Isnin, 11 September 2023

PRK Pulai

 GAMBARAN PERSEPADUAN SOKONGAN KERAJAAN MADANI MEMPERTAHANKAN STATUS QUO

Kejayaan gabungan pendokong kerajaan Madani yang memperturunkan calon dari Parti Amanah Negara (Amanah) dalam pilihan raya kecil (PRK) kelmarin mempertahankan kerusi Parlimen Pulai dan kerusi negeri Simpang Jeram, perlu dilihat daripada beberapa petunjuk angkubah untuk mengukur pencapaian.  

Di kerusi Parlimen Pulai, calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kaiat membolot 48,283 undi atau 61.54% daripada jumlah undi sah. Calon Perikatan Nasional (PN) daripada Bersatu, Zulkifli Jaafar memperolehi 29,642 undi atau 37.78% undi, sementara calon bebas, Samsuddin Muhamad Fauzi hanya mampu pungut 528 undi dan hilang wang peraturan. Seramai 78,816 pemilih atau 47.33 peratus daripada 166,653 pemilih telah keluar membuang undi. 

Dalam PRU15 Parlimen tahun lepas, calon PH, DS Salahuddin Ayub memperolehi 64,900 undi atau 55.33% undi dalam saingan tiga penjuru menentang calon BN daripada UMNO, yang perolehi 31,726 undi atau 27.05% dan calon PN daripada Gerakan, yang dapat 20,677 undi atau 13.63%, di kala 118,066 pemilih atau 71.46% keluar mengundi. 

Justeru calon PH bertanding mewakili kerajaan semasa, kerajaan Madani yang turut disertai BN membantu PH, sewajarnya pencapaian PRK, sewajarnya dilihat perbandingan pencapaian calon PH dengan gabungan pencapaian PH dan BN dalam PRU15. PRU15 Parlimen menjumlahkan undi gabungan PH-BN  sebanyak 64,900 tambah 31,726 iaitu 96,626 undi iaitu 82.83%. Mengambil kira kesungguhan kepimpinan UMNO dan jentera pilihanraya bertungkus-lumus mempastikan semua pengundi UMNO dan penyokong BN mengundi calon PH, atas semangat kebersamaan berada dalam kerajaan Madani, sewajarnya undi gabungan ini dipertaruhkan sebagai petunjuk keiltizaman keberadaan dalam sebuah kerajaan. Sepatutnya undi dipungut oleh calon PH adalah 82.83% dari jumlah undi sah iaitu 78,453 (jumlah keluar mengundi tolak undi rosak sebanyak 363) iaitu 64,983 undi.

Undi dikumpul oleh calon PH dalam PRK Parlimen Pulai; 48,283 atau 61.54% kekurangan 16,700 undi berpandukan 47.33% keseluruhan keluar mengundi. 

Undi diperolehi oleh calon PN dalam PRK ini lebih tinggi berbanding undi diperolehi PN dalam PRU15. Dalam PRU15, undi PN ialah 20,677 undi atau 13.63% meningkatkan kepada 29,642 atau 37.78% undi sah dalam PRK. Pertambahan undi PN sebanyak 8,965 undi atau peningkatan 43.36%, dari calon berbangsa Cina kepada calon Melayu. Komposisi pengundi di Parlimen Pulai; Melayu 44.5%, bukan Melayu 55.5%. 

Analisis awal pemerhati menjangkakan PH tiada masalah untuk mempertahankan kerusi Parlimen Pulai, yang harus diberi perhatian dari sudut kemerosotan undi gabungan PH-BN, sebaliknya berlaku peningkatan undi PN, dalam situasi peratus keluar mengundi yang jauh berbeza; 71.46% menurun ke 47.33%, dari 118,066 pemilih dalam PRU15 ke 78,816 pemilih dalam PRK. Apakah benar ramalan awal, pengundi bukan Melayu akan boikot PRK atau tidak lagi mengundi PH dan pengundi Melayu khususnya UMNO, sama ada pulau PRk atau beralih menyokong PN. 

Dalam PRN Negeri pada awal tahun lepas, di kerusi Simpang Jeram, calon PH dari Amanah, DS Salahuddin Ayub mengunguli 8,749 undi atau 40.94% undi, calon PN mewakili Pas, dapat 6,350 undi atau 29.72% undi, sementara calon BN dari UMNO perolehi 6,062 undi atau 28.37%. Seramai 21,756 pemilih atau 54.37% keluar membuang undi. 

Kerusi campuran Simpang Jeram dengan komposisi pemilih; 53.42% Melayu dan 46.49% bukan Melayu, dimenangi calon Amanah, DS Salahuddin Ayub dalam PRU14 (PRU 2018) dengan majoriti 7,687 undi. Dalam PRU12 (PRU 2008) dan PRU13 (PRU 2013), kerusi ini dulunya nama Sungai Abong, dimenangi calon Pas, Dr Sheikh Ibrahim Sheikh Salleh.

Dalam PRK semalam, calon PH dari Amanah, Nazri Abdul Rahman memperolehi 13,844 undi atau 56.54% dari jumlah undi sah. Calon PN dari Pas, Dr Mazri Yajya mengaut 10,330 undi atau 42.19%, sementara calon bebas Jeghanathan s/o Subramaniam, cuma dapat 311 undi dan hilang wang pertaruhan. Seramai 24,559 pemilih atau 60.82% telah keluar membuang undi. 

Calon PH mendapat tambahan undi sebanyak  5,095 undi, sementara undi calon PN bertambaj sebanyak 3,950 undi, sementara pertambahan keluar mengundi bertambah sebanyak 2,803 pengundi. Undi BN tambah undi PN adalah 9,045 undi, memungkinkan datangnya dari undi BN dalam PRU15 lalu tambah dengan tambahan pengundi keluar mengundi yang berjumlah 8,865 undi. 

Ramalan awal, saingan di Simpang Jeram dijangka sengit, lantaran tinjauan awam mendapati sukar bagi pengundi UMNO memberikan undi kepada PH, dan akan beralih ke PN dalam PRK ini. Majoriti undi yang diperolehi oleh PH dalam PRU15. sebanyak 2,399 meletakkan peluang PN mengatasi PH lebih terbuka dan ada kemungkinan. Tambahan pula, lebih jelas kerja-kerja pemasangan bendera PN di beberapa lokasi banyak dibantu oleh penyokong UMNO. 

Jentera PN terjejas di saat akhir kempen setelah Presiden UMNO dilepaskan tanpa bebas dalam kes mahkamah, memberi ruang membantu jentera UMNO menarik penyokong UMNO memberikan undi kepada calon kerajaan perpaduan. Pertambahan undi kepada kedua-dua calon, tidak lain datangnya dari pengundi UMNO serta keputusan oleh pengundi yang tidak keluar mengundi dalam PRU15 tetapi keluar mengundi dalam PRK. 

Justeru itu, saingan di Simpang Jeram lebih kepada perebutan undi dalam kalangan pengundi tersebut, yang memberikan kelebihan kepada calon PH untuk mengekalkan kemenangan dengan tambahan undi majoriti 1,115 undi. Sebenarnya, jarang berlaku dalam mana-mana pilihan raya kecil, undi semua calon yang bertanding akan bertambah, yang lazimnya undi satu pihak bertambah dan undi pihak yang satu lagi berkurang. Kerja keras jentera parti dalam PRK ini memberi kesan kepada peratusan keluar mengundi, sungguhpun peratusan keluar mengundi lebih tinggi; 60.82%, dalam mana-mana PRK angka ini angka normal dan standard. Cuma, perbandingan dengan PRU15 DUN Johor, awal tahun lepas secara berasingan,      memberikan peratusan keluar mengundi yang rendah di Simpang Jeram, 54.37%. 

Keseluruhannya hasil PRK ini walaupun calon-calon PH berjaya mempertahankan kerusi tetapi peratusan keluar mengundi yang rendah di Pulai, telah gagal memberi keadilan kepada konsep demokrasi, yang memberikan tak sampai separuh pengundi terlibat. Seolah-olah satu mesej ketidakselesaan dan ketidaksenangan hati nurani rakyat kepada kerajaan hari ini. 

Beberapa pilihanraya kecil selepas PRU14, pertukaran kerajaan dan kejatuhan kerajaan BN, 2018, memperlihatkan pengundi tidak berminat keluar mengundi, kerana PRK sekadar mencari wakil rakyat baru bukan satu ruang menyatakan sokongan atau protes kepada pemerintah semasa. PRK yang diadakan beberapa bulan selepas PRU14, menzahirkan peratusan keluar mengundi yang rendah; PRK Sungai Kandis pada 08.08.2018 mencatat 49.36%, catatan terendah keluar mengundi 42.93% dalam PRK Balakong pada 08.09.2018 dan 44.09% di Seri Setia, pada tarikh yang sama. Balakong adalah kubu kuat DAP, berjaya mengumpul 85% undi, menjadi penyebab kurang tarikan untuk keluar mengundi. Dalam PRK Penanti, kubu kuat PKR dan pertandingan hanya berlaku calon PKR menentang 3 orang calon bebas yang kurang popular, hanya mencatat peratusan keluar mengundi 46.15%.

Impaks jelas dalam dua PRK kelihatan di Simpang Jeram sokongan jelas dari UMNO sebagai parti gabungan mempastikan kerjasama erat PH-BN, sebagai ujian awal keberkesanan membentuk kerajaan perpaduan di selatan tanah air. Peratusan keluar mengundi yang bertambah di Simpang Jeram mampu membantu kerajaan Madani menandingi kebangkitan gelombang hijau.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan