Khamis, 31 Disember 2020

Agihan Kerusi BN-PN

MENCARI TOLAK ANSUR AGIHAN KERUSI BLOK KERAJAAN

Blok kerajaan dan blok pembangkang mempunyai agenda berbeza pasca sidang belanjawan, sungguhpun masing-masing mempunyai persamaan halatuju utama; persiapan hadapi Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15). Perdana Menteri TS Mahyuddin Mohd Yassin sudah membayangkan PRU15 di pertengahan penggal. Kerajaan Perikatan Nasional tiada pilihan untuk mencari kedudukan yang lebih kukuh berbanding menguasai majoriti tipis hari ini. Ramalan popular menyebut bahawa Parlimen akan dibubarkan dalam bulan Mac 2021 dan PRU15 dalam bulan Jun 2021. Tempoh pembubaran Parlimen dengan tarikh pilihan raya dijangka melebihi 60 hari mengambil kira pandemik Covid-19 dijangka berpanjangan ke tahun 2021. 
 
Dua parti utama mendokong kerajaan Persekutuan: BN dan Pas diberitakan sudah memulakan pertemuan khususnya agihan kerusi untuk PRU15. Fokus pertemuan tersebut kepada agihan kerusi peringkat Persekutuan. Gabungan Parti Sarawak tumpu kepada persiapan peringkat negeri kerana Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan diadakan dalam tahun 2021 berikutan kematangan DUN Sarawak, di samping persiapan peringkat Persekutuan. 
 
Mengambil panduan disebutkan oleh Setiausaha Agung BN, TS Annuar Musa bahawa persepakatan antara BN khususnya UMNO dengan Pas ialah mengekalkan kerusi yang dimenangi masing-masing parti dalam PRU14. UMNO akan mempertahankan 54 kerusi dan Pas dengan 18 kerusi Parlimen yang dimenangi dalam PRU14. Masing-masing parti tidak akan mencabar antara satu sama lain di kawasan atau kerusi berkenaan untuk elakkan pertembungan sama sendiri di kalangan parti pendokong kerajaan Perikatan Nasional.
 
Justeru persaingan utama 3 penjuru dalam PRU14: BN, Pas dan PH, khususnya di kawasan majoriti Melayu dan kawasan campuran, formula dicadangkan ialah kawasan yang dimenangi calon PH, agihan kerusi antara BN dan Pas, mengambil kira calon parti mana yang mempunyai undi lebih, akan diberi peluang mewakili pemuafakatan Muafakat Nasional atau PN. 
 
Di Semenanjung, terdapat 98 kerusi dari jumlah 165 kerusi Parlimen atau 59.39% merupakan kawasan majoriti pemilih Melayu, mengambil kira 60% pengundi kawasan berkenaan.  Kelompok utama anggota blok kerajaan Persekutuan hari ini adalah mewakili kawasan berkenaan. Di Semenanjung, 49 kerusi Parlimen memiliki lebih 80% pengundi Melayu, yang memilih 26 Ahli Parlimen UMNO, 18 Ahli Parlimen Pas dan 5 Ahli Parlimen Pakatan Harapan (3 Bersatu, 1 Amanah dan 1 PKR) dalam PRU14. 
 
Pendirian awal UMNO akan mempertahankan kerusi yang dimenangi dalam PRU14. Daripada 26 kerusi Parlimen dimenangi UMNO di kawasan majoriti mutlak Melayu, 6 orang wakilnya kini bersama Bersatu. Kerusi-kerusi berkenaan: Hulu Terengganu, Jeli, Tanah Merah, Larut, Sabak Bernam dan Masjid Tanah.  Sejauhmanakah tawar-menawar penentuan 5 kerusi berkenaan antara UMNO dan Bersatu. Kerusi-kerusi yang dimenangi calon Pakatan Harapan (PH) kawasan majoriti Melayu; 3 kerusi Bersatu : Langkawi, Jerlun dan Kubang Pasu, pastinya menjadi milik Bersatu dalam PRU15, kerusi Pokok Sena selayak diperuntukkan kepada Pas lantaran undi Pas mengatasi undi UMNO dalam PRU14. Kerusi Parlimen Kangar yang dimenangi PKR merujuk perundingan agihan kerusi PN. Pastinya Pas akan pertahan 18 kerusi asal serta tambahan  satu kerusi. UMNO pastinya pertahan 20 kerusi, sementara baki 7 kerusi menjadi rebutan merujuk tertakluk kepada keputusan perundingan dalam PN. 
 
Bagi kawasan atau kerusi Parlimen Semenanjung yang mempunyai 60 hingga 79% pengundi Melayu iaitu 49 kerusi,  saingan antara BN, PH dan Pas lebih terbuka, yang boleh disimpulkan semakin kecil pengundi Melayu, semakin kurang pengaruh BN dan Pas serta memberi ruang lebih besar kepada calon-calon PH. BN menerusi UMNO menang 19 kerusi, sementara PH menang 30 kerusi: 14 PKR, 9 Bersatu dan 7 Amanah. Pas yang bertanding di 48 kerusi gagal memenangi sebarang kerusi malah 14 orang calonnya hilang wang pertaruhan.  13 kerusi dimenangi UMNO di kawasan pengundi Melayu 70 hingga 79%, sementara PH memboloti kawasan di bawah 70% pengundi Melayu, apabila 25 daripada 30 kerusinya diperolehi dalam kelompok ini (kelompok 60 hingga 79% pengundi Melayu). 

Daripada 19 kerusi dimenangi UMNO hanya kekal kepada 15 kerusi hari ini. Empat Ahli Parlimen UMNO: Bagan Serai, Tasik Gelugor, Mersing dan Bukit Gantang, kini bersama Bersatu. 
 
Keseluruhannya di kawasan majoriti pengundi Melayu di Semenanjung, BN menang 45 kerusi Parlimen menerusi UMNO, yang meletakkan 94 calon UMNO, 2 MCA, seorang dari MIC dan seorang mewakili Gerakan. PH memungut 35 kerusi menerusi 15 PKR (termasuk 2 calon bukan Melayu), 12 Bersatu dan 8 Amanah, sementara Pas menang 18 kerusi. Hasil pemuafakatan UMNO-Pas menerusi Muafakat Nasional, mengelakkan saingan 3 penjuru kepada 2 penjuru dalam PRU15, di samping UMNO dan Pas mampu mengekalkan 63 kerusi PRU14, malah mampu merampas paling kurang 24 kerusi PH, berasaskan perbandingan undi setiap parti dalam PRU14, gabungan undi UMNO-Pas mengatasi undi dipungut PH. Bila diandaikan penyokong Bersatu PRU14 akan beralih bersama parti mereka meninggalkan PH, memungkinkan blok penyokong kerajaan PN menang lebih besar, meletakkan parti-parti PH atau sekutunya mampu bertahan di Langkawi, Shah Alam, Permatang Pauh sahaja serta meletakkan dilema kerusi Gombak. Sementara 7 lagi kerusi dimenangi PH, hanya dengan majoriti di bawah 5,000 undi yang boleh dikelaskan sebagai tidak selamat berasaskan kepada sikap pengundi yang ditunjukkan dalam PRK Tanjung Piai dan PRK Semenyih. Pendekata, kemantapan permuafakatan UMNO-Pas-Bersatu, tidak mustahil PN menguasai 94 daripada jumlah 98 kerusi Melayu di Semenanjung dalam PRU15. 
 
37 kerusi Parlimen di Semenanjung adalah kawasan campuran di mana pengundi Melayu di antara 40 hingga 59%. Dalam PRU14, BN hanya menang 3 kerusi sahaja. Daripada 34 kerusi yang dimenangi PH, 7 kerusi memperlihatkan cantuman undi BN dan Pas mengatasi undian calon PH. Jika diambil kira kawasan campuran; 7 kerusi tersebut tambah 3 kerusi dimenangi BN, bersama 94 kerusi dari kawasan majoriti Melayu, menjumlahkan kerusi potensi gabungan BN-Pas-Bersatu kepada 104 kerusi.  

Baki 30 kerusi Parlimen di Semenanjung merupakan kawasan majoriti bukan Melayu. BN hanya menang satu kerusi sahaja; Cameron Highlands. Berdasarkan kepada PRK Cameron Highlands, BN mampu mengekalkan kerusi ini, mempotensikan gabungan BN-Pas-Bersatu menang mudah di 105 kerusi Parlimen. 

Sabah memiliki 25 kerusi Parlimen, dalam PRU14, BN menang 9 kerusi: 7 UMNO, 1 PBS dan 1 PBRS. Kerusi UMNO hanya tinggal dua sahaja, selepas 5 Ahli Parlimen UMNO sertai Bersatu. Mengambil panduan PRK Kimanis dan PRN Sabah, 7 kerusi asal UMNO mampu dipertahankan, begitu juga kerusi Parlimen Labuah; kerusi UMNO pindah kepada Warisan.

Sarawak mempunyai 31 kerusi Parlimen, Gabungan Parti Sarawak (GPS) menerusi BN menang 19 kerusi dalam PRU14. Gabungan kerusi potensi bagi gabungan parti-parti pendokong kerajaan PN menjumlahkan 134 kerusi. 

Bagaimanakah pemuafakatan mempertahankan kerajaan PN lebih terarah kepada sejauhmana persefahaman antara BN dan Bersatu. Justeru, atas perkiraan penentuan kerusi antara BN dan Pas berasaskan pungutan undi PRU14, undi Pas mengatasi BN di 8 kerusi Parlimen, dijumlahkan dengan 18 kerusi dimenangi Pas, meletakkan asasnya 26 kerusi untuk Pas. Jika kemungkinan kerusi peruntukan untuk Pas bertambah, tidaklah sebesar saiz calon Pas dalam PRU14. Anggaran sekitar 30 - 40 kerusi. Baki 150 kerusi di Semenanjung dan Sabah terletak kepada kematangan BN dan Bersatu selesaikan kebuntuan. 
 
Hidangan terhidang serta peluang menguasai PRU15 dalam masa terdekat menjadi lebih menarik untuk menyaksikan tekad pemuafakatan aktor utama: BN, Pas dan Bersatu. Mungkinkah akan terbentuk pula, pakatan dan kerjasama baru yang di luar jangkaan demi pembentukan kerajaan baru, setelah tumbangnya kerajaan PH dalam usia pendek, serta dilema kerajaan majoriti tipis PN. 

Pandangan awal digambarkan majoriti penyokong UMNO peringkat akar umbi khususnya di Semenanjung keberatan untuk bekerjasama dengan Bersatu. Apakah hasrat sebenar luahan perwakilan UMNO dalam mesyuarat agung Bahagian, Pemuda, Wanita dan Puteri besok. Mereka dijadualkan bermesyuarat mengikut SOP pandemik Covid-19 pada 1 hingga 3 Januari 2021. Sungguhpun rasminya BN mengambil sikap bekerjasama dengan PN sehingga PRU15, persiapan untuk PRU15 dengan agenda utamanya agihan kerusi demi mengelakkan saingan sesama pendokong kerajaan PN. 


Selamat Tahun Baru 2021








 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan