012, yang disifatkan bajet mesra rakyat. Lepas itu, dijangka dalam musim cuti persekolahan bulan Mac 2012, di tengah-tengah kekalutan agihan BR1M RM500. Ini tak menjadi, ditambah faktor skim gaji perkhidmatan awam; SBPA, yang banyak dipolimekkan.

Tekaan semasa ialah pada musim persekolahan akhir Mei hingga awal Jun 2012, mengambil kira habis tempoh 18 bulan penangguhan pemilihan UMNO. Walau bagaimanapun UMNO boleh pinda perlembagaan parti bagi melanjutkan tempoh penangguhan pemilihan parti. Lebih mudah difahami, penentuan hari pilihan raya umum di Malaysia bergantung di atas persiapan, kesediaan dan keyakinan UMNO. Walaupun tidak bercanggah dengan undang-undang pilihan raya dan perlembagaan negara, kepentingan UMNO mengtasai segala-galanya, mencaturkan bila pilihan raya patut diadakan atau bila dewan perundangan perlu dibubarkan.

Tempoh usia dewan perundangan sama ada Dewan Undangan Negeri (selain DUN Sarawak) dan Dewan Rakyat (Parlimen) ialah April 2013, iaitu 5 tahun selepas pembentukan dewan-dewan legislatif selepas PRU12. Pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh tidak melebihi 60 hari di negeri-negeri Semenanjung dan 90 hari di Sabah dan Sarawak, selepas dewan legislatif dibubarkan. Tempoh usia 5 tahun ini cuma berlaku di zaman pentadbiran Tunku Abdul Rahman Putra dan Tun Abdul Razak Hussien. Pilihan raya umum yang diadakan selepas kematian Tun Razak, diadakan dalam tempoh kurang 5 tahun dan kadang-kadang di luar jangkaan, berfokus kepada peluang yang memihak kepada parti pemerintah, khususnya UMNO.

Apabila parti-parti pembangkang utama berjaya menguasai beberapa kerajaan negeri dalam PRU12, cadangan dari parti-parti berkenaan supaya tarikh pilihanraya dipersetujui bersama semua parti yang menguasai kerajaan negeri dan persekutuan, mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, membantah dan menjelaskan bahawa tarikh pilihan raya adalah hak istimewa kerajaan pusat. Justeru itulah, takwin pilihan raya dijadualkan supaya tidak mengganggu pengurusan UMNO, mesyuarat agung pemilihan maksudnya.

Zaman Tunku dan zaman Tun, PRU1 ialah pada 19 Ogos 1959, PRU2: 25 April 1964, PRU3: 10 Mei 1969 dan PRU4: 24 Ogos 1974 (24 Ogos hingga 14 September 1974 bagi Sabah dan Sarawak). Tempoh masa antara PRU yang seragam; setiap 5 tahun.

Berbanding dengan pilihan raya selepas Tun Razak:
PRU5:    8 Julai 1978
PRU6:  22 April 1982
PRU7:    3 Ogos 1986
PRU8:   21 Oktober 1990
PRU9:   24 April 1995
PRU10: 29 November 1999
PRU11: 24 Mac 2004
PRU12:   8 Mac 2008

Kesemua 8 PRU tersebut diadakan jarak yang jauh menggenapi 5 tahun. Paling jauh ialah 4 tahun 7 bulan, iaitu Parlimen Penggal Kesembilan.

Di zaman Tunku dan Tun Razak, tempoh masa pemakluman tarikh pilihan raya diberi ruang yang memberi keadilan dan ruang secukupnya parti-parti atau calon bebas, waima pihak pembangkang, buat persedian dan menjalankan kempen. Itu zaman SPR di bawah Dato' Mustapha Albakri dan zaman Tan Sri Ahmad Perang. Dalam PRU3 (1969), hari penamaan calon pada 30 Mac dan mengundi pada 10 Mei, iaitu tempoh berkempen selama 40 hari. Semua parti diberi ruang untuk bersiaran udara menerusi Radio Malaysia Rangkaian Nasional.

Adakah kesan keputusan pilihan raya tahun itu yang memerosotkan pencapaian parti pemerintah, maka tempoh berkempen, bagi PRU selanjutnya dipendekkan. PRU4 (1974) cuma masa berkempen 16 hari: penamaan calon 8 Ogos dan buang undi 24 Ogos. Dalam tahun 1978, Parlimen dibubarkan tak sampai penggal 4 tahun, pada 11 Jun. Dalam masa 10 hari diadakan penamaan calon 21 Jun dan mengundi dalam tempoh 17 hari pada 8 Julai bagi PRU5.

Usia Parlimen ke 5, cuma 3 tahun 9 bulan sahaja, bila Dr Mahathir yang mengambil alih jawatan PM dalam tahun 1981, membubarkan Parlimen pada 21 Mac, untuk membolehkan PRU6, di mana penamaan calon pada 7 April dan pilihan raya pada 22 April, atau tempoh berkempen 15 hari.

Dalam tahun 1986, Parlimen dibubarkan pada 18 Julai, 16 hari kemudian, pada 24 Julai diadakan hari penamaan calon untuk PRU7. Tempoh berkempen semakin pendek, dalam masa 9 hari, diadakan hari mengundi. PRU8 (1990) memakan masa 1 minggu saja, jarak Parlimen dibubarkan dengan hari penamaan calon: 4 dan 11 Oktober. PRU8 dilangsungkan pada 21 Oktober, menghasilkan kekalahan teruk UMNO/BN di Kelantan, bila kalah di semua kerusi dengan majoriti besar.

4 PRU seterusnya, semuanya diadakan dalam tempoh yang pendek antara hari pembubaran Parlimen dengan hari penamaan calon dan hari penamaan calon dengan hari membuang undi: antara 9 hingga 12 hari.

Kelainan amalan demokrasi di negara kita dengan negara-negara jiran saperti Indonesia, Thailand dan Filipina ialah notis dan makluman tarikh pilihan raya. Di negara kita dan Singapura, pilihan raya diadakan secara mengejut, tarikh pilihanraya menjadi rahsia dan dispekulasikan. Jadi teka teki dan ramalan dengan berbagai andaian. Di negara jiran, selain Singapura, tarikh pilihanraya diumumkan tidak kurang dari 6 bulan. Setengahnya 1 tahun! Tarikh pilihan raya di negara kita dan Singapura, adalah satu rahsia yang penuh dengan strategis parti pemerintah, sebagaimana kenyataan mantan PM di atas.

Sepatutnya pilihan raya speaking: should not be a cat and mouse game. Tak patut dirahsiakan dan boleh diacah-acah begitu saja. Hormatilah nilai-nilai demokratik sejagat, ada tarikh yang tepat dan diketahui umum. Setiap rakyat yang menentukan kerajaan boleh mengakses bila pilihan raya umum akan diadakan, dalam jangka masa yang panjang.

Negara-negara Norway, Switzerland dan Canada adalah tarikh tetap hari pilihan raya umum. Akta Parlimen Great Britain, menetapkan pilihan raya umum hendaklah diadakan pada hari Khamis pertama dalam bulan Mei, setiap 5 tahun. Begitu juga pilihan raya Parlimen Eropah, dalam bulan Jun, setiap 5 tahun.

Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat, sejak lepas Perang Dunia Kedua, setiap 4 tahun pada hari Selasa pertama selepas Isnin pertama dalam bulan November. Sama ada parti Republican yang menang dan mempertahankan kerajaan atau giliran Democrat yang menguasai kerajaan, ketetapan hari pilihan raya terus dipertahankan.

Sampai bila kaedah a cat and mouse game ini menjadi amalan demokrasi berperlimen di Malaysia, sedangkan kita sedang mengorak langkah ke arah negara maju. Bila masanya minda dunia pertama dapat diasimilasikan dalam ragam pemikiran pembuat dasar, dan masyarakat terbanyak, atau akan terus bertahan dengan apa yang ada walaupun tidak menepati kehendak demokrasi yang hakiki.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan