Khamis, 10 September 2020

PRK Pasca PRU14

 KECENDERUNGAN TUMPUAN ISU NASIONAL

Dua belas siri pilihan raya kecil (PRK) pasca Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) agak istimewa dibandingkan PRK pasca PRU sejak PRU1 (1959) hingga PRU13 (2013). PRK pasca 13 siri PRU sekadar mengisi kekosongan dalam dewan perundangan peringkat Persekutuan atau negeri. Prestasi sama ada parti pemerintah atau pembangkang terkesan daripada pergolakan dalaman yang memberi impaks kepada pencapaian parti dalam PRK. Krisis kepimpinan UMNO 1987 menjelmakan gambaran sikap pengundi kepada Barisan Nasional (BN) dalam beberapa PRK. Krisis kepimpinan UMNO yang membentuk dua "team" dalam parti menterjemahkan krisis kepimpinan membawa kepada perubahan sikap penyokong di lapangan atau akar umbi. 
  
PRK Parlimen Johor Bahru mengubah status kubu kuat UMNO zaman berzaman menyaksikan calon rasmi UMNO mewakili BN gagal mempertahankan kerusi, apabila tewas kepada pemimpin UMNO dari "team B" yang bertanding sebagai calon bebas. Calon bebas berkenaan, Shahrir Samad menang bergaya dengan majoriti besar. PRK Johor Bahru diadakan pada 25/08/1988. Lima bulan sebelum PRK Johor Bahru (Mac 1988), angin perubahan kesan krisis UMNO mulai dirasa bila calon BN menang tipis dengan majoriti 31 undi dalam PRK Tanjung Puteri. Tanjung Puteri adalah sebahagian dari kawasan Parlimen Johor Bahru. Setelah melihat reaksi dan gelagat pengundi metropolitan kawasan campuran, kesan dari krisis ini boleh dilhat menerusi PRK Parit Raja, yang diadakan dua bulan selepas PRK Johor Bahru. Kerusi Parit Raja adalah kawasan kubu kuat UMNO dan beberapa kali calon UMNO menang tanpa bertanding dalam PRU. Parit Raja mewakili kawasan majoriti Melayu dan bersifat luar bandar. Calon BN hanya menang dengan majoriti kecil mengatasi calon bebas, Hamdan Yahya yang merupakan bekas pemimpin pemuda UMNO. 
 
Selepas pendaftaran Parti Melayu Semangat 46 yang menghimpunkan sebahagian pemimpin-pemimpin UMNO dari "team B" yang dikepalai Tengku Razaleigh Hamzah, ujian sokongan kepada serpihan UMNO boleh dilihat kepada kawasan majoriti Melayu. Tanpa penyertaan kepimpinan dari Johor, tumpuan lebih terarah kepada Kelantan dan Terengganu, negeri majoriti pengundi Melayu. Sementelahan pula, kekuatan parti-parti Melayu lebih terserlah di kawasan ini. Ujian awal persepakatan parti-parti Melayu ialah menerusi PRK Teluk Pasu pada 26/06/1989. Kerjasama parti-parti Melayu menerusi Semangat 46, Pas, Berjasa dan Hamim membolehkan Pas merampas kerusi Teluk Pasu. PRK Teluk Pasu menyaksikan harapan yang tinggi kepada UMNO dan Pas, bila UMNO meletakkan bekas Kadhi Besar Terengganu, Abdul Rahman Mohamad, sementara Pas mempertaruhkan AJK Pusat, Harun  Taib. 
 
Semangat dari Teluk Pasu tidak merebak ke bahagian lain, selatan dan pantai barat, bila beberapa PRK di kawasan luar bandar masih mengekalkan penguasaan BN/UMNO. UMNO kekal mempertahankan kerusi dengan selesa bila dicabar Pas atau Semangat 46 di Tambatan (Johor), Sungai Besar (Selangor), Pantai Merdeka (Kedah), Kuala Linggi (Melaka) dan Kijal (Terengganu). Justeru itu, Pas dengan kerjasama Semangat 46, Berjasa dan Hamim berjaya buat kejutan di Kelantan dan sedikit kejayaan di Terengganu dalam PRU 1990. Sementara di lain-lain tempat khususnya di sebelah utara, kerjasama Semangat 46 dan Pas tidak banyak mengurangkan sokongan kepada BN khususnya UMNO. 

Dalam tempoh setahun sahaja, gelora politik lebih memihak kepada pembangkang Melayu, kemudian keadaan menjadi tenang yang memberikan kemenangan selesa kepada BN dalam setiap PRK. Sungguhpun ada  kejutan dalam beberapa PRK tetapi lebih kepada isu peribadi calon, isu tempatan dan kes-kes terpencil, yang tidak memberi kesan kepada situasi politik nasional keseluruhannya. 

Berbeza dengan gambaran politik nasional dimanifestasikan menerusi  12 siri PRK pasca PRU14. Justeru kejutan dan perubahan besar yang dicetuskan oleh PRU14, fokus utama pertukaran pemerintahan di peringkat Persekutuan dan sebahagian besar kerajaan negeri, PRK pasca PRU14 bolehlah dijadikan sebagai medan ujian serta pengukuran sokongan rakyat pasca PRU. 
 
Dalam tempoh 100 hari pertama pemerintahan pimpinan Pakatan Harapan (PH), PH diberi ujian pertama menerusi PRK Sungai Kandis pada 08/08/2018. Dalam suasana kemenangan kerajaan baru dirayakan, sungguhpun sekadar 49 peratus rakyat keluar mengundi, PH menerusi calon PKR diberikan kemenangan selesa dengan majoriti besar, 5,482 undi atau 23.27 peratus. Kawasan majoriti Melayu dengan 71.54 peratus pengundi Melayu memberikan mesej pengundi Melayu terus bersama menyokong kerajaan pimpinan PH. 
 
Sebulan kemudian, ujian kepada pemerintahan PH ditertemahkan menerusi PRK Balakong dan Seri Setia, pada 08/09/2018. Kedua-kedua kerusi di negeri Selangor ini boleh diambil sebagai sample sokongan kawasan majoriti pengundi bukan Melayu dan campuran. Hampir 70 peratus pengundi Balakong adalah pengundi bukan Melayu, di mana pengundi Melayu cuma 29.25 peratus. Calon PH yang diwakili DAP di samping mempertahankan kerusi, juga mengekalkan kemenangan bergaya, majoriti 18,533 undi atau 69.98 peratus. 

Seri Setia pula sebuah kerusi campuran dengan pengundi Melayu memiliki 54.13 peratus, India 24.39 peratus dan Cina 19.70 peratus, masih mengekalkan kemenangan kepada calon PH/PKR. Calon PKR menang dengan majoriti 4,027 undi atau 17.19 peratus. 

Sama sebagaimana situasi di Sungai Kandis, peratusan keluar mengundi yang rendah iaitu 42.93 peratus di Balakong dan 44.09 peratus di Seri Setia. Mengambil kira faktor, ketiga-tiga kerusi DUN Selangor ini, adalah kerusi yang dipertahankan oleh PH, secara kasar boleh dijadikan panduan menganalisis tahap sikap rakyat terhadap PH. Gambaran peratusan keluar mengundi yang rendah sesuatu yang dijangka lantaran tempoh selepas pembentukan pemerintah baru. Keperluan untuk keluar mengundi dibatasi kerajaan baru oleh kepuasan hati pengundi masih tidak terganggu dan terusik. Sungguhpun PH masih kekal mempertahankan kerusi yang dimenangi dalam PRU14 secara perbandingan dari segi peratusan undi yang diraih serta majoriti undi atau perbezaan undi dengan calon pembangkang lebih kecil. Undi yang diraih pastinya berkurangan lantaran peratusan keluar mengundi yang rendah berbanding melebihi 80 peratus di ketiga-ketiga kerusi berkenaan dalam PRU14, PH berjaya tingkatkan peratusan undi di Sungai Kandis dan Balakong, dan merosot di Seri Setia. 

Ketiga-tiga kerusi DUN Selangor yang terlibat dengan PRK di atas mewakili komposisi dan demografi yang berbeza; Sungai Kandis, kawasan pinggiran bandar dengan majoriti pengundi Melayu, Balakong kawasan majoriti pengundi bukan Melayu dan Seri Setia lebih cenderung mewakili kawasan campuran. Hasil PRK berkenaan sebagai sample bolehlah dirumus dalam tempoh 100 hari selepas pembentukan kerajaan PH di Selangor masih utuh sebagai sokongan berbagai kelompok sebagaimana PRU14. 

Tahun pertama pentadbiran PH dilengkapi dengan PRK Parlimen Port Dickson pada 13/10/2018. PRK Port Dickson lebih tertumpu kepada usaha membolehkan pemimpin utamanya DS Anwar Ibrahim, sebagai bakal Perdana Menteri berada di Dewan Rakyat. PRK terancang selepas Ahli Parlimennya meletak jawatan untuk memberi laluan kepada bakal PM. Pemboikotan pembangkang utama, BN dalam PRK ini menjadikan ianya sekadar sebuah perancangan demi politik PH, kawasan campuran ini dengan 42.72 peratus pengundi Melayu bersama 57 peratus bukan Melayu mengekalkan kemenangan dengan majoriti besar. PRK Port Dickson tidak tepat atau kurang relevan untuk menguji kekuatan sokongan rakyat kepada kerajaan pimpinan PH, tetapi faktor calon PM itu lebih menonjol. 

Ukuran kekuatan penerimaan rakyat kepada pemerintahan PH dapat dikesan menerusi kecenderungan dan gelagat pilihan pengundi dalam PRK apa pemerintahan PH memasuki tahun kedua kerajaan baru. Kegagalan calon PH dari DAP merampas kerusi PRK Cameron Highlands pada 26/01/2019, berbekalkan faktor kalah tipis dalam PRU14. Kawasan Parlimen Cameron Highlands adalah satu kawasan campuran mencatatkan 33.50 peratus pengundi Melayu, 29.48 peratus Cina, 14.91 peratus India dan 21.56 peratus Orang Asli. Keunikan komposisi pengundi kawasan Parlimen ini memberikan kekuatan seimbang kepada PH yang mendapat sokongan besar pengundi bukan Melayu dan BN yang banyak bergantung kepada undi Melayu. Kejayaan BN pertahankan kerusi dengan majoriti 3,238 undi atau 15.11 peratus cukup besar berbanding majoriti 597 undi dalam PRU14 di kala peratus keluar mengundi   79.0  peratus sedangkan hanya 68.72 peratus keluar mengundi dalam PRK. PH sebagai parti kerajaan tidak perolehi kelebihan dalam PRK Cameron Highlands. Perubahan calon BN daripada keturunan India kepada Orang Asli serta kerjasama Pas tidak bertanding dalam PRK serta menyokong calon BN memberikan kesan besar kepada hasil keputusan PRK ini. 

PRK Semenyih pada 02/03/2019, 10 bulan selepas PH menguasai semula kerajaan negeri Selangor memberikan gambaran baru sikap rakyat yang jauh berbeza dengan sikap mereka pada awal pemerintahan PH sebagaimana ditun jukkan oleh pengundi Sungai Kandis, Balakong dan Seri Setia. PH yang menang kerusi Semenyih dengan majoriti selesai 8.964 undi dalam PRU14, gagal mempertahankan kerusi dalam PRK, ketinggalan 1,914 undi kepada calon BN daripada UMNO. Komposisi pengundi Semenyih dengan 67.71 peratus Melayu dan 32 peratus bukan Melayu, tidak mampu mengulangi kejayaan PH di Sungai Kandis. 

PRK Rantau, sebuah kerusi DUN Negeri Sembilan pada 13/04/2019, tidak tepat untuk menghukum kegagalan dan prestasi PH lantaran dalam PRU14, BN menang tanpa bertanding bagi kerusi ini. Kemenangan yang tidak sah itu, memberi jalan kepada PRK ini. Rantau satu kawasan campuran dengan 53.43 peratus Melayu, bersama 27.0 peratus India dan 18.81 peratus Cina, memberikan pencapaian BN lebih baik dari PRU14 jika dilihat kepada undi kerusi Parlimen dari daerah-daerah mengundi dalam kawasan pilihan raya negeri Rantau. 
 
Setelah 3 PRK yang melibatkan kawasan semi-bandar, kampung Melayu tradisional, penempatan rancangan pembangunan tanah dan kawasan Orang Asli, di Semenanjung yang memberikan pencapaian tidak memihak kepada PH, satu PRK diadakan di kawasan bandar di Sabah. PRK Sandakan pada 11/05/2019 sekadar mengisi kekosongan kerusi Ahli Parlimen Sandakan, lantaran Sandakan kubu kuat DAP seawal 1980an lagi. BN tidak menyertai PRK ini, yang memberi laluan mudah kepada calon DAP mempertahankan kerusi mengatasi beberapa calon parti tempatan. Sebagaimana diduga, sama seperti di Balakong, kawasan bandar tidak menjejaskan sokongan pengundi kepada PH yang menguasai kerajaan Persekutuan. 
 
PRK Parlimen Tanjung Piai pada 16/11/2019 menampilkan perlanjutan penolakan rakyat terhadap PH. Kawasan yang mempunyai 58.80 peratus pengundi Melayu bersama 41.64 peratus pemilih Cina menambah kecederaan kepada PH apabila calon PH dari parti Bersatu gagal pertahan kerusi yang dimenangi dengan majoriti 524 undi dalam PRU14. BN yang mempertaruhkan calon MCA berjaya meninggalkan calon PH dengan perbezaan 15,086 undi atau  38.87 peratus. Calon PH hanya perolehi 10,380 undi   berbanding 21,255 undi dalam PRU14 berbanding peningkatan undi calon BN dari 20,731 undi dalam PRU14 kepada 25,466 undi, dalam situasi 74.32 peratus keluar mengundi dalam PRK berbanding peratusan keluar mengundi sebanyak 85.0 peratus dalam PRU14.

PRK Parlimen Kimanis (08/01/2020) mencari rentak kecenderungan rakyat khususnya masyarakat luar bandar di Sabah. PRK Kimanis memberi gambaran penolakan rakyat berlaku seluruh negara. BN yang hanya menang dengan majoriti tipis 156 undi mengatasi calon parti Warisan dalam PRU14. Dalam PRK calon Warisan mewakili parti kerajaan Persekutuan ditewaskan dengan majoriti yang bertambah iaitu 2,029 undi atau 8.28 peratus. Kawasan Parlimen Kimanis yang dihuni oleh 66.54 peratus pengundi Bumiputera Islam, 29.93 peratus Bumiputera Bukan Islam, 3.19 peratus pemilih Cina mengekori kecenderungan pengundi yang  mempunyai komposisi pemilih sama di Semenanjung, iaitu peralihan atau ayungan undi selepas PRU14. 

Dua PRK terakhir, Chini (04/07/2020) dan Slim (20/08/2020), yang berlangsung di kawasan majoriti pemilih Melayu: 90.43 peratus di Chini, 74.61 peratus di Slim lebih memperlihatkan kesan pembentukan Muafakat Nasional yang dianggota UMNO dan Pas berjaya memberikan kemenangan dengan majoriti yang besar kepada BN yang mempertahankan kerusi. Calon BN membolot 91.05 peratus undi di Chini dan 84.5 peratus di Slim berbanding 60.78 peratus di Chini dan 44.33 peratus di Slim dalam PRU14. 

PRK pasca PRU14 bolehlah disimpulkan kepada dua tahap: tahap pertama (2018) dan tahap kedua (2019-2020). Tahap pertama sekadar mengisi kekosongan kerusi dalam dewan perundangan yang menampakkan pengundi mengekalkan PH dan BN atau pembangkang sebagaimana pilihan mereka dalam PRU14. Tahap kedua menampakkan perubahan yang mendadak hasil ketidakpuasan hati rakyat kepada kerajaan Persekutuan pimpinan PH, kecuali Sandakan. Perubahan kedua ialah keperluan kepada penyatuan suara Melayu menerusi UMNO dan Pas yang membantu mengubah senario yang dicetuskan dalam PRU14. Perubahan ketiga ialah kemenangan PH dalam PRU4 kesan pertandingan tiga penjuru yang memberi perpecahan undi kepada pengundi yang tidak menyokong PH. Bila Pas yang mendapat undi yang mampu memberikan saingan dengan pungutan undi berkesan di Cameron HIghlands, Semenyih, Tanjung Piai, Chini dan Slim memberi laluan menyaingi PH berserta memberikan sokongan penuh bersama jentera mampu meningkatkan peratusan undi BN. 

Walaupun PRK berkenaan hanya melibatkan beberapa negeri sahaja, tetapi ianya merangkumi berbagai latar belakang demografi, berbagai latar sosio-geografis dan berbagai komposisi pemilih mengikut kaum, ianya mampu dijadikan sample untuk membina gambaran lanskad politik pasca PRU14. Apa yang dipertontonkan oleh kecenderungan dan gelagat pemilih dalam beberapa PRK tersebut sebagai mewakili situasi politik nasional kerana dalam semua PRK tersebut, isu nasional lebih menonjol mengatasi isu tempatan dan isu calon.
 
 
 
 



 
 


 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan