Rabu, 20 September 2023

Polarisasi Kaum 2

 PRN 6 NEGERI MENGESAHKAN POLARISASI KAUM MENDOMINASI PEMILIH MEMBUAT PILIHAN.

 bahagian 2 

Pilihan Raya Umum ke 15  (PRU15) bagi 6 negeri bulan lepas jelas menyimpulkan pengukuhan satu bentuk kecenderungan menebalkan bentuk perkauman khususnya di kawasan bandar. PRU15 memuktamadkan dua parti: DAP dan Pas sebagai parti dominan dalam politik Malaysia. DAP bukan sahaja mendominasi kawasan bandar yang mencerminkan perwakilan monopoli pengundi bukan Melayu. Kejayaan DAP menguasai 46 daripada 47 kerusi yang ditandingi atau penguasaan 97.87%, mengesahkan DAP sebagai parti yang paling dominan. Sungguhpun pencapaian 97.87% di negeri-negeri tertentu, tetapi pencapaian bilangan penguasaan kerusi terbanyak di kalangan parti-parti di peringkat Parlimen yang membentuk kerajaan Madani, mengukuhkan kedudukan dan peranan DAP. 

Kerusi tunggal, Derga yang gagal dimenangi DAP, adalah kawasan 60% pengundi Melayu. Kawasan pilihanraya Derga, diwujudkan selepas persempadanan kawasan tahun 1983 dan mula beroperasi dalam PRU7 (PRU 1986), iaitu kawasan pinggiran bandaraya Alor Setar. Barisan Nasional (BN) menguasai kerusi ini semenjak PRU7, dengan memperuntukan kepada UMNO, selamat 2 penggal dan diberikan kepada MCA bermula PRU9 (PRU 1995). Dalam PRU13 (PRU 2013), setelah 6 penggal diwakili oleh BN, kerusi ini direbut oleh calon DAP. DAP mempertahankan kerusi ini dalam PRU14. 

Dari jumlah 46 kerusi dimenangi DAP, 41 kerusi kawasan majoriti bukan Melayu, di samping 5 kerusi campuran. 5 kerusi tersebut; Sekinchan (56% bukan Melayu), Kuala Kubu Baharu (57% bukan Melayu), Kota Kemuning (59% bukan Melayu), Sungai Pelek (51% Melayu) semuanya di Selangor dan Chennah (55% bukan Melayu), sebuah kerusi DUN Negeri Sembilan. Kemenangan Pakatan Harapan (PH) menerusi DAP menggambarkan penguasaan total kawasan atau kerusi majoriti bukan Melayu, di mana 89% kerusi milikan DAP diperolehi dari kawasan majoriti bukan Melayu. 

PRU15 bagi 6 negeri melibatkan 245 kerusi DUN: 175 kawasan majoriti Melayu, 51 kawasan majoriti bukan Melayu dan 19 kerusi campuran (10 kerusi pengundi Melayu kurang dari 50% dan 9 kerusi pengundi Melayu lebih 50%). 245 kerusi tersebut meliputi DUN Kedah (36), Kelantan (45), Terengganu (32), Pulau Pinang (40), Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36). 

Kemenangan gabungan calon-calon PH; DAP (46 kerusi), PKR (26) dan Amanah (8) lebih bersifat penguasaan kawasan bandar dan pinggir bandar. Kesemua kerusi bandar dan majoriti pengundi bukan Melayu dimenangi oleh DAP (41) dan PKR (10). Bagi kerusi campuran, 15 kerusi dikuasai oleh gabungan PH-BN; PKR (8), DAP (5) dan UMNO (2), sementara baki 4 kerusi campuran oleh PN; Bersatu (2), Pas (1) dan Gerakan (1). Semua kerusi campuran dimenangi oleh PN adalah kerusi-keruai campuran di Kedah. 

Umumnya PRU15 bagi 6 negeri masih mengekalkan persembahan semua parti yang bertanding dalam PRU15 Parlimen akhir tahun lepas, yang meletakkan Pas dan DAP adalah parti dominant dalam politik Malaysia. Pas mengetahui blok pembangkang dan DAP menguasai blok kerajaan. 

Pas bersama parti gabungannya; Bersatu dan Gerakan menguasai kawasan majoriti Melayu, dengan lain perkataan sebagai parti yang mendominasi kecenderungan orang Melayu menguasai politik tanah air. Kegagalan calon-calon PN yang diwakili oleh Gerakan menggambarkan kegagalan PN menguasai pengundi berbilang kaum. Calon-calon Gerakan di kawasan bandar dan kawasan majoriti bukan Melayu, bersama segelintir calon-calon bukan Melayu sebagai calon Bersekutu Bersatu dan Dewan Himpunan Penyokong Pas (sayap penyokong Pas dari bukan Melayu), telah ditolak secara total oleh pengundi, bahagian besarnya hilang wang pertaruhan. Semakin besar peratusan pengundi bukan Melayu, semakin kecil peratusan undi unruk calon-calon PN. 

PRU15 6 negeri bulan lepas, mengubah landskap politik yang lebih telah menganjak penguasaan politik Melayu. Lebih 60 tahun, penguasaan politik Melayu sinonim dengan UMNO, sebagai wadah dan gambaran kecenderungan pengundi Melayu secara total, telah terarah kepada perubahan menjadikan Pas sebagai suara dan juara politik Melayu, dengan dibantu oleh Bersatu, untuk mengambil alih penguasaan UMNO. 

Kegagalan UMNO yang bertanding atas nama BN gagal memenangi sebarang kerusi di negeri Kedah dan Terengganu, serta hanya mampu menang satu kerusi di Kelantan, dan masing-masing dua kerusi di Pulau Pinang dan Selangor, memperlihatkan peminggiran orang Melayu dari UMNO diperkukuhkan lagi setelah kemurungan dalam PRU15 Parlimen. Dalam PRU15 Parlimen, UMNO bersama rakan komponen BN gagal hantar wakil ke Parlimen dari negeri-negeri Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Melaka. Di Melaka, UMNO bersama rakan komponen MCA dan MIC berjaya mengembalikan kuasa melalui PRN Melaka, akhir 2022. Kemenangan UMNO dalam PRN Melaka sekadar kehendak orang Melaka yang serik dengan pentadbiran PH selepas PRU14. Semasa PRU15, lantaran untuk  membentuk kerajaan di Persekutuan, orang Melaka tidak mengharapkan UMNO mewakili mereka. 

Kemenangan UMNO dalam PRU15 Negeri, kemenangan calon BN yang ditawarkan oleh UMNO lebih banyak bergantung kepada sokongan pengundi bukan Melayu. Kejayaan memenangi kerusi Galas (Kelantan), Sungai Acheh (Pulau Pinang) dan Dusun Tua (Selangor), walaupun kawasan majoriti Melayu tetapi peratusan pengundi bukan Melayu yang mampu membantu kemenangan. 37% pengundi di Galas, 32% di Sungai Acheh dan 38% di Dusun Tua adalah pemilih bukan Melayu, keseluruhannya di seluruh negara sama ada semasa PRU15 Parlimen atau Negeri, tidak kurang 90% daripada mereka menyokong PH. Walaupun majoriti pemilih Melayu memihak kepada PN, pengundi bukan Melayu dalam peratusan berkenaan bersama minoriti pengundi Melayu sudah cukup untuk memenangkan calon UMNO, apabila rasminya PH bersama BN bertanding sebagai satu calon tunggal melawan PN. Kemenangan sebenar UMNO mewakili orang Melayu hanya berlaku di kerusi Bertam (Pulau Pinang) dan Sungai Air Tawar (Selangor), kawasan majoriti pengundi Melayu, melebihi 80% pengundi. 

PN yang asas kekuatannya yang banyak bergantung kepada kekuatan dan jentera Pas, lantaran keberadaan Bersatu sebenarnya belum teruji. Kemenangan Bersatu dalam PRU14 tidak boleh dianggap sebagai kekuatan Bersatu, kerana sebagai parti dalam gabungan pakatan pembangkang, yang pastinya mengumpul kekuatan dan pengaruh DAP, PKR dan Amanah, membantu kemenangan pakatan pembangkang yang bertanding menggunakan logo PKR. Berbeza dengan Pas, yang mewakili blok ketiga dalam PRU14, atas nama Gagasan Sejahtera bersama beberapa parti kecil; Ikatan dan Berjasa, bertanding atas kekuatan sendiri, berfokus kepada kawasan majoriti Melayu. Dalam PRU15 Negeri, bermodalkan kemenangan satu kerusi DUN di Pulau Pinang dan Selangor dan tanpa sebarang kerusi di Negeri Sembilan, mampu membantu PN menang 11 kerusi di Pulau Pinang, 22 kerusi di Selangor dan 5 kerusi di Negeri Sembilan. Keseluruhannya PN memenangi 142 dari 175 kerusi atau 81%  kerusi majoriti Melayu di 6 negeri. 

Penguasaan 100% kerusi majoriti bukan Melayu oleh PH yang dikepalai oleh DAP, di satu pihak dan 81% kerusi majoriti Melayu milik PN yang dikepalai oleh Pas, meletakkan satu panorama dua kontradiks mewarnai medan politik tanahair. Kerangka politik ini meletakkan pengukuhan satu polarisasi kaum antara Melayu sebagai penduduk majoriti dengan etnik bukan Melayu, peratusan utamanya penduduk Cina, sebagai kumpulan minoriti. Natijahnya, hasil PRU15 di semua peringkat menoktahkan satu mercu tanda kegagalan mana-mana parti atau gabungan parti-parti sebagai wadah mewakili semua kaum serta batasan geografis. Secara langsung tergambar, barisan kerajaan dan pembangkang yang tidak seimbang antara kaum dan perwakilan.   Justeru itu, persempadanan semula kawasan pilihan raya di semua peringkat yang sepatutnya diadakan setiap 8 tahun, yang tertangguh lantaran ketidakcukupan suara majoriti dua pertiga di Parlimen, sejak 2011, sewajarnya diadakan yang boleh memecahkan polarisasi kaum dalam konteks politik Malaysia.





 


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan