Selasa, 21 November 2023

PRK Kemaman 1

 

 BN YAKIN MAMPU RAMPAS KERUSI KEMAMAN

Pas yang mempertahankan kerusi P040 Parlimen Kemaman mempertaruhkan Naib Presiden merangkap Menteri Besar Terengganu, DS Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam Pilihan Raya Kecil Kemaman, yang akan ditentang oleh calon langsung dari Barisan Nasional, Gen (B) TS Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor untuk PRK Kemaman pada 02/12/2023. Kekosongan kerusi P040 lantaran pembatalan keputusan Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) oleh Mahkamah Pilihan Raya atas alasan wujud unsur-unsur rasuah semasa perjalananan pilihanraya berkenaan. 

Kerusi Parlimen Kemaman memanglah dari segi sejarah dan pencapaian pilihan raya lampau menggambarkan sebuah kubu tradisi buat Barisan Nasional khususnya UMNO. Bermula dari PRU pertama (1959), UMNO menguasai medan percaturan dan lebih diperkukuhkan dengan kehadiran TS Wan Mokhtar Wan Ahmad bermula PRU3 (1969) sehingga beliau tewas dalam PRU10 (1999). Sebaris dengan Besut, Setiu (dulunya Hulu Nerus) dan Hulu Terengganu, Kemaman sebagai kubu dan benteng kekuatan UMNO di Terengganu, sehinggalah diruntuhkan oleh gelombang reformasi 1999. 

PRU10 (1999) memporak-perandakan  kedudukan BN Terengganu, bila semua 8 kerusi Parlimen tewas kepada Barisan Alternatif: 7 kepada Pas dan satu ke Parti Keadilan Nasional (Keadilan). Calon Keadilan, Abdul Rahman Yusoff menang kerusi Parlimen Kemaman, setelah memperolehi 20,715 undi untuk atasi calon BN, Wan Zaki Muda dengan majoriti 1,535 undi.

Bagi kerusi DUN dalam Parlimen Kemaman, yang tidak pernah ditewaskan oleh parti lawan, dalam PRU10, 3 kerusi DUN jatuh ke tangan Pas, BN hanya mampu pertahan kerusi Kemasik sahaja dengan hanya majoriti 104 undi. TS Wan Mokhtar sendiri tumpas di kerusi Cukai, yang disandangnya sejak tahun 1974. 

Dalam PRU8 (1990) bahang pasca krisis UMNO tidak terkesan di kawasan Parlimen Kemaman, walaupun Pas bersama gabungannya Parti Semangat 46, Berjasa dan Hamim, memberikan pukulan 52-0 kepada BN, (39 kerusi DUN, 13 Parlimen) di Kelantan,  ianya hanya terkesan di bahagian utara dan tengah Terengganu sahaja. Calon-calon UMNO mewakili BN di Kemaman  menang besar berbanding dengan kawasan lain. 

Kemenangan besar BN dalam PRU11 (2004) di seluruh negara telah membantu melonjakkan prestasi BN khususnya UMNO di kawasan Kemaman.  BN menerusi Ahmad Shabery Cheek merampas kerusi Kemaman dengan kemenangan bergaya, memungut 36,517 undi atau 63.89% undi menumpaskan calon penyandang Abdul Rahman Yusoff (Keadilan) yang perolehi 20,635 undi atau 36.10%, memberikan majoriti 15,882 undi. Kejayaan BN dalam PRU11 meningkatkan sebanyak 17,337 undi atau 90.4% berbanding PRU10. 

Di semua 4 kerusi DUN dalam kawasan Kemaman, BN menang dengan cemerlang dengan majoriti besar antara 2,815 undi hingga 4,274 undi merampas Kijal, Cukai, Ayer Puteh dan mempertahankan Kemasik.

Dalam PRU12 (2008), BN menerusi Ahmad Shabery pertahan kerusi Kemanan dengan perolehan undi 37,199 undi atau 60.27% undi, mengatasi undi calon Pakatan Rakyat yang diwakili calon PKR, Mohd Fariz Musa yang mendapat 24,516 undi atau 39.72% undi. Calon BN menang dengan majoriti 12,683 undi, berkurangan berbanding pencapaian dalam PRU11. Walaupun BN menang semua 4 kerusi DUN, tetapi semuanya dengan majoriti yang berkurangan berbanding pencapaian dalam PRU11, antara 769 undi dengan 3,821 undi. 

Sungguhpun Ahmad Shabery mempertahankan kerusi Kemaman dengan peningkatan undi kepada 45,525 undi dalam PRU13 (2013) hakikinya prestasinya sedikit merosot lantaran undinya turun ke 57.81% berbanding PRU12. Majoritinya 12,306 undi, meninggalkan calon PKR, Kamaruddin Chik, yang mendapat 33,219 undi atau 42.18% undi. 

Di peringkat kerusi DUN, BN masih mengekalkan Kemasik, Kijal dan Ayer Putih, dalam PRU13.  Pas berjaya memenangi kerusi Cukai, di samping mengurang majoriti kemenangan BN di Kemasik.  

Kemerosotan pencapaian BN di Kemaman dalam PRU13, bolehlah disifatkan sebagai bermulanya kehilangan pengaruh dan legasi kubu kuat di Kemaman. Dalam PRU14 (2018), Pas yang bertanding bersendirian selepas terbubarnya Pakatan Rakyat, menerusi Che Alias Hamid berjaya menguasai kerusi Parlimen Kemaman, mengalahkan Ahmad Shabery. Pas memperolehi 39,878 undi atau 44.06%, BN memungut 37,715 undi atau 41.67%, sementara calon PKR, Huzaifah Suhaimi mengutip 12,911 undi atau 14.27%. Che Alias menang dengan majoriti 2,163 undi.

Jika dalam PRU10, PRU11, PRU12 dan PRU13, Pas memberikan kepada PKR kerusi Parlimen Kemaman dan jentera Pas bekerja untuk membantu PKR, tetapi dalam PRU14, jumlah undi Pas yang bertanding bersendirian mampu memberi impaks kepada pencapaian dalam pilihanraya. Di samping itu, kemampuan PKR mengutip 12,911 undi serta mengekalkan wang deposit memperlihatkan kekuatannya di Kemaman, khususnya di DUN Cukai. 

Pas berjaya mempetahankan kerusi DUN Cukai dengan  peningkatan majoriti selepas mengungguli 12,428 undi atau 49.56%, dengan majoriti 4,900 undi meninggalkan BN dengan 30.89% undi dan PKR 20.35% undi. Pas berjaya merampas kerusi Kemasik dan Ayer Putih, sementara BN cuma menang di kerusi Kijal, menerusi mantan MB DS Ahmad Said. 

Berasaskan angka perolehan undi dan data pencapaian dalam PRU14, jika Pas masih bersama pakatan pembangkang, pastinya Pas boleh menang lebih besar di semua kerusi dalam kawasan pilihanraya Kemaman. 

PRU15 Parlimen memberikan satu pencapaian yang luar biasa sebagaimana apa yang dicapai di negeri-negeri lain khususnya melibatkan kawasan majoriti pengundi Melayu, keputusan PRU15 Parlimen Terengganu mencatatkan calon Pas yang mempertahankan kerusi, Che Alias Hamid, berjaya meningkatkan undi dari 39,878 undi atau 44.06% undi sah (PRU14) kepada 65,714 undi atau 58.11% undi, memperlihatkan peningkatan sebanyak 64.79%. Peningkatan undi Pas sebanyak 64.79%, lebih tinggi berbanding peningkatan jumlah pengundi Parlimen sebanyak 107,593 orang (PRU14) kepada 139,423 orang (PRU15) iaitu 29.58% atau 31,830 orang dalam tempoh 4 tahun.

Perubahan sokongan kepada BN dalam tempoh tersebut boleh dilihat dari undi calon BN, Ahmad Said hanya meningkat dalam skala kecil dari 37,715 undi (PRU14) kepada 38,535 undi (PRU15). Calon PKR, Hasuni Sudin cuma memungut 8,340 undi dan hilang wang pertaruhan. Seramai 91,630 pemilih keluar membuang undi dalam PRK14, meningkat kepada seramai 114,383 pemilih berbuat demikian dalam PRU15 Parlimen, pertambahan seramai 22,753 keluar mengundi. Undi kepada calon Pas telah meningkat sebanyak 25,836 undi dalam PRU15 lebih besar dari pertambahan keluar mengundi, memperlihatkan hampir 96.25% pengundi baru serta lebih 3,000 pengundi PKR beralih kepada Pas sementara lebih 1,500 pengundi yang mengundi PKR tidak keluar mengundi, atas andaian semua pengundi BN dalam PRU14 mengekalkan pilihan dalam PRU15. Analisis ini bersandarkan kepada peratusan keluar mengundi dalam PRU14 sebanyak 85.16%, berbanding 82.04% dalam PRU15 Parlimen.

PRU15 DUN yang diadakan berasingan dalam jarak masa 8 bulan, menghasilkan keputusan atau pencapaian yang tidak jauh beza bagi semua parti yang bertanding. Dijumlahkan semua undi diperolehi oleh calon-calon BN di semua 4 kerusi DUN dalam PRU Negeri ialah 38,541undi atau 36.43% dari jumlah undi sah. Jumlah undi yang dikumpul oleh calon-calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding atas logo Pas ialah 67,239 undi atau 63.56% undi. Calon-calon Pas berjaya mempertahankan kerusi Kemasik, Cukai dan Ayer Puteh, sementara kerusi Kijal dirampas oleh calon Bersatu. Ketiga-tiga kerusi yang dipertahankan Pas, dimenangi dengan membolot lebih 64% undi, sementara calon Bersatu di Kijal mengaut 58% undi. 

Dalam PRU15 Parlimen, calon Pas menang dengan majoriti 27,179 undi, jika dijumlah dapatan undi dalam PRU DUN, undi Pas mengatasi BN dengan 28,698 undi. Dalam PRU15 Parlimen, undi BN dan Pakatan Harapan (PH) menerusi calon PKR bertanding berasingan, sepatutnya dalam PRU DUN, setelah terbentuk Kerajaan Madani, sepatutnya beza undi Pas semakan kecil, kerana sepatutnya undi BN mewakili gabungan yang terbentuk di peringkat Persekutuan melibatkan BN dan PH memberikan undi yang lebih besar kepada calon BN. 

Dalam PRU15 DUN seramai 106,361 pengundi keluar mengundi atau 75.38%, berbanding peratusan keluar mengundi dalam PRU15 Parlimen; 82.04% atau seramai 114,383 orang. Ini bermakna kekurangan 8,022 orang yang keluar mengundi di Kemaman. Tetapi di lapangan, undi Pas bertambah sebanyak 1,525 undi dalam tempoh dua pilihanraya tersebut dan undi BN hanya bertembah 6 undi, ke mana perginya undi yang diterima oleh PH sebanyak 8,340  undi yang diperolehinya dalam PRU Parlimen tahun lepas. Mungkinkah kekurangan 8,022 pemilih keluar mengundi, kesan kesemua penyokong PH tidak menyokong calon BN, rakannya dalam Kerajaan Madani, dengan membuat keputusan boikot atau sengaja tidak keluar mengundi. 

Jika semua penyokong PH dalam PRU15 Parlimen mengundi calon BN, dalam PRU DUN, Pas hanya mengatasi BN dengan 20,000 undi sahaja lebih kecil majoriti kemenangan Pas dalam PRU15 Parlimen. 

Kerusi Parlimen Kemaman memanglah kubu UMNO semenjak PRU pertama dalam tahun 1959, di mana di peringkat awal pasca kemerdekaan, Pas berjaya melebarkan sayap hingga berjaya menguasai kerajaan negeri 1959-1961, tetapi Kemaman yang bersempadan dengan Pahang, gagal menerima pengaruh Pas. Pengaruh Pas cuma mula bertapak setelah Ahli Parlimen Kemaman yang pertama, Wan Yahya Mohamad keluar UMNO dan menang atas tiket Pas di DUN Kemaman Selatan (sekarang Ayer Puteh) dalam PRU3 (1969). Sejak zaman Wan Yahya Mohamad, Wan Mokhtar Wan Ahmad, Wan Abdul Kadir Ismail, Abdul Manan Othman, Ismail Said, Ramli Taib, semuanya Ahli Parlimen Kemaman mewakili UMNO, menang tidak melebihi angka 10,000 undi. Pencapaian tertinggi menerusi Ahmad Shabery Cheek dalam PRU11 (2004) melebihi 15,000 undi. Kekalahan pertama UMNO di Kemaman ialah menerusi PRU10 (1999) dan diikuti 2 PRU terakhir: PRU14 dan PRU15. 

Sejauhmana keupayaan BN mengembalikan kecemerlangan silam faktor kubu kuat menhakis kekalahan majoriti 27,000 undi dalam PRU terakhir. Apakah meletakkan calon langsung, bukan ahli UMNO, dengan status seorang jenderal bersara berjawatan Panglima Angkatan Besenjata mampu mengaut sokongan sebanyak mungkin di lapangan berbeza. Sebenarnya ujian di Kemaman bukan sekadar UMNO memulihkan medan yang tercedera tetapi harapan yang menggunung kesepaduan jentera pendokong Kerajaan Madani menguasai kawasan majoriti Melayu, yang menjadi teras politik tanahair. Jika BN, UMNO khususnya mampu mengurangkan majoriti dimenangi Pas, sudah cukup untuk meletakkan langkah baru menghadapi cabaran membina semula kubu yang retak.

 



 

 

 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan