Rabu, 8 Mac 2023

Perlekeh Pengundi

 PERIKATAN NASIONAL DISOKONG OLEH PENGUNDI RENDAH IQ

Ucapan Ketua Sekretariat Pakatan Harapan merangkap Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dato' Saifuddin Nasution Ismail di Konvensyen PH Kedah pada  25/02/2023 lalu yang antara lain menyebut: "Kecenderungan orang muda yang tinggi pelajaran dan stabil pendapatan mereka akan undi PH. Tetapi mereka berpelajaran tidak tinggi naik motor pi sana sini mereka bagi Perikatan lah".

Maksud jelas lontaran Saifuddin Nasution ini bahawa kemenangan besar PN dalam PRU15 ekoran mendapat sokongan besar pengundi yang tahap pendidikan rendah atau tidak berpendidikan. Kemenangan 74 kerusi Parlimen melalui 72 calon Melayu di Semenanjung dan 2 calon Bumiputera Bukan Islam Sabah dan Sarawak yang pastinya bahagian besar kawasan luar bandar, rata-ratanya majoriti pengundi Melayu di Semenanjung dan pengundi Bumiputera Bukan Islam di Sabah dan Sarawak. 

Lantaran kawasan yang dimenangi oleh PN dalam PRU15 adalah kawasan majoriti Melayu, di mana dari jumah 51 kawasan Parlimen yang mempunyai pengundi Melayu melebihi 80% di Semenanjung, 45 kerusi  dimenangi oleh PN, baki 6 kerusi dimenangi BN, dan tiada kerusi dikuasai PH. Harus terima hakikat, bahawa PN menguasai pengundi Melayu, sebagaimana disimpulkan bahawa 55% pengundi Melayu memilih BN, sementara 34% bersama BN, hanya sekitar 11% cenderong kepada PH. Apakah maksud Setiausaha Agung PKR itu bahawa majoriti pengundi adalah kurang pendidikan, lantaran pengundi Melayu, mewakili 60.16% dari jumlah pemilih 17,498,953 pemilih di Semenanjung. Pengundi Melayu berjumlah 10,527,987 orang. Pengundi Cina berjumlah 4,893,313 pemilih (27.94%) dan pengundi India berjumlah 1,557,298 (8.90%). 

BN hanya mampu pertahan 6 kerusi Parlimen di Semenanjung berbanding pencapaian 28 kerusi dalam PRU14. BN pertahan kubu kuat tradisi UMNO; Pengerang, Kota Tinggi dan Pekan. 3 kerusi tradisi hanya mampu pertahan dengan majoriti kecil: Parit Sulong (2,021), Lenggong (879) dan Paya Besar (1,317). Semua kerusi DUN dalam Parlimen Paya Besar, calon BN kalah kepada PN, tetapi pengundi bahagian Parlimen masih memberi hayat ke UMNO. 

Pas yang menguasai 18 kerusi Parlimen dalam PRU14, semuanya dalam kelompok pengundi Melayu melebihi 80%. Dalam PRU15, Pas bukan sahaja mempertahankan kesemua kerusi berkenaan tetapi dengan majoriti besar. Di Parlimen Jerai, Pas menang majoriti 539 undi dalam PRU14 meningkat ke 33,192 undi dalam PRU15. Di Parlimen Pasir Puteh dari majoriti 1,360 undi ke 29,109 undi, Kemaman dari 2,163 undi ke 27,179, Setiu dari majoriti 2,802 undi ke majoriti 19,032 undi. Jentera Pas membantu jentera Bersatu (PPBM) dan Gerakan yang bertanding bersama Pas dalam PN, yang mampu memberikan majoriti besar di kawasan-kawasan majoriti Melayu. 

Apakah bertolak dari penurunan undi PH di kawasan berkenaan juga BN, telah meletakkan calon-calon PN berjaya memungut undi berganda berbanding PRU14, memukau ramalan awal kehebatan kempen PH menerusi kehadiran ceramah umum yang menggerunkan pihak lawan serta liputan luas jentera BN menerusi media massa. 

Dalam PRU15, PH menguasai pengundian di kawasan 31 kawasan Parlimen di Semenanjung, yang mempunyai pengundi bukan Melayu melebihi 60% jumlah pemilih. PH berjaya pertahan 30 kerusi yang dimenangi dalam PRU14, sementara kerusi Parlimen Cameron Highlands masih dipertahan oleh BN. Kerusi Cameron Highlands mempunyai 31% Melayu, 29% Orang Asal. 27% Cina, berbanding 30 kerusi lain yang lebih didominasi pengundi bukan Melayu, walaupun beberapa kerusi merupakan kawasan campuran. 

Pola pengundian lebih didominasi oleh calon DAP yang mewakili PH, apabila calon  PH membolot lebih 80% undi membuatkan semua calon lawan hilang wang pertaruhan. Sepuluh kerusi Parlimen dimenangi oleh calon PH dari DAP, mengaut lebih 80% undi. Di kerusi Parlimen Kepong (85.54% pengundi adalah Cina), PH memperolehi 88.92% undi dalam saingan 5 penjuru. Di kerusi Parlimen Tanjong (81.54% Cina), calon PH perolehi 84.83% undi daripada jumlah undi sah. Lapan kerusi Parlimen lain; Cheras (77.05% Cina), Seputeh (76.69% Cina), Bukit Gelugor (71.71% Cina), Bukit Bintang (71.67% Cina), Batu Gajah (68.95% Cina), Damansara (66.02% Cina), Ipoh Barat (58.89% Cina, 26.89% India), Segambut (56.72% Cina, 26.81% Melayu. 11.75% India). 

10 kerusi berkenaan semua kawasan bandar yang mungkin menjadi sandaran pandangan Sarifuddin Nasution, masyarakat bandar dan lebih elitis telah memberikan sumbangan besar memenangkan calon-calon PH dengan majoriti yang besar. Mengambil Segambut sebagai sampel, pungutan undi yang melebihi 80% undi, faktor 95% pemilih Cina mengundi PH boleh dipersoalkan, lantaran komposisi pengundi Melayu yang besar juga, sama-sama memberi sumbangan kepada kejayaan PH. 

Sebaliknya, di Parlimen Putrajaya, kerusi elitis, pusat pentadbiran dengan majoriti pengundinya petugas awam dengan mempunyai 93.36% dari jumlah 42,622 pengundi adalah pengundi Melayu telah memberikan kemenangan kepada calon PN. Calon PN perolehi 43.67% undi, BN 37.37% dan calon PH hanya perolehi 16.34% undi. 

Mengambil contoh trend pengundian di kawasan majoriti pengundi Orang Asal di kawasan Parlimen Gua Musang. Di daerah mengundi Pos Simpor; PH dapat 140 undi, BN 36 undi, PN 5 undi. Di daerah mengundi Sungai Jenera; PH 311 undi, BN 170 undi, PN 56 undi. Bagi daerah mengundi Pos Brooke; BN 1306 undi, PN 29 undi, PH 14 undi. Sekadar kes-kes terpencil menafikan; pemilih berpendidikan undi PH, kurang pendidikan undi PN. 

Maksud tersirat di sebalik rumusan pengundi berpendidikan dan berpendapatan stabil mengundi PH dan pengundi kurang pendidikan dan berpendapatan rendah menyokong PN memperlekeh pengundi Melayu dan pengundi luar bandar yang memberikan sumbangan kepada kemenangan PN. Senario jelas keputusan PRU15 memperlihatkan PH dosokong oleh bukan Melayu dengan meletakkan DAP sebagai parti induk dengan 40 kerusi Parlimen   dan PN dokongan  orang Melayu dengan Pas sebagai komponen utama dengan 43 kerusi. 

Di kawasan pengundi bukan Melayu menggunguli 80% pengundi, iaitu 10 kerusi Parlimen, calon-calon menang dengan membolot lebih 80 peratus undi (kecuali Bukit Bendera 78%) mengakibatkan semua calon PN dan BN hilang wang pertaruhan. Semakin kecil peratus pengundi Melayu semakan meningkat undi PH. Justeru itu, di kawasan campuran (pengundi Melayu 40 hingga 60%) lebih banyak dikuasai PH. Kerusi Parlimen yang memiliki 90% pengundi Melayu, iaitu berjumlah 25 kerusi, PN menang semua kerusi dengan 22 orang calon PH hilang wang pertaruhan. 


,

 




 

 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan