Sabtu, 19 September 2020

PRN Sabah 2

 PRN SABAH SEKADAR MENGABSAHKAN PEMBENTUKAN KERAJAAN LOMPATAN PARTI PRU14

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ke 16 memiliki tiga unsur atau element menarik berbanding dengan 15 siri PRN Sabah bermula 1967; saingan berbagai parti yang lebih besar bilangan kehadiran calon serta parti  berbanding PRN Sabah sebelum ini, situasi kerajaan dibentuk menerusi lompatan parti dan terbubar dalam tempoh singkat, persaingan sesama parti dalam sebuah pakatan. Kebiasaannya dalam sistem perlbagai parti, saingan utama adalah dua parti dominan, sementara parti-parti lain hanya sekadar memeriahkan gelanggang. Situasi ini lebih dominan dalam sistem "first past the post" dalam amalan demokrasi berparlimen yang diamalkan di negara ini. Jika dalam sistem berbilang parti yang mengesahkan kemenangan berasas kuasai undi lebih separuh dari jumlah undi sah, lebih terbuka kepada peluang berbagai parti menguasai arena. 

PRN Sabah 1990 menciptakan rekod kehadiran lima parti utama di samping beberapa parti kecil. Parti Bersatu Sabah (PBS) yang mempertahankan kuasa mempertaruhkan 48 calon untuk bertanding di semua 48 kerusi Dewan Undangan Negeri dicabar oleh Barisan Nasional (BN) yang diwakili Berjaya yang hilang kuasa sejak PRN 1985 di semua kerusi. USNO bertanding di 38 kerusi. Parti Rakyat Sabah (PRS), sebuah parti serpihan Berjaya pimpinan James Peter Ongkili meletakkan 42 calon. Angkatan Keadilan Rakyat (Akar), serpihan PBS, pimpinan Mark Koding bertanding di 32 kerusi. 
 
Ketokohan Muhamad Noor Mansor yang mengepalai BN/Berjaya, James Ongkili dan Mark Koding gagal meletakkan parti masing-masing sebagai tarikan utama pilihan pengundi. Di samping gagal memenangi sebarang kerusi, sebahagian besar calon Berjaya, PRS dan Akar hilang wang pertaruhan. PRN 1990, adalah tahun terakhir keberadaan Berjaya dalam gelanggang setelah hilang kuasa dalam PRN 1985,  dan hanya mampu perolehi satu kerusi tunggal dalam PRN 1986. 

PRN Sabah 1990 hanya menyaksikan PBS dan USNO sebagai aktor utama, dengan PBS berjaya pertahan kerajaan dengan perolehi 36 kerusi, pertambahan 2 kerusi daripada PRN 1986. USNO kekal dengan 12 kerusi sebagaimana PRN 1986. 

PRN Sabah 1999, PRN pertama selepas kejayaan BN membentuk kerajaan setelah berlaku lompatan ADUN dari PBS yang mengatasi BN dengan 25:23 kerusi dalam PRN Sabah 1994. Selepas PRN 1994, terbentuknya parti-parti; Parti Demokratik Sabah (PDS), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Parti Maju Sabah (SAPP) sebagai serpihan PBS, apabila kepimpinan PBS; Bernard Dompok, Joseph Kurup dan Yong Teck Lee meninggalkan PBS. Dalam PRN 1999, di samping BN sebagai parti yang mempertahankan kerajaan, PBS pembangkang utama, segelintir bekas pemimpin Berjaya yang diketui Pengiran Othman Abdul Rauf menubuhkan Barisan Bersatu Sabah Bersekutu (Bersekutu) untuk ikut serta dalam PRN 1999. BN, PBS dan Bersekutu bertanding di semua 48 kerusi DUN. BN meraih 31 kerusi, PBS 17 kerusi, sementara Bersekutu bukan sahaja gagal meraih sebarang kerusi tetapi majoriti calonnya hilanh wang pertaruhan. 

Dalam PRN Sabah 2020, seramai 447 calon bertanding untuk 73 kerusi DUN. Warisan Plus yang menggabungkan Parti Warisan, DAP, PKR dan UPKO melatakkan calon di semua 73 kerusi bersama Parti Cinta Sabah (PCS), di samping Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menggabungkan tenaga BN, Perikatan Nasional dan PBS yang meletakkan 92 calon di semua kerusi dengan pertindihan persaingan di 17 kerusi. 
 
Ikut serta dalam PRN 2020; USNO (Baru) 47 calon, Liberal Democratic Party (LDP) 46 calon, Parti Gagasan Rakyat  Sabah (Gagasan) 28 calon, Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) 22 calon, Parti Harapan Rakyat Sabah (HR) 5 calon, Parti Kerjasama Anak Negeri (Anak Negeri) 2 calon, Parti Kebangsaan Sabah (PKS) seorang, Parti Perpaduan seorang dan 56 orang calon bebas. 

Penyertaan PCS di bawah kepimpinan Anifah Aman, bekas pemimpin UMNO pernah menduduki kabinet Persekutuan, USNO (Baru) diketuai oleh Pendikar Amin Haji Mulia, bekas pemimpin USNO dan UMNO, bekas Speaker Parliamen, Chong Kah Kiat, bekas Ketua Menteri Sabah menerusi LDP lebih menarik tawaran untuk pengundi Sabah bagi pilihan raya mengejut ini, seharusnya dilihat kemampuan mereka membuat kejutan. Mampukah mereka lakukan kejutan berbekalkan populariti mereka di tengah-tengah perubatan kuasa antara Warisan bersama sekutu yang menguasai kerajaan dengan pembangkang utama, GRS. 
 
Keupayaan PCS meletakkan calon di semua kerusi harus dihormati kesediaan untuk mengambil alih kerajaan berasaskan kekuatan tempatan dalam memposisikan sentimen  "Sabah untuk Sabah" sebagai wadah perjuangan. PCS tidak bermuafakat dengan parti-parti yang bersifat nasional, yang disebut oleh orang tempatan sebagai "parti orang Semenanjung". Setelah UMNO hilang kuasa dalam PRU14, Anifah Aman keluar UMNO tanpa sertai mana-mana parti. 

Usaha Pandikar Amin Haji Mulia, bekas pemimpin USNO kemudiannya UMNO,  cuba meletakkan semula peranan USNO yang dibubarkan untuk memberi laluan kepada UMNO memasuki Sabah pada tahun 1991, menerusi organisasasi baru USNO (Baru) yang ditubuhkan beberapa tahun lalu. USNO dibubarkan di kala sokongan masih ada, berbeza dengan penolakan rakyat terhadap Berjaya. Di kala dibubarkan, USNO ada perwakilan di dewan perundangan negeri dan Persekutuan, sementara Berjaya ditolak terus walaupun pernah menguasai hampir semua kerusi di DUN.  Usaha USNO bersama Berjaya membawa masuk UMNO ke Sabah lebih mengambilkira keperluan kekuatan berdepan pengaruh PBS yang semakin meningkat sokongan dalam PRN 1990. 

Chong Koh Kiat, bekas pemimpin Berjaya menubuhkan Liberal Democratic Party (LDP) setelah pembubaran Berjaya ekoran kemasukan UMNO ke Sabah. LDP asasnya mengumpul tenaga bukan Bumiputera dari Berjaya, bersama BN dan membolehkan Chong Koh Kiat menjawat jawatan Ketua Menteri, mengisi giliran wakil masyarakat Cina, di awal pemerintahan BN. LDP keluar BN selepas kekalahan PRU14. Kembali semula ke medan oleh Chong memimpin LDP yang bukan lagi mengisi peruntukan kerusi kawasan bandar tetapi menyeluruh dalam PRN 2020 mewakili semua kaum. Sejauhmana kemampuan LDP dengan pendekatan baru yang bersendirian kali ini. 

Apakah ketokohan Anifah Aman, Pandikar Amin dan Chong Koh Kiat mampu mengatasi ketandasan Pengiran Othman Rauf, James Ongkili dan Mark Koding. Sauhmanakah kekuatan peribadi tokoh mampu mengubah senario PRN 2020 yang lebih tertumpu Warisan Plus saingi GRS.

Apakah pengalaman lampau, saingan hanya tertumpu kepada dua parti utama sebagaimana PRN 1990 dan PRN 1999, walaupun pengundi ditawarkan dengam banyak pilihan. Sungguhpun parti Berjaya, PRS, Akar dan Bersekutu meletakkan bilangan calon yang ramai untuk memenuhi keperluan kesungguhn membentuk kerajaan, yang berakhir dengan majoriti calon mereka bukan sahaja tewas tetapi hilang wang pertaruhan. 

Tiga cabaran utama PRN Sabah 2020. Pertama kemampuan Wawasan mempertahankan kerajaan setelah mereka hilang majoriti menjelang pembuburan DUN. Sejauhmanakah Wawasan bersama sekutunya dapat menebus maruah membentuk kerajaan pasca PRU14 hasil pembelotan beberapa wakil rakyat parti lawan. 
 
Cabaran kedua kepada GRS yang dibentuk selepas hari penamaan calon dalam usaha menguasai kerajaan negeri apabila parti-parti dalam gabungan ini bersaing sesama sendiridi 17 kerusi. Matlamat awal pembangkang ialah untuk mewujudkan saingan satu lawan satu. UMNO bertembung dengan calon PBS di lima kerusi, PBRS dan STAR masing-masing bersaingan bersama PBS di tiga kerusi. MCA bertembung dengan PBS di dua kerusi sementara Bersatu menyaingi PBS di satu kerusi. 14 kerusi menyaksikan saingan bersama PBS. Namun begitu, tanpa penyertaan PBS, juga berlaku saingan parti lain iaitu PBRS dan STAR. Sementara itu terdapat dua kerusi pertembungan tiga parti dalam gagasan ini. 
 
11 daripada 17 kerusi pertembungan sesama sendiri dalam pakatan BN, Perikatan Nasional dan PBS, berlaku di kawasan majoriti Bumiputera Bukan Islam (BBI).  Kawasan atau kerusi berkenaan; Bengkoka (55% BBI), Matunggong (76% BBI), Tandek (76% BBI), Kadamaian (85% BBI), Moyog (85% BBI), Tambunan (85% BBI), Paginatan (64% BBI), Melalap (61% BBI), Tulid (75% BBI), Sook (71% BBI), dan Telupid (70% BBI). Di kerusi majoriti Bumiputera Islam, Lumadan (90% Bumiputera Islam) dan Tanjung Aru (59% Islam), calon BN dari UMNO ditentang oleh calon PBS. 
 
Setelah kejatuhan kerajaan BN selepas PRU14, daripada 29 kerusi yang dimenangi, BN hanya tinggal seorang ADUN sahaja iaitu bekas Ketua Menteri, Musa Aman. 28 ADUN yang lain meninggalkan BN: 17 UMNO, 5 PBS, 5 UPKO dan 1 PBRS. Kerajaan PH-Warisan dikatakan hilang majoriti setelah 33 ADUN (UMNO, Bersatu, PBRS, STAR, PBS) menyatakan sokongan kepada Musa Aman membawa kepada pembubaran DUN untuk PRN 2020.  Hanya 13 orang sahaja dari kalangan 33 ADUN berkenaan dipilih oleh parti masing-masing untuk pertahan kerusi. UMNO yang mempertaruhkan 32 calon meletakkan muka baru. 

Umumnya setelah seminggu berkempen PRN 2020 lebih terarah kepada  3 fokus: sejauhmana kerajaan Warisan Plus mampu bertahan, kekuatan cabaran GRS untuk membuktikan sokongan majoriti sebelum DUN terbubar, kemampuan tokoh mengatasi kekuatan parti.
 
 











Tiada ulasan:

Catat Ulasan