Selasa, 22 Disember 2020

UMNO Tolak Bersatu

 

AKAR UMBI UMNO TOLAK KERJASAMA DENGAN BERSATU

Kemuncak cabaran kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dibina atas majoriti tipis ialah menerusi pengundian bacaan ketiga Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 di Parlimen pada 15/12/2020 lepas. Blok pembangkang menjangkakan kerajaan PN akan tumbang, diramalkan beberapa penyokong blok kerajaan khususnya Ahli Parlimen UMNO tidak akan menyokong dalam undian tersebut. Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah cukup yakin kerajaan PN akan jatuh. Pendokong kerajaan PN yang bermuafakat memberi sokongan sejak awal penubuhan kerajaan kecuali Tengku Razaleigh, tidak ubah sokong terus memberikan sokongan meluluskan RUU Perbekalan untuk memberi kelebihan 111 suara menafikan 108 suara blok pembangkang. 
 
Agenda kedua-dua blok menampakkan masing-masing merangka persiapan ke arah Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) yang perlu diadakan secepat  mungkin yang hanya terhalang pandemik Covid-19. Kerajaan baru di peringkat Persekutuan sewajarnya dibentuk menerusi mandat rakyat lantaran ketidakstabilan sebuah kerajaan majoriti tipis, yang terdedah berbagai risiko dan serba kemungkinan. Wajarnya sebuah kerajaan dengan majoriti kukuh demi kestabilan politik dan masa depan kemantapan ekonomi. Blok kerajaan dengan parti utama: UMNO, Bersatu dan Pas memberikan umpuan kepada agihan kerusi untuk PRU15. Blok pembangkang, utamanya dari blok Pakatan Harapan (PH) dalam rangka persediaan masa depan khususnya PRU15, sudah mula mempersoalkan kepimpinan PH di bawah DS Anwar Ibrahim. 

Umum menantikan pendekatan dicapai kerjasama Barisan Nasional (BN) yang dikepalai UMNO dengan Pakatan Nasional yang diterajui Bersatu, membentuk pasukan mereka menghadapi PRU15. Di samping itu, bagaimana pula agenda pembangkang utama; DAP, PKR dan Amanah membentuk pasukan menyaingi lawan, merampas balik kuasa yang hilang. 

Pemerhatian pendekatan yang diambil oleh parti-parti blok kerajaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, September lepas, menyaksikan parti-parti berkenaan bertanding sesama sendiri di sebahagian kawasan, di samping kawasan atau kerusi yang disepakati. Sungguhpun mereka bertembung sesama sendiri, tetapi semangat kerjasama dan pemuafakatan mampu dibina bila mereka membentuk kerajaan.

 
Kritikan penyokong UMNO bukan sekadar gagal merebut kerusi Ketua Menteri, walaupun kerusi UMNO lebih besar berbanding kerusi milik Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), tetapi beberapa calon UMNO terpaksa berdepan undi sabotaj rakan sekutu menerusi calon bebas tajaan. UMNO melihat dari sudut UMNO dan Bersatu secara terasing dengan pasukan yang bertanding dalam PRN Sabah, di mana kerusi Pakatan Nasional lebih besar berbanding kerusi Barisan Nasional. Masing-masing UMNO dan Bersatu bertanding atas nama Barisan Nasional dan Pakatan Nasional. Barisan Nasional memperolehi 14 kerusi, semuanya menerusi calon UMNO, sementara Perikatan Nasional menang 17 kerusi menerusi 11 oleh Bersatu dan 6 oleh Parti Solidariti Tanah Airku (STAR). 
 
Dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Barisan Nasional mempunyai 24 ahli (semuanya UMNO), Perikatan Nasional memiliki 8 kerusi sahaja ( 5 Bersatu, 3 Pas). Bersatu hilang kerusi Menteri Besar kepada UMNO, tidak perlu dipersoalkan atas perkiraan Barisan Nasional adalah parti dominan dalam DUN. Perkiraan lojik boleh diterima dalam kes Perak menepati formula Sabah. 
 
Hasil inisiatif jentera dalaman UMNO untuk mencari tahap pemerimaan ahli dan penyokong UMNO dalam agenda kerjasama dengan Bersatu merumuskan jadual di bawah. . Jadual ini melakarkan tahap sikap dan pendirian akar umbi UMNO walaupun bukanlah berbentuk pungutan suara rasmi, dikutip dari twitter.com/DrZahidHamidi, pada 28/08/2020.
 
Jadual 1

STATUS SOKONGAN UMNO BAHAGIAN

AGENDA KERJASAMA UMNO - BERSATU


NEGERI

JUMLAH

TIDAK

%


 

BAHAGIAN

SOKONG

 

1

PERLIS

3

0

0.00

2

KEDAH

15

9

60.00

3

KELANTAN

14

13

92.86

4

TERENGGANU

8

8

100.00

5

P.PINANG

13

10

76.92

6

PERAK

24

20

83.33

7

PAHANG

14

11

78.57

8

SELANGOR

22

21

95.45

9

W.P.

13

8

61.54

10

N. SEMBILAN

8

6

75.00

11

MELAKA

6

4

66.67

12

JOHOR

26

19

73.08

13

SABAH

25

8

32.00

 

 

191

137

71.73


Jadual di atas adalah paparan rumusan hasil inisaitif penyokong UMNO membuat soal selidik untuk mendapatkan pandangan akar umbi terhadap kerjasama UMNO dengan Bersatu. Inisiatif ini dilakukan dalam bulan Ogos, sebelum PRN Sabah ke atas semua 191 Bahagian UMNO seluruh negara. Rumusannya, 137 Bahagian UMNO atau 71.73% tidak menyokong untuk UMNO bekerjasama dengan Bersatu. Di negeri Perlis, dipertontonkan tiada masalah. Di Sabah, 8 bahagian dari jumlah 25 bahagian atau 32.0 peratus sahaja yang tidak menyokong kerjasama dengan Bersatu. 

Di negeri-negeri lain, angkanya lebih tinggi. Semua bahagian di Terengganu tolak. Di Kelantan, hanya UMNO Bahagian Ketereh yang beri respons positif. UMNO Bahagian Ketereh diketuai oleh Setiausaha Agong BN, Annuar Musa. sementara Bersatu diketuai oleh Menteri Kanan, Dr Radzi Jidin. 

Di Selangor, satu bahagian sahaja yang sokong iaitu UMNO Bahagian Hulu Selangor. Sementara di Kedah, di antara 9 bahagian yang tolak kerjasama ialah UMNO Bahagian Langkawi, sementara UMNO Bahagian Pokok Sena tegas dengan "No PPBM No DAP". Kawasan Parlimen selain Langkawi yang dimenangi Bersatu dalam PRU14: Jerlun dan Kubang Pasu, UMNO Bahagian tiada masalah dengan Bersatu. 

Di Johor, 19 UMNO Bahagian menolak kerjasama termasuk UMNO Bahagian Pagoh, kawasan yang dikuasai  menerusi TS Muhyiddin Mohd Yassin. UMNO Bahagian Simpang Renggam tiada masalah dengan Bersatu, kawasan dimenangi Bersatu menerusi Dr Mazlee Malik, yang sekarang meninggalkan Bersatu. 

Gambaran ringkas ini sebagai senario peringkat bawahan UMNO terhadap Bersatu khususnya di negeri-negeri Semenanjung. Peratusan kecil penolakan UMNO di Sabah relatif dengan hasil PRN Sabah, yang tidak menjejaskan sokongan pengundi, walaupun di setengah tempat berlaku saingan calon UMNO dengan calon Bersatu, yang masih mampu memberi kemenangan kepada Gagasan Rakyat Sabah (GRS), sebuah pemuafakatan antara BN, PN dan PBS.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan