Khamis, 7 September 2023

Polarisasi Kaum 1

 PRN 6 NEGERI MENGESAHKAN POLARISASI KAUM MENDOMINASI PEMILIH MEMBUAT PILIHAN.

bahagian 1

Corak pengundian yang dipamerkan dalam Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) bagi 6 Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 12.08.2023 lalu meletakkan satu garisan pemilihan yang cenderung kepada pembentukan polarisasi kaum dalam politik Malaysia. Mengambil kecenderungan pengundi di kawasan dominasi tegar kumpulan kaum iaitu pengundi Melayu dan bukan Melayu, memperlihatkan penguasaan pengaruh atau sokongan sesebuah parti. 

Sejumlah 245 kerusi DUN dari 6 negeri dipertandingkan melibatkan pecahan: 174 kerusi boleh digolongkan sebagai kawasan majoriti pengundi Melayu, melibatkan 110 kerusi mengandungi lebih 80 peratus pengundi Melayu, dan 64 kerusi memiliki antara 60 hingga 79 peratus pengundi Melayu. 

Di negeri Kedah, 29 dari jumlah 36 kerusi DUN tergolong dalam kategori majoriti pengundi Melayu. 3 kerusi campuran dengan pengundi Melayu melebihi 50 peratus. Kesemua 32 kerusi ini dimenangi oleh calon Perikatan Nasional (PN) diwakili oleh 22 calon Pas dan 10 calon Bersatu. 3 kerusi campuran; Bakar Arang dan Sidam dimenangi oleh calon bukan Melayu Pakatan Harapan (PH) mewakili PKR, sementara kerusi Kulim, dimenangi PN menerusi calon Cina dari Gerakan. Kerusi tunggal dengan majoriti pengundi bukan Melayu; Bandar Darul Aman dimenangi PH melalui calon Cina dari DAP. 

Penguasaan undi Melayu lebih terserlah oleh PN di kawasan kubu tradisi Pas: Tokai (dulunya Bukit Raya), Sungai Limau (dulunya Sala) dan Bukit Pinang (dulu Langgar). Tiga kerusi ini menjadi teras kemenangan Pas di Kedah, sebelum Pilihan Raya Umum 1999. 3 kerusi ini kerapkali mewakili Pas di DUN Kedah, dalam tahun 1970an hingga 1999. Ada kalanya, Pas pernah menang hanya satu kerusi iaitu Bukit Raya. Dalam PRU15 DUN, di kerusi Tokai, PN perolehi 84.43% undi dari jumlah undi sah, 84.88% undi di Sungai Limau dan 82.35% di Bukit Pinang. 

 Dalam PRU 1999, Pas melebarkan pengaruhnya menguasai 8 kerusi Parlimen dan 12 gabungankerusi DUN. Pas memenangi kerusi tambahan; Ayer Hitam, Pedu, Kuala Nerang, Bukit Lada, Anak Bukit, Pengkalan Kundor, Belantek, Jeneri, Kupang. Dalam PRU15 DUN, PN menguasai 83.56% undi di Belantek, 82.35% di Kuala Nerang, serta 78 hingga 79% undi di Ayer Hitam, Bukit Lada, Anak Bukit, Jeneri, dan Kupang. Kecuali Pengkalan Kundor, semua kerusi berkenaan memiliki lebih 80% pengundi Melayu. PN menguasai 66.38% undi di Pengkalan Kundor, kawasan pilihan raya yang mengandungi 75% pengundi Melayu. 

Keseluruhannya, undi terkumpul PN yang menang 33 kerusi dari 36 ialah 801,387 undi atau 68.93% dari jumlah undi sah, sementara  PH-BN menang 3 kerusi memungut 350,954 undi atau 30.11%. Persaingan satu lawan satu PRU15 DUN menghasilkan kelebihan kepada PN berbanding pencapaian dalam saingan 3 penjuru dalam PRU15 Parlimen: PN lawan PH lawan BN. Dalam PRU15 Parlimen, PH perolehi 281,443 undi atau 23.27%, sementara BN pungut 235,353 undi atau 19.46%, digabungkan undi PH-BN menjumlahkan 516,796 undi atau 42.73%. Undi keseluruhan PN dalam PRU Parlimen di negeri Kedah; 664,720 undi atau 54.96% membolehkan PN memenangi 14 dari 15 kerusi Parlimen di Kedah.. Perbandingan pencapaian undi PN dan kemerosotan mendadak gabungan PH-BN antara dua pilihan raya berkenaan agak mengejutkan dengan propaganda dan serangan bertubi kerajaan Madani di Pusat ke atas kerajaan negeri yang dikepalai oleh Pas. 

Kemerosotan undi gabungan PH-BN dalam saingan satu lawan satu tidak sepadan dengan gabungan tenaga sebuah kerajaan Persekutuan bersaing dengan sebuah kerajaan negeri. Kejayaan PN di Kedah lebih mempamerkan sokongan pengundi Melayu yang merupakan 76.8% pengundi keseluruhan. Malah kerusi campuran: Derga, Gurun dan Bukit Selambau yang biasanya dikuasai oleh calon-calon bukan Melayu oleh PH atau BN (kecuali dalam PRU14, PH menurunkan calon Melayu di Gurun), memberikan undi yang bergaya ke calon Melayu PN, 61.37% di Gurun, 60.13% di Bukit Selambau dan 56.72% di Derga. 

Kelantan dengan komposisi pengundinya 94.86% adalah orang Melayu, pengundi Cina seramai 3.36%, sementara India 0.28% dan baki 1.51% adalah lain-lain etnik, dengan bahagian besarnya Orang Asal dan Kaum Thai, memberikan 43 kerusi dengan komposisi pengundinya lebih 80% pengundi Melayu, dan 2 kerusi , pengundi Melayu sebanyak 63-65% dari jumlah pemilih. Justeru itu, wajarlah disimpulkan semua kerusi DUN Kelantan adalah kerusi majoriti Melayu. 

Kejayaan PN menguasai 43 kerusi dan gagal di 2 kerusi sinonim dengan bentuk komposisi etnik. 2 kerusi yang gagal dikuasai oleh PN adalah kerusi Kota Lama, kawasan bandar yang dipopulasi oleh 65% pengundi Melayu dan bakinya dimonopoli oleh etnik Cina, sementara Galas, sebuah kawasan luar bandar, mempunyai 63% pengundi Melayu, 14% Cina dan 20% Orang Asal. 

Kota Lama dimenangi oleh calon Pakatan Harapan yang mengaut 49.98% undi, sementara calon Pas, 48.94%, dengan perbezaan 202 undi. Di Galas, calon BN membolot 59.19% undi, Pas 40.81%, membolehkan BN menang dengan majoriti 3,337 undi. 

Kegagalan Pas di Kota Lama dan Galas bukanlah satu kejutan, berdasarkan kepada pencapaian undi semasa PRU15 Parlimen. Di Kota Lama, jumlah undi gabungan PH-BN mengatasi jumlah undi Pas, sebanyak 3,000 undi. Di Galas, jumlah undi BN mengatasi undi Pas, 2,000 undi, jika ditambah dengan undi PH, menjumlahkan undi gabungan PH-BN mengatasi Pas dengan lebih 5,000 undi. Berpandukan pencapaian semasa PRU15 Parlimen, sepatutnya gabungan PH-BN menang melebihi 3,000 undi di Kota Lama, bukan 202 undi. Sementara di Galas, gabungan PH-BN boleh menang melebihi 5,000 undi, bukan merosot ke 3,337 undi.

Berbeza dengan Kedah, pencapaian PN di Kelantan, sebagai kubu kuat Pas sejak 30 tahun serta peratusan pengundi Melayu yang tinggi, tidak ada pencapaian Pas melebihi 80% undi di sesebuah kerusi. Walau bagaimanapun, PN menerusi calon-calon Pas berjaya memperolehi lebih 75% undi di 13 kerusi, termasuk beberapa kerusi marginal dalam beberapa pilihan raya lepas. Pas berjaya perolehi 77.20% undi di Kemuning. Latar belakangnya, Pas hanya menang kelebihan 2 undi dalam PRU11 (PRU 2004), menang di bawah 1,000 undi dalam PRU12 (PRU 2008). Dalam PRU15 Parlimen, jumlah undi Pas hanya berbeza 1,100 undi sahaja dengan cantuman undi gabungan PH-BN. Berbekalkan 77.20% undi, calon Pas berjaya menang dengan majoriti besar, 5,687 undi atau 27.54% di Kemuning.

Bagi kerusi Manek Urai, calon Pas menguasai 78.64% undi. Pas pernah kalah di kerusi Manek Urai dalam PRU11. Dalam PRK Manek Urai, dalam tahun 2009, Pas hanya menang dengan majoriti 65 undi sahaja mengatasi BN. Dalam PRU15 Parlimen, undi Pas mengatasi undi BN 6,000 undi, tetapi dengan 78.64% undi dalam PRU15 Negeri, Pas berjaya menang dengan majoriti lebih besar, 7,490 undi atau  56.6%. 

Pas pernah kalah di kerusi Mengkebang dalam PRU11. Sebelum itu, kerusi ini diperuntukan kepada Parti Semangat 46, dalam PRU8 dan PRU9. Dalam PRU15 Parlimen, jumlah undi Pas mengatasi undi gabungan PH-BN dengan 7,000 undi, dalam PRU15 Negeri, calon Pas membolot 78.64% undi, untuk membolehkan menang selesa majoriti 9,127 undi atau 57.28% undi. 

Baki 10 kerusi yang memperlihatkan undi Pas melebihi 75%: Tawang (79.22%), Bukit Panau (79.14%), Kemahang (77.20%)Pasir Tumboh (76.62%), Meranti (76.36%), Kadok (75.95%). Pasir Pekan (75.88%), Kijang (75.81%), Demit (75.39%), Chempaka (75.24%), kubu Pas yang terbina sejak tahun 1990, setelah kembali menguasai Kelantan. 

UMNO gagal pertahan 7 kerusi yang dimenangi dalam PRU14, yang merupakan kubu UMNO sejak PRU11. Calon PN mampu menang besar di Kok Lanas dengan majoriti 8,219 undi atau 36.53%, Gual Ipoh dengan majoriti 5,952 undi atau 40.52%. Calon PN berjaya atasi undi calon BN di Air Lanas dengan 5,009 undi atau 35.62%.

Dalam PRU15 Parlimen, BN perolehi 265,666 undi atau 26.78% dari jumlah undi sah. PH dapat 87,293 undi atau 8.80% undi. Dicantumkan undi PH-BN menjumlahkan 352,959 undi atau 35.58%. PN yang menggunakan logo Pas, mengungguli dengan 631,201 undi atau 63.62% undim untuk menyapu bersih semua 14 kerusi Parlimen di Kelantan. 

Dalam PRU15 Negeri di Kelantan, gabungan PH-BN yang meletakkan 31 calon UMNO, 7 calon PKR fn 7 calon Amanah, memungut 260,089 undi atau 30.44% undi. Sementara PN menerusi 39 calon Pas dan 6 calon Bersatu membolot 589,632 undi atau 69.25%. Undi PH-BN merosot sebanyak 92,870 undi dan PN merosot 41,569 undi antara dua PRU15 tidak menjejaskan kemenangan PN 43-2, lantaran kemerosotan peratusan keluar mengundi keseluruhan negeri Kelantan dari 71.50% kepada 60.90%. 

Di Terengganu, calon UMNO tidak diturunkan di kawasan kubu kuat Pas. Calon-calon Pas memperolehi undi besar mengatasi calon-calon PKR dan Amanah yang bertanding atas nama PH.  Calon Pas perolehi 85.90% undi di Manir, 85.73% di Wakaf Mempelam, 85.18% di Rhu Rendang, 83.06% di Sura dan 79.60% di Batu Burok. 

Di pihak kem PN, meletakkan calon-calon Bersatu di kubu kuat UMNO: Hulu Besut, Permaisuri, Seberang Takir, Telemong dan Kijal, dengan mencapai undi yang memberangsangkan, kecuali Telemong. Di Permaisuri, undi calon PN mencapai 67.03%, dengan majoriti 7,538 undi atau 34.05%. PN mampu menang di Telemong dengan majoriti 295 undi, sedangkan dalam PRU15 Parlimen, jumlah BN mengatasi undi PN di kerusi berkenaan. 

Kemenangan PN di Terengganu dengan 32-0, dengan komposisi pemilih Terengganu keseluruhannya 96.28% Melayu, 3.14% Cina, 0.48% India, dengan 31 kerusi mempunyai pengundi Melayu melebihi 80%, dan satu kerusi, pengundi Melayu di bawah 80%: Bandar, 64.13% Melayu, 34.55% Cina. Calon PN menerusi Pas mampu perolehi 56.69% undi dengan majoriti 2,364 mengatasi calon UMNO. 

Pulau Pinang dengan kompisisi pengundinya; 38.06% Melayu, 49.27% Cina, 11.82% India, daripada jumlah 1.22 juta pengundi, terkumpul dalam 40 kawasan pilihanraya negeri. 40 kerusi DUN Pulau Pinang terdiri dari; 3 kawasan 80% pengundi Melayu,  12 kawasan 60-79% pengundi Melayu, 2 kawasan campuran, 10 kawasan mempunyai 60-79% pengundi bukan Melayu dan 14 kawasan 80% pengundi bukan Melayu. Umumnya, 15 kawasan majoriti Melayu, 23 kawasan majoriti bukan Melayu dan 2 campuran telah memberi kemenangan ke PH (27), BN (2) dan PN (11).

11 kerusi majoriti Melayu dimenangi oleh calon PN ( 7 Pas, 4 Bersatu), sementara baki 4 kerusi majoriti Melayu dimenangi oleh UMNO 2 kerusi, PH 2 kerusi (PKR (1), Amanah (1). Kemenangan PN dengan 11 kerusi adalah satu peningkatan yang cukup besar berasaskan Pas hanya menang satu kerusi sahaja dalam PRU14. Walaupun Bersatu memiliki 2 kerusi hasil PRU14, tetapi asasnya kerusi yang dimenangi hasil sokongan semua parti dokongan PH, bukan kekuatan sebenar Bersatu. 

Di kawasan majoriti pengundi bukan Melayu, semuanya dibolot oleh calon-calon PH menerusi DAP dan PKR. dengan pungutan undi yang besar melebihi 90% undi. Di Pengkalan Kota, calon PH membolot 94.64% undi dari jumlah undi sah. Di samping itu, kemenangan besar di Berapit (94.44%), Batu Lanchang (92.12%), Paya Terubong (91.55%), Kebun Bunga (87.83%), Padang Kota (87.83%), menyaksikan calon-calon PN hilang wang pertaruhan, kerana gagal perolehi tidak kurang dari 12.5% undi. PN mempertaruhkan bahagian besar calon di kawasan majoriti bukan Melayu menerusi calon Gerakan, di samping beberapa calon Bersekutu Bersatu dan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP). 

Keseluruhannya, berbanding dengan pencapaian parti-parti bertanding di Pulai Pinang ada perubahan besar antara PRU15 Parlimen dengan PRU15 Negeri. Dalam PRU15 Parlimen akhir tahun lepas, jumlah undi BN ialah 143,398 undi atau 15.19%, PH perolehi 566,237 undi atau 59.99%. Jika digabungkan undi PH-BN menjumlahkan 709,635 undi iaitu 75.18% daripada jumlah undi sah. Dalam PRU15 Negeri bulan lepas, undi PH-BN berjumlah 591,609 undi atau 65.89%.

Di pihak PN, dalam PRU15 Parlimen, terkumpul 226,170 undi atau 23.96%, sementara dalam PRU15 Negeri, undi PN meningkat kepada 299,525 undi atau 33.36% dari jumlah undi sah.  Keseluruhannya, peratus keluar mengundi dalam PRU15 Parlimen di Pulau Pinang ialah 77.76%, menurun kepada 73.25% dalam PRU15 Negeri. 

Analisis data-data ini merumuskan bahawa berlaku kemerosotan sokongan kepada PH dan BN, kerana undi gabungan menurun sebanyak 118,026 undi atau 16.63%, sebaliknya undi PN telah meningkat sebanyak  73,355 undi atau 32.43%, di kala peratusan keluar mengundi berkurangan. Sehubungan itu, tidaklah mengejutkan kejayaan PN menambah keanggotaan ADUN dari seorang ke 11 orang. 

Di Selangor, sama seperti di Pulau Pinang, Pas hanya menang satu kerusi dalam PRU14 telah bangkit atas perpaduan PN. Bagaimana PN berjaya menghilangkan 21 kerusi milik gabungan PH-BN. Selangor memiliki 34 kerusi majoriti Melayu, iaitu pengundi Melayu melebihi 60% pengundi di setiap kerusi, 8 kerusi campuran dan 14 kerusi mempunyai lebih 60% pengundi bukan Melayu. Keseluruhannya pengundi negeri Selangor; Melayu 50.77%, 31.37% Cina, 14.07% India, 7.0% lain etnik. 

Di kawasan komposisi pengundi bukan Melayu melebihi 80%, iaitu di 8 kerusi, calon-calon PH dari DAP dan PKR telah mengungguli dengan undi yang besar: Kampung Tunku (90.90%), Sri Kembangan (89.30%), Padamaran (86.75%), Bukit Gasing (85.87%),  Bandar Utama (85.25%), yang telah memberikan calon-calon PN dari Gerakan dan Bersekutu Bersatu hilang wang pertaruhan. Semua kerusi majoriti bukan Melayu dan campuran iaitu 22 kerusi telah dimenangi oleh calon-calon PH, dengan pungutan undi yang besar dan paling rendah 58.80% di kerusi Kota Kemuning. 

Berbanding kawasan majoriti bukan Melayu, persaingan lebih rancak dan lebih sengit di kawasan majoriti Melayu yang menyaksikan PN kuasa 22 kerusi (12 Bersatu, 10 Pas) dan baki 12 milik gabungan PH-BN (5 PKR, 5 Amanah, 2 UMNO). Di kawasan majoriti Melayu, calon yang menang hanya perolehi sekitar 50 - 59% undi, kecuali 2 kerusi dimenenangi melepas 60%; Sijangkang (72.73% undi) dan Sungai Burong (64.22% undi), kedua-dua menerusi calon Pas mewakili PN.  

Dalam PRU15 Parlimen tahun lepas, BN memperolehi 478,705 undi atau 17.15% dari jumlah undi sah, sementara PH merangkul 1,491,121 undi atau 53.43%, dijumlahkan undi gabungan PH-BN sebanyak 1,969,886 undi atau 70.58%. PN memungut 759,592 undi atau 27.22%. 

Dalam PRU15 Negeri, undi gabungan PH-BN berkurangan kepada 1,598,309 undi atau 60.22%, sebaliknya PN telah meningkatkan undinya kepada 1,014,143 atau 38.21% dari jumlah undi sah. Penurunan undi gabungan PH-BN bolehlah diberi alasan seiringan lantaran kejatuhan peratusan keluar mengundi dari 80.19% dalam PRU15 Parlimen ke 71.23% dalam PRU15 Negeri. Bolehkah dikatakan kejatuhan undi PH-BN kerana kurangnya pengundi bukan Melayu yang rata-ratanya menyokong PH tidak keluar mengundi atau penyokong UMNO tidak keluar mengundi sebagai protes kebersamaan dengan PH. Sebaliknya undi PN meningkat membolehkan menafikan suara dua pertima di DUN Selangor, peranan pengundi Melayu beralih ke PN bersama undi protes UMNO menolak gabungan PH-BN.

Di Negeri Sembilan, undi BN dalam PRU15 Parlimen ialah 212,167 undi atau 32.17%, dan undi PH pula sebanyak 295,449 atau 44.80% dari jumlah undi sah. Jika digabungan undi PH-BN mejumlahkan 507,616 undi atau 76.97%. Dalam PRU15 Negeri bulan lepas,  undi gabungan PH-BN adalah 354,702 atau 60.90%, satu penurunan yang sangat ketara, 152,914 undi.

Di pihak PN, undinya semasa PRU15 Parlimen ialah 144,835 undi atau 21.96%, sementara dalam PRU15 Negeri telah meningkat ke 219,303 undi atau 37.65%. Peratusan keluar mengundi di Negeri Sembilan bagi PRU15 Parlimen ialah 78.28% telah menurun kepada 68.22% dalam PRU15 Negeri. Perbandingan angka-angka ini mempamerkan kemerosotan sokongan kepada gabungan PH-BN serta perubahan mendadak sokongan kepada PN yang tidak memenangi sebarang kerusi dalam PRU14 dan PRU15 Parlimen, membolehkan PN menguasai 5 kerusi, serta memberikan cabaran sengit di kawasan majoriti Melayu, dengan PH-BN menang di 11 kerusi dengan peratusan undi marginal sekitar 50-54%. Sama seperti di Pulau Pinang dan Selangor, calon PH menang besar di kawasan majoriti pengundi bukan Melayu di 10 kerusi (2 kerusi pengundi bukan Melayu melebihi 80% dan 8 kerusi, pengundi bukan Melayu antara 60 hingga 79% pengundi. 

bersambung

 

 


 








 



 

 


 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan