Isnin, 11 Januari 2021

Kerjasama UMNO-DAP

 UMNO MEMERLUKAN DAP UNTUK SURVIVAL

Ikuti rakaman ucapan seorang Ketua UMNO Bahagian semasa merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan UMNO Bahagian minggu lepas memberikan satu pendekatan baru UMNO untuk meneruskan talian hayatnya. Beliau memberikan hujah rasionaliti di sebaliknya kesedian UMNO untuk bekerjasama dengan musuh tradisinya,  DAP. Awalnya disangka lontaran Ketua Bahagian tersebut lebih bersifat saru pandangan peribadi atau pandangan Bahagian UMNO berkenaan. Setelah ikuti kenyataan balas DS Annuar Musa, mantan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), sudah ada rintisan usaha mendapatkan kerjasama dari DAP bersama UMNO, demi kelangsungan politik oleh setengah pemimpin UMNO. Secara langsung dan jelas bahawa kerjasama UMNO-DAP bukanlah suatu impian atau persepsi, tetapi memang satu mekanisme perancangan jajaran baru politik Malaysia. 

Menyusuri sejarah dan penglibatan UMNO dalam politik tanah air, peranan UMNO dilihat mulai merosot di zaman kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Sungguhpun UMNO bersama BN memperlihatkan prestasi cemerlang dalam kepimpinan Tun Abdullah dalam Pilihan Raya Umum ke 11 (PRU 2004) tetapi dalam tempoh sepenggal memperlihatkan kemerosotan pengaruh UMNO dan BN yang diterjemahkan oleh keputusan PRU12 (PRU 2008).  UMNO hilang jawatan Menteri Besar di Selangor, Kedah, Perak, buat pertama kali dalam sejarah politik tanah air. Di samping itu, UMNO yang mengepalai dominasi BN di peringkat Persekekutan, hilang majoriti dua pertiga di Parlimen. 

Dalam PRU14 (PRU 2018), kehilangan dominasi UMNO dalam pemerintahan, dengan hanya mampu pertahan dua kerajaan negeri: Pahang dan Perlis, telah menafikan kecemerlangan dan legasi UMNO, walaupun UMNO memiliki kerusi secara individu terbesar di Parlimen. PRU14, mempamerkan penguasaan BN lebih menunjukkan prestasi UMNO, lantaran kekalahan teruk rakan-rakan komponen BN khususnya di Semenanjung Malaysia. UMNO memenangi 54 kerusi Parlimen, berbanding PKR 47 kerusi, DAP 42 kerusi. 52 daripada 54 kerusi dimenangi BN menerusi UMNO adalah kawasan majoriti pengundi Melayu/Bumiputera Islam. Manakala 2 kerusi campuran dimenangi UMNO: Bagan Datoh (58% Melayu) dan Libaran (55% Bumiputera Islam). 

Hari ini (11/01/2021), UMNO hanya memiliki 38 kerusi Parlimen, setelah 17 anggota Parlimennya menyeberang ke Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Di blok kerajaan, kerusi UMNO tinggal 36, setelah dua ahlinya (Gua Musang dan Machang) menyatakan tidak lagi menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN). Pemerhati politik sedang menunggu berapa orang lagi ahli Parlimen UMNO akan meninggalkan blok kerajaan. Andainya, keseluruhan ahli Parlimen UMNO beralih arah tidak lagi bersama PN, ototmatisnya kerajaan PN akan jatuh. Pastinya matlamat UMNO meninggalkan blok kerajaan, untuk meruntuhkan atau secara langsung ketidakpercayaan kepada kepimpinan TS Muhyiddin Yassin. 

Keruntuhan kerajaan yang dibina bersama Bersatu, Pas, Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta beberapa parti kecil dari Sabah, memudahkan UMNO kembali ke puncak kuasa. Berbekalkan 38 ahli Parlimen bersama 4 lagi anggota BN: MCA(2), MIC(1) dan PBRS(1), pastinya mengharapkan dua kelompok besar dari blok pembangkang: DAP dengan 42 ahli dan PKR yang memiliki 38 ahli Parlimen, untuk memperolehi majoriti mudah membentuk kerajaan. UMNO dengan keahlian 38 orang di Parlimen, mewakili kawasan majoriti Melayu/Bumiputera Islam dan DAP dengan 42 ahli mewakili kawasan majoriti pengundi bukan Melayu, jika mampu bersatu sudah melengkapkan 80 orang ahli, memerlukan sokongan 42 ahli untuk perolehi simple majoriti membentuk kerajaan. 

Justeru kerajaan yang dibina oleh Pakatan Harapan (PH) dengan didominasi oleh perwakilan bukan Melayu/Islam dengan 58 Islam dan 67 bukan Islam, penghijrahan ahli Parlimen UMNO sertai PH menerusi Bersatu, mampu meletakkan 74 perwakilan Islam berbanding 68 bukan Islam, untuk mengimbangan penguasaan Islam-bukan Islam dalam kerajaan. Tetapi usia kerajaan PH tak lama, hanya 22 bulan sahaja. Kejatuhan kerajaan PH, digantikan oleh kerajaan PN yang menampakkan penguasaan blok kerajaan oleh perwakilan Melayu/Islam. Daripada 113 ahli penyokong kerajaan, hanya 11 sahaja ahli bukan Islam: MCA(2), MIC(1), PBRS(1), PBS(1), SUPP(1), PRS(3), PDP(2) dan STAR(1). Tindakan ahli UMNO akan memendekkan usia kerajaan PN, tak sampai satu tahun. Konklusi umumnya, pendekatan UMNO pasca PRU14 menolak kerajaan dikuasai Melayu/Islam serta kerajaan didominasi bukan Melayu, merapatkan pemuafakatan mengimbangi perwakilan kaum dan wilayah. Atas rasional ini jajaran baru poltik Malaysia meletakkan UMNO memerlukan DAP untuk survival serta mendapatkan semula kuasa yang hilang. Justeru itu, tidak hairanlah mengutip beberapa pandangan perwakilan UMNO bahawa DAP pasca PRU14 adalah DAP berwadah baru dengan kemunculan kepimpinan muda menepati tuntutan politik masa depan. 

Pendekatan yang diambil UMNO menangani kemelut politik Perak tempoh hari, ada usaha merintis UMNO mampu duduk semeja dengan DAP dan berkongsi tindakan mengubah kerajaan negeri. Sungguhpun usaha membentuk sebuah kerajaan pimpinan UMNO dengan sokongan DAP dan sekutu PH, tidak terhasil setelah PKR dan Amanah menolak pembentukan kerajaan tanpa DAP. Apapun ianya sudah memulakan satu rintisan untuk mengurangkan suasana canggung atau segan merapatkan UMNO dengan DAP. UMNO memerlukan DAP sebagai wakil masyarakat bukan Melayu/Islam, setelah kegagalan MCA dan MIC dalam PRU14.


 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan