Selasa, 28 November 2023

PRK Kemaman 2

 

 MISI MENARIK UNDI YANG HILANG

Kempen parti-parti bertanding menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman sudah memasuki tahap akhir minggu ini yang lebih menjurus kepada usaha-usaha akhir menarik sokongan. Asasnya, di pihak Barisan Nasional (BN) mencanangkan usaha merampas kerusi yang asalnya Kemaman terkenal dengan kubu kuat UMNO lebih 40 tahun. Sungguhpun, kemenangan besar Pas dalam Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) yang masih panas, BN khususnya UMNO dibantu rakan-rakan dalam kerajaan Madani, sebagaimana dipertontonkan, diliputikan dan dilaporkan oleh media rasmi pemerintah menguasai kempen di lapangan. Berita dan pergerakan calon BN dan pasukan kempen mendapat liputan, secara langsung BN menguasai medan pada tahap pertama kempen seminggu berlalu. 
 
Tuntuan merampas dan mengembalikan nostalgia kekuatan BN, juga turut dimainkan oleh beberapa media cetak mainstream untuk menggambarkan kerja kuat jentera pilihanraya. Lantaran itu, umumnya menenggelamkan pergerakan jentera Pas, di mana maklumat hanya dapat ditatapi dari media sosial yang terhad penyebaran. Apapun, beberapa analisis dan andaian berlatarbelakangkan senario politik daerah Kemaman sepatutnya dijadi asas untuk mengenalpasti kelebihan-kelebihan kedua-dua parti yang bertanding. 

Kekuatan UMNO di Kemaman yang lebih berkecenderungan tempias suasana politik dari Pahang yang berjiran dengannya, berbeza dengan suasana di daerah Besut dan Setiu yang berjiran dengan Kelantan yang menampakkan saingan sengit antara UMNO dengan Pas sejak fasa awal pasca kemerdekaan. Dalam Pilihan Raya Umum pertama (1959), UMNO semasa dalam Perikatan memberikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai kepada MCA, iaitu kawasan luar bandar. Calon MCA ini menang mudah di kerusi berkenaan. 
 
Berbeza dengan di Kelantan, di mana calon-calon MCA mewakili Perikatan bertanding di kawasan luar bandar; Tumpat Tengah (sekarang Kelaboran) dan Hulu Kelantan Barat (sekarang Galas) telah tewas kepada calon Pas. Di Pantai Timur, calon-calon MCA hanya mampu menang di kerusi bandar: Bandar Hilir (sekarang Kota Lama) di Kelantan dan Bandar di Terengganu. Berbeza dengan penerimaan pengundi luar bandar di Pahang yang membolehkan calon MCA boleh menang mudah di beberapa kerusi luar bandar seperti Damak, Ceka. Dalam PRU 1968, BN Kelantan meletakkan calon MCA di kerusi Gucil, menyebabkan pengundi memberi laluan kepada calon Pas. 
 
Sepanjang sejarah PRK di kawasan Kemaman telah memberikan laluan mudah kepada calon UMNO, sama ada semasa Perikatan atau BN. Pada akhir tahun 1967, satu PRK mengisi kekosongan kerusi ADUN Cukai, apabila penyandang merangkap Speaker DUN Terengganu, Mohd Taha Embong meninggal dunia. Calon Perikatan, Ngah Haji Awang menang mudah setelah memungut 66.78% undim untuk menewaskan calon Pas. 
 
Apabila Pas menyertai  BN (1974-1977) kekosongan sebagai pembangkang di Terengganu telah diisi oleh Partai Sosialis Rakyat Malaya (PSRM), menjadikan Terengganu sebagai negeri tumpuan PSRM. Tokoh-tokoh utama nasional PSRM diletakkan bertanding dalam PRU 1974 menentang  BN, di mana BN telah menyapu bersih semua kerusi Parlimen dan DUN, kecuali kerusi DUN Batu Burok jatuh ke tangan calon bebas. 
 
Kematian Ahli Parlimen Kemaman yang juga Timbalan Menteri JPM, Wan Abdul Kadir Ismail membawa kepada PRK Parlimen Kemaman pada 08/05/1976. Calon BN, Abdul Manan Othman menang dalam PRK berkenaan mengalahkan Pengerusi PSRM Nasional, Kassim Ahmad, setelah memungut 60% undi. Kekuatan BN hasil kerjasama UMNO dan Pas mampu hadapi halangi pengaruh sosialisme yang cuba diperkenalkan oleh PSRM.

Kematian ADUN Kijal, Mohamad Md Amin, semasa kehangatan krisis UMNO telah membuka medan ujian kekuatan UMNO dalam PRK Kijal pada 01/08/1990. Walaupun sedang kesan krisis UMNO menjurus kepada kegagalan calon BN mempertahankan disandangnya dalam PRK Teluk Pasu, pada 24/06/1989, tetapi kekuatan UMNO di bahagian Kemaman tidak terjejas. Dalam PRK Kijal, calon BN, Ahmad Said memperolehi 65% undi mengalahkan calon Parti Semangat 46, Ahmad Shabery Cheek. Kekuatan UMNO berdepan pakatan baru, Pas dan Semangat 46, yang memsepadukan bekas tenaga UMNO. 

Cabaran yang sengit dihadapi UMNO Kemaman apabila bekas Ahli Parlimen Kemaman keluar UMNO bertanding sebagai calon Pas dalam PRU 1969 di kerusi Parlimen Kemaman, hanya kalah 890 undi kepada calon Perikatan dari UMNO, Wan Mokhtar Ahmad. Walau bagaimanapun Wan Yahya, menang di kerusi DUN Kemaman Selatan. Laluan yang dirintis oleh Wan Yahya menerusi PRU 1969, gagal meletakkan Pas sebagai cabaran terkuat dalam kubu UMNO ini, 30 tahun kemudian, barulah Pas mula menjadi pilihan menguasai Terengganu, selepas perpecahan kedua UMNO, menerusi PRU 1999. 

UMNO bangkit semula merealisasikan Kemaman sebagai kubu kuat selepas menebus menerusi PRU 2004. Hayat UMNO tidak lama di Kemaman apabila kehilangan semua kerusi dalam PRU15 (2022/2023). Di pihak kem UMNO, mempromosikan PRK Kemaman akan menafikan kekalahan 40-0, dengan kekuatan dan kehebatan calon seorang jenderal bersara akan memecahkan angka kosong. Harap-harap tiada lagi telor ayam. Kepimpinan UMNO mendakwa Pas ketandusan tokoh untuk menjadi calon, terpaksa menurunkan MB untuk berdepan dengan calon gagah perkasa, yang diturunkan oleh BN sebagai calon langsung, lantaran ahli UMNO.

Ada 6 faktor menjadikan PRK Kemaman sebagai petunjuk dalam  mengatur langkah strategik membaca gelagat rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu membuat keputusan, lantaran 93.4 peratus pemilih Kemaman adalah orang Melayu. 
 
1. Keupayaan BN mampu meningkatkan undi berganda dari 38,535 undi dalam PRU15 kepada 50,000 undi, jika peratusan keluar mengundi 82% sebagaimana PRU15. Untuk menepati sasaran tersebut, faktor utama ialah berjaya menerjah ayungan sekitar 7,000 himgga 8,000 pengundi Pas, dengan kata lain memecahkan sokongan  sebagaimana dilabelkan oleh setengah musuh Pas dengan jenama Islam konservatif untuk melebarkan pengaruh Islam liberal yang lebih terbuka dan moderat.

2. Pungutan undi oleh BN dalam PRK Kemaman bukan gambaran sokongan pemilih kepada UMNO mengembalikan legenda kubu kuat UMNO, tetapi cerminan sokongan kepada kerajaan Madani. Sebagai anggota komponen yang dipertanggungjawabkan orang nombor dua dalam kerajaan Madani, prestasi BN menterjemahkan status sokongan orang Melayu kepada kerajaan Persekutuan, lantaran Kemaman adalah kawasan pengundi Melayu melebihi 90% jumlah pengundi, berbanding kerusi Pelangai yang hanya mempunyai 70% pengundi Melayu yang memberi kemenangan kepada calon BN dalam PRK Pelangai tempoh hari. 

3. Penempatan rancangan pembangunan tanah, FELDA yang tradisinya merupakan aset tetap buat BN, UMNO khasnya di seluruh negara, telah mula dirungkaikan cengkaman UMNO bermula dallam PRU15 lepas. Generasi pertama komuniti FELDA yang semakin susut angkanya masih merupakan teras sokongan UMNO. Generasi kedua dan ketiga yang mewarisi penempatan FELDA sudah merenggamkan diri dari UMNO. Keputusan undi dari peti undi FELDA, BN masih menguasai saluran 1, saluran 2 dan seterusnya menolak BN. Di Kemaman, ada 4 penempatan FELDA: Kerteh 5, Kerteh 6, Neram 1, Neram 2, dan 2 Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Seberang Tayor dan Seri Bandi, sudah tidak dapat membantu BN lagi. Tugasan jentera BN lebih mencabar untuk mengembalikan nolstalgia silam dalam usaha menambah pungutan undi kali ini. 

4. Faktor pengundi bukan Islam tidak kurang penting dalam PRK Kemaman. Di kerusi negeri Cukai, terdapat 14% pengundi dari kelompok ini, yang tidak kurang dominannya peranan sokongan kepada parti bertanding. Semasa Pas bersama PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat, BN hanya menang dengan majoriti 700 undi lebih di kerusi Cukai, sementara di kerusi Kemasik, Kijal dan Ayer Putih, BN menang besar dalam PRU12 (2008). Dalam PRU13 (2013), Pas berjaya menguasai kerusi Cukai dengan majoriti lebih 2,000 undi, di kala BN masih utuh di Kemasik, Kijal dan Ayer Puteh. Dalam PRU14 (2018), setelah terbubarnya Pakatan Rakyat, PKR mewakili gabungan pembangkang yang kemudiannya dinamakan Pakatan Harapan, mampu meraih lebih 5,000 undi serta mengekalkan wang pertaruhan, berbanding di kerusi-kerusi lain, calon-calon PKR hilang wang pertaruhan. Pengundi Melayu adalah melebihi 96% di Kemasik, Kijal dan Ayer Puteh. Sokongan padu pemilih bukan Islam dan penyokong PH serta peratusan mengundi yang tinggi dari kelompok ini memungkinkan peluang memberi merit kepada undian BN.

5. Kemampuan Pas mengekalkan undi 65,714 undi yang diperolehi dalam PRU15. Kemampuan ini ditumpukan keberkesanan jentera parti berjaya menarik peratusan keluar mengundi yang tinggi. Peratusan keluar mengundi yang lebih rendah membuka ruang ancaman kepada peluang Pas untuk menang besar. Berbekalkan ahli Pas bagi kawasan Kemaman, 15,300 ahli mampu meraih 65,000 undi, bermakna Pas dapat sokongan 50,000 bukan ahli Pas. Patutlah, Presiden UMNO pada 13/11/2023, cukup yakin BN boleh rampas kerusi Kemaman kerana Kemaman adalah kubu UMNO, bermakna kemenangan Pas dengan cukup besar, sebahagian undinya dari penyokong UMNO.

6. Lazimnya dalam mana-mana PRK, peratusan keluar mengundi lebih rendah berbanding dengan peratusan keluar mengundi semasa PRU atu PRN. Peratusan keluar mengundi semasa PRU15 Parlimen,(Nov 2022) ialah 82.04%, PRU15 Negeri, yang diadakan 8 bulan kemudian, mencatat 75.38% secara purata semua kerusi DUN dalam daerah Kemaman. PRK Kemaman yang akan diadakan 4 bulan kemudian, memungkinkan peratusannya tidak melebihi angka 70%. PRK ini dijangka menjurus kepada pengurangan undi, parti-parti yang  bertanding. Peratusan keluar mengundi yang rendah tidak dapat dielakkan apabila membabitkan pengundi yang bermastautin di luar kawasan yang diselubungi dengan masalah mendapatkan pelepasan atau cuti, bukan musim cuti perayaan atau cuti persekolahan, kekangan letih atau jemu bila berdepan pilihanraya 3 kali dalam masa setahun.




 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan