Ahad, 15 Januari 2012

HALUAN HASSAN ALI SELEPAS INI
Dato' Hassan Ali, Exco Kerajaan Negeri Selangor dan Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor kawasan Gombak Setia merangkap Ahli Jawatankuasa Agung Pas Pusat telah dipecat dari Pas pada 8 Januari lalu. Pemecatan Hassan Ali menjadi berita utama media mainstream sebelum 901, hari keputusan penghakiman Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam kes liwat. Beliau dipecat di bawah  peruntukan Fasal 82 (9) Perlembagaan Pas, kerana melanggar disiplin parti.

Seorang ahli Exco dan pemimpin Pas yang kontraversi dalam tempoh hampir 2 tahun, menjadikan beliau aktor utama dalam kancah, Pakatan Rakyat yang diserang dari berbagai penjuru khususnya media utama: TV3, dan Utusan Malaysia, di samping beberapa media lain.

Hingga hari ini (15.01.2012), setelah dimaklumkan secara rasmi pada 9 Januari, beliau belum membuat apa-apa tindakan susulan. Namun beliau berhak membuat rayuan kepada Majlis Syura Ulama dalam tempoh 30 hari.

Apakah tindakan beliau seterusnya. Apakah akan buat rayuan atau meminggirkan diri dari parti asalnya. Atau apakah beliau akan mengambil tindakan yang lebih drastik secara solo atau bergerombolan. Banyak ruang tersedia untuk beliau mencari alternatif demi survival politik, perjuangan, serta wadah akidah yang lebih difokuskan, sebagaimana kenyataan beliau sebelum dipecat.

Sejarah keaktifan Pas dalam politik dalam dikesan dalam penyertaan Pas dalam politik pilihanraya. Dalam sejarah, Pas sebagai parti pembangkang, walaupun menguasai kerajaan negeri menghadapi ancaman besar berbentuk pemecatan atau keluar parti. Manifestasi keluar parti atau pemecatan keahlian, sedikit sebanyak menggugat kemantapan dan keyakinan masyarakat massa terhadap parti.

Cabaran terbesar Pas bermula dengan kejatuhan kerajaan Terengganu dalam tahun 1961, semasa kedudukan kerusi dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu basil PRU 1959: Pas 13, Perikatan (UMNO-MCA) 7, dan Parti Negara 4. Bila 4 ADUN Pas keluar parti disertai 3 ADUN Parti Negara menyokong Perikatan, undi tak percaya menjatuhkan kerajaan pimpinan Mohd Daud Abdul Samad.

Selepas itu, bermulalah episod keluar parti di kalangan ADUN atau Ahli Parlimen Pas. Othman Abdullah, Ahli Parlimen Tanah Merah dan Setiausaha Agung Pas keluar parti, masuk UMNO. Dalam PRU 1964, dicalonkan oleh UMNO bertanding di kawasan Parlimen Hilir Perak, menentang Naib Yang Dipertua Pas (sekarang Naib Presiden), Hassan Adli Hj Arshad (bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu Utara, sekarang Kuala Nerus).  Beliau menang. Dalam PRU 1969, tidak dicalonkan, dilantik Senator untuk membolehkan beliau dilantik Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri.

Dalam bulan Ogos, 1968, 5 ADUN Pas Kelantan: Abdul Rahman Mohd Salleh (Pasir Puteh Tenggara), Yusof Abdul Latif (Tanah Merah Barat), Omar Muhamad (Tanah Merah Timur), Abdullah Haji Yusuff (Tok Uban) dan Saufi Idris (Kota Bharu Timur), istihar keluar parti. Mereka istihar masuk UMNO kecuali Abdul Rahman (Ustaz Man Semerak) istihar sebagai anggota Bebas.

Kemudian, tak sampai satu minggu Ustaz Abdul Rahman, Cik Yusof dan Cik Omar istihar masuk Pas semula. Ustaz Man dan Cik Soh adalah anggota Exco masa itu. Abdullah dan Saufi kekal sertai UMNO. Saufi adalah bekas tahanan ISA dan bertanding dalam PRU 1964, semasa dalam tahanan.

Dalam PRU 1969, Abdullah bertanding sebagai calon Perikatan di Bandar Pasir Mas, sementara Saufi pertahan kerusi lamanya. Kedua-duanya kalah kepada calon-calon Pas: Haji Omar Awang (Bandar Pasir Mas) dan Wan Hashim Wan Ahmad (Kota Bharu Timur). Abdul Rahman gagal pertahan kerusi lamanya bila ditewaskan oleh calon Perikatan, Muhamed Idris dengan majoriti 97 undi. Cik Omar berjaya pertahan kerusinya dengan majoriti 68 undi. Sementara Cik Yusof tidak bertanding, dan kerusi Tanah Merah Barat dirampas oleh Perikatan melalui calonnya Hj Nik Abdullah Nik Daud.

Selain keluar parti dan bertanding atas nama Perikatan, kumpulan kepimpinan yang dipecat bertanding bersendirian sebagai calon Bebas menetang Yang Dipertua Pas, Dato' Mohd Asri Haji Muda dalam PRU 1969. Dato' Wan Mustapha Haji Ali (Bekas Ahli Parlimen Kota Bharu Hilir dan Penasihat Undang-undang Pas) menentang Dato' Asri di kerusi Kota Bharu Tengah(sekarang Demit): Dato' Asri dapat 4,917 undi, Hj Mohd Noor Daud (Perikatan) 3,308 undi, manakala Dato' Wan Mustapha cuma perolehi 130 undi sahaja.

Khadijah Sidek, bekas Ahli Parlimen Dungun dan Ketua Dewan Muslimat Pas Pusat menentang Dato' Asri di kawasan parlimen Kota Bharu Hulu 9sekarang Kubang Kerian & Ketereh): Dato' Asri 15,051 undi, Hj Ali Husin (Perikatan) 10,021 undi dan Khadijah cuma dapat 235 undi.

Dato' Wan Mustapha masuk Pas semula. Beliau bertanding sebagai calon Pas dalam Pilihan Raya Negeri 1978 di kerusi Telipot dalam pertandingan 3 penjuru yang menyaksikan undi beliau berada di tempat ketiga dengan 1,376 undi berbanding calon BN 3,949 dan Berjasa 1,918 undi.


PRU 1974, pengalaman Pas sertai pilihanraya sebagai parti pendokong kerajaan menerusi penyertaan ke dalam Barisan Nasional. Kepimpinan Pas yang tidak setuju Pas sertai BN mengubah haluan. Perkara ini lebih jelas di Kelantan. Kumpulan yang dipimpin Mohamad Fakhruddin Abdullah (bekas Ahli Parlimen Pasir Mas / bekas pemimpin kesatuan guru), menentang BN menerusi gabungan Barisan Bebas Bersatu.

Barisan Bebas Bersatu membarisi tokoh-tokoh yang tidak kurang hebatnya selain Cikgu Mat Fakhruddin: Wan Hassan Wan Daud (bekas Ahli Parlimen Tumpat dan ADUN Tok Uban), Yusof Abdul Latif (bekas ADUN Tanah Merah Barat), Abdul Aziz Abdullah (peguam terkenal di Kota Bharu, calon Pas melawan Tunku di Kuala Kedah, PRU 1969), Cikgu Musa Salleh (bekas Yang Dipertua Persatuan Melayu Semenanjung (Pemas), Hj Wan Ismail Wan Ahmad (Setiausaha Dewan Ulamak Pas Kelantan). Di samping itu, muka-muka baru profesional seperti Hassan Ishak(peguam), Yusof Hj Mohd Noor(peguam), Hanifa Ahmad(PTD), Abdul Rashid Ahmad (Pensyarah UM).

Kumpulan penentang kemasukan Pas ke dalam BN ini, gagal meletak calon di semua kawasan membolehkan BN menang tak bertanding di 4 kerusi parlimen dan 1 kerusi Dun. Cuma seorang saja calon mewakili Pas yang menang tak bertanding iaitu Hj Mohd Zain Abdullah di Bachok. Di kawasan Parlimen Bachok, kumpulan ini gagal meletakkan calon di kerusi Parlimen dan 2 kerusi Dun. BN tidak menang tanpa bertanding kerusi Dun kerana Partai Sosialis Rakyat Malaya (PSRM) meletak calon di Perupok dan Jelawat.

Barisan Bebas Bersatu yang menggunakan lambang "bas" sebagai lambang pilihan utama, gagal memenangi sebarang kerusi dan kalah dengan majoriti besar di hampir semua kerusi. Cuma di Dun Selising, Drs Abdul Rahman Hj Ahmad kalah 207 undi kepada calon BN (Pas) Ustaz Abdul Kadir Mat Saat: Bebas 3,686,  BN 3,893. Di 34 kerusi Dun yang lain, 30 kerusi kalah lebih 2,000 undi dan 4 antara 1,000 hingga 2,000 undi. Bagi kerusi Parlimen, kekalahan terendah di Kuala Krai 7,530 undi, kerusi lain melebihi 8,000 undi.

Abdul Aziz Abdullah cuma dapat 658 undi di Tendong, berbanding Dato' Mohamad Nasir (BN-Pas) 5,708 undi. Cikgu Mat Fakhruddin perolehi 724 undi di Lemal, manakala calon BN-Pas, Tuanguru Haji Harun dapat 3,707 undi. Cik Soh (Yusof Abdul Latif) bekas ADUN Tanah Merah Barat yang menentang sahabat lamanya Cik Omar Mamat di kerusi Bukit Panau, cuma dapat 442 undi saja berbanding 4,969 undi dipungut calon BN-Pas, Cik Omar.

Hasil PRU 1974, memaparkan mandat besar diberikan kepada kepimpinan Pas serta perestuan massa terhadap keputusan Pas menyertai BN. Sampel analisis dikutip berdasarkan Pas Kelantan, kerana Pas menguasai Kelantan pada masa itu.

Cikgu Mat Fakhruddin, aktif semula dalam Pas hingga akhir hayat.
Sungguhpun, hasil PRU 1969, memperlihatkan pengaruh Pas di Terengganu tidak kurang hebatnya apabila Pas memenagi 11 kerusi Dun berbanding Perikatan 13 kerusi, sedangkan undi popular Pas mengatasi jumlah undi diperolehi Perikatan. Bila Pas menyertai BN, tiada gerakan besar di kalangan ahli Pas menentang sebagaimana pengalaman Kelantan. Justeru itu, saingan PRU 1974 di Terengganu adalah antara BN (UMNO-Pas-MCA) dengan PSRM. BN hilang satu kerusi saja, di kerusi Dun Batu Buruk, kepada calon Bebas. Calon Bebas yang menang, Hj Wan Mutalib Salleh, adalah ahli UMNO dan pernah bertanding mewakili Perikatan di kerusi berkenaan dalam PRU 1969, tetapi kalah kepada calon Pas. Kesan tentangan tindakan Pas sertai BN, tidak terlalu signifikan.

Akibat krisis dalam BN antara kepimpinan UMNO dan Pas, yang membawa penyingkiran Pas dari BN, November 1977. Kepimpinan Pas berpecah kepada dua kumpulan: kekal dalam Pas dan keluar parti. Mereka keluar parti: tubuh parti baru, Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa) dan tak sertai mana-mana parti.

Dato' Asri (Menteri Kemajuan Tanah), Abu Bakar Omar (Timbalan Menteri Kesihatan), Mustapha Ali (Timbalan Menteri Sains & Teknologi), Zahari Awang (Setiausaha Parlimen, Kementerian Luar), Abdul Wahab Yunus (Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan), Yusoff Rawa (Duta Malaysia di Iran) kekal bersama Pas. Muhamad Nasir (Menteri Besar Kelantan) dan Hassan Adli (Menteri Kerajaan Tempatan & Perumahan) keluar parti.

Dalam PRU 1978, Pas cuma menang di 5 kerusi Parlimen saja, yang berjaya pertahan kerusi ialah Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat (Pengkalan Chepa), Hj Mohd Zain Abdullah (Bachok) dan Ustaz Abu Bakar Omar (Kota Setar). Ustaz Hassan Adli menang di Bagan Datoh sebagai calon BN, tanpa menyertai mana-mana parti komponen.

Muhammad Nasir dibantu Wan Hashim Wan Ahmad (bekas ADUN Kota Bharu Timur) menubuhkan Berjasa. Dalam PRN Kelantan 1978, calon-calon Berjasa dibarisi calon-calon Barisan Bebas Bersatu (1974) seperti Hanifa Ahmad, Daud Yatimee, Tahir Aziz, Umar Ibrahim, Tengku Iskandar Tengku Ahmad, Ismail Abdullah (Pak Wil Golok). Berjasa menang 11 kerusi dan bentuk kerajaan bersama BN (UMNO-MCA).

Satu kumpulan bekas calon Bebas Bersatu menubuhkan Ikatan Muslimin Insaf Malaysia (IMAM). Antaranya Cikgu Musa Salleh, Wan Ismail Wan Ahmad dan Muhammad Yusoff (Mat Cetong). Mereka bertanding atas nama calon bebas kerana parti ini tak sempat didaftarkan. Semua kalah dengan perolehan undi yang rendah.

Abu Bakar Hamzah, ahli Parlimen outspoken penggal Parlimen 1964-1969, sewaktu jadi Ahli Parlimen Bachok. Masa pembentukan kerajaan campuran Pas-Perikatan 1973, masa itu beliau adalah Setiausaha Agung Pas dan pernah menjawat Naib YDP Pas Pusat, dilantik Senator dan Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan. Pernah dipecat dari Pas. Membentuk sebuah parti politik tetapi tak sempat diluluskan pendaftaran. Beliau kembali semula bersama Pas hingga akhir hayat.

Dato' Asri letak jawatan sebagai YDP dan keluar Pas, menubuhkan Hizbul Muslimin (Hamim) dalam tahun 1983. Keluar parti bersamanya: Wan Ismail Ibrahim (bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan), Zahari Awang, Wan Sulaiman Ibrahim (bekas MP), Nik Mustapha Shafie (bekas ADUN), Salahuddin Abdullah (bekas ADUN), Dato' Nik Man (bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan), Dato' Ishak Lotpi (bekas Menteri Besar Kelantan).

Dalam tahun 1988, Dato' Asri dan kumpulannya gagal membubarkan Hamim. Mereka menyertai UMNO. Hamim dipimpin oleh Dato' Sudin Wahab (bekas ADUN dari Kedah).

Nakhaie Haji Ahmad, Naib Presiden Pas dan bekas Ahli Parlimen Baling, keluar parti dalam tahun 1987, semasa kerajaan BN melaksanakan Operasi Lalang. Kemudian masuk UMNO.

Dalam tahun 1989, Pas menyertai Parti Semangat 46, Berjasa dan Hamim, membentuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU) untuk hadapi PRU ke 8. Mustapha Taib, Mohd Nor Deris, Ghazali Ahmad, antara nama-nama yang menentang kerjasama Pas dalam APU, keluar Pas, masuk UMNO.

Hassan Ali yang pernah menjawab Naib Presiden Pas dan Pesuruhjaya Pas Selangor, satu nama hebat dalam arena politik tanahair mutakhir ini. Apakah tindakan beliau selepas ini demi servival politiknya. Apakah pilihan beliau sebagaimana tindakan bekas-bekas kepimpinan terdahulu. Pilihan dan alternatif mana jadi tindakan beliau atau tindakan pemimpin mana jadi rujukan:
  1. Othman Abdullah (bekas Setiausaha Agung & bekas MP Tanah Merah)
  2. Muhammad Fakhruddin Hj Abdullah (bekas MP Pasir Mas)
  3. Abu Bakar Hamzah (bekas Setiausaha Agung, bekas Naib YDP & bekas MP Bachok)
  4. Muhammad Nasir (bekas Menteri Besar Kelantan)
  5. Mohd Asri Hj Muda (bekas YDP Pas  & bekas Menteri Besar & Menteri Pusat)
  6. Hassan Adli Arshad (Penglima Jihad Pas & bekas Menteri Pusat)
  7. Nakhaie Hj Ahmad (bekas Setiausaha Agung, bekas Naib YDP & bekas MP Baling)
Ada keluar Pas dan masuk semula Pas, aktif hingga akhir hayat. Ada keluar Pas masuk UMNO, jadi tenaga penting UMNO , hingga kahir hayat. Ada keluar Pas tubuh parti baru, akhir hayat dalam parti baru. Ada keluar Pas, masuk UMNO, bersara terus dari politik. Yang mana satu idaman kalbu Hassan Ali yang pernah menduduki tangga Naib Presiden. Jawatan yang pernah diduduki oleh Mohd Asri Hj Muda, Abu Bakar Hamzah, Hassan Adli, Abu Bakar Omar dan Nakhaie Hj Ahmad.

Begitulah nasib mereka yang dipecat, disingkir dan yang keluar dari parti Pas yang telah membantu mengangkat seseorang. Ada yang tersingkir kerjaya politik. Ada yang aktif tapi tak bermaya dalam harakah baru. Ada yang terpinggir dalam parti baru. Ada yang dapat gandakan rezeki dan habuan dunia dalam wadah baru.

1 ulasan:

  1. Boleh tuan ceritakan tentang sejarah parti hamim yang ditubuhkan oleh Dato Asri sehingga presidennya yang terakhir....

    BalasPadam