Selasa, 28 Februari 2023

100 hari kerajaan Madani

 100 HARI PENTADBIRAN KERAJAAN MALAYSIA MADANI MENCERMINKAN KETIDAKSEIMBANGAN SENTIMEN ANTARA KAUM

Berdasarkan kepada satu kaji selidik 100 Hari Pentadbiran Kerajaan Campuran Pakatan Harapan bersama rakan sekutu, oleh lima media arus perdana dengan kerjasama firma penyelidikan 02 Research melibatkan berbagai kaum meskipun umumnya merestui kepimpinan DS Anwar Ibrahim serta penerimaan rakyat terhadap situasi ekonomi negara, tetapi umumnya rakyat berkecenderungan membentuk persepsi berfokus kepada agenda perkauman.

Kajian ini terpaksa memisahkan dapatan responden atas batasan perkauman. Ini lantaran, jelas ketara perbezaan pandangan yang diberikan oleh responden yang berlainan kaum. Inilah faktor utama yang akan mencorakkan hala tuju negara, hasil dari pembentukan kerajaan campuran berbagai kaum di satu pihak, sementara kelompok Melayu mendominasi blok pembangkang. 

Kajian ke atas 35,077 responden dipecahkan 6 kelompok etnik;

i. Melayu Semenanjung

ii. Cina

iii. India

iv. Bumiputera Sabah

v. Bumiputera Sarawak

vi. Lain-lain kaum.

Isu utama yang dilontarkan oleh bahagian besar responden ialah isu ekonomi yang meliputi kos sara hidup, harga barangan dan inflasi. 

Dari responden Melayu, 53% mengatakan bahawa prestasi ekonomi Malaysia bertambah buruk setelah 100 hari  pentadbiran negara  di bawah kerajaan baru. Hanya 22% kaum Melayu cukup positif bahawa ekonomi bertambah baik, sementara baki 25% berpandangan tiada perubahan yang jelas dalam tempoh tersebut.

Sebaliknya, kaum Cina menzahirkan 58% prestasi ekonomi bertambah baik. 21% responden Cina mengelaskan ekonomi bertambah buruk, baki 21% menganggap tiada perubahan.

Kajian di kalangan kaum India, menghasilkan 70% cukup yakin ekonomi akan bertambah baik. Angka melihat kepada bertambah buruk hanya 11%, sementara 19% menyimpulkan tiada sebarang perubahan. 

Kaum Bumiputera Sabah memberikan 53% dan Bumiputera Sarawak mengumpulkan 58% responden bahawa ekonomi negara bertambah baik.

Etnik lain-lain kaum meletakkan 49% ekonomi bertambah baik, sementara 25% kumpulan ini  menyifatkan ekonomi bertambah buruk. 26% pula berpandangan tidak ada perubahan.  

Keseluruhannya disimpulkan pandangan rakyat Malaysia setelah dicantumkan berbagai pandangan merentasi kumpulan etnik, 39% menyebut tahap ekonomi bertambah buruk, dengan 38% berpandangan sebaliknya, ekonomi bertambah baik. 23% responden mewakili berbagai kaum berpendirian tiada perubahan dalam prestasi ekonomi. 

Kajian ini berjaya mengesan 5 isu utama yang diberi perhatian dan harapan daripada responden mewakili rakyat Malaysia merentasi kaum, penempatan dan wilayah. 

i. 80% responden meletakkan isu kos sara hidup, harga barang dan inflasi untuk menilai serta menaruh harapan yang tinggi yang dapat diterjemahkan oleh kerajaan baru dalam tempoh 100 hari pertama;

ii. 56% responden menekankan isu pendidikan;

iii. 53% melihat kepada peluang pekerjaan;

iv. 52% isu kesihatan;

v. 49% responden mengharapkan kestabilan politik  diselesaikan secepat mungkin.

Prestasi kerajaan baru adalah kerajaan PH, fokus kepada manifesto PH dalam PRU15, walaupun kerajaan dibentuk kerajaan campuran PH bersama Barisan Nasional dan Gabungan Parti Sarawak, bersama parti-parti kecil yang lain. Rakyat melihat kepada janji manifesto PH disepadankan dengan apa yang berlaku selepas pembentukan kerajaan selepas PRU15 hingga ke hari ini. Dapatan kajian ini, lebih merupakan pandangan rakyat kepada kerajaan baru dalam bentuk sokongan mereka kepada parti-parti yang bertanding dalam PRU15, baru berusia 100 hari. Mereka masih dengan sokongan yang mereka berikan atau dengan lain perkataan masih terikat dengan keputusan di peti undi yang mereka pilih.

58% responden Melayu melihat dari sudut negatif pencapaian 100 hari kerajaan Malaysia Madani, berbagai kumpulan etnik lain lebih banyak memberikan respons positif. Ini tidak jauh dengan sokongan dalam PRU15. 55% pengundi Melayu memilih Perikatan Nasional, 34% menyokong BN dan hanya 11% sokong PH. 58% responden Cina menyatakan ekonomi negara bertambah baik, menepati 95% pengundi Cina memilih PH dalam PRU15. 

Dalam PRU15, bagi pencapaian parti-parti di 51 kawasan Parlimen di Semenanjung yang mempunyai komposisi pengundi Melayu melebihi 90% dari jumlah pengundi, PN mendapat 2,952,254 undi atau 57.06% dari jumlah 3,421,680 undi sah, sementara PH hanya perolehi 10.83% atau 370,625 undi, dan BN mendapat 1,062,130 undi atau 31.04%. 

Bagi keputusan undi di kawasan pengundi bukan Melayu melebihi 60% pengundi, terdapat 31 kawasan Parlimen di Semenanjung. PH perolehi 2,019,724 undi atau 70.29% dari jumlah 2,873,237 undi sah, PN perolehi 430,212 undi atau 14.97%, BN dapat 399,211 undi atau 13.89%. 

Perbandingan pencapaian parti-parti dalam PRU15, ditonjolkan dengan sample pengundian di Semenanjung kerana ketiga-tiga parti meletakkan calon di semua 165 kerusi Parlimen. 

Kaji ini juga mempertontonkan menteri-menteri dari DAP bersama Perdana Menteri menguasai kelompok teratas dalam kalangan menteri yang berjaya memberikan tahap kepuasan hari respon. Menteri Pengangkutan, Anthony Loke merupakan menteri pilihan yang paling rakyat berpuas hati dengan skor kadar penarafan 49%, PM merangkap Menteri Kewangan dengan 40%, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dengan 39%, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Ngor Kor Ming (34%), dikuti Azalina Othman Said (33%), Ahmad Fahmi Fadzil (30%), Mohammad Sabu (28%), Salahuddin Ayub (27%), Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz (26%) dan Fadhlina Sidek (26%). Mereka adalah 10 menteri skor teratas.

Timbalan PM, Ahmad Zahid Hamidi menduduki tangga terkebawah dengan skor 15%, yang memberikan satu persepsi kepopularitian pemimpin UMNO mewakili suara Melayu dalam kerajaan Madani. 

Daripada kajian atas inisiatif firma penyelidikan 02 Research, memberikan persoalan utama atau cabaran utama kerajaan Malaysia Madani pimpinan PH , kesimpulan kaum Melayu, kelompok etnik paling ramai melihat ekonomi Malaysia bertambah buruk. Apakah Menu Rahmah yang diperkenalkan kurang perhatian. Apakah rakyat tidak boleh terima, pendapat menteri jangan makan telur dan jangan beli ayam, untuk menjawab rungutan kekurangan bekalan dan kenaikan harga barangan. 

Politik Malaysia hari ini dikuasai oleh dua parti utama; Pas dengan 43 kerusi di Parlimen dan DAP dengan 40 kerusi Parlimen. Parti-parti lain hanya penggenap atau pelengkap pasukan yang membentuk kerajaan atau membentuk blok pembangkang. 

Sungguhpun kerajaan dipimpin PKR sebagai PM dengan jenama kerajaan Malaysia Madani, tetapi PKR hanya memiliki 31 kerusi sahaja, dibantu UMNO (26 kerusi), GPS (23 kerusi), GRS (6 kerusi) dan lain-lain parti, kekuatan dominasi DAP yang berjaya menguasai pengundi bukan Melayu perlu diberi perhatian.

Blok pembangkang dikepalai Pas dengan 43 kerusi dibantu Bersatu dengan 31 kerusi dengan 72 ahli Parlimen Melayu bersama 2 Bumiputera Bukan Islam, mewakili suara terbanyak kaum Melayu melalui PRU15, sedikit sebanyak membentuk kesimpulan kajian di atas.

Hasil kajian di atas menjadikan cabaran utama kepada PM dan kerajaan Malaysia Madani hakikat pandangan negatif dan tawar hari khususnya etnik Melayu di Semenanjung, yang disuarakan oleh responden sebagai lanjutan manifestasi suara pengundi PRU15.


 



 

 

 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan