Khamis, 23 Februari 2023

Cetusan Ramasamy

 BILA PEMIMPIN DAP BERCAKAP SOAL MELAYU

Reaksi awam lontaran Timbalan Ketua Menteri 2, Dr P. Ramasamy dari DAP supaya perjawatan dalam pentadbiran awam di negara ini disemak semula, tidak berfokus kepada orang-orang Melayu. Cetusan Ramasamy mengundang reaksi spontan dari berbagai pihak, termasuk dari kepimpinan DAP sendiri. 

Ini adalah kritikan Ramasamy yang kedua, selepas terbentuknya kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH), bersama Barisan Nasional (BN)  serta beberapa parti lain. Sebelum ini, beliau membuka gelanggang kontroversi dalam kerajaan campuran atas kehadiran dan status DS Zahid Hamidi yang sedang berdepan kes mahkamah dalam kepimpinan kerajaan. 

DAP menyambut respons penyokong PH, Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Yong menjelaskan tindakan ke atas Ramasamy akan diselesaikan secara dalaman kepimpinan  parti. Sekali imbas menampakkan pendekatan secara lembut diperlukan untuk menjamin kerajaan campuran diketuai PH dalam situasi harmoni, dan berkompromi.

Walauapapun  isu yang ditimbulkan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang itu, mengulangi senario semasa pemerintahan PH 22 bulan 2018/2020, beberapa isu yang menggambarkan kecenderungan DAP membangkitkan isu-isu sensitif. Ahli Parlimen Labis dari DAP menyentuh perbelanjaan istana Johor, surat rasmi dari Kementerian Kewangan menggunakan tulisan Cina di samping Bahasa Melayu, peruntukan kerajaan Persekutuan untuk sekolah-sekolah persendirian Cina, meningkatkan peruntukan untuk kemajuan agama-agama bukan Islam. 

Tempoh pemerintahan kerajaan Persekutuan dalam 22 bulan tersebut lebih didominasi oleh DAP dalam usaha mengubah beberapa status quo, yang menampakkan ancaman kepada kepentingan orang Melayu dan kedudukan Islam. Seolah-olah pengkongsian kuasa membentuk kerajaan bersama Bersatu, PKR, Amanah dan Warisan, ada kecenderungan membuka ruang kepada agenda kesamarataan.

Jika diperhatikan kepada Deklarasi Setapak 1967 yang menyimpulkan hasrat kepada kesamarataan sebagai agenda asas perjuangan DAP dalam kancah politik Malaysia. Sejarah penubuhan DAP, dalam tahun 1966 untuk melanjutkan idealisme PAP (Petir) selepas pemisahan Singapura.  Meletakkan kesamarataan dan keadilan dalam masyarakat berbilang kaum berpaksikan sosialisme demokrat, diperkukuhkan dengan Deklarasi Setapak, untuk memperkemaskan tawaran DAP sebagai parti pilihan. 

Kemunculan DAP di kala politik tanah air didominasi oleh kerangka politik pasca merdeka, yang masih terangkum dalam politik perkauman, di samping politik aliran kiri sebagai alternatif. Perikatan yang menguasai kerajaan didokongi oleh parti-parti berasaskan kaum: UMNO, MCA, MIC, sementara aliran kiri bernaung dalam Socialist Front yang dianggotai Parti Buruh dan Partai Rakyat. Kewujudan DAP menggantikan tempat PAP (Petir), dalam pendekatan menolak perkauman dan fahaman kiri. 

Dalam tahun 1968, satu usaha dicetuskan keperluan mewujudkan satu parti pembangkang dengan mengetepikan politik perkauman dan fahaman kiri, sementara parti pembangkang sedia ada; DAP dan PPP lebih berhasrat kepada pakatan parti pembangkang dalam bentuk kerjasama pilihanraya untuk menghadapi Parti Perikatan yang berkuasa. Dr Lim Chong Eu, bekas Presiden MCA, yang meninggalkan parti perkauman itu, menubuhkan parti berbilang kaum UDP tetapi berpengaruh di Pulau Pinang sahaja, Dr Tan Chee Khoon dan V.Veerappan, pemimpin Parti Buruh, bersama ahli akademik Prof Dr Syed Hussien Al Atas dan Prof Wang Gungwu bersama Dr J.B.A. Peter mewakili kelompok profesional, berjaya mengasaskan sebuah parti, Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) sebagai satu wadah politik baru untuk mencabar Perikatan.

Keberadaan Gerakan dalam pentas politik menjelang PRU3 (PRU 1969) pada awalnya disangka memberi lebihan kepada parti Perikatan yang memerintah lantaran dijangka berlaku pemecahan undi di kalangan pembangkang. Sebaliknya berlaku kerjasama pilihanraya di antara DAP, PPP dan Gerakan, juga libat sama Partai Rakyat. Kerajaan negeri Pulau Pinang jatuh ke tangan Gerakan. Perikatan hadapi kerumitan membentuk kerajaan di Perak dan Selangor. 

Selepas Parlimen dipulihkan setelah darurat ditamatkan di awal 1971, usaha ke arah penyatuan rakyat merintasi fahaman politik membawa kepada terbentuknya gagasan Barisan Nasional menggabungkan semua parti yang ada perwakilan dalam majlis legislatif; Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri. DAP tidak menyertai pemuafakatan politik ini. 

DAP terus kekal sebagai pembangkang utama, mengisi kekosongan yang ditinggalkan Gerakan, Pas dan PPP, di samping SUPP dari Sarawak. Kelantangan tenaga DAP di Parlimen dan di luar dewan, amat dihormati, sebagai mewakili suara rakyat terbanyak merintasi batasan geografi dan ras. 

Suara yang agak terbuka menyentuh sensitiviti kaum, agama, hak-hak istimewa, mula dibangkit setelah pertukaran kerajaan menerusi PRU14, terutama semasa pentadbiran 22 bulan kerajaan PH. Episod ini bukan sahaja berkisar di kalangan kepimpinan dan pihak berkuasa, malah bertebaran dalam masyarakat umum dengan adegan-adegan menyinggung resam dan budaya; dengan bendera terbalik, membatasi azan dan seumpamanya. Episod ini berakhir setelah peristiwa Langkah Sheraton, yang menamatkan riwayat kerajaan 22 bulan. 

Pembentukan kerajaan baru menerusi PRU15, yang belum sampai 100 hari, sudah menampakkan ciri-ciri yang boleh dikatakan terlalu terdepan apabila Ramasamy melontarkan pandangannya berhubungan isu ras keanggotaan pentadbiran awam. Justeru kerajaan yang dibentuk disebutkan kerajaan perpaduan, nilai-nilai ketidak tenteraman tidak dapat dielakkan, walaupun dicetuskan oleh satu dua orang. 






Tiada ulasan:

Catat Ulasan