Isnin, 13 Februari 2023

Ke Mana UMNO

 UMNO DI MUSIM GUGUR

Ulasan mantan Perdana Menteri, DS Ismail Sabri Yaakob, menerusi youtube berhubung situasi dalaman UMNO semasa, minggu lepas, amat menarik dalam kerangka menonton perkembangan politik tanahair pasca Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15). Ulasan beliau bukan mengejutkan malah mendalami lebih terpinci suasana UMNO menghadapi PRU15. 

Umum mengetahui, UMNO selaku parti yang mendominasi kerajaan Persekutuan menerusi Perdana Menteri ke 9 (PM9) berserta menduduki separuh keanggotaan kabinet, menggunakan kesempatan penguasaan kerajaan mengambil keputusan sendiri mendesak pembubaran Parlimen untuk PRU15. Sungguhpun kerajaan dibentuk bersama parti-parti lain; PPBM, GPS, Pas dan beberapa parti lain, tetapi keputusan memanggil PRU15 hasil dari keputusan perhimpunan agung UMNO (PAU) dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. 

Kerakusan kuasa UMNO dipertontonkan menerusi pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hasil keputusan dibuat oleh Badan Perhubungan UMNO Negeri, walaupun kerajaan negeri Johor terbentuk bersama PPBM. Exco negeri Johor diketepikan, keputusan pihak berkuasa UMNO sebagai kata pemutus, setelah melihat peluang UMNO untuk menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lebih terbuka. Hasilnya UMNO bersama rakan komponen BN mencapai kejayaan cemerlang dalam PRN Johor, awal tahun lepas, mampu perolehi mandat majoriti dua pertiga, setelah mengungguli 40 kerusi dari jumlah 56 kerusim memungut 43.11% undi popular, berbanding 24 kerusi dalam PRU14. 

Momentun kemenangan cemerlang dalam PRN Johor, serta PRN Melaka sebelumnya, mendekatkan keegoan UMNO mendabik dada, kekalahan mengejut dalam PRU14 hanya bersifat sementara, ditambah pula jawatan PM kembali ke UMNO.  Kejayaan UMNO mengambil inisiatif menggulingkan kerajaan Perikatan Nasional dengan menarik sokongan kepada PM8, TS Muhyiddin Mohd Yassin, Ogos 2021, menyemarakkan keangkuhan UMNO, sebagai parti keramat orang Melayu. UMNO kembali berkuasa diperkukuhkan dengan slogan: dulu, kini, selamanya

Keputusan UMNO hasil mandat PAU 2022, mendesak pembubaran Parlimen dengan kadar yang segera, hingga memaksa mesyuarat agung pemilihan terpaksa ditunda. UMNO sanggup mengadaikan maruah sebagai parti besar dan dominan dalam perebutan kuasa, menjadikan tradisi menangguhkan pemilihan parti demi pilihan raya. Pemilihan parti sepatutnya mengadakan pemilihan dalam tahun 2021, telah menundakan tarikh pemilihan dengan izin Register of Society (RoS), sehingga 6 bulan selepas PRU15. Jauh berbeza dengan parti-parti lain, mengadakan pemilihan parti secara berkala mengikut peraturan dan perlembagaan parti, tanpa menpedulikan kesibukan persiapan pilihan raya. 

Desakan PM menasihat Baginda Yang Di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen sebelum perlanjutan tempoh pemilihan parti untuk memberi kuasa Presiden parti menentukan calon-calon pilihan raya. Jika pemilihan diadakan sebelum pilihan raya, memungkinkan Presiden akan dicabar, yang belum tentu nasibnya. Pandangan umum berpandangan pemilihan parti dan pilihan raya menjadi agenda peribadi Presiden parti yang sedang menghadapi kes-kes jenayah di mahkamah. 

DS Ismail Sabri melafazkan bebanan dari ledakan desakan membubarkan Parlimen di kala ramalan UMNO akan kalah lebih teruk berbanding PRU14 pada pandangannya, gagal menyekat kehendak parti. Kepimpinan parti terlalu yakin UMNO mampu tubuh kerajaan bersama rakan komponen BN, mampu menang simple majoriti. Gelombang perubahan dari Melaka dan Johor menolak alasan bukan tempo yang sesuai membubarkan Parlimen di penghujung tahun, di kala bajet belum dibahas. 

PRU15 yang menganugerahkan hanya 26 kerusi Parlimen untuk UMNO, hilang satu kerajaan negeri dan gagal bentuk 2 kerajaan secara solo, memposisikan UMNO di pinggiran medan kuasa. Buat pertama kali dalam sejarah, UMNO gagal diwakili di Parlimen di 7 buah negeri,selepas PRU 1990, apabila semua calon UMNO kalah di Kelantan.  UMNO sudah hilang karisma dan aura, menjadikan persaingan sebenar kini dan akan datang antara Pakatan Harapan (PH) dengan Perikatan Nasional (PN), UMNO dan rakan komponen BN sekadar pelengkap menampung mana-mana sudut terasing dalam medan demokrasi berpilihanraya. 

Awal bulan ini, UMNO membuat tindakan agak keras memecat dan menggantung keahlian selama 6 tahun ke atas beberapa orang pemimpin kanan parti. Khairy Jamaluddin (mantan Ketua Pemuda), Noh Omar (mantan Pengerusi Perhubungan Negeri Selangor), Hishammuddin Hussien (mantan Naib Presiden), Shahril Suffian Hamdan (mantan Ketua Penerangan), adalah sebahagian ahli UMNO terlibat, dalam proses pembersihan. Sebelum ini, Annuar Musa (mantan Setiausaha Agong), Tajuddin Abdul Rahman (mantan Ahli Majlis Tertinggi) telah dikenakan tindakan keguguran. 

Di kala parti-parti pembangkang menyatakan persediaan menyokong kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Ismail Sabri hingga tamat tempoh penggal Parlimen ke 14, UMNO pimpinan DS Ahmad Zahid Hamidi begitu ghairah  bahawa PRU15 perlu disegerakan di kala sokongan kepada masih subur. Dicanangkan UMNO mampu mengembalikan kecemerlangan lampau, justeru itu peluang yang terhidang tidak dipersiakan. 

Sebagai seorang ketua kerajaan, PM9 mempunyai maklumat strategik dan risikan  dari berbagai sumber; rasmi dan bukan rasmi, situasi yang akan menimpa UMNO dan rakan komponen andainya Parlimen dibubarkan. Beliau terpaksa mengalah kepada kehendak parti, terpaksa mengambil tindakan kurang popular untuk memanggil PRU15. 

PRU15 mengabsahkan bermulanya zaman UMNO menemui usia lanjut dan ketuaan. Sokongan mulai gugur, hinggakan meletakkan UMNO dan BN sebagai satu parti yang kurang popular dan hanya di kedudukan ketiga. Saingan sebenar adalah antara Pakatan Harapan (PH), pemenang PRU14 dengan kuasa baru, Perikatan Nasional (PN). Basic supporing ground UMNO sudah menjadi milik Pas, komponen utama PN. Kawasan perkampungan Melayu tradisional dan penempatan FELDA, bukan lagi fixed deposit UMNO dan BN. Parti Pak Lebai menguasai lebih separuh sokongan orang Melayu. 55 peratus undi Melayu memihak kepada PN. "Politik suku, agama suku", digugurkan oleh generasi muda yang melihat Islam sebagai satu cara hidup. 

Apa lagi agenda yang mampu untuk UMNO kembali ke pentas utama. Sekurangnya sebagai pesaing utama, the tops two dalam politik tanahair. Anak-anak muda selaku pengundi saluran terakhir di setiap pusat mengundi di Semenanjung Malaysia khasnya, totally tolak UMNO dan BN, bukan saja kawasan dominasi Melayu, malah kawasan campuran di pinggir bandar. 

PRU15 telah mengajak UMNO untuk membuat perubahan keseluruhan dari atas ke bawah, setelah asas penolakan bermula dalam PRU14. Pokoknya, manusia yang perlu dirombak, ditukar, diperbaharui. Presiden parti hanya menang dengan majoriti kecil, 348 undi atau 0.83% di Parlimen Bagan Datoh. Memperlihatkan nilai kewibawaan seorang ketua parti utama dalam pentas politik tanahair, seorang bekas Timbalan Perdana Menteri suatu masa dulu. Perlu adanya mengambil tangungjawab di atas kekalahan atau kemerosotan pencapaian parti serta perolehan undi di kawasan ditandingi. 

Dalam Muktamar Pas ke 28, pada 23/10/1982, Presiden Pas bersama sebahagian Ahli Jawatankuasa Agung parti letak jawatan setelah dicabar perwakilan ekoran prestasi Pas yang tidak memberangsangkan dalam PRU 1982. Dato' Mohd Asri dan rakan-rakannya, akhirnya menubuhkan sebuah parti baru, Hizbul Muslimin (Hamim), untuk membawa penyokong-penyokongnya keluar dari Pas. Setelah prestasi dingin dari dua pilihanraya kecil, membawa kepada usaha untuk membubarkan parti. Setelah usaha membubarkan parti gagal dapat sokongan dalam muktamar parti, kumpulan yang berusaha membubarkan parti keluar parti dan berakhir dengan menyertai UMNO.  Penubuhan Hamim tidak menampakkan kesan besar yang boleh mengundang kemerosotan Pas, malah Pas bangkit semula berjaya merampas kerajaan negeri Kelantan dalam PRU 1990. 

Dr Lim Chong Eu, adalah Pengerusi (kini Presiden) MCA yang kedua, apabila menyingkirkan Tan Cheng Lock dalam tahun 1958, dan meninggalkan MCA, dua tahun kemudian, kesan cabaran dalaman dan luar parti yang mengancam kepimpinan parti. Pada tahun 1962, beliau menubuhkan United Democratic Party (UDP), UDP menang beberapa kerusi di Pulau Pinang dalam PRU 1964, sebagai pembangkang di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Dalam tahun 1968, Chong Eu membubarkan UDP, bersama bekas pemimpin Parti Buruh dan tokoh akademik mengasaskan penubuhan sebuah parti baru untuk hadapi PRU 1969, Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan). Beliau memimpin parti ini selepas Prof Syed Hussien Al Attas keluar parti, dari sebuah parti pembangkang bersama membentuk Barisan Nasional.

Pilihan UMNO bersama kepimpinan Zahid Hamidi hari ini bersama membentuk kerajaan dengan kumpulan serpihan UMNO, asalnya Parti Keadilan Nasional (KeADILan), yang membentuk PKR, hasil cantuman KeADILan dan Partai Rakyat Malaysia (asalnya Partai Sosialis Rakyat Malaya). Dalam kerajaan campuran ini, tidak kekok bagi UMNO lantaran sakan sejawat, PKR pun asalnya dari species yang sama. Justeru Presiden PKR merangkap PM, DS Anwar Ibrahim bersama Zahid Hamidi dalam Pergerakan Pemuda UMNO, suatu masa dulu, apa-apa kemungkinan perubahan pendekatan politik masa depan, bukan sesuatu di luar kebiasaan. 

Apakah pendekatan Asri atau Chong Eu sebagai panduan untuk menjawab terjahan anak-anak muda dalam PRU15. Apakah proses pengguguran keahlian pasca PRU15 sebagai satu rangka perancangan parti untuk menjadikan parti kembali berada di arus perdana dalam saingan merebut pengaruh menjelang PRU16.



,

 

 

 


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan