Selasa, 24 Januari 2012

Kuota calon

KUOTA CALON

Saya amat tertarik tulisan Sdr Mohd Sayuti Omar dalam blognya; msomelayu.blogspot.com, tahun lepas, mengenai bakal calon yang akan diturunkan Pas untuk negeri Kelantan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13. Beliau mencadangkan kuota calon Pas untuk negeri Kelantan: 40% calon berlatakbelakangkan pendidikan agama, 30% profesional dan 30% individu yang ada pengaruh dalam masyarakat Melayu Kelantan yang berasaskan luar bandar. Saranan kuota 40:30:30 ini digariskan, untuk Pas mempertahankan kerajaan Kelantan yang telah dibina sejak 21 tahun lalu.

Sebagai badan siasah yang mempertaruhkan perjuangan menegakkan hukum Allah menerusi perjuangan menguasai pemerintahan, tumpuan diberikan kepada mereka yang mempunyai latar belakang pendidikan dan kerjaya agama, menguasai kepimpinan parti. Justeru itu, sejak Pas menyertai pilihanraya pertama sebelum merdeka , pilihan raya Dewan Perundangan Persekutuan Tanah Melayu, Pas meletakkan 11 calon dan menang 1 kerusi menerusi Tuanguru Haji Ahmad Tuan Hussien di Kerian. Antara tokoh-tokoh awal diberi peluang menjadi calon masa itu termasuklah  Zulkiflee Muhammad di Selangor, Mohd Asri Hj Muda di Kelantan Timur.

Dalam pilihan raya umum pertama selepas merdeka PRU 1959, Pas telah berjaya menghantar 12 anggotanya  ke Parlimen. Antara mereka berlatarbelakang agama sebagai Ahli Parlimen Pas pertama: Dr Burhanuddin Mohd Noor (Besut), Zulkiflee Muhammad (Bachok), Mohd Asri Hj Muda (Pasir Puteh), Hassan Adli Hj Arshad (Kuala Terengganu Utara), Othman Abdullah (Tanah Merah), Haji Hussien Rahimi Hj Saman (Kota Bharu Hulu).

Di peringkat Dewan Undangan Negeri Kelantan, dalam PRU 1959, Pas menguasai 28 dari 30 kerusi. Dari seramai 28 ADUNnya, separuh terdiri dari berpendidikan agama termasuk 3 orang guru pondok terkenal masa itu: Tuanguru Haji Daud Yusoff (Tumpat Barat), Tuanguru Hj Che Hassan Ismail (Tendong) dan Tuanguru Haji Haron Sulong (Lemal).

Trend penguasaan golongan agama menguasai barisan calon yang dikemukakan setiap PRU berterusan hingga hari ini, sungguhpun calon-calon profesional dan lain-lain kelompok mengimbangi keseluruhan komponen calon.

Kejayaan Pas mengetengahkan kepimpinan masyarakat tradisional Melayu yang berasaskan luar bandar: ulamak dan berpendidikan Islam, diseimbangkan dengan golongan profesional dan elit terpengaruh, berjaya meletakkan Pas, sebagai satu badan siasah yang dominan dalam masyarakat Melayu. Faktor ini meletakkan kejayaan Pas mempertahankan Kelantan sehingga 1978. Di samping itu, Pas pernah menguasai Terengganu 1959-1961 atas faktor tersebut.

Partai Rakyat Malaya (kemudiannya Partai Sosialis Rakyat Malaya) walaupun memperjuangan sebuah masyarakat adil berasaskan doktrin sosialisme, turut menggabungkan kombinasi calon tersebut. Ini dapat dikesan latarbelakang calon-calon Partai Rakyat di negeri-negeri Pantai Timur, dari PRU 1959 hingga PRU 1974.

Setelah kegagalan Perikatan menerusi UMNO kepada Pas dalam PRU 1959 dan PRU 1964 di Kelantan, UMNO mencuba meletakkan lebih ramai ulamak dan berpendidikan agama sebagai calon dalam PRU 1969 digabungkan dengan profesional. Dalam PRU 1969, UMNO meletakkan calon aliran agama di Kelantan di kerusi Parlimen: Dasuki Haji Ahmad (Pasir Mas Hulu), Hj Ali Hussin, bekas Kadhi (Kota Bharu Hulu), Haji Mohd Salleh Hj Ibrahim (Kelantan Hilir) dan Haji Ahmad Hj Idris bekas Kadhi(Bachok).  Sementara golongan profesional: Tengku Ahmad Rithauddeen, bekas Legal Adviser Kelantan (Kota Bharu Hilir), Mohamed Yaacob, bekas Legal Adviser Terengganu (Tanah Merah), Dr Abdul Aziz Omar (Tumpat), Dato' Abdullah Mahmood, bekas Timbalan SUK Kelantan (Pasir Puteh) dan Dato' Nik Ahmad Kamil, bekas Menteri Besar Kelantan (Ulu Kelantan). Dari 10 kerusi, UMNO menang 4 kerusi (tambahan 2 dari PRU 1964). 

Di peringkat DUN, UMNO meletakkan 8 orang calon aliran agama: Haji Muhamad Idris (Kota Bharu Pantai), Hj Mohd Nor Abdullah (Tendong), Abdullah Hj Yusoff, bekas ADUN Pas (Bandar Pasir Mas), Hj Mohd Nor Daud (Kota Bharu Tengah), Ismail Hj Mamat (Bachok Utara), Hj Mohd Amin Othman (Bachok Tengah), Zakaria Hj Taib (Pasir Puteh Utara), Haji Mohammad Ismail (Pasir Puteh Tengah).  Cuma seorang saja calon UMNO aliran agama yang menang; Haji Mohammad Ismail di Pasir Puteh Tengah, yang mempertahankan kerusi yang dimenangi dalam PRU 1964.

Selepas PRU 1969, calon-calon BN yang diwakili UMNO cuma diletakkan dalam angka yang kecil dalam setiap kali PRU, sama ada di Kelantan atau di negeri-negeri lain.

Bermula PRU 1986, bermulanya Pas di bawah kepimpinan ulamak, di mana satu portion calon Pas adalah terdiri dari latar belakang agama. Di pihak UMNO, nampaknya tidak menampakkan angka besar calon aliran ini. Apakah kegagalan UMNO meletakkan komponen yang tidak kurang kecil calon aliran agama untuk menandingi Pas dalam perebutan menguasai undi di sektor luar bandar sebagaimana penglaman UMNO Kelantan dalam PRU 1969 itu, telah memeritkannya.

Apakah politik kebendaan yang diterjahkan ke atas masyarakat desa, boleh mengembalikan kehebatan UMNO dan BN, sebagaimana sebelum PRU 2008. Dengan senario semasa, BN semakin kehilangan sokongan di kalangan pengundi bukan Melayu, apakah harapan tinggi BN kepada UMNO kali ini untuk mengekalkan kekuasaan. Apakah bentuk taburan calon yang dirancangkan UMNO untuk menghadapi PRU13, yang disifatkan PRU hidup mati.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan