Sabtu, 4 November 2023

PRK Jepak

 

 PILIHAN RAYA KECIL JEPAK SEKADAR MEMPERTAHANKAN STATUS QUO

Hari ini, Sabtu 04/11/2023, seramai 11,075 dari jumlah 22,804 pemilih atau 48.57% telah keluar membuang undi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Sarawak, N67 Jepak. Kejayaan calon Parti Bumiputera Bersatu mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS), Iskandar Turkee menang bergaya menang telah diduga, lantaran rekod pencapaian calon PBB, yang dulunya mewakili Barisan Nasional (BN) membolot undi yang besar setiap kali pilihanraya, di satu-satunya kerusi DUN majoriti pengundi Bumiputera Islam dalam kawasan Parlimen Bintulu. 

Calon PBS, Iskandar Turkee mengungguli 9,638 undi atau 88.24% daripada undi sah yang memberikan majoriti 8,784 undi untuk menumpaskan 2 lawannya; Stevenson Joseph Sumbang dari Parti Bumi Kenyalang (PBK) yang mendapat 854 undi atau 7.82% undi dan Ching Lea Phing dari Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) dengan 431 undi atau 3.95%. 

Sungguhpun peratusan keluar mengundi yang paling rendah dalam sejarah pengundian di Dun Jepak, iaitu hanya 48.57%, namun calon PBB ini berjaya mengulangi pencapaian PBB dalam PRN 1996, tetapi dengan majoriti yang lebih besar untuk menyingkir lawan-lawannya sehingga hilang wang deposit.
 
PRK diadakan berikutan kematian penyandang kerusi N67 Datuk Talib Zilpilip pada 15/09/2023, yang mula memenangi kerusi ini hasil Pilihan Raya Negeri (PRN) 1996.  Talib seorang pemimpin Melanau menang kerusi ini dalam PRN 1996 dengan majoriti besar dengan 5,287 undi, setelah memungut 5,892 undi atau 88.26% dari jumlah undi sah, kedua-dua calon lawannya telah hilang wang pertaruhan. 
 
Dalam PRN 2006, beliau dicabar oleh calon DAP dari etnik Melanau dalam saingan satu lawan satu. Talib mempertahankan kerusi Jepak dengan memisahkan 3,179 undi mengatasi undi lawan. Beliau perolehi 4,997 undi atau 73.32% undi.  
 
Talib meneruskan kejayaan dengan memenangi PRN 2011, dalam saingan 5 penjuru yang menyaksikan pencapaian 5,470 undi atau 62.08% undi dengan majoriti 3,128 undi mengatasi lawan terdekat ialtu calon PKR. Calon SNAP dan Bebas telah hilang wang pertaruhan.

Dalam PRN 2016, Talib berjaya mempertahankan kubu kuat PBB dab BN dengan peningkatan undi. Beliau membolot 6,342 undi atau 68.82% undi dalam saingan 5 penjuru dengan calon PKR sebagai pencabar utama. Beliau memperolehi majoriti 4,201 undi mengatasi calon PKR. Sementara calon-calon Pas, STAR dan Bebas telang hilang deposit. 

Kekalahan BN di peringkat Persekutuan dalam PRU14 (PRU 2018) mendorong parti-parti komponen BN dari Sarawak; PBB, SUPP, PRS dan SPDP keluar gabungan BN dan membentuk entiti baru, Gabungan Parti Sarawak (GPS). PRN 2021 sebagai perintis GPS menyertai pilihan raya, mencapai kejayaan yang lebih besar berbanding PRN 2016. Di kerusi Repak, calon PBB/GPS, memperolehi 6,277 undi atau 69.44%., dengan majoriti 4,243 undi atasi pencabar terdekat, calon PSB. Calon PBK dan calon Bebas hilang wang pertaruhan. 
 
Perkara yang menjadi keutamakan dalam PRK ini ialah tidak sertanya parti-parti berpengaruh. Dalam 4 PRN yang terakhir, ada keterlibatan PKR, DAP dan PSB. Setiap kali PRN, calon-calon sama ada dari DAP atau PKR atau PSB menjadi pesaing utama kepada PBB di kerusi Jepak. Sementara penyertaan parti-parti lain serta calon bebas tidak menampakkan impaks, sekadar pelengkap serta gagal mengutip wang pertaruhan. 

Penyertaan PBK dan Aspirasi dalam PRK ini mengulangi kegagalan-kegagalan dalam beberapa siri pilihan raya lepas. Calon PBK, Setevenson, seorang kepimpinan tertinggi partim berjawatan Timbalan Setiausaha Organisasi PBK, masih hilang wang pertaruhan sebagaimana percubaannya dalam PRN dua tahun lepas, di kerusi yang sama.

Calon Aspirasi yang merupakan Penasihat parti, dalam PRN 2016 dan PRN 2021, hanya memperolehi sebanyak 62 undi dan 89 undi dalam percubaannya di kerusi Tanjong Batu, yang berjiran dengan Jepak. Tanjong Batu adalah kawasan majoriti etnik Cina. Sekadar sedikit peningkatan undi kali ini, walaupun dalam lingkungan hilang deposit.

DAP bersama PKR menunjukkan prestasi yang merudum dalam PRN 2021, dan tempatnya berpihak kepada PSB untuk pilihan pengundi dalam PRN 2021 telah meninggalkan ruang yang gagal direbut atau diambil, meletakkan PBK dan Aspirasi sebagai parti-parti pinggiran di gelanggang politik Sarawak khususnya. 
 
Penyertaan PBK dan Aspirasi masih gagal menyingkirkan label parti hilang deposit menjadikan PRK Jepak sekadar memenuhi tuntutan perundangan lantaran berlaku kekosongan satu kerusi anggota legislatif. Seolah-olah keterlibatkan PBK dan Aspirasi yang asalnya Parti Solidariti Rakyat Sarawak (STAR), untuk mengujikan penerimaan pengundi, khususnya di kawasan majoriti masyarakat Bumiputera Islam.
 
Justeru kerusi Jepak merupakan kawasan majoriti Bumiputera Islam, parti-parti pembangkang sama ada dari Semenanjung atau parti tempatan masih gagal mencari pengaruh. PRK Jepak mengukuhkan tanggapan penguasaan PBB khususnya dalam politik Sarawak. Pengaruh ini hanya sedikit tercabar mengenai pakatan Ming Court yang dipamirkan dalam PRN 1987. Selepas itu, status quo penguasaan kawasan majoriti Bumiputera Islam tidak terusik.

 
 
 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan