Khamis, 20 Februari 2020

Khianati Suara Demokrasi

KHIANATI SUARA DEMOKRASI MEMILIH KETUA KERAJAAN

Apabila kepimpinan Pas menerusi Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung mencetuskan idea undi percaya menyokong Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Dewan Rakyat, reaksi awal kepimpinan parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) ialah sebagai satu usaha mengkhianati suara rakyat. Rakyat telah memberi mandat kepada PH yang bertanding menggunakan lambang PKR di negeri-negeri Tanah Melayu, dan kerjasama Parti Warisan-PKR-DAP di Sabah dan Sarawak. Rakyat memberikan kemenangan kepada gabungan tersebut 124 kerusi bersama tiga kerusi menerusi calon bebas untuk menguasai majoriti mudah membentuk kerajaan Persekutuan. 

Seandainya berlaku satu gerakan menyokong undi percaya dari pihak pembangkang menyokong dan menyakini kepimpinan Tun, dilihat sebagai satu usaha menghalang hasrat PH mempercepatkan dan mengesahkan Tun mengotakan janjinya mengundur diri. Pengunduran Tun bermaksud memuktamadkan perjanjian kepimpinan PH sebelum PRU14, Tun adalah PM sementara.  

Kecenderungan berlaku sebahagian anggota kerajaan menyokong undi percaya sebagai memastikan Tun terus bertahan sehingga tamat tempoh penggal Dewan Rakyat semasa atau menjelang PRU15, akan mencelarukan kepimpinan PH. Logiknya, jika tidak menyokong undi percaya bermaksud tidak bersetuju perlanjutan keberadaan Tun di puncak kuasa memimpin sebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat. Bagi Ahli Dewan Rakyat yang tidak menyokong undi percaya,  relatifnya berpendirian memihak kepada kecenderungan sebaliknya, undi tidak percaya. 

Jikalaulah usul undi percaya berkecenderungan meruntuhkan kerajaan yang sedia dan diganti dengan pembentukan pemerintahan baru menerusi gabungan Ahli dari pihak pembangkang dan sebahagian dari blok kerajaan, diistilahkan sebagai khianati pilihan dibuat rakyat menerusi amalan demokrasi melalui PRU14. Sebenarnya beberapa pilihan rakyat telah diceroboh dan dinafikan dalam pembentukan kerajaan di beberapa buah negeri. 

Di Dewan Undangan Negeri Perak, PRU14 memberikan 29 kerusi kepada lambang PKR yang dianggotai oleh DAP (18 kerusi), PAN (6), PKR (4) dan PPBM (1). Barisan Nasional memperolehi 27 kerusi dan Pas sebanyak 3 kerusi. Dengan bantuan dua orang ahli BN, membolehkan PH membentuk kerajaan dengan suara 31 ahli. Ahli BN berkenaan sebenarnya telah mengkhianati mandat rakyat yang mengundi lambangnya; dacing bukan lambang mata PKR. Tindakan Ahli BN berkenaan menyertai blok PH, meninggalkan rakan-rakannya 25 orang membentuk barisan pembangkang bersama Ahli Pas seramai 3 orang, berjumlah 28 Ahli. 

Kerajaan Pakatan Rakyat Perak yang memiliki 31 kerusi DUN jatuh dalam tahun 2009, setelah 3 Ahli DUN Pakatan Rakyat ( 2 PKR, 1 DAP) melompat menyokong kumpulan pambangkang, semuanya BN (27 UMNO, 1 MCA). Masa itu, alasan tidak menghormati mandat rakyat menerusi demokrasi dijadikan alasan Pakatan Rakyat yang dibina oleh PKR, Pas dan DAP, untuk menyerang BN dan kerajaan Persekutuan.  Episod perompakan tahun 2009 berulang semula selepas pengumuman keputusan PRU14, oleh kumpulan yang sama tetapi bertukar watak dn peranan. 

Keputusan PRU14 bagi DUN Kedah memberikan 18 kerusi kepada PH (8 PKR, 5 PPBM, 3 PAN dan 2 DAP), sementara Pas perolehi 15 kerusi dan BN 3 kerusi. Kebuntuan membentuk kerajaan diatasi apabila seorang Ahli dari BN (UMNO) menyokong kumpulan 18 ADUN PH untuk mencukupkan suara majoriti mudah membentuk kerajaan. 

Keputusan PRU14 bagi negeri Sabah juga membuntui penubuhan sebuah kerajaan dengan majoriti mudah. BN menguasai 29 kerusi dari jumlah 60 kerusi DUN.  Kerjasama Parti Warisan-PKR-DAP juga memiliki 29 kerusi. Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (STAR) yang bertanding bersendirian menentang calon BN dan pakatan Warisan-PKR-DAP menang 2 kerusi. STAR adalah parti penentu, mana-mana pihak yang akan membentuk kerajaan. BN berjaya mempelawa STAR untuk membentuk majoriti 31 kerusi dan membolehkan DS Musa Aman angkat sumpah jawatan Ketua Menteri. 

Kurang 24 jam, 6 orang ADUN BN (4 UMNO dan 2 UPKO) memihak kepada kumpulan diketuai DS Safie Afdal untuk membentuk pakatan 35 ADUN, yang menyakinkan Yang Dipertuan Negeri Sabah menerima kerajaan baru. Pakatan baru ini meninggalkan kumpulan DS Musa dengan 25 ADUN. 

Peristiwa merebut jawatan ketua kerajaan di Sabah sebagai mengulangi episod selepas PRN Sabah tahun 1994. Hasil PRN Sabah tersebut memberikan kemenangan kepada Parti Bersatu Sabah (PBS) dengan 25 kerusi, sementara BN 23 kerusi. DS Joseph Pairin Kitingan menunggu 36 jam untuk mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri. Kemelut berakhir apabila 3 ADUN PBS melompat  ke kumpulan BN, diikuti 19 ADUN PBS yang lain, untuk BN mengangkat Ketua Menteri baru, TS Sakaran Dandai. Hanya Pairin, Dr Maximus Ongkili dan Datu Amir Kahar Mustapha kekal bersama PBS. 

Sungguhpun di peringkat Persekutuan belum pernah berlaku, penafian mandat dan pilihan rakyat yang membolehkan wakil rakyat yang dipilih boleh berpindah blok atau kumpulan sesuka hati selepas menang pilihan raya, apa yang berlaku di beberapa negeri di atas menjadi asas kebarangkalian politik demokrasi. Tidak mengejutkan, kerana kedua-dua pihak sama ada BN atau PH menggunakan kaedah menghahalkan cara tersebut yang diizinkan oleh prinsip kebebasan bersuara. 

Di Melaka, PH menguasai DUN setelah memenangi 15 kerusi dalam PRU14; 8 DAP, 3 PKR, 2 PPBM, 2 PAN, sementara BN berpindah ke blok bila sekadar menang 13 kerusi. Penguasaan PH memerintah Melaka dengan majoriti tipis, 15:13 terdedah kepada kebarangkalian hilang kuasa. Kegagalan cadang kerajaan untuk mencalonkan Ketua PKR Negeri sebagai Ahli Dewan Negara (Senator) tahun lepas, setelah penyokong kerajaan tidak memberi sokongan. Di kala PH mempunyai 14 ahli lantaran seorang anggota ditahan kerana dalam perbicaraan di mahkamah, dua ADUN dari PKR tidak mengundi, semua anggota pembangkang tidak menyokong menjadikan keputusan 12 sokong, 13 tidak sokong. Jika keadaan ini berulang, apakah kerajaan PH di Melaka akan mampu untuk bertahan, jika ada undi percaya atau undi tidak percaya.

Seseorang ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri dipilih mewakili satu kawasan pilihan raya dan dilindungi oleh prinsip kebebasan bersuara. Kerajaan negeri Kelantan pernah kalah dalam saman dikemukakan oleh ahli yang digugurkan oleh DUN kerana melompat parti. Dua orang wakil rakyat kerajaan dari Parti Semangat 46, mengistiharkan sertai UMNO, otomatiknya menduduki blok pembangkang. Mahkamah mengistiharkan DUN tidak layak mengambil tindakan ke atas ahlinya yang bertukar parti, bila mahkamah mengambil kira hak berkenaan tukar parti di atas prinsip kebebasan bersuara setiap individu. 

Oleh kerana hilang kelayakan menyebabkan DUN istihar dua kerusi berkenaan kosong dan satu pilihan raya kecil diadakan. Bila mahkamah istihar pengguguran dua ahli berkenaan tidak sah, maka pilihan raya kecil tidak perlu. Tetapi, pilihan raya kecil tetap diadakan dengan kedua-dua wakil rakyat berkenaan bertanding semula menggunakan logo baru, BN, tetapi sama seperti dalam PRU sebelumnya, rakyat tetap menolak BN. Hakikinya, dua wakil rakyat ini sebagai pembangkang yang tidak dipilih oleh rakyat, yang bertentangan dengan prinsip asas demokrasi kerajaan dipilih oleh rakyat atau suara majoriti. 

Justeru itu, andainya apa yang diperkatakan hari ini, ada kemungkinan berlaku bertukar kumpulan atau tukar parti yang boleh meruntuhkan kerajaan. Kerajaan yang baru, walaupun hasil lompatan atau tukar parti, tetap tidak melanggari amalan demokrasi kerana wakil rakyat dilindungi oleh kebebasan bersuara sebagaimana keputusan penghakiman dua orang ADUN Kelantan dalam tahun 1991. Tindakan usul undi percaya kepada Tun Mahathir sebagai PM oleh blok pembangkang, bukanlah satu agenda mengkhianati demokrasi kerana masih dalam lingkungan kebebasan bersuara dan hak sebagai anggota badan legislatif.  


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan