Isnin, 2 Januari 2012

NAJIB MENCARI WINNABLE TIMING

Teka-teki bila Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) akan diadakan, mula dibicarakan sejak Mac 2011. Paling akhir dijangkakan pada 11.11.2011. Logiknya, diasaskan kepada minat Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Abdul Razak, pada angka 11. Tambahan pula, bajet 2012, yang dibentangkan pada 7 Oktober 2011, dihidangkan dengan beberapa ganjaran untuk rakyat, dari berbagai golongan. Ganjaran RM500 setiap isi rumah berpendapatan di bawah RM3000 sebulan, skim perkhidmatan baru untuk kakitangan awam yang menawarkan pengubahan struktur, bantuan RM100 setiap murid sekolah, baucar RM200 setiap pelajar IPTA.

UMNO mengadakan perhimpunan agung tahunannya akhir November dengan beberapa peringatan penting. Antaranya kata Presiden parti: PRU13 adalah "luar biasa". Apa maksud "luar biasa" mendedahkan berbabagai tafsiran kepada publik. Juga diingatkan parti mengutamakan winnable candidates (calon boleh menang). Parti perlu berkorban dengan rakan-rakan komponen, mempastikan calon boleh menang diletakkan bertepatan dengan keperluan dan pengundi setempat dan keperluan semasa. 

Berakhirnya tahun 2011, tanpa sebarang clue atau bayangan bila PRU13. DS Najib yang mengambil alih jawatan dari Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi (sekarang Tun) dalam tahun 2008, perlu mendapat mandat sebagai Perdana Menteri. Berbeza dengan DS Abdullah, yang mengambil masa yang singkat, tak sampai 6 bulan pegang jawatan PM, dengan keyakinan yang tinggi terus bubar Parlimen  untuk PRU11, yang diadakan pada 24 Mac 2004.

DS Abdullah memanggil pilihanraya umum untuk dapat endorsement dari rakyat semasa Barisan Nasional berada dalam zon selesa, sama seperti tindakan diambil oleh PM kedua, Tun Abdul Razak Hussien.

Tun Razak bubar Parlimen dalam bulan Julai 1974 untuk dapat mandat selepas berjaya membentuk BN yang dianggotai Perikatan (UMNO-MCA-MIC) bersama Pas, Gerakan dan PPP dari Semenanjung, anggota Perikatan Sabah (USNO-SCA) dan Perikatan Sarawak (Parti Bumiputera-Parti Pesaka-SUPP). Di samping itu, semakan persempadanan kawasan pilihanraya 1973, telah selesai, dengan penambahan 10 kerusi Parlimen.

BN di bawah kepimpinan menang besar, paling cemerlang selepas merdeka. BN menang 135 dari 154 kerusi Parlimen atau 87.66%. BN juga sapu bersih semua kerusi DUN di Perlis, Kelantan dan Pahang. Kemenangan besar BN difokuskan kepada 3 faktor: pembentukan BN, mandat PM baru dan kesan persempadanan kawasan pilihanraya.

DS Abdullah senasib dengan pengalaman Tun Razak. DS Abdullah memanggil PRU11 selepas selesai semakan persempadanan kawasan pilihanraya 2003 , yang menghasilkan 27 kawasan Parlimen baru. Zaman Tun Razak dulu, persempadanan kawasan pilihanraya bertumpu menambahkan kawasan Parlimen majoriti pengundi Melayu, untuk mengimbangi penguasaan kuasa politik Melayu yang terjejas sebagaimana hasil PRU3 (1969).

Semakan persempadanan kawasan pilihanraya 2003, dianalisiskan memperkukuhkan BN, setelah kemerosotan sokongan pengundi Melayu kepada BN dalam PRU10 (1999). Di Semenanjung, 21 kawasan Parlimen baru diwujudkan: 8 kawasan majoriti Melayu, 10 kawasan campuran dan 3 kawasan majoriti bukan Melayu.

Dalam PRU11, BN dibawah kepimpinan Perdana Menteri baru, telah mempamirkan kejayaan yang paling cemerlang, berbanding 10 PRU sebelumnya. BN menang 199 dari 219 kerusi Parlimen atau menguasai 90.86% kerusi di Parlimen. Dari segi undi popular, BN perolehi 4,472,643 undi dari jumlah 7,009,585 keluar mengundi untuk kerusi Parlimen atau 63.81%. BN juga kuasai 453 dari 505 kerusi DUN yang dipertandingkan atau 89.70%.

Kejayaan BN dibawah DS Abdullah atas 2 faktor: mandat PM baru dan perubahan sempadan kawasan pilihanraya. Dasar negara belum dapat dikesan dalam tempoh 5 bulan sebagai PM.

Pengalaman Dr Mahathir Mohamad berlainan dengan Tun Razak dan DS Abdullah. Dr Mahathir membubarkan Parlimen dalam tempoh Parlimen ke 5 berusia 3 tahun 9 bulan sahaja. PRU6 diadakan pada 22 April 1982, sementara PRU5 pada 8 Julai 1978. Dr Mahathir, yang mengambil tugas dari Tun Hussien Onn dalam tahun 1981, tidak menunggu Parlimen ke 5, masuk tahun keempat.

PRU6 diadakan untuk memberi mandat kepada Dr Mahathir selaku PM baru tanpa perubahan sempadanan kawasan pilihanraya, menghasilkan BN berjaya perolehi 60.54% undi popular bagi kawasan Parlimen, berbanding 57.20% dalam PRU5. BN menang 132 kerusi dari jumlah 154 kerusi Parlimen atau 85.74% berbanding 130 kerusi atau 84.41% dalam PRU5. Itu pun kerana 8 kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak dimenangi oleh calon-calon Bebas, perebutan pencalonan BN sesama anggota komponen. Kerusi pembangkang utama, DAP merosot, Pas kekal.

Di samping mandat serta keyakinan kepada kepimpinan baru, kemasukan Anwar Ibrahim, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ke dalam UMNO, beberapa hari sebelum hari penamaan calon, sedikit sebanyak berlaku swing undi orang Melayu ke BN. Label ultra Malay kepada Dr Mahathir, tidak menjejaskan perubahan undi bukan Melayu kepada BN. Agenda utama negara, Dasar Ekonomi Baru (DEB), menjadi harapan rakyat untuk keadilan ekonomi serta keseimbangan antara kaum, menyokong tuntutan pembentukan sebuah kerajaan yang kuat. Mandat besar perlu dipamirkan.

Bagaimana pula dengan endosement rakyat kepada PM baru, DS Najib. Najib belum diuji menerusi medan tempur sebenar. 16 pilihanraya kecil dan Pilihan Raya Negeri Sarawak (DUN Sarawak) diadakan semenjak Najib jadi PM, tidak menepati untuk dijadikan sebagai sample mandat rakyat. BN menang 8 PRK dan kalah 8. BN rampas dua kerusi Pakatan Rakyat: Hulu Selangor dan Galas, sebaliknya hilang dua: Kuala Terengganu dan Sibu. Jadi kesimpulannya 50:50.

Ramalan umum 11/11 tidak menjadi. Ramalan terbaru pula lepas sambutan Tahun baru Cina, sebulan lagi. Alasannya: pengundi berbangsa Cina ambil cuti panjang musim perayaan tersebut, tidak akan bercuti atau diberi cuti lagi (sektor swasta khasnya). Akibatnya, peratus keluar mengundi di kalangan pengundi Cina akan merosot, menyebabkan undi Pakatan Rakyat akan terjejas, kerana trend sokongan bukan Melayu kepada parti-parti Pakatan sebagaimana 16 PRK dan PRN Sarawak.

DS Najib mengambil masa yang lama untuk dapat mandat dari rakyat, sudah tiga tahun. PM sebelum ini, Tun Hussien, Dr Mahathir dan DS Abdullah, ambil masa singkat, untuk memangggil PRU. Masa diambil Tun Razak bubar Parlimen, diambil kira Parlimen digantung dan pentadbiran negara di bawah Majlis Tindakan Negara (MAGERAN). Tempoh 3 tahun, terdedah pada banyak lubang dan lopak yang tak tertimbus.

Feel good factor pentadbiran Najib mengundang harapan baru untuk memperkukuhkan cengkaman penguasaan BN. Ini dapat dikesan dari faktor berikut;
  1. Agenda 1Malaysia
  2. Perubahan kuota biasiswa tajaan JPA dari 90:10 ke 55:45, nisbah Bumi:Non-Bumi,
  3. Program-program transformasi politik,
  4. Program-program transformasi luar bandar
  5. Insentif-insentif untuk membantu beban rakyat sebagaimana bajet 2012
  6. Model Ekonomi Baru (NEM)
  7. Pembentukan Parliamentary Select Committee on Electoral Reform: komitmen kerajaan menangani tuntutan Bersih 2.0
Di samping itu, faktor yang memihak kepada BN, memberi kelebihan menyaingi pembangkang;
  1. Menggunakan elemen rasis, mengongkong undi Melayu,
  2. Mengawal media mainstream, disokong oleh tiada media alternatif di luar bandar
  3. Penggunaan jentera kerajaan.
Tahun baru bermula, dengan desingan pendapat popular awam tahun 2011 "the year the government repeatedly changed its mind." Masa Bersih 2.0, hen,dak adakan perhimpunan, Najib kata boleh buat di Stadium Merdeka. Lepas itu, di hari lain, beliau maksudkan di Stadium Shah Alam. Pada 27 September, sebut hendak hapuskan kuota Bumiputera, 3 hari kemudian, jelaskan bukan bermaksud hendak buang kuota. Beberapa orang menteri kanan, buat satu statement, tak sampai seminggu, salahkan media silap buat petikan. Seringkali, publik dihidangkan dengan kenyataan yang kontroversial.

Slogan "rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan", trade mark pentadbiran Najib, tidak menjanjikan jaminan BN bersiap siaga menguasai PRU13. Faktor-faktor sebutan semasberikut boleh merenggangkan kesimpatian serta kesangsian pemilih kepada BN:
  1. Laporan Audit Negara mengenai pinjaman mudah RM250 juta kepada National Feedlot Corp (NFC),
  2. Laporan Audit Negara penggunaan kewangan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan sebanyak RM63,000 untuk penyelesaian kes mahkamah,
  3. Peaceful Assembly Act 2011: diumum 16 September dan dilulus 24 November, publik mempersoalkan akta ini diluluskan secara tergesa-gesa.
Impian rakyat sivil rata-ratanya hendakkan sebuah negara bangsa yang tersemainya nilai-nilai tadbir urus dan amalan hidup bermasyarakat berikut:
  • akauntabiliti dan ketelusan
  • lebihkan usaha-usaha ke arah perpaduan kaum
  • penafian pengenalan warna kulit dan kaum, dalam semua urusan
  • mempertahankan undang-undang demi untuk keadilan sosial
  • penafian karenah birokrasi
  • kurangkan argument di kalangan orang politik
  • kurangkan bicara mengenai perkauman
  • kebebasan bersuara
  • persamaan hak setiap orang, sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan.
Faktor bread and butter yang menjadi penentu naik turun sokongan pengundi kepada sesebuah parti, masih menjadi dominant di kalangan pengundi tertentu. Perubahan latar belakang pengundi first time voters yang berbeza, sukar dijinakkan dengan sajian bersifat material atau pengisian perut tersebut.  Meminjam kata Dr Sivamurugan Pandian dari USM, "voters now are discerning and they vote based on issue".

Tuntutan semasa jauh berbeza dengan iklim yang dihadapi semasa Dr Mahathir dan Tun Hussien Onn membubarkan Parlimen dalam tahun 1978 dan 1982, tanpa semakan kawasan pilihanraya.  Penangguhan pemilihan jawatankuasa UMNO di berbagai peringkat, juga diikuti MCA dan Gerakan, seolah-olah BN sedang mencari winnable timing untuk membolehkan Parlimen dibubarkan di waktu yang sesuai.

Hakikinya, penggal Parlimen semasa akan berakhir April 2013. Masih ada ruang waktu untuk menjernihkan situasi untuk membina winnable timing. SUPP, sebuah anggota komponen BN, baru selesai adakan pemilihan jawatankuasa agung. Bagitu juga dengan Pas. PKR buat pemilihan tahun lepas.

Menariknya PRU13, kerana PRU12, prestasi BN paling buruk dalam sejarah. Bangkitkah BN menafikan tsunami 2008, dalam usaha PM mendapatkan mandat. Usaha mendapatkan endosement ini, sangat berbeza dengan suasana yang dihadapi 5 orang PM sebelum ini.

Meminjam kata seorang pemerhati: Najib must regain 2/3 majority or at least match Abdullah's victory margin. Dengan kata lain, Najib mesti dapat mandat dalam apa bentuk sekalipun.

Harapannya, cepat atau lambat PRU13, sebuah negara yang aman dengan pentadbiran yang telus serta jaminan semangat demokrasi berparlimen dipertahankan. Inilah cita-cita murni, rakyat yang cintakan pembinaan negara bangsa yang kuat, dengan kesejahteraan ekonomi, kestabilan politik dan keadilan sosial.

Kata ahli astrologi Cina, tahun naga 2012 adalah lambang perubahan. Terpulanglah kepada tafsiran dan kupasan setiap individu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan