Selasa, 31 Januari 2012

Keberanian Pemimpin Politik Cina

KEBERANIAN KEPIMPINAN POLITIK CINA
Dalam politik kepartian di Malaysia, kepimpinan parti-parti politik yang berteraskan sokongan masyarakat Cina lebih menampilkan keberanian membuat percaturan menerusi pendapat awam. Ini dibandingkan dengan pemimpin politik parti-parti yang didokongi oleh orang-orang Melayu, dan masyarakat lain. Hakikat ini dapat diperhatikan kepada senario sepanjang perjalanan 54 tahun selepas merdeka.

Dengan kata lain, pemimpin politik Cina lebih berani mendedahkan diri kepada percaturan hidup mati. Sungguhpun ada, penglibatan pemimpin Melayu, tetapi lebih menonjol di kalangan politikus Cina. Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 1982, Dato' Lee San Choon, Presiden MCA, yang telah 4 penggal menang di kerusi Parlimen Segamat,  mengorbankan diri meninggalkan kerusi selamat, untuk mencabar Pengerusi Kebangsaan dan Pengasas DAP, Dr Chen Man Hin. Dr Chen menangi kerusi Seremban sejak PRU 1969.

Sungguhpun Lee San Choon menang dengan majoriti kecil 845 undi,  dalam sangan "battle of the giants" tetapi ianya satu kejayaan besar mengikut pengiraan politik, kemenangan di kubu musuh, amat menakjukkan. Kemenangan Lee menggambarkan kehendak sebenar orang Cina dan membuktikan kemantapan MCA di bawah kepimpinan beliau. Lee hendak mengesahkan MCA adalah organ yang sebenarnya mewakili suara masyarakat Tionghua.

Selepas berjaya di medan tempur dalam kubu musuh, Lee San Choon meletak jawatan sebagai MP. Dalam pilihanraya kecil parlimen Seremban pada 19/11/1983, Chen Man Hin rampas kembali kerusinya yang hilang dengan majoriti besar menumpaskan Ketua Pergerakan Wanita MCA Negeri Sembilan, Rosie Teh dengan majoriti 6,393 undi. Undi Chen Man Hin meningkat dari 49 peratus kepada 57.7 peratus.

Kehebatan pengorbanan diulangi sekali lagi dalam PRU 1990. Keistimewaan kepimpinan Dr Lim Chong Eu yang sentiasa berjaya menghadapi beberapa ujian sebelum itu, hadapi cabaran cukup sengit dalam karier politiknya. DAP melalui Projek Tanjong 11, mengetengahkan pemimpin utamanya, Lim Kit Siang, meninggalkan kubunya di Kota Melaka dan Petaling Jaya, berhijrah ke Pulau Pinang untuk mencabar Lim Chong Eu.

Lim Chong Eu punyai charismatic kepimpinan masyarakat Cina. Beliau adalah Presiden MCA selepas Tun Tan Cheng Lock. Setelah hadapi krisis dalam Parti Perikatan pimpinan Tunku menjelang PRU pertama, 1959, beliau meletak jawatan  dan keluar parti. MCA berdepan dengan PRU 1959 dipimpin oleh Tan Siew Sien, anak Tan Cheng Lock.

Beliau menubuhkan parti multiracial United Democratic Party (UDP) bersama beberapa tokoh semasa yang meninggalkan MCA bersama beliau digabungkan dengan bekas ahli Parti Negara (pimpinan Dato' Onn Jaafar). Antaranya termasuklah Tan Joo Hing (bekas pemimpin MCA), Dato' Zainal Abidin Abas (bekas pegawai tadbir kanan bersama Dato' Onn menubuhkan Parti Negara). Dalam PRU 1964, Lim Chong Eu menang kerusi parlimen tunggal UDP di Tanjung bersama 4 kerusi Dun Pulai Pinang.

Dalam tahun 1968, Lim Chong Eu menggabungkan tenaga bersama bekas anggota Partai Buruh seperti Dr Tan Chee Khoon, V. Veerapan, V. David bersama ahli akdemik Prof Syed Hussien Alattas dan Prof Wong Gung-wu menubuhkan sebuah parti, Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan). Dalam PRU 1969, hasil persefahaman DAP-Gerakan-PPP, mengwujudkan pertandingan satu lawan satu dengan Perikatan, membuahkan kejatuhan kerajaan Perikatan pimpinan MCA di Pulau Pinang, serta kebuntuan Perikatan bentuk kerajaan negeri di Perak dan Selangor kerana kegagalan mendapat simple majority. Kedudukan kerusi Perikatan dengan gabungan pembangkang ialah di Perak 19:21, Selangor 14:14. Gerakan bentuk kerajaan negeri di Pulau Pinang di bawah Lim Chong Eu.

Dalam tahun 1974, Gerakan bersama parti-parti lain yang memenangi kerusi dalam PRU 1969, kecuali DAP, Sarawak National Party (SNAP) dan Partai Rakyat Malaya, membentuk Barisan Nasional. BN diketuai Gerakan terus menguasai Pulau Pinang di bawah Lim Chong Eu.

Dalam PRU 1990, Lim Kit Siang yang mengetuai projek Tanjong 11, berjaya menewaskan Lim Chong Eu, di kerusi Dun Padang Kota dengan majoriti 760 undi. Cabaran "battle of the giants" siri kedua ini, membuktikan kesungguhan hasrat DAP menguasai kerajaan Pulau Pinang dan menjuarai hasrat masyarakat Cina. Walaupun gagal kuasai kerajaan tetapi DAP memiliki kerusi terbanyak dalam DUN Pulau Pinang iaitu 14, UMNO 11, Gerakan 7, MIC 1. MCA totally out.

Hebatnya pegangan politikus Cina di Malaysia, selepas kemerosotan MCA dalam PRU 1969, semua Ahli Parlimen MCA menolak sebarang jawatan dalam kerajaan.

Di kalangan kepimpinan parti-parti politik Melayu, belum ada keberanian sedekian rupa dilakukan oleh kepimpinan parti dominan iaitu UMNO dan Pas. Tiada pemimpin besar Melayu meninggalkan kubu dan menyerang medan musuh.
Semasa Tun Hussien Onn jadi Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, beliau cuma dicabar oleh kepimpinan Pas negeri iaitu Hassan Hussien (Pesuruhjaya Pas Johor) dalam PRU 1978, di Sri Gading.
Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuai BN dalam 5 PRU. Cabaran utamanya ialah bila PRU pertama beliau sebagai Perdana Menteri, PRU 1982. Beliau ditentang oleh Yusoff Abdullah Rawa, Timbalan Presiden Pas di Kubang Pasu. Yusoff Abdullah Rawa pernah menewaskan Dr Mahathir dalam PRU 1969 di Kota Setar Selatan (sekarang parlimen Pendang).
Dalam PRU 1986, beliau dicabar oleh Dr Azizan Ismail, lebih dikenali sebagai usahawan berjaya dan kurang dikenali dalam politik nasional. Dr Mahathir pernah dengan sinis menyifatkan Dr Azizan adalah calon utana PM, kiranya BN kalah.
PRU 1990 manifestasi dari percubaan BN menghadapi rakyat setelah UMNO diharamkan serta ujian pertama bagi UMNO (Baru). Pas bergabung dalam pakatan Angkatan Perpaduan Ummah bersama Parti Melayu Semangat 46, Berjasa dan Hamim, melepaskan kerusi Kubang Pasu kepada Presiden Hamim, Dato' Sudin Wahab. Sudin Wahab adalah bekas ADUN Pas. Inilah kali pertama, saya kira ketua parti lawan ketua parti dalam kawasan majoriti Melayu.
Dalam PRU 1995, Pas meletakkan Ahmad Mohd Alim, bekas pegawai polis. Calon yang agak asing dalam calculus politik nasional, untuk mencabar seorang PM.
Di saat BN serta Dr Mahathir sendiri hadapi cabaran getir dalam PRU 1999, Pas menghantar tokoh nasionalnya seorang AJK Pas Pusat Ahmad Subky Abdul Latiff ke Kubang Pasu untuk bertembung dengan PM.
Begitu juga sebaliknya di pihak UMNO. Sebagai perbandingannya yang relevan ialah Menteri Besar Kelantan, Tuanguru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat (TGNA), kerana penggal kepimpinannya agak panjang. Calon-calon yang diletakkan oleh UMNO/BN menentang TGNA semasa dan sebelum beliau memegang jawatan MB, terdiri dari tokoh-tokoh peringkat bahagian sahaja.
Dalam PRU 1990 yang menghasilkan keputusan yang amat luar biasa, rasionalnya belum ada mana-mana kerajaan yang gagal memenangi sebarang kerusi dan gagal jadi pembangkang dalam DUN atau Parlimen. Itulah natijah dari kematian UMNO 1988. Kekalahan kerajaan Pas 1978, boleh hantar 2 wakil sebagai pembangkang dalam DUN.
Dalam PRU 1990, TGNA yang mempertahankan kerusi negeri Semut Api yang dimenanginya dalam PRU 1986, dicabar oleh bekas ADUN Pas kawasan berkenaan, Wan Mamat Wan Yusoff.
Kawasan pilihanraya Dun Semut Api ditukar nama kepada Cempaka, selepas persempadanan kawasan pilihanraya dan mula digunakan dalam PRU 1995. TGNA yang bertanding di Cempaka dalam PRU 1995, dicabar oleh Yusoff Isa, pemimpin tempatan.
PRU 1999, zaman merudum kali kedua bagi UMNO/BN, UMNO meletakkan Ropli Ishak, juga pemimpin peringkat bahagian. Diikuti Rohani Mamat, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Pengkalan Chepa dalam PRU 2004 dan Dato' Dr Nik Mohd Zain Omar, Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa dalam PRU 2008.
Begitu jugalah, semasa Dato' Sri Tuanguru Abdul Hadi Awang mempertahankan kerusi Dunnya semasa memegang jawatan Menteri Besar, beliau cuma ditentang oleh pemimpin UMNO peringkat bahagian, Dato' Tengku Zainuddin Tengku Zahid, bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Marang.
Keberanian politikus Melayu adalah berjuang di gelanggang sendiri. Dato' Shahrir Abdul Samad, yang dipecat jawatan Menteri Kebajikan Masyarakat dalam tahun 1988, letak jawatan sebagai Ahli Parlimen Johor Bahru. Beliau bertanding semula dalam pilihanraya kecil tahun berkenaan, sebagai calon bebas berjaya mempertahankan kerusinya mengalahkan calon BN dan PSRM. Kemenangan dengan majoriti  6,000 undi cukup besar bagi seorang calon bebas.
Hari ini, sayang adanya pindaan Perlembagaan di bawah Fasal (6) Perkara 48 Subseksyen 6(5) Jadual Kedelapan Perlembagaan Persekutuan: menghalang Ahli Dewan Rakyat dan ADUN yang letak jawatan bertenading semula dalam tempoh 5 tahun, mulai tarikh perletakan jawatannya.
Jika tidak bolehlah rakyat dan khalayak awam saksikan sejauhmana wakil rakyat yang melompat parti dan dapat semula mandat dari pengundi menerusi proses pilihanraya kecil. Di sinilah ruangnya bagi rakyat melihat sejauhmana opportunistik, kecekalan dan keberanian serta pengorbanan seseorang wakil rakyat yang diberi amanah.
Harapannya sama ada kerajaan yang ada sekarang kekal mempertahankan Putrajaya atau kerajaan baru yang akan dibentuk selepas PRU13 nanti, Fasal 6 Perkara 48 Subseksyen 6(5) Jadual Kedelapan Perlembagaan itu  dipinda demi menjernihkan dan memurnikan nilai-nilai demokratik dan keadilan sejagat, yang menjadi impian dan tuntutan setiap insan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan