Ahad, 3 Disember 2023

PRK Kemaman 3

 KEPUTUSAN PRK KEMAMAN YANG MENGEJUTKAN

Menerusi catatan saya pada  minggu lepas, 28/11/2023, diramalkan peratusan keluar mengundi di bawah angka 70% dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman. Pengurangan peratusan mengundi yang lebih rendah berbanding dengan Pas dengan majoriti 27,179 undi dalam Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) di kala seramai 82.04% keluar mengundi akan menjejaskan pungutan undi oleh calon yang mempertahankan kemenangan besar untuk dicatat dalam PRK Kemaman. Mengejutkan, calon Pas, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar merekodkan majoriti yang lebih besar 37,220 undi dalam situasi  65.76% pemilih keluar mengundi, dalam menyaingi cabaran getir mantan Penglima Angkatan Tentera, Jen (B) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang dipertaruhkan mewakili Kerajaan Madani.

Calon Pas mengungguli 64,998 undi atau 70.06% undi popular, berbanding 65,714 undi atau 58.11% undi dikumpul oleh Pas dalam PRU15, setahun yang lalu.  Undi Pas berkurangan sebanyak 716 undi, relatifnya tidak menggambarkan kemerosotan sokongan tetapi peratus keluar mengundi yang lebih rendah dalam dua pilihanraya terlibat, yang mencatat angka 114,383 pemilih dalam PRU15, berkurangan kepada 93,204 pemilih dalam PRK Kemaman. Angka ini memperlihatkan kekurangan jumlah keluar mengundi seramai 21,179 orang. 

Peratus keluar mengundi yang berkurangan ini memberikan kesan yang besar kepada pencapaian calon BN. Undi BN telah merosot sebanyak 10,757 undi dari 38,535 undi  atau 34.07% undi dalam PRU15 kepada 27,778 undi atau 29.94% undi. Jarak nisbah pengurangan undi disisipkan bersama kekurngan angka keluar mengundi, yang sangat besar membolehkan calon Pas mengatasi undi calon BN dengan majoriti yang lebih besar, malah melampaui sasaran dibina jentera Pas iaitu kemenangan majoriti 30,000 undi. 

Kekalahan besar calon BN dalam PRK Kemaman kelmarin bolehlah dirangkum menerusi ancaman-ancaman berikut;

1. Kegagalan pendekatan Islam liberal yang lebih terbuka, dinamik dan kontemporasi untuk menghambat pengundi-pengundi Melayu keluar dari kepompong pembawaan Islam konservatif yang lebih terarah kepada gelombang sokongan kepada Pas, sebagaimana kejayaan besar Pas bersama Perikatan Nasional (PN) menguasai kerusi majoriti pemilih Melayu dalam PRU15, sama ada Parlimen atau Dewan Negeri. Umumnya penyokong Pas dan PN masih kekal mengundi Pas, walaupun PN gagal menguasai Putrajaya dan seorang demi seorang Ahli Parlimen PN mengistiharkan sokongan kepada PMX. Perkembangan politik ini tidak menjejaskan sokongan kepada calon Pas.

2. Gagasan Kerajaan Madani, yang ikut sama oleh UMNO, meletakkan UMNO semakin ditolak oleh orang Melayu. Kekalahan besar UMNO di PRK Kemaman mencerminkan kegagalan UMNO menarik sokongan orang Melayu mempastikan kerelevanan pendekatan Kerajaan Madani. Kemerosotan undi BN melalui calon UMNO lebih 10,000 undi, menggambarkan kegagalan bentuk kerjasama di kalangan anggota penyokong Kerajaan Madani. Ke mana perginya, undi yang diperolehi oleh calon PH, dalam PRU15, sebanyak 8,340 undi, kali ini, sama ada mereka boikot sokongan kepada calon UMNO, dengan tidak keluar mengundi atau beralih menyokong Pas untuk menggantikan pengundi Pas yang tidak balik mengundi kerana tidak mendapat cuti kerja atau halangan lain.

 Kemerosotan undi BN yang sepatutnya ditampung oleh penyokong PH, yang boleh menggagalkan hasrat Pas menambah undi majoriti, jelas mempertontonkan ketiadaan kerjasama BN dan PH dalam jentera pilihanraya Kerajaan Madani. Kesungguhan kepimpinan PH membantu jentera kempen termasuk kehadiran dan keterlibatan PMX dan Presiden Amanah, tidak banyak mambantu mantan Panglima Angkatan Tentera.

3. Pengundi di penempatan rancangan pembangunan tanah: FELDA dan RKT, yang tradisinya kubu kuat UMNO, yang diruntuhkan dalam PRU15 masih gagal dipulihkan. Cuma pengundi di saluran 1, masih memihak ke BNdi beberapa daerah mengundi. Kegagalan BN mengembalikan jenama kubu kuat UMNO turut membantu Pas menang dengan majoriti yang lebih besar. PMX turun berceramah di saat akhir di FELDA Neram 1 menggunakan premis awam sekadar berjaya menyakinkan pengundi di saluran 1 dengan generasi pertama FELDA yang semakin susut angkanya. 

4. Faktor kubu kuat UMNO sebagaimana keyakinan Presiden UMNO sebelum hari penamaan calon bahawa BN mampu memenangi PRK Kemaman. Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu merangkap mantan MB yang tewas dalam PRU15, masih mengulangi harapan BN menang PRK, walaupun ketinggalan lebih 27,000 undi tahun lepas.  Faktor ini kurang menonjol dalam masa kempen, apa tah lagi, calon BN sendiri menyebut beliau bertanding untuk kerusi DUN Kemaman, yang memperlihatkan mutu calon langsung yang diperturunkan. Jika beliau tidak tersasul, beliau tidak menyedari PRK Kemaman adalah untuk mengisi kekosongan kerusi Parlimen. Dalam sejarah, BN hanya menurunkan calon langsung dalam PRU 1978 di kerusi Bagan Datoh, apabila BN mengekalkan Timbalan Presiden Pas, Hassan Adli Arshad, kerana beliau bukan ahli mana-mana parti komponen BN, selepas Pas disingkir dari BN. Dalam PRU 1974, semasa Pas sebagai anggota komponen BN, diperuntukkan kerusi Parlimen Bagan Datoh kepada Pas. 

5. Isu semasa kempen pilihanraya juga memberi saham kepada kekalahan besar BN. Kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang menyebut jawatan PM adalah terbuka, bukan milik mutlak orang Melayu atau Bumiputera, begitu juga penyandang TPM. Kenyataan ini untuk membalas canangan utama kempen Pas meletakkan calon Pas, sebagai bakal calon PM, untuk PRU16 atau jika berlaku perubahan situasi politik bila-bila masa. Tindakan provokasi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pusat mengganggu aktiviti flash mob Jentera Penyokong Pas di bandar Cukai, sehari sebelum hari pembuangan undi sedikit sebanyak menyumbang kepada keputusan kepada sebahagian pengundi khususnya pengundi tidak berparti atau pengundi atas pagar. Sungguhpun Pas berjaya memungut 64,998 undi, tetapi ahli Pas berdaftar di seluruh kawasan Kemaman hanya sekitar 16,000 orang sahaja. 49,000 lagi pengundi yang memilih termasuk pengundi atas pagar dan penyokong parti lawan yang beralih sokongan di saat akhir. 

6. Peratusan keluar mengundi merupakan indikator menentukan prestasi parti yang bertanding. Sepatutnya peratusan keluar mengundi yang lebih rendah memberi ruang kepada BN untuk menafikan hasrat Pas untuk menang dengan majoriti 30,000 undi. PRK Kemaman memberi pukulan tenat kepada BN lantaran kekalahan yang lebih besar berbanding PRU15, di kala bilangan yang mengundi lebih kecil. Ini bermakna peratusan besar pengundi yang tidak keluar mengundi adalah ahli atau penyokong BN sendiri. Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu melahirkan rasa cemas setelah melewat beberapa pusat pengundian pada hari mengundi yang menunjukkan kadar pengundi keluar buang undi yang rendah. Mungkinkah kegagalan jentera kempen parti berperanan membantu penyokong parti di luar kawasan balik mengundi atau berlaku sabotaj penyokong sendiri. 

Peratus keluar mengundi yang rendah tidak dapat dielakkan. Dalam PRU15 Parlimen, seramai 82.04% pengundi keluar menunaikan tanggungjawab, sementara PRU15 DUN yang dadakan 8 bulan kemudian, keseluruhannya 75.38% pengundi melibatkan 4 kerusi DUN dalam kawasan Kemaman, terus menurun kepada 65.76% dalam PRK Kemaman kelmarin. Justeru PRK ini yang merupakan pilihanraya terpaksa memberi kesan kepada kecenderungan pemilih untuk keluar mengundi. Sepatutnya tidak perlu dikemukakan petisyen pilihanraya lantaran pihak yang menang dalam PRU15 Parlimen sudah menang dengan majoriti  27,179 undi. Biasanya petisyen pilihanraya dikemukakan oleh pihak yang kalah, tewas dengan majoriti kecil sebagaimana PRK bagi kerusi Bukit Payong (21/04/1992), Parlimen Cameron Highlands (26/01/2019), Parlimen Kimanis (18/01/2020), apabila calon yang kalah dengan majoriti 17 undi di Bukit Payong, 597 undi di Cameron Highlands, 156 undi di Kimanis, kemuka bantahan mencabar keputusan pilihanraya.





 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan